Mazda BT-50 sempat secara senyap “hilang” sekejap daripada pasaran tempatan. Tetapi ia muncul semula dan kembali ditawarkan oleh Bermaz dalam bentuk facelift pada November tahun lalu. Masih dari penawaran generasi ketiga — yang juga menggunakan asas daripada model Isuzu D-Max generasi ketiga — Mazda BT-50 yang terkini ini mempertemukan aspek kelasakan dan penggunaan gaya hidup dalam satu pakej.
Berbeza dengan Isuzu D-Max yang ditawarkan dengan pelbagai varian dan konfigurasi penggunaan (yang kini telah hadir dengan enjin baru 2.2L disamping masih mengekalkan dua varian dengan enjin 3.0L), Mazda hanya mempertaruhkan satu varian sahaja, iaitu Mazda BT-50 3.0D High Plus Double Cab.
Sejak pelancaran, Mazda BT-50 3.0D High Plus Double Cab mempunyai satu kelebihan berbanding D-Max, iaitu harganya — ia dijual dengan harga RM140,418 atas jalan belum termasuk insurans. Bagi varian 3.0L, Isuzu D-Max pula menawarkan dua pilihan: D-Max 3.0L 4×4 AT Premium (Double Cab, RM145,138) dan juga D-Max 3.0L 4×4 AT X-Terrain (Double Cab, RM162,938).
Jika mengambil kira penawaran paling tinggi bagi kedua-dua jenama, Mazda BT-50 ini lebih murah kira-kira RM22.5k berbanding D-Max X-Terrain. Dan, jika dibandingkan dengan varian kedua tertinggi dalam barisan D-Max itu pun, Mazda BT-50 masih mempunyai kelebihan harga dengan sekitar RM4.7k lebih murah.
Dari segi rekaan, hal yang membezakan antara dua versi jenama bagi model yang sama ini tentulah pendekatan reka bentuk dan wajah depan trak pikap ini. Mazda BT-50 facelift ini lebih mirip dengan wajah depan kereta penumpang Mazda yang lain. Gril baru dengan bahagian bawah lebih tebal serta logo Mazda yang lebih besar disudahi dengan kemasan hitam berkilat yang lebih menonjol.
Bahagian lampu depannya juga diberi rekaan baru, dengan DRL bentuk L yang mirip pada CX-5 terkini yang ada di pasaran Malaysia. Bampar depan hadir dengan tirai udara serta skid plate yang lebih garang dan berimej lasak. Bahagian belakang, lampu kini hadir dengan corak bentuk L juga. Sama seperti di depan, logo Mazda kini lebih besar yang terletak di bawah pemegang pintu kargo belakang dan kamera pandang belakang.
Ruang kabinnya tampil elegan dan ringkas dengan latar warna hitam, dan menampilkan ciri antaranya seperti papan pemuka dengan elemen rekaan menegak, corong pendingin mengapit kedudukan skrin infotainmen yang terletak di atas bahagian tombol kawalan. Antara kelainan yang diberikan adalah kemasan di bahagian depan penumpang, sementara paparan multi-info di kluster instrumen lebih banyak paparan boleh dilihat dengan skrin lebih besar, bersaiz tujuh-inci.
Bagi skrin infotainmen, ia merupakan skrin sentuh sembilan-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, serta mempunyai lapan-pembesar suara. Selain itu tersedia kawalan pendingin dua zon dengan corong di bahagian belakang, kerusi pemandu larasan kuasa lapan-arah, tombol penukar pacuan empat-roda, tujuh-beg udara dan kerusi balutan kulit hitam.
Trak pikap ini datang dengan rim 18-inci dengan tayar semua permukaan bersaiz 265/60, lampu utama bi-LED automatik, lampu kabus LED di depan, lampu kabus jenis bulp di belakang, pengilap cermin dengan sensor hujan, sistem pintar tanpa kunci, sensor parkir depan dan belakang, landasan bumbung (beban 100 kg), pemijak sisi dan pengalas ruang kargo. Harga yang dinyatakan itu termasuk juga dengan pakej aksesori dengan bahagian penutup ruang belakang, lanjutan bahagian lengkung tayar dan cermin pandang belakang dengan paparan kamera pandang belakang.
Untuk enjin, unit 4JJ3-TCX dari Isuzu terus digunakan, yang menghasilkan janaan sebanyak 188 hp pada 3,600 rpm dan 450 Nm tork dari 1,600 hingga 2,600 rpm. Ini digandingkan pula dengan transmisi automatik enam-kelajuan dan sistem pacuan empat roda separuh masa dengan mod 2WD, 4WD-High dan 4WD-Low, dengan mod permukaan kasar serta rear differential lock.
Mazda BT-50 3.0D High Plus Double Cab juga datang lengkap dengan keselamatan seperti ABS, EBD, brake assist dan ESC, serta ada juga fungsi bantuan mula mendaki, kawalan menuruni curam dan brek multi-perlanggaran. Ciri ADAS juga lengkap dengan fungsi seperti lampu tinggi automatik, peninjau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, amaran penukaran lorong, kawalan melayar adaptif, bantuan perhatian pemandu, amaran perlanggaran depan dan brek kecemasan automatik.
Dari segi dimensi, Mazda BT-50 ini mempunyai ukuran 5,280 mm panjang, 1,870 mm lebar, 1,810 mm tinggi dan jarak roda 3,125 mm. Ia mempunyai berat 2,015 kg, dengan kapasiti tangki minyak 76 liter. Untuk ruangan barangan di belakang, walaupun tanpa sportbar dan nampak kosong, ia hadir siap dengan penutup mudah gerak oleh Bermaz.
Ini biasanya akan memerlukan kos tambahan jika ingin dipasang selepas pembelian — sangat berguna untuk membawa beban dengan selamat. Dalam cuaca hujan lebat juga ia mampu mengekalkan keadaan kering dan melindungi barangan.
BT-50 terbaru ini datang dalam lima pilihan warna — Concrete Gray Mica, Vermillion Latosol Mica, True Black Mica, Geode White Pearl atau Sailing Blue Mica. Tempoh jaminan adalah selama lima-tahun/100,000 km.











Mazda BT-50
dari RM140,418
Mazda CX-60
dari RM200,510
Mazda CX-80
dari RM296,610
Mazda MX-5
dari RM294,154
Mazda CX-5
dari RM134,469
Mazda CX-8
dari RM165,360
Mazda CX-30
dari RM122,409
Mazda 3 Sedan
dari RM119,620
Mazda 3 Hatchback
dari RM119,620