Chery Tiggo 7 Sport – Jaecoo J7 dengan muka ala Range Rover untuk pasaran China diperkenalkan

Chery Tiggo 7 Sport – Jaecoo J7 dengan muka ala Range Rover untuk pasaran China diperkenalkan

Jaecoo J7 baru sahaja dilancarkan di Malaysia bulan lalu. Tidak seperti SUV segmen-C lain yang diberikan sistem pacuan semua roda biasa, sistem AWD pada J7 ini agak serius dan ia seperti Range Rover dalam versi lebih murah. Dan di China, kini ada Jaecoo J7 yang telah dikemaskini menampilkan muka seperti sebuah Range Rover!

Namun ia dijual dengan nama syarikat induk Jaecoo iaitu Chery, diberi nama sebagai Chery Tiggo 7 Sport. Menurut laporan media-media China seperti Autohome dan Sohu, Tiggo 7 Sport ini hanya akan dilancarkan pada bulan September nanti, namun ada unit-unit telah pun berada di jaringan pengedar Chery di China.

Untuk yang belum mengetahui, Chery Tiggo 7 Pro yang dijual di China dan Malaysia sebenarnya memang berkongsi platform dan juga enjin yang sama dengan Jaecoo J7. Dan mungkin ini lah sebab ia dipanggil ‘Tiggo 7 Sport’ kerana ia masih hadir dengan saiz dan enjin yang sama, tetapi menampilkan rupa dan kebolehan seperti Range Rover.

Keseluruhan bahagian hadapan J7 ini telah dirombak bagi memberikan rupa seakan Range Rover termasuk lampu, gril, bampar, fender dan juga penutup bonet hadapan. Manakala pada bahagian muncung penutup bonet tersebut diberikan tulisan “CHERY” bagi memastikan anda tidak tertipu bahawa ini bukanlah Range Rover sebenar.

Chery Tiggo 7 Sport – Jaecoo J7 dengan muka ala Range Rover untuk pasaran China diperkenalkan

Tidak ada perubahan besar dibuat di bahagian belakang kerana rekaan asal Jaecoo J7 itu sendiri sebenarnya memang sudah mengambil inspirasi dari model-model terkini Range Rover yang menampilkan lampu belakang bersegi dan nipis. Cuma imej lasaknya diserlahkan lagi dengan panel skid plate pada bawah bampar belakang direka lebih besar dari J7 biasa.

Satu lagi perincian yang mungkin boleh menyebabkan orang percaya bahawa ini adalah Range Rover sebenar adalah pemadanan kotak storan pada bahagian luar cermin sisi belakang seperti kotak storan pada Land Rover Defender.

Pada sebelah dalam, ada beberapa perubahan diberikan pada Tiggo 7 Sport ini berbanding J7 biasa. Ia kini diberikan tema warna tan yang nampak lebih mewah, bersama perubahan pada konsol terowong di bahagian tombol gear dan pemegang cawan.

Selain dari enjin 1.6 liter turbo berkuasa 197 PS/290 Nm digandingkan kotak gear klac berkembar tujuh-kelajuan yang dikongsi bersama Tiggo 7 Pro dan Jaecoo J7, Tiggo 7 Sport ini dilaporkan turut menerima enjin lebih berkuasa iaitu unit 2.0 liter turbo berkuasa 256 PS/390 Nm bersama kotak gear lapan kelajuan automatik yang sama dengan Tiggo 8 Pro.

Tidak seperti ‘Range Rover Evoque palsu’ China iaitu Land Wind X7 yang disaman oleh Range Rover kerana meniru rekaannya satu ketika dahulu, rekaan pada Chery Tiggo 7 Sport ini mungkin sudah mendapat ‘restu’ dari Range Rover.

Ini kerana Jaguar Land Rover dan Chery sememangnya merupakan rakan kerjasama di China yang telah berlangsung lebih sedekad yang lalu, dengan Chery diberikan hak untuk mengilangkan dan menjual model-model Land Rover di negara tersebut.

Dan terbaharu, kerjasama ini naik satu tahap lagi apabila Land Rover menyerahkan lesen bagi jenama Freelander kepada Chery bagi membolehkan jenama automotif China tersebut bagi membangunkan model-model SUV elektrik (EV).

GALERI: Jaecoo J7 AWD

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required