Hyundai Kona 2023 didedah – rekaan serba baru, saiz lebih besar, direka sebagai EV, ICE dan HEV menyusul

Hyundai Kona 2023 didedah – rekaan serba baru, saiz lebih besar, direka sebagai EV, ICE dan HEV menyusul

Hyundai Kona diperkenalkan kali pertama pada tahun 2017 dan memasuki tahun 2020, ia diberikan facelift. Kini sebelum tahun 2022 berakhir, pengeluar Korea tersebut memberikan kita gambaran awal untuk Kona generasi kedua, yang menerima perubahan rekaan besar serta menunjukkan komitmen mereka terhadap kenderaan mesra alam.

Seperti yang dijelaskan oleh Hyundai, Kona serba baru ini direka mulanya sebagai kenderaan elektrik, sebelum digunakan untuk varian lain. Versi EV tersebut kemudiannya akan disertai oleh versi enjin pembakaran dalaman (ICE), elektrik hibrid (HEV) serta N Line – semuanya dengan asas sama tetapi penggayaan khas untuk setiap satunya.

Perkara pertama yang dapat dilihat pada rekaan Kona baru ini adalah ia mendapat inspirasi daripada model-model terkini Hyundai seperti Staria dan Grandeur, terutamanya jalur lampu sepanjang bahagian hadapan. Perhatikan lebih terperinci pada model EV, anda akan nampak bahagian tengah lampu tersebut seperti berbintik (dipanggil sebagai Pixelated Seamless Horizon Lamp), sama seperti model konsep Seven yang ditunjuk tahun lepas.

Tema bintik-bintik (pixelated) Parametric Pixel ini adalah khas untuk varian EV (dikenali sebagai Kona Electric) dan turut digunakan pada bahagian gril bawah, bampar belakang, rim 19 inci serta lampu belakangnya. Bagi Kona biasa dengan enjin ICE dan HEV, ia mendapat kemasan lengkuk roda warna hitam serta bampar dan skid plate yang lebih ranggi.

Sementara itu, Kona N Line pula menggunakan bampar hadapan dan belakang yang lebih sporty, rim 19 inci khas, skirting tepi warna perak, spoiler jenis bersayap, dua muncung ekzos serta cermin sisi dan bumbung warna hitam yang disediakan sebagai pilihan.

Kalau dari gambar sahaja anda sudah nampak model baru ini lebih besar, itu memang benar. Hyundai memberitahu, mereka mahu menyediakan “ruang hidup” maksima untuk pelanggan, jadi ia telah dibesarkan dengan ukuran panjang 4,355 mm (+150 mm), lebar 1,825 mm (+25 mm) dan jarak roda 2,660 mm (+60 mm).

Hyundai Kona 2023 didedah – rekaan serba baru, saiz lebih besar, direka sebagai EV, ICE dan HEV menyusul

Bahagian kabin Kona baru ini seperti mendapat inspirasi daripada Ioniq 5, dengan rekaan yang lebih ringkas dan moden. Corong pendingin hawa kini menggunakan bentuk petak, sementara di tengah terdapat skrin infotainmen 12.3 inci yang bersambung dengan satu lagi skrin untuk instrumen bersaiz sama.

Meskipun bahagian atas papan pemuka ini kelihatan sama seperti Kona, bahagian tengahnya pula berbeza kerana terdapat banyak butang kawalan untuk media dan pendingin hawa, serta pemilih mod panduan dan tempat mengecas. Tiada tombol gear pada kereta ini kerana ia telah ditukar kepada unit shift-by-wire yang menggunakan tangkai di belakang stereng.

Perincian selanjutnya bagi Kona generasi kedua ini hanya akan didedah dalam masa beberapa bulan akan datang. Ada khabar angin mengatakan varian EV akan menggunakan asas daripada Niro EV, sementara versi ICE dan HEV pula menggunakan tetapan sama seperti sekarang. Betul atau tidak, kita perlu menunggu informasi rasmi daripada Hyundai sendiri.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required