Program Penilaian Kereta Baharu (NCAP) kini beroperasi hampir di seluruh dunia, menjalankan ujian pelanggaran keselamatan dengan sasaran agar pengeluar-pengeluar kenderaan sentiasa menghasilkan produk-produk yang jauh lebih selamat dari masa ke masa.
Menerusi ujian-ujian yang dijalankan tersebut, masyarakat mula terdidik bahawa dalam membina kenderaan yang selamat, kerangka badan kereta perlu dihasilkan dengan besi yang berbeza-beza bagi membolehkan impak hentakan diserap pada ‘zon remuk’ di hadapan dan belakang dengan logam yang lebih lembut, sementara kerangka untuk kabin perlu dibina dengan logam yang lebih utuh bagi melindungi pemandu dan penumpang di dalamnya ketika berlakunya kemalangan.
Dan seperti yang boleh kita tengok sekarang, kereta-kereta yang diuji oleh NCAP kebanyakkannya menampilkan kerangka yang selamat – pintu masih boleh dibuka selepas kemalangan dan pemandu serta penumpang dilindungi dengan pelbagai kelengkapan keselamatan lain seperti beg udara, kolum stereng yang direka boleh memendek ketika terkena impak, cagak enjin yang mengelakkan enjin termasuk ke kabin dan pelbagai lagi
Namun bukan semua orang ‘mahu faham’ akan hakikat ini, dan masih bernostalgia bahawa kereta lama menggunakan besi lebih berkualiti hanya dengan mendengar bunyi yang lebih ‘padat’ ketika mengetuk penutup but hadapan.
Jadi untuk menunjukkan apa akan jadi kepada sebuah kereta era 90’an jika diuji seperti model-model terkini, pihak ASEAN NCAP telah mengambil sebuah Proton Wira untuk diuji di fasiliti mereka iaitu Makmal PC3 Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang terletak di Jasin, Melaka.
Idea ini sebenarnya datang dari wartawan permotoran senior tempatan iaitu Hezeri Samsuri, di mana Proton Wira berkenaan sebenarnya adalah milik beliau. Kereta tersebut sebenarnya mahu dijadikan projek restorasi, namun dengan beberapa masalah yang muncul, niat tersebut dibatalkan.
Apa nak buat dengan kereta ni? Hezeri mengambil keputusan untuk membawa Wira berkenaan ke makmal ujian pelanggaran ini untuk membuat ujikaji ini, dan menjemput sekali kami dan beberapa rakan media yang lain.
Kereta yang digunakan adalah model terawal Proton Wira 1.5 automatik pasaran tempatan yang diproduksi pada tahun 1993, manakala ujian yang dilakukan adalah ujian pelanggaran hadapan pada kelajuan 64 km/j. Oleh kerana ujian ini dibuat hanya untuk menunjukkan keadaan fizikal, pihak ASEAN NCAP hanya menggunakan patung ujian biasa tanpa sebarang penderia untuk mengutip sebarang data.
Ujian ini juga adalah lebih ‘ringan’ kerana simulasi pelanggaran yang dibuat adalah berhadapan terus dengan tembok yang rata, berbanding protokol ujian untuk kenderaan-kenderaan baharu dibuat pada kedudukan offset di mana impak yang lebih kuat akan dikenakan pada bahagian pemandu.
Oleh itu pada tempat duduk pemandu ia diletakkan dengan sebuah patung ujian biasa bersaiz dewasa, manakala pada bahagian penumpang hadapan diletakkan dengan tempat duduk keselamatan kanak-kanak bersama patung ujian juga bersaiz kanak-kanak. Walau bagaimanapun, pihak ASEAN NCAP masih mengggunakan kamera canggih untuk merakam detik-detik Proton Wira tersebut menghentam tembok rempuhan makmal berkenaan.
Menerusi video yang dirakam (Wira tersebut hanya dapat mencapai kelajuan 62 km/j berbanding 64 km/j yang dirancang) anda boleh tengok bagaimana rempuhan berkenaan bukan hanya menghancurkan bahagian hadapan Wira ini, malah tenaga yang tidak mampu diserap sepenuhnya pada bahagian hadapan turut dibawa ke bahagian tengah kabin.
Ini telah menyebabkan lantai bawah Wira ini renyuk dan badan kereta itu sendiri menjadi seperti bentuk huruf-U terbalik, dan seolah-olah jarak rodanya juga menjadi pendek. Ia sekaligus bukan hanya menyebabkan pintu hadapan tidak boleh dibuka, malah pintu belakang juga telah ‘melekat’ terus pada badan kereta, seolah-olah badan kereta tersebut telah dihimpit pada bahagian hadapan dan belakang.
Ini menyebabkan pelbagai bahagian Wira ini terpaksa dipotong hanya untuk membuka pintu. Bayangkan kalau ia berlaku dalam situasi sebenar, mangsa tak dapat diselamatkan oleh orang awam dan perlu menunggu bantuan dari Bomba atau pihak penyelamat lain hanya semata-mata mahu mengeluarkan mereka dari kenderaan berkenaan.
