Meskipun Mitsubishi kini lebih memberi tumpuan kepada pasaran Asia Tenggara dengan model seperti Xforce dan Destinator, pengeluar Jepun ini jelas tidak melupakan pasaran Eropah. Ini dibuktikan dengan pelancaran Eclipse Cross generasi kedua – kali ini dalam versi kenderaan elektrik (EV) sepenuhnya.
Berbeza dengan model sebelumnya yang direka sendiri oleh Mitsubishi, model baru ini pula sebenarnya adalah hasil kerjasama dengan Renault. Ia merupakan versi rebadge kepada Renault Scenic E-Tech, sejajar dengan pendekatan Mitsubishi sebelum ini menerusi model-model seperti ASX (berdasarkan Renault Captur), Colt (daripada Clio) dan Grandis (berpaksikan Symbioz).
Eclipse Cross ini adalah EV pertama Mitsubishi yang diasaskan dari model Renault, dan juga merupakan EV pertama syarikat itu di Eropah sejak model i-MiEV. Menggunakan Renault Scenic sebagai asas membolehkan Eclipse Cross kekal kompetitif dalam segmen EV. Model ini ditawarkan dengan bateri 87 kWh bagi versi jarak jauh, membolehkan ia mencatat jarak sehingga 600 km mengikut ujian WLTP.
Mitsubishi turut merancang untuk memperkenalkan varian jarak pertengahan pada tahun hadapan. Motor elektrik tunggal yang memacu roda hadapan menghasilkan 218 PS (160 kW) dan tork 330 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 8.4 saat. Ia turut menyokong pengecasan pantas DC sehingga 150 kW dan pengecasan AC 22 kW.
Walaupun penampilan luaran Eclipse Cross ini masih mengekalkan identiti Renault, Mitsubishi mengambil inisiatif untuk memberikan sentuhan tersendiri. Gaya reka bentuk dikenali sebagai “Smart Armour” ini menampilkan rekaan wajah depan Dynamic Shield yang menjadi identiti Mitsubishi, dengan bampar berbentuk-D di kedua-dua penjuru seakan ‘mencubit’ gril yang tertutup, di samping lampu siang (DRL) berbentuk linear.
Di bahagian sisi, trim krom tingkap diletakkan di bahagian bawah sehingga ke tiang-C, berbeza dengan Scenic yang terletak di bahagian atas. Panel sisi berbentuk-L terbalik juga direka khas untuk model ini. Bahagian belakang pula menampilkan rekaan lampu belakang dengan grafik linear sepadan dengan DRL hadapan serta jalur hitam merentangi pintu but dan rekaan bampar belakang gelap yang unik.
Sayangnya, bahagian dalam tidak banyak berbeza dengan Scenic. Namun, Mitsubishi telah membuat beberapa pengubahsuaian kecil termasuk penggunaan roda stereng dengan penutup beg udara rekaan sendiri serta tempat duduk balutan kulit quilted menggantikan fabrik kitar semula Scenic. Paparan dalaman masih mengekalkan papan pemuka berbentuk-L dengan skrin instrumen dan infotainmen 12.3 inci – skrin tengah menegak yang hadir dengan perkhidmatan Google binaan dalam.
Antara ciri lain yang dikekalkan dari Scenic termasuk bumbung kaca panoramik elektro-kromatik, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, pengecas Qi 15 watt serta sistem bunyi Harman Kardon dengan 10 pembesar suara. Dari segi keselamatan, Eclipse Cross hadir dengan sistem pemanduan separa automatik Tahap 2 Renault yang dijenamakan semula sebagai Mi-Pilot, bersama fungsi My Safety Perso yang membolehkan pengguna menetapkan tahap bantuan pemanduan mengikut keselesaan mereka.
Pengeluaran Eclipse Cross EV ini dijadualkan bermula pada suku keempat tahun ini di kilang Renault di Douai, Perancis, yang turut menghasilkan Renault Scenic dan Grandis/Symbioz. Selain pasaran Eropah, Mitsubishi juga telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan anak syarikat Foxconn, Foxtron, untuk membawa EV ke pasaran Australia dan New Zealand.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.