Tahun lalu Chery telah pun memperkenalkan SUV yang dikenali sebagai Tiggo 7 Sport di China – ia bukanlah seperti Chery Tiggo 7 yang kita temui di Malaysia, sebaliknya adalah Jaecoo J7 yang menerima muka direka seakan sebuah Range Rover sebenar. Dan tak sampai setahun, Tiggo 7 Sport ini menerima kemaskini di sana, termasuk penawaran varian baharu yang lebih mampu milik.
Bagi model 2026 ini Tiggo 7 Sport ditawarkan dengan varian yang digerakkan dengan enjin lebih kecil iaitu 1.5 liter berkuasa 156 PS/230 Nm yang digandingkan dengan kotak gear klac berkembar basah DCT enam-kelajuan, dijual pada harga lebih mampu milik iaitu RMB87,900 (RM52k).
Varian dengan enjin 1.6 liter turbo berkuasa 197 PS/290 Nm digandingkan kotak gear klac berkembar tujuh-kelajuan juga masih ditawarkan sebagai varian yang lebih tinggi dan lebih berkuasa.
Namun pada bahagian luaran tiada perubahan besar dibuat pada versi kemaskini ini. Ia masih kekal menerima lampu, gril, bampar, fender dan juga penutup bonet hadapan yang direka seakan sebuah Range Rover sebenar. Manakala pada bahagian muncung penutup bonet tersebut diberikan tulisan “CHERY” bagi memastikan anda tidak tertipu bahawa ini bukanlah Range Rover sebenar.
Tidak ada perubahan besar dibuat di bahagian belakang kerana rekaan asal Jaecoo J7 itu sendiri sebenarnya memang sudah mengambil inspirasi dari model-model terkini Range Rover yang menampilkan lampu belakang bersegi dan nipis. Cuma imej lasaknya diserlahkan lagi dengan panel skid plate pada bawah bampar belakang direka lebih besar dari J7 biasa.
Pada sebelah dalam, Tiggo 7 Sport ini sememangnya menampilkan sedikit perubahan berbanding Jeacoo J7 biasa, seperti penawaran tema warna tan yang nampak lebih mewah selain kemasan hitam sepenuhnya, bersama perubahan pada konsol terowong di bahagian tombol gear dan pemegang cawan.
Menurut laporan CarNewsChina, versi kemaskini untuk Tiggo 7 Sport ini menampilkan perincian seperti tempat duduk pemandu yang diberikan liang penghawa dingin, pemanas untuk tempat duduk hadapan, lampu pada cermin solek, kamera pemantau 540-darjah dan juga penghawa dingin automatik.
Manakala paparan instrumen masih kekal dengan skrin 10.25-inci, dan sistem infotainment datang dengan skrin sesentuh 13.2-inci.
Perincian lain yang turut dipadankan termasuk lampu tinggi automatik, bumbung suria panaromik, dashcam, pengecas telefon pintar tanpa wayar 50W, beg udara tirai, pintu tailgate belakang berkuasa yang dilengkapi penderia pergerakan, serta sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan fungsi seperti, brek kecemasan automatik dan cruise control adaptif.
Tidak seperti ‘Range Rover Evoque palsu’ China iaitu Land Wind X7 yang disaman oleh Range Rover kerana meniru rekaannya satu ketika dahulu, rekaan pada Chery Tiggo 7 Sport ini mungkin sudah mendapat kebenaran dari Range Rover.
Ini kerana Jaguar Land Rover dan Chery sememangnya merupakan rakan kerjasama di China yang telah berlangsung lebih sedekad yang lalu, dengan Chery diberikan hak untuk mengilangkan dan menjual model-model Land Rover di negara tersebut.
Tahun lalu kerjasama ini naik satu tahap lagi apabila Land Rover menyerahkan lesen bagi jenama Freelander kepada Chery bagi membolehkan jenama automotif China tersebut bagi membangunkan model-model SUV elektrik (EV).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.