Land Rover beri lesen jenama Freelander kepada Chery untuk bangunkan model EV global baharu

Land Rover beri lesen jenama Freelander kepada Chery untuk bangunkan model EV global baharu

Jika anda lihat model-model SUV jenama Jeacoo milik Chery yang seakan “meniru” model-model keluaran jenama SUV mewah British iaitu Land Rover, mungkin minda skeptikal mengatakan memang lazim jenama China menghasilkan model-model ‘tiruan’ sebegitu. Namun tahukah anda Land Rover dan Chery sememangnya sudah sekian lama bekerjasama?

Kerjasama ini telah berlangsung lebih sedekad yang lalu apabila Chery diberikan hak untuk mengilangkan dan menjual model-model Land Rover di China. Terbaharu, kerjasama ini naik satu tahap lagi apabila Land Rover menyerahkan lesen bagi jenama Freelander kepada Chery bagi membolehkan jenama automotif China tersebut membangunkan model-model SUV elektrik (EV).

Menerusi kerjasama ini, model-model Freelander tersebut akan direka bersama Chery dan juga Jaguar Land Rover (JLR), namun ia akan diasaskan dari platform EV Chery. Ia kemudiannya akan diproduksi di kilang Chery Jaguar Land Rover (CJLR) sedia ada yang terletak di Changsu, China.

Buat permulaan model baharu Freelander ini akan dipasarkan di China meneurs jaringannya tersendiri yang berasingan dari mana-mana jenama Chery atau Land Rover lain, dan kemudian ia turut disasarkan untuk dijual ke pasaran eksport global.

Land Rover beri lesen jenama Freelander kepada Chery untuk bangunkan model EV global baharu

Sebelum ini Freelander merupakan siri SUV paling mampu milik yang ditawarkan oleh Land Rover sejak 1997. Namun ia hanya bertahan selama dua generasi sebelum digantikan dengan model Discovery Sport pada 2014.

“Hari ini kami mengambil langkah strategik yang penting ini untuk JLR, yang menggariskan komitmen berterusan kami kepada China dan melengkapkan perniagaan sedia ada kami di China,” kata CEO JLR Adrian Mardell. “Kami percaya bahawa bekerjasama untuk membangunkan model kolobrasi baharu untuk pasaran kenderaan elektrik terbesar dan paling pesat berkembang di dunia, digabungkan dengan daya tarikan jenama Freelander, menjanjikan masa depan yang sangat menarik untuk CJLR.”

Pengerusi Kumpulan Chery Yin Tongyue pula menambah: “Chery dan JLR sedang menjalin model kerjasama inovatif yang melambangkan hala tuju pertumbuhan kami untuk masa hadapan. Gabungan teknologi EV termaju Chery dengan daya tarikan tersendiri jenama Freelander sudah pasti akan memberikan pengalaman kenderaan elektrik yang unik kepada pengguna China dan global.”

Kerjasama untuk jenama Freelander ini mungkin hanya sebahagian dari projek yang lebih besar dirancang oleh kedua-dua jenama. Dalam laporan CarNewsChina menyatakan bahawa Land Rover bakal menghasilkan model-model dengan unit rangkaian kuasa hibrid plug-in (PHEV) menggunakan platform M3X yang kini mengasaskan model-model Exeed Chery, dan juga EV menggunakan platform E0X.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required