Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • JPJ eBid: Siri KFY dan SU-N dibuka untuk bidaan

    Bagi yang memerlukan untuk kenderaan baharu, siri nombor pendaftaran terkini dari Kedah dan Sabah ini dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Kedah, KFY telah dibuka bidaan sejak 26 Januari. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 30 Januari. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 31 Januari 2025. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Sabah, SU-N, bakal dibuka bidaan mulai 1 Februari. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 5 Februari, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 6 Februari 2025.

    Disebabkan sekarang ini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Suzuki akan buka lima lagi pusat pameran di Malaysia tahun ini – beri fokus kepada servis untuk pelanggan

    Suzuki akan buka lima lagi pusat pameran di Malaysia tahun ini – beri fokus kepada servis untuk pelanggan

    Pengedar kereta Suzuki di Malaysia, Naza Eastern Motors mempunyai perancangan untuk membuka pengedar baru untuk jenama itu di Kuching, Klang, Muar, Langkawi dan Labuan tahun ini – lapor Bernama. Pusat pameran yang baru sahaja dibuka di Jalan Anson, Georgetown, Pulau Pinang adalah cawangan ketiga dalam Malaysia, selepas di Petaling Jaya dan Johor Bahru.

    Pengerusi Naza Automotive Group, Datuk Jasmy Ismail memberitahu, ini adalah selari dengan matlamat Naza Eastern Motors untuk memberikan servis terbaik kepada pelanggan sedia ada dan juga bakal pelanggan di Pulau Pinang, sambil menguatkan lagi kehadiran mereka di bahagian utara.

    “Kami teruja untuk membawa pengalaman Suzuki Cars lebih dekat kepada pelanggan di Pulau Pinang. Pusat pameran ini bukan sahaja menunjukkan kehadiran kami, tetapi juga menampakkan pengukuhan hubungan dengan pelanggan dengan menawarkan mereka pengalaman bertaraf dunia,” tambah Jasmy.

     
     
  • Had laju diturunkan dari 90 km/j kepada 80 km/j di semua jalan persekutuan sempena CNY, 28 Jan-2 Feb

    Had laju diturunkan dari 90 km/j kepada 80 km/j di semua jalan persekutuan sempena CNY, 28 Jan-2 Feb

    Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengumumkan pengurangan had laju dilaksanakan di semua Jalan Persekutuan di Malaysia berkuat kuasa pada 28 Januari (esok) hingga 2 Februari 2025 sempena perayaan Tahun Baharu Cina. Di mana had laju dikurangkan daripada 90 km/j kepada 80 km/j sepanjang tempoh yang dinyatakan.

    Menurut KKR lagi, pewartaan pengurangan had laju sementara itu ditetapkan sepanjang Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya yang dilaksanakan sepanjang tempoh berkenaan. Ini merupakan antara langkah keselamatan dan pemantauan yang diambil kerajaan bagi meningkatkan keselamatan serta mengurangkan risiko kemalangan jalan raya yang kerap kali berlaku pada musim perayaan.

    Ops Bersepadu ini dilaksanakan secara bersama melibatkan agensi- agensi penguatkuasa seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jalan Pengangkutan Jalan (JPJ), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

    Had laju diturunkan dari 90 km/j kepada 80 km/j di semua jalan persekutuan sempena CNY, 28 Jan-2 Feb

    “Bagi meminimumkan risiko kemalangan jalan raya, KKR akan mewartakan penurunan had laju daripada 90km/j kepada 80km/j di semua Jalan Persekutuan sepanjang tempoh enam hari tersebut.

    “Selain itu, kerja-kerja pembinaan dan penyenggaraan jalan yang tidak kritikal akan dihentikan sementara agar tidak mengganggu aliran trafik sepanjang tempoh tersebut. Kerja-kerja kecemasan yang perlu disegerakan demi keselamatan pengguna akan dirancang dengan sebaiknya. Sekiranya perlu, laluan alternatif akan disediakan agar tidak mengganggu perjalanan pengguna ke destinasi yang dituju,” kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Sebelum ini, beliau juga telah mengeluarkan arahan kepada Syarikat Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) untuk menghentikan sementara kerja pelebaran lorong di jajaran Sedenak-Kulai bermula 23 Januari hingga 3 Februari 2025.

    “Saya ingin sarankan kepada semua pengguna jalan raya untuk melakukan kesiapsiagaan sepenuhnya sebelum melakukan perjalanan meliputi memastikan menjaga kesihatan, mengambil masa rehat yang mencukupi sebelum dan semasa perjalanan agar tidak mengalami keletihan melampau dan rasa mengantuk ketika memandu.

    “Sila pastikan kad debit, RFID dan kad Touch N Go mempunyai baki wang yang mencukupi bagi mengelakkan gangguan kesesakan kepada pengguna lain di plaza tol dan memeriksa kondisi kenderaan termasuk tayar supaya siap sedia untuk perjalanan jauh dan memandu kenderaan secara berhemah, sentiasa sabar dan mengikut undang-undang jalan raya,” katanya lagi.

    Tambahnya, sejajar dengan semangat dan aspirasi Program MyJalan yang diterajui oleh KKR, semua pengguna jalan raya bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan diri dan penumpang serta keselamatan dan keselesaan pengguna yang lain.

     
     
  • JPJ senarai hitam pemandu yang ada 3 jenis saman mulai Julai ini – tak boleh baharui lesen, cukai jalan

    JPJ senarai hitam pemandu yang ada 3 jenis saman mulai Julai ini – tak boleh baharui lesen, cukai jalan

    Mulai Julai 2025, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan terus menyekat dan menyenarai hitamkan pemilik kenderaan yang mempunyai tunggakan membabitkan tiga jenis notis saman dikeluarkan agensi penguatkuasa tersebut. Tiga jenis notis saman JPJ terbabit adalah Saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) (Saman 53A), Notis Temu Siasat (114) dan Notis Saman Tampal/JPJ(P)23 (115).

    Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, tindakan lebih tegas itu akan diambil selepas tempoh tawaran kompaun khas dengan kadar rata RM150 bagi tiga kesalahan itu yang bermula awal bulan ini berakhir 30 Jun depan, laporan Berita Harian.

