Tokyo 2019: Toyota Mirai generasi kedua dipertonton

Tokyo 2019: Toyota Mirai generasi kedua dipertonton

Pertama kali diperkenalkan pada 2014, kenderaan elektrik fuel cell (FCEV) Toyota Mirai kini ditunjukkan dalam bentuk terbarunya. Dikenali sebagai Toyota Mirai Concept dan dipertontonkan ketika Tokyo Motorshow 2019, ia disifatkan sebagai model yang sangat hampir dengan versi yang akan dikeluarkan kelak, dijangka hujung tahun 2020.

Paling ketara, rekaannya jauh lebih matang dan menarik, seolah-olah memperlihatkan pertembungan antara rekaan yang biasanya kita lihat pada sayap premium Toyota; tidak lain, jenama Lexus. Menggunakan binaan pacuan roda belakang serta platform Toyota New Global Architecture (TNGA) seperti yang ada pada model Crown, Mirai baru ini nanti akan turut menerima pertambahan dimensi fizikalnya.

Ukurannya ialah 4,975 mm panjang, 1,885 mm lebar dan 1,470 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,920 mm – ia 85 mm lebih panjang, 70 mm lebih lebar dan 65 mm lebih rendah berbanding yang lama. Jarak antara roda merupakan pertambahan paling banyak, dengan 140 mm lebih panjang.

Tokyo 2019: Toyota Mirai generasi kedua dipertonton

Gaya Mirai baru ini juga lebih tenang dan ringkas, tetapi diterapkan juga bersama lengkuk-lengkuk badan yang lebih rumit – menjadikan penampilannya jauh lebih agresif dan sporty. Sama seperti kereta Toyota sedia ada, bahagian depannya didominasi oleh rekaan gril trapezoid besar, tanpa inlet di sudut, dan dilengkapi dengan rekaan lampu utama tirus bertingkat. Bahagian bonet juga lebih panjang, turut menyumbang kepada rupa baru yang “tajam”.

Dari sisi, garis bumbung dan ruang enam-cermin yang ada kini lebih rendah hingga ke belakang. Bahagian bahu pada badannya bagaimanapun tampil ketara, menampakkan imej lebar seperti pada Supra jika dilihat dari belakang. Penampilan ini dikukuhkan oleh lampu belakang yang lebar, serta diffuser saiz besar – rim pula dalam saiz 20-inci, dengan warna Force Blue pelbagai lapisan cat.

Di dalam, kerana pendekatan yang diambil lebih mirip kepada sentuhan premium pada ruang kabin kenderaan Lexus. Papan pemuka ringkas dan nipis, dengan paparan utama skrin infotainmen 12.3-inci serta paparan instrumen digital. Dengan binaan dan kedudukan fuel cell yang baru menggunakan platform TNGA ini, ia membolehkan penggunaan konfigurasi lima-tempat duduk – lebih satu dari Mirai lama.

Tokyo 2019: Toyota Mirai generasi kedua dipertonton

Toyota menjelaskan kereta ini bakal memberikan pertambahan jarak perjalanan yang 30% lebih berbanding sebelum ini, disumbang oleh pertambahan kapasiti storan hidrogen – khabarnya mampu bertahan sehingga 650 km penggunaan. Prestasi juga mungkin lebih baik (pertambahan kuasa dan daya pecutan), sebagai melengkapi rekabentuk moden dan sporty yang dibawa kini.

Menyentuh soal mengapa Toyota memberi tumpuan dan lanjutan terhadap pembangunan kenderaan dengan teknologi fuel cell seperti Mirai ini adalah kerana mereka percaya bahawa hidrogen adalah tenaga yang cekap untuk masa hadapan. Ia boleh diperoleh atau dihasilkan daripada beberapa sumber, dan lebih penting, dengan hidrogen, kenderaan terbabit tidak membebaskan gas C02 langsung.

Platform TNGA yang memang dari awal telah direka untuk membolehkan penggunaan sistem janaan hidrogen turut disifatkan mampu memberikan ketahanan yang lebih baik. Ditambah dengan kedudukan pusat graviti yang lebih rendah, Toyota memaklumkan ia akan menyumbang kepada kelincahan serta tahap maklum balas yang lebih baik dan menawarkan pengalaman pemanduan yang jitu.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required