Walaupun Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2026 hanya berbaki tiga hari lagi, hari ini Dongfeng masih ada lagi model baharu yang ingin ditunjuk ke pasaran tempatan buat pertama kali. Bukan satu, tapi tiga dan salah satunya adalah Dongfeng MHero II.
Namun pra-tonton yang dibuat pada hari ini masih lagi pada peringkat awalan kerana unit yang dibawa masih lagi dalam versi pemanduan sebelah kiri, bukan spesifikasi sebenar yang akan dilancarkan di Malaysia kelak. MHero adalah jenama khas Dongfeng untuk model-model SUV off-road setara seperti GWM Tank. Bagi MHero II ini, ia adalah SUV off-road mewah yang akan bersaing dengan model seperti Denza B8.
SUV ini menampilkan dimensi panjang 5,100 mm, lebar 1,998 mm, dan jarak roda sejauh 3,005 mm. Bagi model dengan suspensi biasa, SUV ini mempunyai ketinggian 1,899 mm, manakala varian dengan suspensi udara pula mempunyai ketinggian 1,919 mm dan boleh dilaras pada jarak 150 mm dengan menggunakan penyerap hentak adaptif. Varian lebih mewah ini juga diberikan sistem stereng untuk gandar belakang.
MHero II digerakkan dengan unit rangkaian kuasa Range Extender EV (REEV) yang menggandingkan enjin 1.5 liter turbo berkuasa 186 PS hanya untuk mengecas bateri, motor elektrik yang menggerakkan gandar hadapan berkuasa 272 PS dan juga motor untuk gandar belakang berkuasa 279 PS. Jadi secara keseluruhan, ia memberikan pacuan semua roda dengan kuasa 687 PS dan tork maksima 848 Nm.
Ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.2 saat, dan menurut pengedar jenama Dongfeng di Malaysia iaitu Volt Auto, dengan satu tangki penuh petrol dan satu cas penuh bateri MHero II boleh bergerak sejauh 1,300 km. Manakala spesifikasi untuk pasaran China pula menyebut, dengan bateri CATL Freevoy 50.4 kWj yang dibekalkan membolehkan SUV ini bergerak sejauh 176 km (kitaran WLTP) dengan hanya kuasa elektrik.
Model pasaran China juga menampilkan perincian seperti sistem differential dengan pengunci elektronik pintar serta sembilan mod pacuan semua roda termasuk Mud, Sand dan Rock, dan ia boleh meredah air pada kedalaman 900 mm serta menampilkan radius pusingan 3.5 meter.
Seperti yang disebut tadi, pendedahan yang dibuat hari ini hanyalah untuk pra-tonton peringkat awal dan masih belum ada spesifikasi rasmi yang diumum. Berdasarkan spesifikasi di China, MHero II ini turut menerima perincian seperti lampu ambient 256 warna, sistem bunyi Dynaudio, ciri vehicle-to-load 6 kW (V2L), skrin sesentuh 15.6-inci, panel instrumen 10.25-inci, paparan head-up, cermin pandang belakang digital dan ruang storan pendingin di konsol tengah berkapasiti lima-liter.
Bila model ini akan dilancarkan? Volt Auto masih belum menyebut sebarang garis masa bila model ini akan dilancarkan ke pasaran tempatan, dan masih belum ada sebarang petunjuk berkenaan harga.