    Jelasnya, JPJ akan membuat sekatan urus niaga dan menyenarai hitam pesalah jalan raya terbabit sehingga mereka membayar saman berkenaan.

    “Mereka tidak boleh memperbaharui lesen dan cukai jalan kenderaan selagi tidak menjelaskan tunggakan saman. Jadi sekarang ini kita beri peluang kepada rakyat Malaysia yang mempunyai saman tiga kesalahan yang ditetapkan itu untuk menjelaskan segera.

    “Ada dua juta lagi (saman tidak dijelaskan), masih banyak. Kita tidak akan cari (pesalah jalan raya) tapi kita sekarang dalam tempoh pemutihan, malah masih ramai belum tahu ada kadar kompaun khas ini,” katanya.

    Dalam pada itu, Aedy Fadly berkata JPJ sudah menerima bayaran tunggakan saman RM12.5 juta sejak tawaran kompaun khas dengan kadar rata RM150 bagi tiga kesalahan terbabit dilancarkan awal Januari lalu. Bayaran itu, katanya membabitkan 83,000 saman dan pihaknya masih ‘menunggu’ pesalah jalan raya lain untuk melangsaikan kira-kira dua juta lagi saman.

    “Kompaun AwAS serendah RM150 sahaja jadi ambil lah peluang ini. Bayaran boleh dibuat melalui kaunter JPJ atau aplikasi MyJpj,” katanya.

    Pada 3 Januari lalu, Menteri Pengangkutan ANthony Loke mengumumkan, JPJ mula menawarkan kompaun khas dengan kadar rata RM150 bagi tiga kesalahan selama enam bulan. Pembayaran boleh dilakukan melalui pelbagai saluran antaranya di kaunter JPJ, portal awam, kios JPJ, kaunter mobile JPJ serta aplikasi myJPJ. Walau bagaimana pun, pembayaran kompaun khas itu tidak boleh dilakukan melalui saluran MyEG dan di Pos Malaysia.

     
     
  • Polis Selangor umum ada 18 lokasi ‘speed trap’ untuk Op Lancar hingga 2 Feb sempena Tahun Baharu Cina

    Polis Selangor umum ada 18 lokasi ‘speed trap’ untuk Op Lancar hingga 2 Feb sempena Tahun Baharu Cina

    Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mendedahkan terdapat 18 lokasi perangkap had laju (speed trap) sempena Ops Lancar yang dilaksanakan bermula 24 Januari lalu sehingga 2 Februari 2025. Di mana lokasi perangkap had laju itu membabitkan tujuh daerah di negeri ini, laporan Harian Metro.

    Menurutnya, antara lokasi tumpuan perangkap had laju ialah di Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak (KLK), KM 30 Jalan Kuala Lumpur – Ipoh, Jalan Klang Teluk Intan (Pekan Kuala Selangor-Tanjung Karang), Jalan Kuala Selangor – Rawang serta Plaza Tol Sungai Besi.

    “Selain operasi perangkap had laju, Polis Selangor turut membuat rondaan di 62 kawasan ‘hotspot’ dan 32 kawasan ‘blackspot’ di seluruh negeri ini.

    Polis Selangor umum ada 18 lokasi ‘speed trap’ untuk Op Lancar hingga 2 Feb sempena Tahun Baharu Cina

    “Matlamat operasi adalah untuk melancarkan aliran trafik serta mengurangkan dan mengelakkan kemalangan jalan raya terutamanya pada musim perayaan ini,” katanya selepas merasmikan kempen keselamatan jalan raya dan advokasi sempena perayaan Tahun Baharu Cina di Plaza Tol PJS 2, Lebuhraya Baru Pantai (NPE) kelmarin.

    Hussein berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan dan aduan boleh terus menghubungi Bilik Gerakan Trafik Bukit Aman di talian 03-2266 3356.

    “Selain itu aduan atau pertanyaan juga boleh dibuat ke Bilik Gerakan Trafik Selangor 03-55100559 atau Hotline CCC Selangor 03-55145206,” katanya.

     
     
  • Dua lokasi ‘hotspot’ angin lintang di Lebuhraya PLUS, sila berwaspada ketika melaluinya – Bomba N9

    Dua lokasi ‘hotspot’ angin lintang di Lebuhraya PLUS, sila berwaspada ketika melaluinya – Bomba N9

    Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) Negeri Sembilan menasihatkan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati di dua lokasi ‘hotspot’ angin lintang di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), laporan Bernama.

    Penolong Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran Penguasa Kanan Bomba II Mohamed Faiz Muin Mohamed Rasidi berkata dua lokasi dalam jajaran negeri tersebut bermula di KM 222 sempadan Melaka hingga Hentian Senawang dan KM 267 Ainsdale hingga ke Seri Putera.

    “Kedua-dua lokasi ini kawasan ‘hotspot’ kemalangan yang sering berlaku dan antara faktornya disebabkan angin lintang dan kecuaian pengguna jalan raya itu sendiri. Oleh itu, pengguna perlu sentiasa berhati-hati dan berwaspada semasa pemanduan terutama ketika musim perayaan dengan jumlah kenderaan juga meningkat,” katanya.

    Mohamed Faiz Muin menambah seramai 150 anggota dan 26 jentera serta tiga van Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) bersiap siaga sempena Op Siaga Raya yang bermula 28 Jan hingga 2 Feb sempena dengan perayaan Tahun Baharu Cina.

    Beliau berkata satu jentera turut diletakkan secara statik di Tol Pedas manakala Unit Rapid Intervention Motorcycle JBPM negeri akan melakukan rondaan secara berkala di kawasan lebuhraya hingga Nilai bagi memastikan keadaan terkawal.

     
     
  • 25 Smartlane diaktifkan di Lebuhraya PLUS sempena Tahun Baharu Cina – efektif hingga 2 Feb 2025

    25 Smartlane diaktifkan di Lebuhraya PLUS sempena Tahun Baharu Cina – efektif hingga 2 Feb 2025

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangka peningkatan trafik sehingga 2.2 juta kenderaan sehari pada hari-hari Puncak di rangkaian lebuhrayanya sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina yang bakal disambut pada Rabu hadapan. Ini merupakan peningkatan hampir 20% pada hari-hari biasa di rangkaian Lebuhraya PLUS. Jangkaan hari-hari puncak di Lebuhraya PLUS adalah pada 24 hingga 25 Januari, 31 Januari dan 1 Februari 2025.

