Honda akhirnya mendedahkan versi produksi untuk Prelude generasi ke-enam, di mana coupe tiga-pintu tersebut akan tiba ke bilik pameran di Amerika Syarikat pada musim luruh tahun ini, manakala di Jepun jualannya sudahpun bermula hari ini, 5 September 2025.
Versi produksi bagi Prelude 2026 ini nampaknya menampilkan rupa yang hampir sama sepenuhnya dengan versi prototaip yang didedahkan buat pertama kali pada Oktober 2023. Apa yang berbeza hanyalah model produksi ini diberikan penderia-penderia parkir pada bahagian bampar hadapan dan belakang.
Coupe ini menerima muka dengan bentuk muncung yang tirus, diberikan lampu hadapan nipis bersama fungsi lampu tinggi adaptif serta lampu membelok aktif, dengan ‘kening’ jalur LED di atas. Ia turut diberikan bampar hadapan dengan spoiler bawah yang menyerlah, pembuka pintu tersorok, lampu belakang yang merentangi sepenuhnya penutup, bumbung ‘double-bubble’, spoiler but ‘ekor itik’ dan juga diffuser yang agresif.
Jalur serlahan biru diberikan pada bampar hadapan dan belakang, dan badan Prelude ini juga nampak ‘bersih’ kerana panel-panel badan dicantum dengan teknik laser brazing tanpa memerlukan kimpalan ditutup dengan perapi dan juga antena yang dicetak pada cermin belakang tanpa memerlukan ‘sirip yu’.
Rupa luaran model ini dilengkapkan pemandanan set roda yang menampilkan rim 19-inci pelbagai jejari dalam kemasan hitam berkilat, dibalut dengan tayar 235/40R19. Dapat dilihat di sebalik roda tersebut adalah angkup brek empat omboh Brembo di hadapan dalam kemasan biru serta angkup belakang yang lebih kecil juga berwarna biru, yang sebenarnya merupakan sistem yang sama digunakan pada hot-hatch Honda Civic Type R.
Bukan hanya brek, platform Prelude ini sebenarnya memang dikongsi bersama Honda Civic ke-11, dengan unit rangkaian kuasanya diambil dari Honda Civic Hybrid, manakala suspensi pula disadur dari Civic Type R tetapi semuanya diberikan talaan khas untuk coupe ini.
Seperti yang disebut tadi, Prelude menerima unit rangkaian kuasa e:HEV yang diambil dari Civic. Jadi ia menerima enjin 2.0 liter empat silinder kitaran Atkinson yang menjana 141 hp dan juga tork 181 Nm, digandingkan bersama dua motor elektrik yang menghasilkan 181 hp dan tork maksima 315 Nm. Menurut Honda, secara keseluruhan Prelude ini dibekalkan dengan kuasa sebanyak 200 hp dan tork maksima 315 Nm.
Ini bermakna kuasa pada Prelude ini adalah setara dengan Honda Civic Si dan juga Acura Integra (satu lagi model yang berkongsi platform Civic generasi ke-11), tetapi dengan tork yang jauh lebih besar kerana enjin 1.5 liter turbo pada kedua-dua model prestasi tersebut hanya menjana tork 260 Nm.
Enjin petrol pada Prelude ini pada kebanyakkan masa hanya akan berfungsi untuk mengecas bateri hibrid, manakala setiap kali mula bergerak roda hadapan akan dipacu oleh motor elektrik membolehkan tork 315 Nm berkenaan diberikan dari 0 rpm. Namun pada situasi tertentu seperti pada kelajuan tinggi, enjin akan dihubungkan kepada motor elektrik untuk bersama-sama memacu roda menerusi klac lock-up yang dibekalkan.
Pada Civic Hybrid, ia sudahpun diberikan bunyi enjin dan tukaran gear palsu bagi mengelakkan rasa janggal pada pemandu ketika memandu kereta tersebut. Namun untuk Prelude, bunyi berkenaan ditambah baik dengan Active Sound Control (ASC), malah dengan mod Honda S+ Shift, pemandu turut boleh ‘menukar gear’ palsu tersebut secara manual menerusi pedal penukar gear aluminium yang dipadankan pada roda stereng.
Mod berkenaan akan memberikan lapan nisbah gear palsu, dan akan turut memberikan rasa ‘shift shock’ seperti kotak gear sebenar setiap kali gear ditukar. Menurut Honda, rasa dan kepantasan tukaran gear palsu pada Prelude ini diberikan rasa seperti tukaran kotak gear DCT Honda NSX generasi kedua. Sistem ini juga akan memberikan bunyi throttle blip setiap kali gear palsu berkenaan diturunkan secara manual.
Untuk casis, Prelude diberikan konfigurasi suspensi hadapan topang dua paksi yang sama seperti Honda Civic Type R dan juga Acura Integra Type S, membolehkan torque steer yang lazimnya terjadi pada kereta pacuan hadapan ketika memecut dilenyapkan sepenuhnya.
