Toyota sedang bangunkan enjin pembakaran dalaman guna bahan api hidrogen menerusi sukan permotoran

Walaupun telah mula memperkenalkan kereta elektrik sepenuhnya model konsep Toyota bZ4X sebagai permulaan peralihan ke era elektrikfikasi, Toyota adalah antara pengeluar kenderaan yang percaya akan ada masalah lain terjadi jika sektor automotif mula bergantung kepada tenaga berkenaan kerana lebih dari separuh kuasa elektrik di dunia masih dijana oleh bahan api fosil seperti arang batu.

Umum mengetahui, Toyota sebelum ini aktif membangunkan Toyota Mirai, iaitu kereta dengan sistem sel bahan api hidrogen bagi menghasilkan kuasa elektrik (FCEV) untuk menggerakkan kereta yang menjadi alternatif kepada kereta elektrik bateri penuh (BEV). Dan terbaharu, Toyota kini sedang membangunkan lagi satu alternatif yang dilihat masih mengekalkan keseronokan enjin petrol, tetapi jauh lebih mesra alam iaitu enjin pembakaran dalaman yang menggunakan bahan api hidrogen!

Malah pembangunan ini telah dibuat menerusi sukan permotoran di mana enjin berkenaan telah pun diletakkan pada kereta lumba Toyota Corolla Sport, yang akan berlumba dibawah program ORC Rookie Racing, bermula pada pusingan ketiga siri Super Taikyu 2021, NAPAC Fuji Super TEC 24 Jam pada bulan Mei nanti.

Tiada sebarang motor elektrik terlibat dalam teknologi ini, kerana enjin yang dibangunkan tersebut mengekalkan komponen asas yang sama seperti enjin petrol konvensional, tetapi menggunakan hidrogen sebagai bahan api. Enjin tersebut menggunakan sistem suntikan bahan api yang telah diubahsuai dari sistem petrol untuk berfungsi.

Toyota sedang bangunkan enjin pembakaran dalaman guna bahan api hidrogen menerusi sukan permotoran

Menurut Toyota, penggunaan bahan api hidrogen ini tidak akan menghasilkan pencemaran CO2, tetapi ia akan turut membakar minyak pelincir ketika digunakan (juga sebenarnya terjadi pada enjin berkuasa petrol). Hidrogen juga menghasilkan pembakaran dalam kadar lebih cepat dari petrol, membolehkan ia memberi respon lebih baik.

Jadi disamping baik untuk alam sekitar, enjin hidrogen ini disifatkan Toyota sebagai “mempunyai potensi untuk mengekalkan keseronokan pemanduan” termasuk memberikan bunyi dan getaran yang peminat kereta sukakan.

Kereta lumba dengan enjin hidrogen tersebut akan berlumba dengan hidrogen yang dihasilkan oleh Fukushima Hydrogen Energy Research Field di Namie, Fukushima. Selain dari untuk mengembangkan infrastruktur hidrogen dengan mempromosikan penggunaan hidrogen, usaha ini juga sebenarnya baik untuk pemulihan ekonomi wilayah Tohoku yang sebelum ini terjejas akibat gempa bumi dan Tsunami pada 2011.

Toyota juga tidak mempunyai masalah untuk memastikan keselamatan penggunaan hidrogen berkenaan kerana sudah berpengalaman menghasilkan kereta FCEV Toyota Mirai yang sudahpun masuk ke generasi kedua.

Jika apa yang dibangunkan oleh Toyota ini berjaya, berkemungkinan besar akan ada lagi model berprestasi tinggi GR dari gergasi automotif Jepun ini yang akan mengekalkan keseronokan memandu enjin pembakaran dalaman yang sememangnya lebih beremosi dari motor elektrik.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required