Sebuah Proton S70 yang mungkin merupakan prototaip ujian Proton dijumpai di Lebuhraya Klang Banting oleh pengguna Facebook Khairul Adelee Mangadi dan kemudian berkongsi imej berkenaan di paultan.org Automotive/Car Discussion Facebook Group.
Unit ujian ini tidak diberikan sebarang pelekat penyamaran, namun plat pendaftaran sementara (trade plate) B4155A yang digunakan sememangnya antara plat yang pernah digunakan oleh unit R&D Proton bagi menguji prototaip-prototaip jenama tersebut sebelum ini.
Jadi ada kemungkinan ini merupakan unit prototaip S70 yang akan menggunakan enjin 1.5 liter empat silinder turbo yang sama seperti X50 facelift bagi menggantikan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo pada model sedia ada? Sehingga kini Proton masih belum mengumumkan secara rasmi bahawa S70 turut akan menerima enjin yang digelar sebagai i-GT berkenaan, namun sudah tentu ia akan menyeragamkan penggunaan enjin untuk semua modelnya pada masa akan datang.
Ini kerana enjin i-GT tersebut, atau secara spesifiknya merupakan enjin dari keluarga BHE15 merupakan enjin yang fleksibel, dihasilkan dalam pelbagai varian yang boleh dipadankan pada apa jua model tak kira kelas, memudahkan dan mengurangkan kos produksi Proton di fasiliti pemasangan syarikat itu.
Bagi enjin i-GT pada X50 facelift ia dikenali dengan kod BHE15TD, iaitu varian dengan pengecas turbo dan juga sistem suntikan bahan api terus. Enjin generasi keempat Geely yang dibangunkan dan dibekalkan oleh Aurobay ini turut ada dihasilkan dalam versi tanpa turbo dan hanya diberikan sistem suntikan bahan api port dikenali dengan kod BHE15PFI – ini adalah enjin yang mungkin akan dibekalkan pada Saga MC3 yang akan dilancarkan tak lama lagi.
Malah ia turut ada dihasilkan dalam versi tanpa turbo tetapi dengan suntikan bahan api terus serta sesuai dipadankan dengan sistem hibrid plug-in (PHEV). Enjin dengan kod BHE15D ini telahpun dipadankan pada Geely Galaxy Starship 7 EM-i di China, iaitu Proton eMas 7 dalam versi PHEV di mana Proton sebelum ini sudah mengesahkan bahawa ia adalah antara model baharu yang akan diperkenalkan di Malaysia kelak. Lebih perincian berkenaan enjin BHE15 ini boleh anda baca pada PAUTAN INI.
Sekiranya enjin BHE15TD tersebut dipadankan pada S70 kelak, ia sudah tentu memberikan pelbagai kelebihan terutamanya dari segi kuasa di mana enjin ini pada X50 facelift menawarkan kuasa 181 PS dan tork maksima 290 Nm, berbanding hanya 150 PS/226 Nm pada enjin 1.5 liter turbo tiga-silinder sedia ada. Enjin baharu ini juga menggunakan mekansima timing chain untuk menggerakkan aci sesondol yang menampilkan penyelenggaraan lebih mudah berbanding sistem timing belt pada enjin lama.
Sekiranya tingkat taraf baharu ini hanya melibatkan penukaran enjin dan tidak ada perubahan rupa yang memerlukan proses penyediaan produksi yang lebih rumit, mungkin S70 dengan enjin empat-silinder ini akan dilancarkan pada pasaran tempatan menjelang penghujung tahun ini?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.