Prelude juga diberikan penyerap hentak adaptif yang sama seperti Civic Type R/Integra Type S namun diberikan talaan yang lebih tersendiri iaitu keselesaan untuk perjalanan jarak jauh seperti sebuah grand touring sebenar, dalam masa yang sama turut memberikan karekter pengendalian yang sporty. Malah jarak trek roda hadapan dan belakang Prelude ini juga dibuat sama lebar seperti Civic Type R (1,626 mm depan/1,613 mm belakang) bagi memberikan kestabilan serta cengkaman roda ketika mengambil selekoh yang lebih baik.
Empat mod pemanduan disediakan pada Prelude ini iaitu Comfort, GT, Sport dan Individual. Mod-mod ini akan memberikan larasan semula pada respon unit rangkaian kuasa, tahap bantuan stereng kuasa, serapan hentakan pada suspensi adaptif, bunyi enjin dan juga grafik pada paparan instrumen digital sepenuhnya.
Tak cukup dengan itu, Prelude turut diberikan fungsi Honda Agile Handling Assist yang ditambah baik, bagi memberikan pengendalian dan keyakinan yang lebih baik kepada pemandu menerusi kawalan unit rangkaian kuasa dan sistem brek yang telah diintegrasikan berdasarkan kawalan stereng pemandu.
Dalam kabin, sekali tengok papan pemuka Prelude ini mungkin nampak sama seperti Civic, tetapi ia dibezakan dengan rekaan liang penghembus pendingin hawa yang tidak merentangi sepenuhnya papan pemuka tersebut. Konsol tengah juga lebih tersendiri kerana tombol gear konvensional digantikan dengan suis-suis tekan ‘PRND’, di mana pada kiri dan kanan disertakan dengan butang mod ‘S+’, pemilih mod pemanduan dan juga suis brek parkir elektrik.
Apa yang menarik, rekaan tempat duduk hadapan Prelude generasi keenam ini diinspirasikan dari rekaan tempat duduk ikonik Prelude dari generasi pertama sehingga keempat, di mana sokongan ‘bucket’ diberikan hanya pada bahagian bawah, dengan perehat badan sebelah atas yang kecil. Coupe ini juga menerima konfigurasi tempat duduk 2+2 di mana tempat duduk belakang hanya boleh memuatkan dua orang penumpang.
But belakang Prelude ini dibuka bersama cermin belakang seperti sebuah model liftback, membolehkan anda meletakkan barang yang panjang sekiranya tempat duduk belakang dilipat (boleh dipisahkan dengan nisbah 60/40).
Perincian lain yang diberikan pada Prelude 2026 ini termasuk upholsteri kulit dengan corak houndstooth pada tempat duduk, roda stereng balutan kulit dengan rekaan rata di bawah dan serlahan jahitan warna biru serta penanda pukul 12, dan juga upholsteri kulit sintetik pada papan pemuka dengan sulaman logo Prelude.
Ia juga diberikan paparan instrumen digital sepenuhnya dengan skrin 10.2-inci, skrin infotainmen 9-inci dengan Google bina dalam serta hubungan Apple Carplay dan Android Auto tanpa wayar, pengecas telefon pintar tanpa wayar, serta sistem bunyi premium Bose dengan lapan pembesar suara.
Untuk keselamatan, Prelude ini turut menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Honda Sensing yang menampilkan fungsi seperti brek kecemasan hadapan dengan kawalan pendikit pengelak pelanggaran hadapan, amaran lintasan trafik belakang dengan kawalan pendikit pengelak pelanggaran belakang, sistem stereng pengelak pelanggaran pejalan kaki, cruise control adaptif dengan low speed follow serta sistem kekal lorong dan banyak lagi.
Lima warna badan monotone ditawarkan untuk Prelude ini iaitu Meteorite Gray Metallic, Crystal Black Pearl, Rally Red dan Boost Blue Pearl, bersama tema dalaman dalam pilihan warna hitam-biru atau putih-biru. Bagi pembeli di pasaran Amerika Syarikat, ia turut ditawarkan dengan warna badan dua tona Winter Frost Pearl bersama bumbung hitam berkilat. Manakala untuk pasaran Jepun, tema warna badan dua tona yang sama (tetapi dipanggil Moonlit White Pearl) bersama dalaman putih-biru ditawarkan sebagai model edisi terhad digelar Honda Prelude ON Limited Edition.
Pelbagai aksesori asli Honda juga ditawarkan untuk pembeli termasuk rim aloi 19-inci dalam kemasan Berlina Black, spoiler but belakang berwarna hitam, spoiler bawah bampar hadapan, emblem-emblem berwarna hitam dan juga penutup cermin sisi juga berwarna hitam. Di Jepun Honda Prelude 2026 ini dijual pada harga bermula 6,179,800 yen (sekitar RM176k) untuk varian standard, manakala Prelude ON Limited Edition pula dijual pada harga 6,480,100 yen (sekitar RM185k).
Dengan didedahkan serentak di Jepun dan Amerika Syarikat, sudah tentu Prelude 2026 ini merupakan model yang akan dijual pada pasaran global. Versi prototaip Prelude tersebut sebelum ini telahpun dibawa untuk dipamerkan di Malaysia dan Indonesia, jadi ada harapan besar untuk model ini dibawa secara rasmi ke pasaran tempatan oleh Honda Malaysia!
GALERI: Honda Prelude 2026 pasaran Jepun
GALERI: Honda Prelude 2026 pasaran Amerika Syarikat
- default
- default
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.