Pasti ramai antara kita yang pernah mengalami atau menyaksikan situasi ini: barisan kenderaan beratur panjang di lorong plaza tol kerana ada yang perlu menyentuhkan kad untuk pembayaran tol, atau selalu juga kerana itu disebabkan ada pemandu yang berdepan masalah pembayaran. Untuk itu, sistem kutipan tol aliran pantas multi-lorong (MLFF) dipertimbangkan bagi mengatasi masalah tersebut. Bagaimanapun, masih belum ada keputusan tentang pelaksanaan menyeluruh bagi sistem berkenaan.
Ketika ini, Touch ‘n Go menjadi satu-satunya penyedia perkhidmatan yang mempunyai penyelesaian sebagai langkah awal sebelum menuju pelaksanaan sistem MLFF — yang dikenali sebagai sistem kutipan tol melalui Lorong RFID Dipertingkat (Enhanced RFID Lane). Ia beroperasi tanpa palang halangan, dan mempunyai kelebihan kutipan bahkan jika tanpa plaza tol.
Syarikat itu juga telah menjalankan ujian percubaan penggunaan sebenar sejak lebih setahun lalu, melibatkan plaza tol di Alam Impian di Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA). Sistem perintis itu mengekalkan penggunaan tag RFID semasa, tetapi dengan kelengkapan baharu dan lebih moden yang membolehkan imbasan tag dilakukan dengan lebih tepat dan konsisten.
Kini, lokasi percubaan yang kedua telah diperkenalkan di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH). Sudah beroperasi sejak beberapa bulan lalu, ia melibatkan elemen LKSA POC yang sama, kecuali satu komponen. Syarikat menjelaskan, sistem berkenaan membolehkan aliran trafik yang lebih bebas dan lancar keluar dari plaza tol, mencerminkan satu langkah penting ke arah pelaksanaan penuh MLFF. Adakah ia mampu memenuhi jangkaan seperti yang dinyatakan itu? Kami mencubanya sendiri untuk tahu lebih lanjut.
Memastikan bacaan lebih cekap, setiap masa
Secara umum, sistem RFID semasa tidak begitu konsisten — kadangkala, tempoh membaca atau mengimbasnya boleh jadi cepat, tetapi terdapat banyak juga keadaan yang mana ia menjadi perlahan. Ini akan menyebabkan kebanyakan kenderaan terpaksa “merangkak” atau berhenti, sekali gus mengganggu aliran trafik yang sepatutnya lancar.
Lorong RFID Dipertingkat yang terbaharu bertujuan untuk menyelesaikan isu ini, dengan cara mengesan cip RFID lebih cepat, serta dengan lebih ketepatan. Untuk itu, pemandu tidak perlu memperlahankan kenderaan terlalu banyak, lantas menjadikan aliran trafik lebih laju ketika di plaza tol. Menurut data TnG, Lorong RFID Dipertingkat telah menyaksikan peningkatan penggunaan lebih 30% setiap jam berbanding RFID konvensional.
Berdasarkan beberapa kali pengalaman penggunaan nyata kami di plaza tol Dato Keramat di AKLEH (arah Ampang Ampang, dan bukan masuk ke KL), perbezaannya sangat ketara. Ia berfungsi setiap kali dengan cekap, dan tidak lagi menimbulkan rasa ragu-ragu dan tertanya-tanya sama ada ia akan berfungsi atau tidak. Seperti di Jepun, sistem ini masih mempunyai palang penghadang, tetapi itu akan dibuka lebih awal sebaik sahaja kenderaan memasuki plaza tol. Ini jauh lebih cekap berbanding sistem RFID semasa yang memberikan tindak balas yang perlahan untuk menaikkan palang.
Laluan di AKLEH merupakan Lorong RFID Dipertingkat yang pertama diperkenalkan, dan akan disertai oleh penambahan di lokasi lain tidak lama lagi – menjelang akhir tahun 2026, akan ada 10 lorong sedemikian di pelbagai lebuh raya, membolehkan lebih ramai pengguna mencuba sistem baharu tersebut. Jika anda berminat untuk mencuba lorong yang di AKLEH, cari papan tanda lorong MyRFID dengan simbol bintang emas — ini satu-satunya cara untuk mengenal pasti Lorong RFID Dipertingkat ketika ini.
Di sebalik nama
Di sebalik Lorong RFID Dipertingkat, terdapat banyak elemen yang diterapkan daripada sistem Titan Flow, yang dipamerkan oleh TnG ketika Ekspo Jalan Raya dan Lalu Lintas MyASEAN (MyARTTE) di Kuala Lumpur, November tahun lalu. Tidak seperti lorong RFID semasa, pakej baharu yang terlibat ini jauh lebih menyeluruh dari aspek elemen teknikal dan yang lebih penting, keupayaan prestasinya.
Seperti yang ditunjukkan di ekspo berkenaan, dan juga dilaksanakan di LKSA POC, Titan Flow menampilkan persediaan yang terdiri daripada dua antena RFID reka bentuk berpaten, pembaca RFID serta dua kamera pengecaman nombor plat automatik (ANPR) di setiap lorong, dengan LiDAR 3D.
Menurut TnG, pengimbas RFID baharu ini lebih cekap membaca dalam kelajuan tinggi berbanding peralatan semasa yang digunakan ketika ini. Ia telah diuji dengan kelajuan yang melebih had laju kebangsaan, manakala kamera ANPR yang digunakan pula mampu mengesan nombor plat melebihi kelajuan 200 km/j. Sistem ini juga akan menghapuskan isu mengikut dari dekat, yang tidak dapat dilakukan oleh sistem semasa — penggunaan antena berganda baharu telah mengatasi masalah tersebut.
