Pasaran kenderaan elektrik sepenuhnya di Malaysia tak lama lagi bakal disertai oleh model baru, Volvo XC40 Recharge. Petunjuk ini dihebahkan melalui laman web rasmi Volvo Car Malaysia, yang kini dibuka untuk pendaftaran minat pelanggan. Ia susulan kepada pengenalan model sama di Thailand bulan lalu, yang dijual pada harga 2,590,000 baht (RM345k), dipasang dan dibawa masuk dari China.

XC40 Recharge EV memberikan jarak perjalanan 418 km, dan bateri 78 kWh yang digunakan boleh dicas kepada tahap 80% kapasiti dalam masa hanya 40 minit menggunakan saluran outlet 150 kW DC. Selain itu, WallBox tiga-fasa 11kW melalui penyambung Type 2 pula boleh mengecas penuh dalam masa 7.5 jam.

Dalam penawaran spesifikasi paling tingginya, XC40 Recharge menghasilkan 408 PS dan 660 Nm tork melalui tetapan dua motor, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat dan had laju maksimumm 180 km/j (dihadkan secara elektronik).

Melihat kepada spesifikasi di Thailand sebagai rujukan, XC40 Recharge dilengkapi rim aloi 19-inci dengan tayar bersaiz 235/40, serta lampu LED sepenuhnya, pintu belakang kendalian “hands-free” yang menyediakan 413 liter ruang, serta tambahan 31 liter lagi ruang di tempat sepatutnya enjin pembakaran dalaman diletak.

Laman web Volvo di Malaysia turut menyatakan adanya servis Google bagi XC40 Recharge, hasil penggunaan sistem infotainmen berasaskan Android Automotive OS – ini menjadi model pertama Volvo yang dilengkapi ciri berkenaan – yang disepadukan dengan platform servis Volvo On Call.

Untuk pasaran Thailand, ia hadir dengan ciri kawalan pendingin dua-zon dengan Clean Zone, ruang dalaman kemasan kulit kelabu gelap, bumbung panoramik, paddle shifter, sistem bunyi Harman Kardon 13-pembesae suara dengan amplifier 600-watt dan Quantum Logic.