    Justeru, bagi melancarkan pergerakan trafik di lokasi-lokasi kritikal di lebuhraya kendaliannya, laluan Smartlane di 25 lokasi tumpuan trafik telah mula diaktifkan sejak semalam (23 Jan) sehingga 2 Februari 2025.

    Smartlane boleh digunakan oleh kenderaan ringan, persendirian atau penumpang. Ketika Smartlane diaktifkan, lorong kecemasan sedia ada akan dibuka sebagai laluan tambahan untuk mengoptimumkan kapasiti lorong di laluan kritikal lebuh raya.

    “Pengguna lebuh raya boleh mengenal pasti laluan Smartlane melalui paparan Lampu Hijau Berkelip (Green Flashing Light) dan papan tanda pemberitahuan yang dipasang untuk menunjukkan bahawa laluan Smartlane diaktifkan dan boleh digunakan di lokasi-lokasi tertentu,” kata Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Ir. Zakaria Ahmad Zabidi.

    25 Smartlane diaktifkan di Lebuhraya PLUS sempena Tahun Baharu Cina – efektif hingga 2 Feb 2025

    25 lokasi bagi Smartlane terbabit adalah:

    Wilayah Utara

    • Bertam hingga Sg. Dua (KM120.6 hingga KM125.0 Arah Selatan)
    • Bukit Tambun hingga Plaza Tol Juru (KM150.4 hingga KM146.4 Arah Utara)
    • Hentian Sebelah Sg. Bakap hingga Jawi (KM159.3 hingga 162.7 Arah Selatan)

    Wilayah Tengah

    • Gua Tempurung hingga Gopeng (KM303.2 hingga KM297.0 Arah Utara)
    • Slim River hingga Sungkai (KM367.3 hingga KM354.0 Arah Utara)
    • Sungkai hingga Slim River (KM354.0 hingga KM356.0 Arah Utara)
    • Kawasan Rehat & Rawat Rawang hingga Sg. Buaya (KM439.5 hingga KM435.5 Arah Utara)
    • Hentian Sebelah Rawang hingga Rawang (KM437.1 hingga KM443.3 Arah Selatan)
    • Setia Alam hingga Shah Alam (KM4.3 hingga KM8.1 Arah Selatan)
    • Shah Alam hingga Setia Alam (KM8.4 hingga 7.0KM Arah Utara)
    • Susur Keluar Petron, NKVE hingga Subang (KM11.2 hingga KM13.3 Arah Utara)
    • Nilai hingga Kawasan Rehat & Rawat Seremban (KM280 hingga KM276 Arah Selatan)
    • Putra Mahkota hingga Southville (KM289.4 hingga KM292.6 Arah Utara)
    • Southville hingga Putra Mahkota (KM289.5 hingga KM293.5 Arah Selatan)
    • Restoran Jejantas USJ hingga Seafield (KM8.2 hingga KM5.4KM Arah Utara)
    • Bandar Saujana Putra hingga Putra Heights (KM16.3 hingga KM13.2 Arah Utara)
    • Putra Heights hingga Bandar Saujana Putra (KM13.8 hingga KM15.7 Arah Selatan)
    • Susur Masuk dari Lebuhraya MEX ke Lingkaran Putrajaya – Cyberjaya (KM P7.4 hingga KM P7.9 Arah Selatan)

    Wilayah Selatan

    • Port Dickson hingga Seremban (KM260.0 hingga KM263.1 Arah Utara)
    • Ayer Keroh hingga Hentian Sebelah Kg. Bemban (KM194.5 hingga KM184.0 Arah Selatan)
    • Sedenak hingga Kulai (KM34.0 hingga KM27.0 Arah Selatan)
    • Senai hingga Kulai (KM19.0 hingga KM27.0 Arah Selatan)
    • Kulai hingga Senai (KM27.0 hingga KM19.0 Arah Selatan)
    • Dato’ Onn hingga Pasir Gudang (KM4.5 hingga 1.9 Arah Selatan)
    • Pandan hingga Kempas (KM0.4 hingga KM6.0 Arah Utara)

    25 Smartlane diaktifkan di Lebuhraya PLUS sempena Tahun Baharu Cina – efektif hingga 2 Feb 2025

    Untuk itu, pengguna lebuhraya dinasihati agar mematuhi arahan semasa oleh petugas di lokasi dan memberi kerjasama sepenuhnya ketika Smartlanediaktifkan. Walau bagaimanapun, pengguna lebuh raya dilarang sama sekali untuk memandu di lorong kecemasan di lokasi-lokasi lain, di mana tiada laluan Smart Lane diaktifkan.

    Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar pula berkata, “Selain pengaktifan 25 lokasi Smartlane, PLUS turut mempertingkatkan kesiapsiagaan aset dan anggota pasukan tindakbalas kecemasan (ERT) untuk menguruskan insiden lebuhraya. Selain tu, berdasarkan data pola pergerakan trafik musim perayaan, PLUS juga menyediakan aplikasi MyPLUS-TTA untuk memudahkan pengguna lebuhraya merancang perjalanan mereka sekaligus membantu pengagihan trafik.”

    Tambah beliau, PLUS juga telah menambahbaik kemudahan awam di lebih 50 lokasi sejak tahun 2023 dan menambah 50 tandas kabin bagi membantu orang ramai menikmati perjalanan yang lebih lancar, selamat dan selesa.

    Selain itu, PLUS turut menghentikan sementara kerja-kerja penyelenggaraan jalan di lebuhrayanya bermula 23 Januari hingga 3 Februari 2025. Dalam tempoh ini, tiada penutupan lorong akan dijalankan kecuali ianya melibatkan kerja-kerja pembaikan kritikal, kecemasan dan pengalihan kemalangan untuk memastikan keselamatan pengguna lebuh raya.