Bukan itu sahaja, kalau anda perhatikan hampir 90% bahagian bonet hadapan Wira ini telah remuk dan hancur. Ini telah menyebabkan enjin turut tertolak ke bahagian kabin, membawa sekali panel firewall dan juga papan pemuka masuk jauh lebih ke dalam.
Pada patung pemandu, anda boleh lihat kesan cat pada kepala patung tersebut turut berada pada roda stereng menandakan kepalanya telah terhantuk pada bahagian itu tanpa perlindungan dari beg udara. Bahagian bawah roda stereng tersebut juga telah bengkok akibat hentakan kuat dari dada patung berkenaan.
Dan bahagian paling mengerikan apabila firewall, kolum stereng dan juga papan pemuka Wira ini telah menghimpit bahagian kaki patung ujian tersebut. Mengintai dengan lebih dekat, dapat dilihat bahagian tapak kaki ‘berlipat’ hampir mengenai bahagian bawah lutut! Bayangkan patung ini seorang manusia sebenar dan betapa parahnya kecederaan yang dialaminya ketika ini.
Wira yang telah diuji ini turut diangkat dengan forklift membolehkan kami melihat bahagian bawahnya dengan lebih jelas. Di sini anda boleh lihat bukan hanya lantai yang renyuk, malah ia turut melibatkan kedua-dua bendul sisi. Malah beberapa bahagian spotweld pada casis belakang Wira ini juga telah tertanggal.
Hasil ujian ini sudah tentu sangat jauh berbeza dengan ujian yang dibuat terhadap model-model lebih moden. Bagi kereta-kereta yang menerima penarafan 4 hingga 5 bintang dari ASEAN NCAP, tiang-A, tiang-B, firewall tidak akan terjejas dalam ujian pelanggaran 64 km/j ini walaupun dengan pelanggaran offset, membolehkan pintu hadapan dibuka dengan mudah selepas pelanggaran, dan kaki pemandu atau penumpang hadapan tidak tersangkut pada papan pemuka kerana firewall tidak terjejas.
Ini adalah dengan rekaan besi lebih lembut diberikan pada zon remuk di bahagian hadapan yang dapat menyerap sepenuhnya impak pelanggaran tanpa dialihkan ke kabin, sementara bahagian kabin termasuk pada tiang-A, tiang-B, tiang-C, bendul sisi, firewall dan lain-lain bina dari logam yang jauh lebih teguh. Sebab itulah mengapa sekiranya anda ketuk dengan tangan bahagian seperti pada penutup bonet depan dan juga fender sisi kereta-kereta baahru, ia memang kedengaran ‘kurang padat’ berbanding kereta lama – ia memang direka sedemikian demi untuk menyelamatkan nyawa dalam kemalangan teruk.
Kereta-kereta yang menerima penarafan 4 hingga 5 bintang ini bukan hanya pada model-model mahal, malah model-model mampu milik seperti Perodua Axia, Bezza dan Proton Saga juga sudah mencapai standard yang sama.
Walau bagaimanapun bukan semua kereta baharu yang diuji menerima penarafan yang tinggi dari NCAP termasuk ASEAN NCAP. Model EV pertama yang diuji oleh ASEAN NCAP pada hujung tahun lalu iaitu Neta V misalnya, ia diberikan penarafan sifar bintang apabila mengalami kerosakan teruk pada firewall, tiang-A, pintu dan lain-lain yang memberikan perlindungan yang lemah kepada pemandu pada bahagian kepala, leher, dada dan kaki kanan pemandu.
Ya, memang memandu kereta-kereta lama ini adalah lebih seronok dari kereta-kereta moden, kerana ia lebih ringan serta memberikan rasa mekanikal yang mengujakan – penulis sendiri mempunyai sebuah kereta lama yang dipandu setiap hari atas faktor ini.
Namun kita tidak boleh menolak hakikat bahawa kereta-kereta seperti ini adalah kurang selamat berbanding kereta-kereta moden yang menerima penarafan keselamatan yang tinggi dari NCAP. Bukan tak boleh pandu langsung kereta sebegini, tetapi seperti yang boleh anda dan saya lihat apa yang jadi pada Wira yang diuji ini, maka kita tahulah had keselamatannya bagaimana dan sentiasa beringat ketika memandu.
Dan jika ada kemampuan, beralihlah kepada kereta yang lebih selamat sekiranya kereta berkenaan digunakan sebagai pengangkutan untuk keluarga setiap hari. Memang malang itu tidak berbau, dan sebagai seorang Islam kita wajib percaya dengan rukun Iman ke-6 iaitu percaya kepada qada dan qadar. Namun kita juga wajib untuk berusaha untuk mengelak dari kecelakaan berbanding berserah kepada takdir semata-mata bukan?
GALERI: Proton Wira 1.5 1993 yang diuji oleh ASEAN NCAP di Makmal PC3 MIROS
GALERI: Foto rasmi Proton Wira 1.5 1993 yang diuji oleh ASEAN NCAP di Makmal PC3 MIROS
GALERI: Kereta-kereta terbaharu yang telah diuji oleh ASEAN NCAP di Makmal PC3 MIROS
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.