Honda Civic Si adalah sesuatu yang sering diidamkan oleh ramai penggemar kereta. Ini kerana ia mengisi ruang antara Civic biasa dengan Type R yang lebih ekstrem. Walaubagaimanapun sampai sekarang kita hanya boleh melihatnya sahaja kerana cuma dijual di Amerika Syarikat (AS), termasuklah model generasi ke-11 yang baru diberi facelift ini.
Di AS, model baru ini dijual pada harga bermula US$29,950 (RM139,700), dan penampilan, dinamik pemanduan, kelengkapan serta teknologinya dipertingkat, untuk menyertai pakej enjin turbo serta kotak gear manual enam kelajuannya. Malahan, Civic Si ini adalah satu-satunya model dalam kelasnya yang ditawarkan dengan tranmsisi manual.
Enjin empat silinder 1.5 liter VTEC turbo yang mampu menghasilkan kuasa 200 hp dan tork 260 Nm pada model ini masih tidak diusik, dan transmisi manual enam kelajuannya masih lagi disediakan dengan limited-slip differential jenis helical di hadapan. Walaubagaimanapun, operasi rev-matching transmisi ini telah diperbaiki untuk memberi penukaran kepada gear rendah yang lebih lancar.
Kebanyakan usaha yang dibuat pada model facelift ini adalah untuk menjadikan ia sebagai kenderaan yang boleh dipandu dengan lebih tepat. Tiang B-pillar dan bahagian tepi pintu diperkuat dengan pendakap, sekaligus menambahkan ketegaran badan, manakala suspensi pula ditala semula.
Untuk penampilan, Civic Si ini mendapat peningkatan sama seperti model Civic facelift biasa yang diperkenalkan awal tahun ini, dengan kemasan gril honeycomb yang besar, bukaan udara tengah seperti Civic Type R, bukaan udara lebih nipis di tepi serta lampu belakang LED jenis smoked.
Barangan khas untuk model Si adalah termasuk splitter hadapan dan spoiler nipis di belakang, dipadankan bersama cermin sisi dan kemasan keliling tingkap hitam dan rim 18 inci gelap. Di sebaliknya terdapat brek yang lebih besar berbanding Civic biasa.
Di bahagian dalam, Civic Si ini mendapat tempat duduk sports yang mempunyai ciri pemanas, lampu tukar gear (shift light) baru pada panel instrumen, pedal aloi, kemasan serta jahitan merah, dan tombol gear gabungan kulit dan aluminium. Turut diberikan secara standard adalah bumbung suria serta sistem bunyi Bose dengan 12 pembesar suara.
Selain daripada itu, model facelift ini juga datang dengan skrin sesentuh sembilan inci untuk sistem infotainmen, lengkap dengan servis Google seperti Google Maps, Google Assistant dan Play Store. Selain sistem Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, pengguna juga masih boleh menyambungkan telefon pintar mereka dengan menggunakan soket USB-C yang disediakan.
Pakej sistem bantuan pemandu Honda Sensing pada Civic Si ini telah dipertingkat dengan pengesanan motosikal serta basikal yang lebih baik, untuk sistem Autonomous Emergency Braking, serta maklum balas yang lebih normal bagi sistem Adaptive Cruise Control dan Lane Centring Assist.
- Digital Visual Media
- Location package with matched HDRI
- Location package with matched HDRI
- Location package with matched HDRI
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.