    25 Smartlane diaktifkan di Lebuhraya PLUS sempena Tahun Baharu Cina – efektif hingga 2 Feb 2025

    “Sepanjang tempoh musim perayaan Tahun Baharu Cina akan datang, kerja-kerja projek pembinaan lorong tambahan Lebuhraya Utara-Selatan laluan Sedenak-Kulai, Johor akan diteruskan mengikut jadual perancangan semasa tempoh di atas. Kerja-kerja yang sedang dijalankan di lokasi ketika ini hanya merangkumi kerja-kerja tanah, pemotongan dan tambakan cerun, struktur perparitan dan pengalihan utiliti yang tidak akan melibatkan sebarang penutupan lorong di laluan utama lebuh raya,” jelasnya.

    Pengguna lebuhraya diminta merancang perjalanan masing-masing termasuk boleh mendapatkan jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA dengan memuat turun dan mengakses aplikasi PLUS untuk memilih waktu perjalanan yang paling optimum di Lebuhraya PLUS dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) bagi perjalanan di antara 24 Januari hingga 2 Februari 2025. MyPLUS-TTA merupakan pendekatan digital PLUS untuk membantu orang ramai merancang dan memilih perjalanan yang paling sesuai untuk musim-musim perayaan.

    Dalam masa yang sama, PLUS turut menasihatkan semua pengguna lebuhraya supaya menyelenggara dan memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan baik, bersedia secara fizikal dan mental untuk melakukan perjalanan jauh, memastikan baki kad Touch ‘n Go dan e-Wallet mencukupi sebelum memulakan perjalanan dan lebih berhati-hati ketika memandu semasa musim hujan.

     
     
  • Mitsubishi Motors dilapor pertimbang tidak akan menyertai penggabungan Nissan dan Honda

    Mitsubishi Motors dilapor pertimbang tidak akan menyertai penggabungan Nissan dan Honda

    Susulan perkembangan rancangan penggabungan Nissan dan Honda, Mitsubishi Motors dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk tidak akan menyertai pembentukan syarikat baharu ini. Menurut laporan Reuters, Mitsubishi yang kini milik Nissan dengan pegangan 24% saham merancang untuk kekal dalam senarai bursa dan dalam masa yang sama akan terus berkerjasama dengan kedua-dua jenama berkenaan.

    Perkara ini diberitahu kepada Reuters oleh tiga sumber yang enggan dikenali kerana mereka tidak diberi kuasa untuk bercakap mengenai perkara itu secara terbuka. Laporan ini turut menyebut saham Mitsubishi Motors turun 3.9% menjelang rehat makan tengah hari tadi selepas merosot lebih daripada 6% pada dagangan awal pada hari Jumaat. Saham Nissan jatuh 0.7% dan saham Honda didagangkan 0.1% lebih rendah.

    Nissan dan Honda mula berunding untuk bergabung pada akhir tahun lalu, yang bakal mewujudkan kumpulan automotif ketiga terbesar di dunia dengan penghasilan sejumlah 7.4 juta kenderaan setahun. Manakala Mitsubishi Motors dijangka akan mengumumkan keputusan mereka sama ada untuk menyertai atau tidak syarikat tersebut pada akhir bulan ini.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Mitsubishi Motors, sebelum ini ada media yang melaporkan bahawa mereka berminat untuk menyertai kerja-kerja bagi merangka integrasi perniagaan yang sedang ditimbangkan oleh Honda dan Nissan, namun laporan itu bukan dari kenyataan yang ia keluarkan.

    Mitsubishi Motors dilapor pertimbang tidak akan menyertai penggabungan Nissan dan Honda

    Mitsubishi turut menambah bahawa ia kini sedang mempertimbangkan pelbagai kemungkinan pada tahap sekarang, dan hala tuju tersebut masih belum dimuktamadkan.

    Manakala dalam laporan akhbar Yomiuri menyatakan bahawa Mitsubishi enggan untuk menyertai syarikat baharu tersebut kerana gusar ia akan sukar untuk membuat keputusan berkenaan pengurusan bersama syarikat induk memandangkan saizya yang agak kecil berbanding Nissan dan Honda.

    Apabila ditanya berkenaan laporan Yomiuri tersebut, jurucakap Nissan dan Honda merujuk kepada kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Mitsubishi dan enggan memberikan komen lanjut.

    Disember lalu Nissan dan Honda menyatakan bahawa kedua-duanya mensasarkan untuk memuktamadkan rundingan ini sekitar Jun 2025 sebelum membentuk syarikat induk pada Ogos 2026, apabila saham kedua-dua syarikat telah digugurkan dari bursa.

    Mitsubishi Motors akan mengekalkan struktur sedia ada buat masa sekarang dan fokus untuk mengembangkan pegangannya dalam pasaran Asia Tenggara, lapor Yomiuri lagi.

     
     
  • Diskaun 50% untuk kadar tol pada 27-28 Jan sempena CNY, kecuali di plaza tol BSI dan Tanjung Kupang

    Diskaun 50% untuk kadar tol pada 27-28 Jan sempena CNY, kecuali di plaza tol BSI dan Tanjung Kupang

    Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengumumkan Kerajaan Madani dalam mesyuarat kabinet hari ini telah bersetuju untuk memberikan potongan tol 50% dari kadar tol biasa sempena Perayaan Tahun Baru Cina (CNY) 2025.

    “Keputusan memberikan diskaun 50% dari kadar biasa tol ini akan dilaksanakan bermula jam 12.01 tengah malam pada 27 Januari 2025 (Isnin) dan akan berakhir jam 11.59 malam pada 28 Januari 2025 (Selasa) bagi kenderaan persendirian Kelas 1 sahaja di semua plaza tol KECUALI di plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA),”katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Jelas beliau, implikasi kewangan yang ditanggung Kerajaan bagi membayar balik pampasan kepada syarikat konsesi tol yang terlibat dianggarkan berjumlah RM20.08juta.

