Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengesahkan kerajaan kini sedang merangka dasar baharu termasuk pelaksanaan mandatori pengehad kelajuan (speed limiter) pada kenderaan berat, sebagai langkah memperkukuh dasar keselamatan jalan raya. Jelasnya, polisi berkenaan sedang diteliti secara menyeluruh, termasuk mekanisme bagi menutup sebarang ruang manipulasi apabila ia dikuatkuasakan kelak.
“Kerajaan tidak akan berhenti dalam usaha memperkukuh dasar keselamatan jalan raya. Kami komited melindungi pengguna jalan raya, terutamanya daripada ancaman pemandu tidak bertanggungjawab serta kenderaan berat yang tidak memenuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan,” katanya menerusi perkongsiannya di Facebook.
Awal pagi semalam, sebuah bas yang membawa 42 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terbabit dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat, berhampiran Tasik Banding, Perak dan ia meragut 15 nyawa mahasiswa UPSI dan 33 individu lain cedera termasuk pemandu dan kelindan bas berkenaan.
Beberapa pelajar yang menaiki bas berkenaan mendakwa, bas berkenaan dikatakan dipandu laju sebelum hilang kawalan dan menghentam sebuah Perodua Alza di hadapannya yang turut menyebabkan pemandu dan penumpang MPV terbabit tercedera. Malah rakaman dashcam kenderaan di belakang turut memaparkan bas berkenaan dipandu laju dan video berkenaan tular di laman media sosial dan pemilik dashcam terbabit telah menyerahkan rakaman tersebut kepada pihak polis untuk membantu siasatan.
Untuk pengetahuan anda, cadangan mewajibkan pemasangan speed limiter ini telah lama diperkatakan seperti pernah yang disarankan oleh bekas Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai pada tahun 2016. Malah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga pernah berkata menjelang tahun 2020, semua bas ekspres yang beroperasi di negara ini akan dilengkapi dengan speed limiter.
Pada awal tahun 2017, bagi mengelak kemalangan maut yang melibatkan bas ekspres, syarikat-syarikat pengusaha perkhidmatan bas ekspres menyahut seruan untuk memasang Speed Limiter Device (SLD) pada bas untuk meningkatkan lagi ciri keselamatan dalam operasinya.
Alat berkenaan akan mengehadkan kelajuan kepada hanya 90 km/j sahaja. Selain itu, dengan penggunaan alat berkenaan juga, syarikat bas boleh meninjau secara nyata perkembangan semua bas yang mereka kendalikan melalui global positioning system (GPS).
Rupa-rupanya, sehingga kini, pelaksanaan mewajibkan pemasangan speed limiter pada kenderaan berat masih di peringkat merangka dasar baharu. Bila berlaku kemalangan besar sebegini yang menyebabkan banyak nyawa terkorban, barulah ia diperkatakan semula. Seperti biasa….
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
Seperti biasa…
I love that ending. It’s high time for real enforcement of dashcam, speed limiters. Not talk only.