Volvo XC40 Recharge Pure Electric P8 AWD dilancar di Malaysia – CKD, akan dieksport ke pasaran ASEAN

Volvo XC40 Recharge Pure Electric P8 AWD dilancar di Malaysia – CKD, akan dieksport ke pasaran ASEAN

Seperti yang sudah kita tahu, bermula 2030 nanti Volvo akan menjadi jenama automotif yang hanya akan menjual kereta elektrik sepenuhnya. Sasaran ini bukan hanya untuk Eropah, malah ia benar-benar akan diterapkan untuk semua pengedar Volvo seluruh dunia. Dan sebagai sebahagian dari sejarah untuk masa hadapan ini, Volvo XC40 Recharge merupakan model produksi pertama Volvo yang menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya.

XC40 Recharge diperkenalkan buat pertama kali untuk peringkat global pada Oktober 2019. Ia tiba di negara jiran kita iaitu Thailand pada bulan Mac tahun lalu, dan sebulan selepas itu, Volvo Cars Malaysia membuka pendaftaran minat untuk pelanggan di sini, menandakan bahawa ia akan tiba tak lama lagi.

Walau bagaimanapun, Volvo XC40 Recharge Pure Electric hanya dilancarkan pada pasaran Malaysia hari ini, dengan majlis perasmian yang dihadiri oleh menteri perdagangan antarabangsa dan industri Y.B. Dato’ Seri Mohamed Azmin Bin Ali. Apa yang menarik, Volvo XC40 Recharge pasaran Malaysia ini dipasang secara tempatan (CKD) di Shah Alam – ini menjadikan Volvo sebagai jenama premium pertama yang memasang kereta elektrik penuh (EV) di Malaysia.

Menurut Volvo Cars Malaysia (VCM), selain untuk pasaran tempatan, Volvo XC40 Recharge Pure Electric yang dipasang disini akan turut dieksport ke pasaran rantau Asia Tenggara yang lain tidak lama lagi. Walau bagaimanapun, harga untuk model ini hanya akan diumumkan pada 4 April nanti, manakala tempahannya sudah boleh dibuat hari ini. Ia turut akan dipamerkan di bilik-bilik pameran Volvo pada hari yang sama, manakala pelanggan yang terawal menempah model ini akan menerima SUV elektrik mereka pada penghujung bulan hadapan.

Volvo XC40 Recharge Pure Electric P8 AWD dilancar di Malaysia – CKD, akan dieksport ke pasaran ASEAN

Sebagai rujukan, Volvo Thailand yang menerima XC40 Recharge Pure Electric mereka yang diimport sepenuhnya dari China buat sekarang menjual model berkenaan dengan harga 2,590,000 baht (RM326k) – iaitu lebih 200,000 baht (RM27k) berbanding varian Recharge T5 yang diterima dari Malaysia.

Sebagai perbandingan, model dengan enjin petrol sepenuhnya yang dijual di Malaysia iaitu XC40 T5 AWD (2.0 liter petrol 252 hp/350 Nm) dijual pada harga RM230,090.32, manakala model plug-in hybrid (PHEV) XC40 Recharge T5 (1.5L tiga-silinder turbo bersama motor elektrik menghasilkan kuasa keseluruhan 262 PS/425 Nm) dijual pada harga RM242,711.72.

XC40 dihasilkan dari platform Compact Modular Architecture (CMA) yang sememangnya dibangunkan bagi dijana sama ada dengan enjin konvensional, hybrid dan juga elektrik sepenuhnya (EV). Untuk XC40 Recharge ini, ia menerima unit rangkaian kuasa P8 AWD yang terdiri dari dua motor elektrik – satu pada gandar hadapan dan satu lagi pada gandar belakang, membolehkan ia memacu semua roda dengan bekalan kuasa keseluruhan 402 hp (408 PS atau 300 kW) dan tork maksima 660 Nm.

Motor-motor berkenaan menerima kuasa elektrik dari bateri lithium iom 78 kWj yang diletakkan dalam lantai. Bateri berkenaan diberikan pelindung keselamatan berupa batang aluminium yang dilekatkan pada struktur badan kenderaan bagi memastikan ia mematuhi piawaian keselamatan yag tinggi, serta bahagian hadapan yang kini tidak lagi mempunyai enjin sebagai zon remuk telah menerima kejuteraan semula bagi memastikan ia lebih kukuh.