    “Pemberian ini merupakan kesinambungan kepada bantuan tol musim perayaan yang telah sekian kalinya diberikan oleh Kerajaan Madani bagi keempat-empat musim perayaan utama di Semenanjung sejak tahun 2023. Sepanjang tempoh tersebut, Kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM356.18 juta sebagai pampasan bagi pelaksanaan bantuan Tol Percuma Musim Perayaan dari 2023 hingga 2024.

    Diskaun 50% untuk kadar tol pada 27-28 Jan sempena CNY, kecuali di plaza tol BSI dan Tanjung Kupang

    “Pengumuman saya sebelum ini berkenaan pemberian tol percuma musim perayaan yang sepatutnya berakhir pada perayaan Krismas 2024 adalah berdasarkan keputusan Mesyuarat Kabinet pada 20 Disember 2024. Bagaimanapun, Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini bersetuju memberikan diskaun tol 50% sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2025 selaras dengan agenda Kerajaan MADANI dalam menjaga perpaduan dan kesejahteraan rakyat yang didukung oleh kedudukan kewangan Kerajaan yang kukuh hasil dari program rasionalisasi subsidi serta peningkatan pelaburan dan perdagangan,” katanya lagi.

    Tambahnya, semua pengguna lebuh raya diharapkan dapat memanfaatkan pengurangan kadar tol ini dengan sebaiknya dan merancang perjalanan dengan sewajarnya bagi mengelakkan kesesakan lalu-lintas semasa cuti panjang ini.

    “Pengguna disarankan memuat-turun apps MYPLUS-TTA di PLUS App (Official) untuk mendapatkan cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) bagi meningkatkan aspek keselamatan dalam pengalaman pemanduan supaya kita semua dapat sampai ke destinasi dengan selamat bagi memaknai pengertian sebenar sambutan perayaan Tahun Baharu Cina kali ini.

    Diskaun 50% untuk kadar tol pada 27-28 Jan sempena CNY, kecuali di plaza tol BSI dan Tanjung Kupang

    “Semua pengguna jalan raya dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi arahan papan tanda dan maklumat yang dipaparkan di Variable Message System (VMS). Pengguna yang menggunakan lorong Smartlane diminta memberi isyarat awal sebelum memasuki lorong Smartlane yang telah diaktifkan, memandu dengan kelajuan yang ditetapkan dan peka dengan keadaan sekeliling semasa,” pesannya,

    Dalam masa yang sama, pengguna juga disarankan untuk menyemak status trafik semasa atau sebarang insiden di lebuh raya yang dikemaskini melalui media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) iaitu di Facebook (Lembaga Lebuhraya Malaysia), di aplikasi X (@LLMtrafik) serta di TikTok (@llmtrafik).

    Pengguna lebuh raya juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1- 800-88-7752 untuk memperolehi keadaan trafik terkini atau bantuan. Bagi mendapatkan maklumat keadaan trafik semasa melalui paparan CCTV di semua lebuh raya, pengguna juga boleh melayari laman sesawang LLM di https://www.llm.gov.my. Di samping itu, maklumat keadaan trafik juga boleh diperolehi daripada WhatsApp Channel LLM Info Trafik.

     
     
  • MIC gesa kerajaan adil kepada masyarakat Cina, perlu terus berikan tol percuma sempena perayaan besar

    MIC gesa kerajaan adil kepada masyarakat Cina, perlu terus berikan tol percuma sempena perayaan besar

    Pelbagai reaksi yang muncul berikutan pengumuman kerajaan baru-baru ini yang mahu menghentikan pemberian tol percuma sempena cuti perayaan, bermula dengan sambutan Tahun Baru Cina tahun ini. Bagi Naib Presiden MIC T Murugiah, kerajaan perlu meneliti penarikan balik pemberian tol percuma berkenaan berlaku adil kepada masyarakat Cina.

    “Saya ingin menyeru pihak kerajaan agar membuat pertimbangan yang lebih teliti dan saksama terhadap keputusan penarikan balik bayaran tol sempena sambutan Tahun Baru Cina.

    “Langkah ini amat penting untuk memastikan bahawa masyarakat Cina, yang merayakan perayaan terbesar mereka, diberikan keadilan dalam menikmati kemudahan serta galakan yang disediakan oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan dan dilaporkan oleh The Star.

    Menurutnya pemberian tol percuma hanya untuk tempoh sementara namun ia boleh meringankan beban kewangan dan menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum.

    “Perlu diingat bahawa kerajaan pernah berjanji untuk menghapuskan pembayaran tol sekiranya diberi mandat untuk memerintah.

    “Kini, walaupun janji itu belum ditunaikan sepenuhnya, setidak-tidaknya kerajaan perlu menunaikan tanggungjawab sosial dengan memberikan keistimewaan seperti pemberian tol percuma sempena perayaan utama. Amat mengecewakan jika ketika waktu perayaan sekalipun, keprihatinan ini diabaikan,” katanya.

    Pengumuman berkenaan pemberhentian pemberian tol percuma ini dibuat oleh Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi pada Selasa lalu. Walau bagaimanapun kerajaan kini sedang mencari jalan bagi memberikan tol percuma tersebut secara bersasar.

    Manakala Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan pula berkata keputusan untuk menamatkan pengecualian tol di lebuhraya semasa musim perayaan belum muktamad dan mungkin masih disemak semula. “Jika ada keputusan baharu, Menteri Kerja Raya akan mengeluarkan pengumuman, kerana esok (hari ini) adalah hari terakhir untuk memuktamadkan keputusan itu sempena Tahun Baharu Cina akan datang,” katanya.

    Tambah Ahmad Maslan lagi pemberian tol percuma dalam sehari sahaja menelan kos antara RM19 juta dan RM20 juta sebagai subsidi untuk membayar pampasan kepada pemegang konsesi lebuh raya.

     
     
  • Tol percuma pada musim perayaan boleh dikembalikan, tunggu keputusan… – Ahmad Maslan

    Tol percuma pada musim perayaan boleh dikembalikan, tunggu keputusan… – Ahmad Maslan

    Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata keputusan untuk menamatkan pengecualian tol di lebuhraya semasa musim perayaan belum muktamad dan mungkin masih disemak semula, laporan The Star.

