Mungkin ada yang skeptikal dengan usaha Toyota yang kini nampak ‘senyap’ dalam membangunkan enjin pembakaran dalaman yang dikuasakan oleh bahan api hidrogen. Sebenarnya usaha ini masih berterusan dan Toyota dilihat aktif membangunkan teknologi itu dalam sukan permotoran.
Bulan lalu Toyota sekali lagi berjaya menamatkan perlumbaan Fuji 24 Jam iaitu pusingan ketiga untuk siri perlumbaan ketahanan Super Taikyu Endurance, kali ini Toyota Corolla pasukan Rookie Racing yang dikuasakan enjin yang disuap hidrogen cecair telah melengkapkan 468 lap atau sekitar 2,135 km, atau 40% lebih jauh berbanding jarak yang dicapai pada tahun sebelumnya.
Dan kini, Toyota mendedahkan pula jentera lumba konsep yang dikenali sebagai Toyota GR LH2 Racing Concept di perlumbaan Le Mans 24 Jam yang akan berlangsung hujung minggu ini. Tidak seperti model konsep GR H2 Racing Concept yang didedahkan pada Le Mans 2023 di mana ia hanyalah model tanah liat skala penuh, Toyota GR LH2 Racing Concept ini merupakan prototaip sebenar yang berfungsi, diasaskan dari jentera lumba LM Hypercar sebenar Toyota GR010 Hybrid yang sememangnya digunakan oleh Toyota dalam perlumbaan FIA World Endurance Championship (WEC) termasuk Le Mans 24 Jam.
Jentera ini dibina bagi menunjukkan potensi bahan api cecair hidrogen dalam perlumbaan WEC. Ia menampilkan dimensi panjang 5,100 mm dan lebar 2,050 mm, atau 200 mm lebih panjang dan 50 mm lebih lebar dari GR010. Rupa luarannya juga dilihat berbeza, terutamanya pada bahagian muka yang munggunakan rekaan signatur ‘jerung hammerhead’ terkini Toyota yang sudah ditampilkan pada model-model produksi seperti Toyota Prius, Crown, Camry dan banyak lagi.
Namun perincian berkenaan unit rangkaian kuasanya tidak didedahkan. Untuk GR010, ia dijana oleh enjin 3.5 liter biturbo V6 menghasilkan 680 PS untuk memacu roda belakang, bersama dengan motor elektrik pada gandar depan berkuasa 272 PS.
Seperti yang diberitahu tadi, ini merupakan usaha berterusan dari Toyota untuk membangunkan dan menunjukkan potensi enjin pembakaran dalaman yang beroperasi dengan bahan api hidrogen cecair – iaitu salah satu penyelesaian mobiliti yang lestari selain teknologi elektrik penuh, dan ia akan terus memberikan keseronokan memandu kenderaan dipacu enjin yang menampilkan bunyi dan getaran seperti kereta-kereta sedia ada.
Toyota mula mengumumkan pembangunan enjin hidrogen ini sejak 2021, di mana ia juga tahun pertama jentera lumba Corolla dengan enjin gas hidrogen didedahkan untuk menyertai Super Taikyu Endurance. Pada 2023 jentera lumba tersebut beralih dari gas hidrogen ke hidrogen cecair dan kemudian melengkapkan lap demonstrasi di litar perlumbaan Le Mans iaitu Circuit de la Sarthe.
Selain itu Toyota turut mendedahkan sebuah GR Yaris yang dikuasakan oleh bahan api hidrogen, di mana jentera GR Yaris H2 berkenaan turut telah melengkapkan demonstrasi sebenar di SS rali ketika berlangsungnya Ypress Rally 2022 yang merupakan salah satu pusingan Kejohanan Rali Dunia (WRC) musim berkenaan.
Tahun ini merupakan ulangtahun ke-40 Toyota dalam perlumbaan Le Mans di mana gergasi automotif Jepun itu telah pun mula menyertai perlumbaan tersebut sejak 1985. Oleh itu ia melihat ke arah masa depan yang neutral karbon, mempercepatkan usahanya untuk “mengembangkan pengeluaran, pengangkutan dan penggunaan hidrogen bersama-sama dengan rakan kongsi di dalam dan di luar industri”.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.