Dengan segala kelengkapan yang berubah tersebut membuatkan model elektrik penuh ini mempunyai berat keseluruhan 2,150 kg atau sekitar 275-440 kg lebih berat berbanding model dengan enjin konvensional, bergantung pada kelengkapan. Namun dengan unit motor berkuasa tinggi, XC40 Recharge masih mampu untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat serta mencatatkan kelajuan maksima yang dihadkan pada 180 km/j.

Dengan satu cas penuh, XC40 Recharge ini mampu bergerak sejauh 418 km mengikut kitaran WLTP yang lebih ketat. Ia boleh dicas semula dengan pengecas AC 11 kW menerusi penghubung Type 2, yang memerlukan masa selama 7.5 jam untuk penuh. Malah ia juga boleh dicas semula dengan pengecas DC sehingga 150 kW dengan penghubung CCS2 yang kini telah mula disediakan pelbagai pihak, membolehkan ia dicas dari 0 hingga 80% penug dalam masa hanya 40 minit.

Untuk rupa luaran, XC40 Recharge ini tampil dengan rupa asas yang sama dengan model petrol dan PHEV. Ia hanya dibezakan menerusi gril hadapan yang tertutup sepenuhnya, kerana ia tidak memerlukan liang udara untuk sistem penyejukkan.

Port pengecas juga diletakkan pada posisi sama seperti lubang pengisi bahan api, berbeza dengan model T5 Recharge PHEV yang diletakkan pada fender hadapan sebelah kiri. Ia juga diberikan lencana Recharge pada tiang-C dan juga pada pintu tailgate belakang.

Volvo XC40 Recharge Pure Electric P8 AWD dilancar di Malaysia – CKD, akan dieksport ke pasaran ASEAN

Bahagian kabin model EV ini juga masih kelihatan sama seperti model petrol, namun ia diberikan sistem infotainmen Android Automotive OS yang menggantikan sistem Sensus. Dengan sistem ini pengguna dapat menikmati pelbagai servis dan aplikasi Google daripada Play Store dan ia disepadukan sekali dengan platform servis sambungan digital Volvo On Call.

Dengan bateri yang diletakkan dalam lantai yang turut melibatkan lantai pada but belakang, XC40 Recharge ini menampilkan ruang kargo sebesar 413 liter, berbanding model petrol dan PHEV yang mempunyai ruang but 460 liter. Walau bagaimanapun, model elektrik penuh ini diberikan ruang kargo tambahan sebesar 31 liter pada but hadapan kerana ia tidak mempunyai enjin.

Antara kelengkapan lain yang dapat dilihat pada XC40 Recharge Pure Electric pasaran Malaysia ini termasuk sistem pendingin hawa automatik dua-zon dengan Clean Zone, kemasan dalaman charcoal black bersama upholstei kulit Nubuck/Nappa, bumbung panaromik, serta sistem bunyi Harman Kardon 13-pembesar suara dengan amplifier 600-watt serta bunyi surround Quantum Logic.

Untuk keselamatan pula, ia menerima sistem bantuan pemanduan keselamatan yang komprehensif termasuk cruise control adaptif, bantuan berbaris dengan fungsi gerak dan henti, brek kecemasan automatik dengan pengesan pejalan kaki, penunggang basikal dan haiwan, amaran lintasan trafik belakang, dan amaran jarak hadapan. Ia juga diberikan sistem parkir automatik Park Assist Pilot serta kamera pemantau 360-darjah.

Volvo XC40 Recharge Pure Electric ini diberikan waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan. Sama seperti model-model PHEV Volvo yang lain, model elektrik penuh ini turut diberikan waranti bateri lithium-ion selama lapan-tahun atau 160,000 km (yang mana sampai dahulu).

Menurut VCM, dengan keupayaan mereka untuk memasang kereta elektrik penuh menerusi kilang pemasangan tempatan miliknya sendiri, XC40 Recharge Pure Electric ini hanyalah permulaan dan syarikat berkenaan selepas ini akan melancarkan satu model kenderaan elektrik baru di Malaysia pada setiap tahun untuk tempoh lima tahun akan datang.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • Thibbs on Mar 16, 2022 at 11:37 am

    Never understood government tariff on cars especially after they announced zero tariff and duties on EV. example: price with tariff and duties= RM300k, suddenly price without tariff RM290k??

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required