    “Bolehkah keputusan ini berubah? Ya, boleh. Kita akan ketahui esok (Jumaat ini). Sama ada kekal atau bertukar, kabinet mempunyai kuasa untuk menyemak keputusannya,” kata Ahmad semasa lawatan kerja ke Jabatan Kerja Raya Selangor semalam.

    Tambah beliau lagi, “Jika ada keputusan baharu, Menteri Kerja Raya akan mengeluarkan pengumuman, kerana esok (hari ini) adalah hari terakhir untuk memuktamadkan keputusan itu sempena Tahun Baharu Cina akan datang.”

    Ahmad Maslan juga berkata pemberian tol percuma dalam sehari sahaja menelan kos antara RM19 juta dan RM20 juta sebagai subsidi untuk membayar pampasan kepada pemegang konsesi lebuh raya. “Setiap tahun, kita menyediakan pemberian tol percuma sebanyak lapan kali, bersamaan dengan lapan hari tol percuma sepanjang empat musim perayaan. Apa yang diumumkan oleh menteri mencerminkan keputusan kabinet tahun lepas,” jelasnya.

    Awal minggu ini, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mendedahkan bahawa tiada lagi pemberian kadar tol percuma untuk musim perayaan mulai tahun ini, namun ia akan digantikan dengan pendekatan yang lebih bersasar.

     
     
  • OMV/402 akan sebabkan harga kereta CKD naik 10-30%, kehilangan kerja, penutupan kilang – MACPMA

    OMV/402 akan sebabkan harga kereta CKD naik 10-30%, kehilangan kerja, penutupan kilang – MACPMA

    Persatuan Pengeluar Peralatan Komponen Automotif Malaysia (MACPMA) menyatakan bahawa implementasi terhadap OMV/402 bukan sahaja bakal menyebabkan harga kenderaan yang dipasang secara tempatan (CKD) naik, malah ia turut akan implikasi lain termasuk penutupan kilang seterusnya menyebabkan ramai yang kehilangan pekerjaan.

    Menurut presiden persatuan itu Chin Jit Sin dalam satu kenyataan kepada paultan.org hari ini, sekiranya kerajaan melaksanakan juga OMV/402, ia akan menyebabkan jumlah pengeluaran kenderaan dalam negara berkurangan dengan drastik selepas mencatatkan rekod produksi tertinggi dalam sejarah berjumlah 790,347 unit pada 2024.

    “Apabila diimplementasikan, semakan semula terhadap duit eksais OMV akan menyebabkan harga purata naik antara 10% hingga 30% untuk kenderaan bermotor CKD. Perkara ini dijangka akan mengurangkan jumlah penjualan semua kenderaan bermotor.

    “Walaupun pelaksanaan OMV telah ditangguhkan kepada Januari 2026, pengeluar kenderaan bermotor akan berhenti membuat pelaburan baharu serta-merta untuk mengeluarkan model kenderaan bermotor baharu di Malaysia, dan hanya membawa masuk unit CBU (diimport sepenuhnya) dari negara ASEAN atau RCEP lain, memandangkan terdapat perbezaan kos yang kurang pada unit CBU berbanding kenderaan CKD,” kata Chin.

    OMV/402 akan sebabkan harga kereta CKD naik 10-30%, kehilangan kerja, penutupan kilang – MACPMA

    Kedua-dua situasi itu dikatakan akan mengakibatkan jumlah penghasilan kenderaan CKD yang lebih rendah, seterusnya akan memberikan impak langsung terhadap pengeluar komponen di Malaysia. Persatuan itu menegaskan bahawa industri automotif semasa menyumbang kepada lebih 4% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia dan menyediakan pekerjaan kepada lebih 200,000 orang. Jumlah pengeluaran yang lebih rendah juga boleh menyebabkan penutupan kilang dan kehilangan pekerjaan, tambahnya.

    Dengan lebih banyak kenderaan CBU dibawa masuk ke Malaysia disebabkan harga yang lebih kurang sama dengan unit CKD selepas OMV/402 dilaksanakan, ia akan merubah landskap sektor automotif Malaysia yang akan lebih bergantung kepada import.

    OMV “Perkara 402” ini diwartakan/digazetkan pada hari terakhir 2019, dan bertujuan untuk mencari kaedah baru bagi mengira nilai pasaran terbuka (OMV) kenderaan CKD, yang akan mempengaruhi berapa banyak cukai yang perlu dibayar, dan sekaligus menaikkan harga jualannya. OMV didefinisikan sebagai nilai akhir pasaran kenderaan CKD yang keluar dari kilang, sebelum kerajaan mengenakan duti eksais terhadapnya.

    Ia terdiri daripada kos pek CKD, kos pengilangan dan komponen serta caj pemasangan serta pentadbiran. Kenderaan CBU pula menggunakan sistem berbeza — harganya berdasarkan kos, insurans dan pengangkutan (CIF) yang dikenakan duti eksais dan duti import.

    OMV/402 akan sebabkan harga kereta CKD naik 10-30%, kehilangan kerja, penutupan kilang – MACPMA

    Peraturan ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan itu menyatakan yang dalam mengira OMV, perlu juga dipertimbangkan tidak hanya keuntungan dan perbelanjanaan umum yang terlibat dalam pengeluaran sesebuah kenderaan, tetapi juga dalam jualannya.

    Klausa berkaitan “jualan” inilah yang menjadi masalah, kerana ia melibatkan juga bahagian lain seperti kejuruteraan, kerja pembangunan, kerja seni, kerja rekaan, merancang dan melakar, bayaran royalti serta yuran lesen (paten), tanda dagang, hak cipta. Ia umpama “kos kilang” yang digabung dengan “kos pejabat”. Dan akhirnya, harga kenderaan CKD boleh naik dari 10% hingga 30% sekiranya kaedah ini diguna pakai.

    Peraturan ini sepatutnya dilaksanakan pada 2020, namun selepas 22 hari memasuki tempoh pandemik, MAA umumkan yang Kementerian Kewangan telah menangguhkan rancangan itu hingga 2021. Menjelang hujung 2020, ia sekali lagi ditangguhkan dan MAA merayu kepada kerajaan pada 2022 untuk meneruskan penangguhan itu — tempoh penangguhan dua tahun berjaya diperoleh, hingga 31 Disember 2024. Penangguhan terbaru, seperti yang disahkan awal minggu ini, akan berlangsung hingga 31 Disember 2025.

