Hyundai telah mendedahkan model konsep Seven di LA Auto Show, dan ia merupakan petunjuk awal kepada model SUV baru Ioniq 7. Jenama sub Ioniq yang kini digunakan untuk kenderaan elektrik di bawah Hyundai dilancarkan pada Ogos tahun lalu dan dua model lain iaitu Ioniq 5 dan Ioniq 6 sudah diperkenalkan sebelum ini, sementara Ioniq 7 pula akan diperkenalkan secara rasmi pada tahun 2024.

Ioniq 7 dipanggil sebagai sebuah Sport Utility Electric Vehicle (SUEV), dan menggunakan asas Hyundai Motor Group’s Electric-Global Modular Platform (E-GMP). Perincian penggeraknya masih lagi kabur, tetapi kami diberitahu, model konsep ini dibangunkan untuk mencapai sasaran jarak gerak lebih 483 km. Hyundai juga menambah bahawa dengan pengecas 350 kW, tahap bateri Seven boleh naik dari 10% ke 80% dalam masa 20 minit.

Daripada aspek rekaan, model konsep ini mempunyai bentuk biasa sebuah SUV, dengan garis badan yang licin, sementara lampu LED gabungan petak-petak kecil yang dipanggil sebagai Parametric Pixel menjadikan rupanya lebih moden dan unik. Di bahagian tengah bampar juga terdapat kelopak udara yang boleh terbuka dan tertutup bergantung kepada angin yang diperlukan untuk menyejukkan komponen tertentu.

Bahagian belakang juga menggunakan rekaan lampu yang sama, dan diletakkan di sekeliling cermin yang besar. Bukaan udara berhampiran roda belakang bukan sekadar hiasan, dan ia digunakan untuk mengeluarkan angin dan mewujudkan kitaran lebih bersih untuk dalam kabin.

Pada model konsep yang mempunyai jarak roda 3.2 meter ini, ia menyediakan tiga baris tempat duduk, dan menurut Hyundai, penggunaan platform E-GMP juga memberikan lantai yang rata, dan memberi peluang kepada mereka untuk menyusun suasana di dalam seperti satu ruang rehat.

Memandangkan ini adalah sebuah model konsep, bahagian dalamnya menampilkan rekaan yang luar dari kebiasaan, berserta pintu yang terbuka secara suicide dan tiada tiang tengah. Hyundai memberitahu, Seven diterapkan dengan visi kenderaan autonomous, jadi ia tidak memerlukan kelengkapan pemanduan seperti kereta biasa.

Susunan tempat duduk juga luar dari kebiasaan, di mana anda boleh melihat di bahagian belakang sekali ia dipasang dengan kusyen berbentuk L seperti sofa di rumah dan dua tempat duduk di hadapannya boleh berpusing. Di hadapan tempat pemandu masih terdapat pengawal kenderaan, dan ia boleh masuk ke dalam papan pemuka apabila tidak diperlukan.

Turut disediakan di dalam SUV ini adalah konsol Universal Islang, yang direka untuk perkakas seperti peti sejuk mini atau rak kasut. Bahagian bumbungnya mempunyai skrin panoramik OLED, yang boleh memaparkan pelbagai bahan mengubah suasana di dalam kabin.

Kenderaan ini juga mengambil penting aspek lestari, di mana bahan boleh kitar semula digunakan termasuk pada cat, dan bahagian dalam seperti lantai dan karpet. Tambah Hyundai, mereka juga menggunakan fabrik khas dengan kemampuan antibakteria, dan ia ditambah lagi dengan sistem UVC Sterilisation yang menggunakan lampu UVC untuk menghapuskan bakteria dan virus.