Bulan lalu, Toyota telah mengumumkan bakal memperkenalkan model bahan api hidrogen Mirai generasi kedua pada Disember ini. Namun ada beberapa wartawan Jepun telah pun diberikan akses awal untuk mendapatkan kereta berkenaan bagi tujuan ulasan.

Biar pun Toyota masih belum mendedahkan spesifikasi teknikal terperinci, namun video oleh Cliccar dan Love Cars TV telah mendedahkan Mirai generasi kedua ini mampu menghamburkan kuasa sehingga 182 hp, atau lebih 29 hp berbanding model generasi pertamanya.

Sewaktu mendedahkannya, Mirai Concept generasi kedua dikatakan mampu menawarkan peningkatan sebanyak 30% bagi jarak pemanduannga berbanding model sebelumnya iaitu sekitar 650 km. Walau bagaimana pun, ulasan daripada media Jepun berkata, model baharu ini mampu mencapai jarak hingga 850 km hasil daripada tiga tangki penyimpanan hidrogen.

Berbanding dengan model sebelumnya, Mirai generasi kedua ini mengadaptasikan platform TNGA dan kini merupakan pacuan roda-belakang, dengan keupayaan konfigurasi pengedaran berat dari hadapan ke belakang bernisbah 50:50. Menurut video Love Cars TV, Mirai masih mengekalkan dimensi seperti Mirai Concept iaitu 4,795 mm panjang, 1,885 mm lebar dan 1,470 mm tinggi.

Di dalamnya, senibina papan pemukanya masih kekal seperti model konsep 2019, di mana ia menempatkan unit infotainmen 12.3-inci dan instrumen pemandu yang menyalurkan informasi visual. Selain itu, ia turut menampilkan pengecas tanpa wayar Qi, kamera pandangan belakang, panel sesentuh untuk pendingin hawa tempat duduk belakang dan juga perehat kepala untuk tempat duduk penumpang hadapan yang boleh dilipat.

Untuk barisan kedua, ia turut memberikan satu lagi tempat duduk, menjadikan jumlah kapasiti tempat duduk bagi Mirai baharu ini ialah lima unit. Bentuk luaran fastback bagaimana pun tidak menjejaskan ruang kepala untuk penumpang di belakang. Sebaliknya terdapat ruang pada hujung bahagian belakang untuk memberikan ruang bahagian kepala.

Pada awal minggu ini, Toyota USA telah memuat naik entri di Facebook dengan mengesahkan Mirai 2021 bakal ditawarkan di pasaran USA dengan varian XLE dan Limited. Dalam entri terbabit, syarikat ini turut mendedahkan model akan datang tersebut akan ditawarkan dengan Hydro Blue, Oxygen White, Heavy Metal, Supersonic Red and Hitam. Perincian penuh mengenai Mirai generasi kedua ini akan didedahkan dalam pelancarannya pada bulan hadapan.

GALERI: Toyota Mirai Concept generasi kedua