GALERI: Volvo XC40 Recharge T5 R-Design 2021 – 1.5L 3-silinder plug-in hybrid, 262 PS/425 Nm, RM242k

GALERI: Volvo XC40 Recharge T5 R-Design 2021 – 1.5L 3-silinder plug-in hybrid, 262 PS/425 Nm, RM242k

Volvo XC40 Recharge T5 R-Design telah pun dilancarkan untuk pasaran Malaysia akhir bulan lalu. Dan jika anda belum melihat model ini dengan lebih dekat, ini galeri penuh dari kami untuk tatapan anda.

Sekali imbas, ia mungkin kelihatan sama dengan model T5 AWD R-Design yang telah dilancarkan di pasaran tempatan pada 2018. Perkataan ‘Recharge’ bermaksud ini adalah model dengan teknologi elektrifikasi dari Volvo, manakala alphanumeric ‘T5’ yang masih wujud menandakan ia masih dijana enjin petrol dengan bantuan turbo. Jadi, model XC40 Recharge T5 ini bermaksud ia adalah model petrol bersama sistem hibrid plug-in (PHEV).

Model ini dipasang secara tempatan (CKD) di Shah Alam. Dengan pengecualian cukai jualan sebanyak 100%, ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM241,997. Sebagai perbandingan, model T5 AWD R-Design bukan PHEV dijual pada harga RM231,651.

GALERI: Volvo XC40 Recharge T5 R-Design 2021 – 1.5L 3-silinder plug-in hybrid, 262 PS/425 Nm, RM242k

Berbanding model T5 biasa yang dijana oleh enjin Drive-E 2.0L turbo berkuasa 252 hp/350 Nm, model Recharge ini menerima enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo iaitu enjin asas yang sama dengan Proton X50. Ia menghasilkan 180 PS dan tork maksima 265 Nm, namun dengan bantuan motor elektrik berkuasa 82 PS dan tork 160 Nm, model Recharge T5 ini mempunyai bekalan kuasa keseluruhan 262 PS dan tork maksima 425 Nm.

Motor elektrik tersebut diletakkan di tengah-tengah antara enjin petrol dan juga kotak gear klac berkembar automatik jenis basah tujuh kelajuan, dan keseluruhan kuasa yang dihasilkan hanya memacu roda hadapan. Ini membolehkan Volvo XC40 Recharge T5 ini memecut dari 0-100 km/h dalam masa 7.3 saat, namun kelajuan maksimanya dihadkan hanya 180 km/j.

Sekali lagi sebagai perbandingan, model T5 tanpa PHEV walaupun menghasilkan kuasa lebih rendah, namun dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan dan sistem pacuan semua roda, ia mampu mencatatkan masa 6.4 saat dalam pecutan 0-100 km/j.

GALERI: Volvo XC40 Recharge T5 R-Design 2021 – 1.5L 3-silinder plug-in hybrid, 262 PS/425 Nm, RM242k

Namun, model PHEV ini memberikan kelebihan yang banyak dari segi kecekapan bahan api, di mana ia mampu untuk mencapai penggunaan petrol serendah 2.2 liter untuk setiap 100 km, berbanding 7.7 l/km untuk model T5 AWD. Model lebih mesra alam ini juga sebenarnya lebih berat – 1,875 kg, berbanding model petrol sepenuhnya dengan berat hanya 1,704 kg.

Apa yang membuatkan model ini lebih berat sudah tentulah kerana bateri lithium-ion 10.7 kWj yang dibekalkan. Dengan satu caj penuh, bateri ini membolehkan anda boleh bergerak sejauh 44 km tanpa menggunakan kuasa petrol. Seperti model-model PHEV Volvo yang lain, rekaan platform Compact Modular Architecture (CMA) XC40 ini membolehkan bateri diletakkan pada terowong tengah.

