Toyota Urban Cruiser EV di GIIAS 2025 – kembar eVitara dengan pilihan FWD, AWD, jarak gerak 400 km

Toyota Urban Cruiser EV di GIIAS 2025 – kembar eVitara dengan pilihan FWD, AWD, jarak gerak 400 km

Toyota Urban Cruiser EV secara rasmi dipamerkan kepada umum di Pameran Auto Antarabangsa Gaikindo Indonesia (GIIAS) 2025. Model ini merupakan SUV elektrik kompak terbaru Toyota dan berkongsi asas dengan Suzuki eVitara, sekaligus meletakkannya dalam saingan segmen yang sama dengan model seperti Volvo EX40 (sebelum ini dikenali sebagai XC40 Recharge), Peugeot e-3008, Hyundai Kona dan MINI Aceman.

Melihat kepada dimensi, Urban Cruiser EV mencatat ukuran panjang 4,285 mm, lebar 1,800 mm dan tinggi 1,640 mm, dengan jarak roda 2,700 mm. Ini menjadikannya lebih kecil berbanding Toyota bZ4X, tetapi besar sedikit daripada Yaris Cross. Perkongsian platform dengan eVitara turut bermaksud sistem janaan kuasa yang sama digunakan.

Tiga pilihan penggerak ditawarkan, bermula dengan varian asas yang menggunakan motor elektrik tunggal berkuasa 144 PS dan 189 Nm, memacu roda hadapan dan menerima tenaga daripada bateri 49 kWh. Satu lagi varian pacuan hadapan (FWD) menghasilkan 174 PS dan 189 Nm, dengan bateri 61 kWh, manakala versi paling berkuasa adalah pacuan semua roda (AWD), yang menggunakan dua motor – termasuk satu motor 65 PS di gandar belakang – menghasilkan jumlah kuasa 184 PS dan 300 Nm, juga dipadankan dengan bateri 61 kWh.

Toyota Urban Cruiser EV di GIIAS 2025 – kembar eVitara dengan pilihan FWD, AWD, jarak gerak 400 km

Menurut laporan dari portal Detik Oto, Urban Cruiser EV dengan konfigurasi FWD dan bateri 61 kWh mampu memberi jarak gerak maksimum 400 km, manakala versi asas dengan bateri 49 kWh pula menawarkan 300 km. Versi AWD mampu mencapai sekitar 350 km. Dari segi pengecasan, maklumat awal dari pasaran UK menyatakan model ini boleh menerima pengecasan pantas sehingga 150 kW, bergantung pada varian.

Rekaan luar Urban Cruiser menampilkan gaya muka “Hammerhead” seperti yang dilihat pada model baru Toyota Camry. Ciri-ciri seperti kemasan plastik hitam pada lengkung roda dan bahagian bawah badan memberikan rupa SUV lasak, manakala rim bersaiz antara 18 hingga 19 inci hadir dengan penutup aerodinamik. Saiz kompaknya turut menyumbang kepada radius pusingan yang kecil, sekitar 5.2 meter.

Dengan jarak roda 140 mm lebih panjang daripada Yaris Cross, ruang kabin Urban Cruiser lebih luas, terutama di barisan kedua. Tempat duduk belakang boleh dilaras ke depan atau belakang dan boleh dilipat dalam konfigurasi 40:20:40, membolehkan ruang kargo diperluas atau memberikan lebih ruang kaki kepada penumpang. Toyota mendakwa ruang dalamannya setara dengan SUV segmen D yang lebih besar.

Bahagian dalaman Urban Cruiser dilengkapi lampu suasana 12 warna, kamera 360 darjah dan gabungan paparan digital yang terdiri daripada skrin sesentuh tengah 10.1 inci serta panel instrumen digital 10.25 inci. Sambungan kepada telefon pintar juga boleh dibuat menerusi Apple CarPlay dan Android Auto.

Model pameran di GIIAS 2025 hadir dengan gabungan warna dalaman hitam, coklat dan kelabu, menggunakan kemasan kulit dan fabrik. Di Indonesia, Urban Cruiser EV turut dipamerkan bersama model Toyota bZ4X versi facelift yang diperkenalkan pada Mac lalu. Namun begitu, harga rasmi untuk Urban Cruiser EV masih belum diumumkan buat masa ini di pasaran Indonesia.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required