     
     
  • Jadual Cadangan Waktu Perjalanan di Lebuhraya KL-Karak, LPT1 sempena CNY – 25-28 Jan, 1-2 Feb

    Jadual Cadangan Waktu Perjalanan di Lebuhraya KL-Karak, LPT1 sempena CNY – 25-28 Jan, 1-2 Feb

    Sempena perayaan Tahun Baharu Cina (CNY) yang bakal disambut pada Rabu hadapan, 29 Januari 2025, AFA Prime Berhad (sebelum ini dikenali sebagai ANIH BERHAD) selaku pengendali Lebuhraya KL-Karak (KLK) & Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) telah mengeluarkan Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk rujukan para pengguna kedua-dua lebuhraya terbabit.

    TTA berkenaan adalah bagi perjalanan antara 25 hingga 28 Januari dan 1 hingga 2 Februari 2025, memberikan peluang kepada pengguna untuk merancang perjalanan dengan baik bagi menikmati perjalanan yang lebih lancar dan selesa menuju kampung halaman atau destinasi pilihan.

    Bagi yang datang dari arah KL dan Selangor, dan memulakan perjalanan antara 25 hingga 28 Januari, anda diminta mula bergerak antara jam 10 pagi hingga 2 petang atau selepas 4 petang hingga 6 petang jika ke Pahang, antara 8 pagi hingga 10 pagi atau selepas 6 petang hingga 8 malam bagi yang ke Terengganu dan yang menuju ke Kelantan, dicadangkan mula bergerak antara 6 pagi hingga 10 pagi atau selepas 8 malam hingga 10 malam.

    Jadual Cadangan Waktu Perjalanan di Lebuhraya KL-Karak, LPT1 sempena CNY – 25-28 Jan, 1-2 Feb

    Untuk perjalanan kembali ke KL dan Selangor pada antara 1 hingga 2 Februari pula, anda disarankan memulakan perjalanan antara jam 6 pagi hingga 10 pagi atau selepas jam 7 malam hingga 11 malam jika dari Pahang. Bagi yang datang dari arah Terengganu, disarankan mula bergerak selepas 11 pagi hingga 2 petang atau selepas 8 malam hingga 10 malam. Manakala yang datang dari arah Kelantan pula, disarankan mula bergerak selepas 6 petang hingga 9 malam atau selepas 11 malam hingga 12 tengah malam.

    Waktu perjalanan bebas pula dari mana-mana destinasi adalah antara 12 tengah malam sehingga 6 pagi. Untuk bas ekspres pula, untuk destinasi ke Pantai Timur, disarankan memasuki Plaza Tol Gombak antara jam 9.30 pagi hingga 12 tengahari atau 9.30 malam hingga 12 tengahmalam. AFA memaklumkan, kenderaan ringan tidak digalakkan memasuki Plaza Tol Gombak pada waktu tersebut.

    Perlu diingatkan juga bahawa Ops Selamat CNY2025 bakal bermula pada 28 Januari hingga 2 Februari 2025. Manakala larangan kenderaan berat daripada menggunakan lebuhraya akan dilaksanakan mulai 27 Januari sehinggalah 2 Februari ini.

     
     
  • Deepal S07 didedahkan untuk Malaysia – hingga 258 PS, 475 km ikut WLTP; dilancar tidak lama lagi?

    Deepal S07 didedahkan untuk Malaysia – hingga 258 PS, 475 km ikut WLTP; dilancar tidak lama lagi?

    Selain Xpeng X9, Bermaz Auto (BAuto) turut mendedahkan Deepal S07 (yang turut didakwa sebagai unit pembangunan – R&D) dan dikhabarkan bakal dilancarkan di pasaran Malaysia tidak lama lagi.

    S07 ini merupakan satu daripada dua model Deepal yang sah bakal memasuki pasaran Malaysia, selain itu adalah model S05. SUV elektrik S07 ini memiliki ukuran bersaiz 4,750 mm panjang, 1,930 mm lebar, 1,625 mm tinggi dan jarak rodanya pula 2,900 mm. Boleh dikatakan ia lebih kurang sama saiz dengan Xpeng G6 dan Tesla Model Y.

    Untuk pengetahuan anda, S07 bukanlah model serba baharu, tetapi ia adalah versi facelift dan dinamakan semula dari S7, yang pertama kali diperkenalkan di China pada 2023. Di pasaran sana, S07 yang dilancarkan pada Julai lalu dijual pada harga antara 149,900 yuan dan 176,900 yuan (sekitar RM91k dan RM108k).

    Deepal S07 didedahkan untuk Malaysia – hingga 258 PS, 475 km ikut WLTP; dilancar tidak lama lagi?

    Di China, S07 REEV diberikan dua varian dengan enjin 1.5 liter dan pacuan roda belakang. Perbezaannya adalah pada kapasiti bateri LFP serta kuasa motor elektriknya. Varian permulaan dengan bateri 19.99 kWh mampu menghasilkan kuasa 238 PS (235 hp atau 175 kW) dan 320 Nm, manakala jarak geraknya pula adalah 125 km (CLTC) apabila menggunakan elektrik sahaja dan 1,045 km (CLTC) apabila menggunakan gabungan enjin dan motor.

    Varian tertinggi pula diberikan bateri 39.05 kWh, memberikan jarak gerak EV yang lebih tinggi, iaitu 285 km (CLTC) dan 1,200 km (CLTC) dengan sistem hibridnya. Kuasa keseluruhan adalah 258 PS (255 hp atau 190 kW) dan 320 Nm, membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.6-7.8 saat. Semua varian boleh dicas pada tahap 30-80% dalam masa 15 minit.

    Untuk S07 versi elektrik penuh, dua varian yang ditawarkan di China menggunakan bateri LFP 68.82 kWh, memberikan jarak gerak 520 km (CLTC) dan boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.6 saat, hasil daripada motor elektrik berkuasa 258 PS (255 hp atau 190 kW) dan 320 Nm.