Rekaan tersebut membolehkan bateri berkenaan tidak mengacau ruang untuk but belakang, dan ia kekal 460 liter sama seperti model petrol. Namun tangki bahan api yang dibekalkan pada model Recharge ini adalah lebih kecil iaitu 49 liter, berbanding 54 liter pada model T5 AWD.

Untuk mengecaj semula bateri, pengguna boleh menggunakan pengecaj AC onboard (dihadkan pada 3.7 kW) dan juga kabel penyambung Type 2. Dengan soket domestik tiga pin biasa (2.3 kW), lima jam diperlukan untuk satu caj penuh. Namun jika anda menggunakan stesen pengecaj 3.7 kW, proses berkenaan hanya mengambil masa 3 jam.

Tiada sebarang perbezaan penggayaan antara model T5 AWD dan T5 Recharge. Kedua-duanya tampil dengan pakej penggayaan R-Design, menampilkan gril hadapan hitam berkilat, bersama kemasan sekeliling tingkap dan kemasan bampar juga berwarna hitam bagi memberikan imej agresif.

Selain itu ia juga diberikan casis sport, lampu hadapan LED-penuh dengan sistem Active High Beam dan Active Bending Lights, lampu kabus dan lampu belakang LED, serta rim aloi 19-inci kemasan matte black diamond cut dengan tayar 235/50R19. Selain dari palam pengecaj pada fender kiri hadapan, model PHEV ini juga boleh dikenali menerusi lencana Recharge yang diletakkan pada penutup but belakang dan juga tulisan yang sama pada hujung panel hitam pada tiang-C.

GALERI: Volvo XC40 Recharge T5 R-Design 2021 – 1.5L 3-silinder plug-in hybrid, 262 PS/425 Nm, RM242k

Pada bahagian dalaman pula, model ini hadir dengan skrin infotainmen sembilan-inci Sensus Connect, sistem audio lapan pembesar suara, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, pengecas telefon pintar tanpa wayar, tempat duduk R-Design larasan berkuasa bersama fungsi memori, pedal sport dan tombol gear R-Design, upholsteri kulit/tekstil Nubuck dan juga sistem pendingin hawa dua zon bersama corong belakang.

Disebabkan pada bahagian bawah konsol terowong telah dimuatkan dengan bateri hibrid, model Recharge ini tidak diberikan tong sampah yang boleh dibuka pada konsol tengah.

Bagi sistem keselamatan pula, XC40 Recharge T5 ini dibekalkan dengan tujuh-tempat duduk, dan sistem pasif seperti Bantuan Mula Mendaki, Kawalan Menurun Bukit, sistem brek ABS bersama EBD dan Kawalan Kestabilan Elektronik. Ia turut hadir dengan sistem bantuan pemanduan seperti Adaptive Cruise Control dan Pilot Assist serta Bantuan Parkir hadapan dan belakang.

Bagi sistem keselamatan aktif pula, ia menerima pakej City Safety (bantuan pengelak pelanggaran dengan sokongan di persimpangan; pengesan pejalan kaki, penunggang basikal dan haiwan besar), amaran pelanggaran hadapan dan belakang bersama bantuan mengelak, Kawalan Tumpuan Pemandu, Bantuan Kekal Lorong, Pengelak Keluar Jalan bersama pengesan hujung bahu jalan, Sistem Pemantau Titik Buta (BLIS) dengan bantuan stereng dan juga Amaran Lintasan Trafik Belakang dengan brek automatik.

Model ini hadir dengan lima pilihan warna badan iaitu Crystal White Pearl, Bursting Blue Metallic, Black Stone, Coral Red Metallic and Glacier Silver Metallic – kesemuanya hadir dengan bumbung dan penutup cermin sisi berwarna hitam. Volvo Cars Malaysia memberikan perlindungan waranti selama lima tahun tanpa had perbatuan, manakakala bateri untuk sistem PHEV pula dilindungi waranti selama lapan-tahun atau 160,000 km.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required