Proton serahkan X90 binaan khas pada YAM Tengku Sulaiman – warna dua-tona, kabin lebih mewah

Proton serahkan X90 binaan khas pada YAM Tengku Sulaiman – warna dua-tona, kabin lebih mewah

Proton hari ini menyiarkan satu video di mana pihaknya telah menyerahkan sebuah lagi kereta binaan khas untuk Y.A.M. Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, kali ini ia diasaskan dari SUV segmen-D Proton X90.

Paling menyerlah sudah tentu pilihan warna badan pada SUV ini di mana Tengku Sulaiman memilih untuk memadankan warna badan dua tona dengan warna perang pada kedua-dua sisi serta warna perak pada bahagian tengah badan. Selain itu X90 ini juga menerima logo ‘Harimau Malaya’ yang berdiri pada penutup bonet hadapan ala-Mercedes-Benz dengan tulisan “Proton X90 Special Edition” pada tapak logo tersebut.

Selain itu penampilan luaran X90 ini disempurnakan dengan pemadanan set rim aloi istimewa dalam kemasan digilap, membuatkan stance X90 ini nampak lebih gagah dari asal.

Sentuhan lebih istimewa turut diberikan pada bahagian dalaman di mana kabin SUV ini diberikan balutan upholsteri kulit baharu dengan gandingan warna putih dan merah gelap baharu termasuk pada tempat duduk dan panel pintu. Manakala roda stereng bukan hanya dibalut semula dengan upholsteri yang sama, malah gegelangnya juga dibuat semula menggunakan kayu walnut.

Penumpang dibaris kedua pula bukan sahaja diberikan rasa mewah menerusi tempat duduk kapten asal X90 ini, malah kini ia turut ditambah dengan meja dengan pemegang cawan yang boleh dilipat, ‘disangkut’ pada bahagian belakang tempat duduk hadapan.

Tidak disebut sebarang perubahan mekanikal yang dibuat pada X90 ini. Dalam keadaan standard SUV tersebut dijana oleh enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api terus, digandingkan bersama sistem hibrid ringkas 48-volt yang menampilkan unit stater generator pacuan tali sawat (Belt-Driven Starter Generator atau BSG) bagi menghasilkan kuasa maksima 190 PS bersama tork maksima 300 Nm.

Kuasa disampaikan hanya pada roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan, disertakan bersama mod manual.

Juga tidak dinyatakan siapa yang membina X90 terbaharu Y.A.M Tengku Sulaiman ini, namun untuk Proton Perdana, Proton X50 dan Proton X70 binaan khasnya sebelum ini disiapkan oleh subsidiari Proton sendiri untuk kenderaan custom sedemikian iaitu Automotive Conversion Engineering (ACE).

Selain dari empat model Proton terbaharu berkenaan, Y.A.M Tengku Sulaiman turut mempunyai beberapa lagi model Proton binaan khas dalam koleksinya, termasuk Proton Saga generasi pertama dalam versi limosin, Saga sedan generasi pertama dengan kit badan tersendiri, dan juga Satria Neo dengan kit badan kereta lumba R3 Asia Touring Car Series (ATCS).

GALERI: Proton X50 sentuhan ACE milik Tengku Sulaiman

GALERI: Proton X70 sentuhan ACE milik Tengku Sulaiman

GALERI: Proton Perdana 2.4 2016 sentuhan ACE milik Tengku Sulaiman

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required