Proton Arena dari Origin Automotive, England – muka Evo III, guna enjin dan kemasan kabin dari Satria GTi

Proton Arena dari Origin Automotive, England – muka Evo III, guna enjin dan kemasan kabin dari Satria GTi

Seperti yang semua tahu, model-model Proton pada era 90’an kebanyakkannya berasaskan dari platform Mitsubishi Colt Lancer generasi keempat. Model Lancer sedan dijelmakan sebagai Proton Wira, model hatchback tiga pintu Colt/Mirage dijelmakan sebagai Proton Satria, manakala model coupe dua pintu Mirage Asti dijelmakan sebagai Proton Putra.

Namun apa yang istimewa, bukan semua model yang Proton tawarkan ada kembarnya pada Mitsubishi. Lancer tidak dihasilkan dengan bentuk badan liftback seperti yang ditampilkan pada Proton Wira Aeroback, dan Proton mempunyai satu lagi model trak pikap kecil yang dihasilkan dari Wira iaitu Proton Arena, atau dikenali sebagai Proton Jumbuck di Australia dan United Kingdom (UK).

Kalau anda nak tahu juga Arena dihasilkan tanpa kerjasama Mitsubishi, dan projek tersebut dibuat oleh sekumpulan anak tempatan di unit Prototype Shop Proton (asas kepada unit R&D Proton yang ada sekarang) dengan kerjasama pembuat koc yang berpusat di California, Amerika Syarikat iaitu Metal Crafters Inc. Malah, antara sentuhan akhir untuk Proton Arena ini turut dibuat oleh Lotus (ketika itu Lotus dimiliki oleh Proton) di Norwich, UK.

Jadi Proton Arena ini memang benar-benar unik dan ia hanya dihasilkan oleh Proton. Malah banyak juga Arena di Malaysia telah diubahsuai dengan muka Mitsubishi Lancer Evolution (malah ada yang siap enjin Evo dan berlumba drag), seolah-olah ia Evo dalam bentuk pikap – sesuatu yang anda tidak akan jumpa hatta di Jepun sekali pun.

Proton Arena dari Origin Automotive, England – muka Evo III, guna enjin dan kemasan kabin dari Satria GTi

Dan faktor ini juga telah menarik satu bengkel di Durham, England iaitu Origin Automotive sebagai asas projek mereka. Origin Automotive merupakan bengkel yang melakukan penyelenggaraan kenderaan dan mereka pakar dalam kerja-kerja penyelenggaraan bagi memastikan sesebuah kenderaan itu lulus ujian MOT (ujian tahunan bagi memastikan sesebuah kenderaan itu selamat digunakan di jalan raya) di UK. Dan Arena atau lebih dikenali sebagai Jumbuck di UK ini akan digunakan untuk tugas-tugas pengangkutan di bengkel.

Seperti yang anda lihat, muka trak pikap tersebut telah disalin sepenuhnya menggunakan muka Mitsubishi Lancer Evolution III, dan kit yang digunakan juga sebenarnya lebih lebar dari Evo asli. Namun ia tidak disumbatkan dengan enjin 4G63T dari Evo, sebaliknya menerima enjin 4G93P 1.8 liter DOHC dari Proton Satria GTi. Walaupun nampak ada satu unit intercooler yang agak besar disebalik bampar hadapan, Arena ini sebenarnya masih lagi dalam keadaan NA, dan ia mungkin akan di’turbo’kan pada masa hadapan.

Enjin tersebut diambil dari sebuah Proton Satria GTi yang telah tersadai. Bukan hanya enjin, malah Origin Automotive turut menyalin komponen-komponen kabin dari Satria GTi tersebut kepada Arena ini termasuk papan pemuka, tempat duduk Recaro Njoy, panel dalaman pintu dan lain-lain yang boleh disesuaikan.

Suspensi asal hadapan telah digantikan dengan set suspensi boleh laras yang asalnya berada pada sebuah Lancer Evo. Manakala untuk merendahkan bahagian belakang yang masih menggunakan spring dedaun, gandar asal Proton Arena tersebut telah diterbalikkan, dan ditambah dengan unit lowering block yang diubahsuai sendiri oleh Origin Automotive. Ia kemudiannya diberikan set rim XXR 527s 17-inci dengan tayar bersaiz 205/50ZR17.

Bukan sahaja karat-karat pada badan Arena ini telah dibuang, malah ruang roda belakang juga telah dilebarkan menerusi kerja-kerja fabrikasi logam bagi membolehkan set roda berkenaan muat di dalamnya dan sepadan dengan muka Evo yang lebih lebar. Akhir sekali, trak pikap ini turut diberikan skirt sisi Evo III dan disembur semula dengan warna pastel dalam rona biru cair.

Ini bukan kali pertama kita lihat Mat Saleh di UK ‘layan’ model-model dari Proton. Ogos lalu, Jon Coupland dari Boston, Lincolnshire telah dipilih sebagai pemenang utama untuk acara Hagerty Festival of the Unexceptional untuk edisi 2021 dengan Proton Saga 1.5 GL Black Knight miliknya. Kemudian Stephanie Holloway dari saluran YouTube Idriveaclassic membuat kejutan dengan memuat naik video memaparkan bahawa dia baru sahaja membeli sebuah Proton Saga (Iswara) 1994 yang dijumpai terbiar dalam bangsal dalam tempoh lama, tetapi dengan kondisi seperti baharu.

GALERI: Proton Jumbuck ‘EVO3 NOT’ Origin Automotive (gambar dari Facebook Origin Automotive)

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

 

Add a comment

required

required