    Thailand juga sudah menerima kemasukan S07 ini, dengan menawarkan dua varian. S07 biasa dijual pada harga 1.399 juta baht (RM180k), dengan perincian seperti bateri nickel manganese cobalt (NMC) 66.8 kWh, jarak gerak 485 km (NEDC) dan motor elektrik 258 PS (255 hp atau 190 kW) dan 320 Nm. Manakala S07 L pula berharga 1.499 juta baht (RM193k), diberikan bateri NMC 79.97-kWh, jarak gerak 560 km (NEDC) serta motor elektrik 218 PS (215 hp atau 160 kW) dan 320 Nm.

    Deepal S07 didedahkan untuk Malaysia – hingga 258 PS, 475 km ikut WLTP; dilancar tidak lama lagi?

    Bagi penggayaannya, S07 memiliki imej ranggi terutamanya ia diserlahkan dengan bampar hadapan berbentuk-X, corong pengambilan udara yang besar, “bumbung ala terapung” dan pencahayaan tiga peringkat untuk kedua-dua lampu utama dan lampu belakang.

    Di dalamnya pula, skrin sesentuh infotainment 15.6-inci disepadukan dengan hampir kesemua kawalan kenderaan, selain itu ia juga diberikan bumbung kaca panoramik, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi pemanas, aliran udara dan urut.

    Walau bagaimana pun, buat masa ini, belum dikhabarkan bilakah S07 ini bakal dilancarkan dan harganya juga masih dirahsiakan. Namun sumber Bermaz Auto berkata, “harga yang bakal ditawarkan adalah sangat menarik”. Kita hanya akan mengetahui apabila ia dilancarkan sepenuhnya pada tahun ini juga.

     
     
  • Xpeng X9 dipertontonkan di Malaysia – MPV EV 7-tempat duduk hingga 503 PS, 575 km ikut WLTP

    Xpeng X9 dipertontonkan di Malaysia – MPV EV 7-tempat duduk hingga 503 PS, 575 km ikut WLTP

    Selepas foto spyshot Xpeng X9 dikesan pada hujung Disember lalu, Bermaz Xpeng (anak syarikat Bermaz Auto) akhirnya bersedia untuk mendedahkan MPV elektrik tujuh-tempat duduk ini buat pertama kalinya di Glenmarie Golf & Resort dalam majlis makan malam bersama pihak media tempatan.

    Walau bagaimana pun, difahamkan model pemanduan sebelah kanan (RHD) ini masih lagi unit R&D dan bakal dilancarkan tidak lama lagi untuk pasaran Malaysia. Buat masa ini, belum ada perincian penuh termasuk harga jangkaannya yang dikongsikan oleh Bermaz Xpeng.

    Berkongsi platform Smart Electric Platform Architecture 2.0 (SEPA 2.0) SUV EV G6 yang diperkenalkan di Malaysia pada Ogos lalu, X9 mempunyai ukuran 5,293 mm panjang, 1,988 mm lebar, 1,785 mm tinggi dan jarak roda 3,160 mm.

    Xpeng X9 dipertontonkan di Malaysia – MPV EV 7-tempat duduk hingga 503 PS, 575 km ikut WLTP

    Untuk menampakkan kelainannya berbanding MPV biasa, X9 ini diberikan rekaan imej yang lebih menyerlah. Terutamanya bahagian belakangnya yang seakan melunjur menampakkan ia agak agresif, dan bahagian hadapannya pula ditampilkan dengan pencahayaan dua peringkat (lampu nyalaan atas dan lampu utama bawah). Selain itu, ciri yang menyerlah termasuk paten jejaring sarang lebah menyerlahkan bahagian hadapannya, pemegang pintu ‘flush pop-up’ dan pintu belakang gelangsar.

    Di dalamnya, X9 menerima sistem infotainment skrin sesentuh 17.3-inci, bersama paparan kluster instrumen digital 10.25-inci. Untuk penumpang belakang pula, diberikan paparan 21.4-inci yang dipasang di bahagian siling serta tempat duduk gaya-airline untuk barisan kedua yang turut diberikan ciri pemanas, pengaliran udara dan urut. Ia juga diberikan bentangan 2-2-3 untuk tujuh-tempat duduknya.

    Untuk penjana kuasanya, mungkin ia lebih kurang sama dengan versi yang dipasarkan untuk Hong Kong. Di sana, X9 didatangkan dengan motor elektrik pemasangan hadapan dengan kuasa 320 PS (315 hp atau 235 kW) dan 450 Nm, membolehkannya ia dipecut dari 0-100 km/j dalam 7.7 saat dan kelajuan maksimumnya mampu dicapai hingga 200 km/j.

    Xpeng X9 dipertontonkan di Malaysia – MPV EV 7-tempat duduk hingga 503 PS, 575 km ikut WLTP

    Di China, X9 turut diberikan versi pacuan roda hadapan yang dilengkapi bateri lithium iron phosphate (LFP) 84.5 kWj yang memberikan jarak sehingga 610 km mengikut kitaran CLTC. Ia menyalurkan tenaga kepada sebuah motor elektrik dengan janaan 320 PS (315 hp atau 235 kW) dan 450 Nm, yang membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.7 saat dan mencapai kelajuan maksimum 200 km/j. Ada juga varian sama dengan bateri nickel manganese cobalt (NMC) berkapasiti lebih besar, 101.5 kWj yang memberikan jarak 702 km.

    Turut ditawarkan ialah varian pacuan semua roda dengan bateri NMC yang sama dan dua motor elektrik, dengan output keseluruhan sistem 503 PS (496 hp atau 370 kW) dan 640 Nm — membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat dan jarak 640 km, serta laju maksimum yang sama 200 km/j.

    Pengecasan pantas DC juga ada, dengan Xpeng mendakwa “pengecasan super-pantas 3C” dengan C itu merujuk kepada berapa kali bateri tersebut boleh dicas dalam sejam. MPV ini boleh mencapai tahap bateri 10-80% dalam 20 minit, serta ada juga fungsi vehicle-to-load (V2L) dengan kapasiti output 3.3 kW.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 24, 2025