Lorong percubaan di AKLEH menggunakan komponen yang sama — termasuk teknologi kecerdasan buatan — dalam pakejnya, kecuali satu perubahan. Sistem berkenaan hanya menggunakan satu kamera ANPR (sistem MLFF menggunakan dua kamera), dan tiada lagi penggunaan LiDAR. Walaupun LiDAR membantu mengenal pasti jenis kenderaan yang melalui lorong tol mengikut kelas kenderaan mereka (kenderaan persendirian, bas, lori) untuk menentukan tambang tol yang akan dikenakan, sistem baharu ini bagaimanapun tidak memerlukannya kerana ia hanya membenarkan penggunaan untuk kenderaan Kelas 1 (kenderaan persendirian) sahaja. Ini menjimatkan lagi kos serta memudahkan pelaksanaan.
Gandingan teknologi lebih berkesan
Menurut TnG, menggunakan ANPR sahaja tidak mencukupi, kerana kadar ketepatan akan menjadi lebih rendah sekiranya menggunakan kamera sahaja. Pertama, RFID masih lebih cekap berbanding ANPR, yang mempunyai ketepatan sehingga 95%. Terdapat juga situasi yang boleh menimbulkan masalah untuk kameranya, misalnya daripada cahaya matahari yang terik atau hujan lebat, hinggalah penggunaan nombor plat fancy yang meluas, yang akan mengganggu proses pengambilan visual.
Di samping itu, syarikat itu juga menyatakan bahawa kedua-dua RFID dan ANPR saling melengkapi, dengan keupayaan untuk memeriksa sama ada tag RFID adalah sepadan dengan nombor plat kenderaan, memberikan tahap pengesahan yang lain serta membantu mengesan mana-mana kenderaan yang berjaya lolos. Dalam penggunaannya, sistem perintis di LKSA mencapai pengesanan kenderaan 100% dan berjaya membaca lebih 99.98% tag RFID TnG sedia ada.
Pada 2023, Timbalan Menteri Kerja Raya ketika itu, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, menyatakan bahawa MLFF perlu menggabungkan kedua-dua RFID dan ANPR, bukan hanya salah satu daripadanya. Untuk itu, TnG percaya bahawa sistem Titan Flow menyediakan penyelesaian yang ideal yang menepati keperluan tersebut.
TnG juga menjelaskan, sasaran untuk Lorong RFID Dipertingkat adalah untuk berusaha ke arah penggunaan lebih banyak lorong RFID, yang selari ke arah pelaksanaan MLFF. Sebaik sahaja penggunaannya dilaksanakan, plaza tol boleh menanggalkan palang penghadang atau membiarkan penghadang terbuka, menjadikan aliran trafik lebih lancar. Bahkan, kutipan masih dibuat jika binaan plaza tol dihapuskan sepenuhnya — memberikan banyak lagi penjimatan operasi kepada syarikat konsesi lebuhraya serta mempercepat perjalanan pengguna.
Tidak perlu tukar sistem
Kelebihan terbesar sistem TnG ini adalah ia menyepadukan kaedah pembayaran sedia ada — gabungan RFID dan eWallet yang digunakan untuk sebahagian besar lebuhraya di sini. Pelanggan tidak perlu mendapatkan tag baharu atau memuat turun aplikasi baharu, sekali gus mengelakkan kerumitan yang mungkin ditimbulkan oleh sistem yang baharu sepenuhnya.
TnG juga menyatakan bahawa Enhanced RFID Lane atau Lorong RFID Dipertingkat ini akan membolehkan penggunaan berterusan pelekat RFID sedia ada, yang cukup tahan lama — banyak pelekat daripada projek perintis awal RFID pada tahun 2018 masih berfungsi, selepas hampir lapan tahun. Ia memang melibatkan kos, tetapi pada harga RM35 (dengan sekali penggantian percuma), ini adalah pilihan yang lebih baik berbanding menggunakan sistem serba baharu.
Dari perspektif prestasi, sistem komunikasi jarak dekat (DSRC) khusus seperti yang digunakan di Australia atau Singapura (untuk ERP-nya) mungkin lebih baik kerana ia merupakan sistem aktif dan bukannya pasif. Tetapi itu memerlukan unit binaan dalam (OBU), yang mahal – contohnya, pemasangan unit OBU berkenaan memerlukan pengguna menanggung kos sekitar RM500, dan itu tentunya membebankan.
Dengan 4.7 juta pengguna RFID dan lebih 27 juta pengguna TnG eWallet, TnG menyatakan terdapat khalayak yang luas dan bersedia, dengan pendekatan yang sangat mudah: memasang tag RFID dan menghubungkannya dengan aplikasi sedia ada. Lebih penting, ia hanya memerlukan satu aplikasi sahaja untuk keperluan tol untuk semua lebuhraya yang ada — tidak perlu aplikasi berbeza untuk pengendali lebuhraya yang berbeza.
Jika anda pengguna RFID sedia ada, adakah anda jangkakan Lorong RFID Dipertingkat ini lebih cekap dan memudahkan? Cuba sendiri dan berikan maklum balas anda. Kepada mereka yang belum menggunakan RFID, adakah ini akan meyakinkan anda untuk mencubanya? Jika ya, anda boleh beli tag RFID melalui TnG eWallet, kedai dalam talian Touch ‘n Go atau di stesen Shell terpilih.










