Tesla menyiarkan satu teaser model baru yang dinamakan sebagai Tesla Model Y L menerusi akaun rasmi Tesla China di platform Weibo. Imej teaser tersebut menunjukkan profil sisi Model Y dengan lencana “Y” di belakang yang direka sedikit berbeza — kelihatan seolah-olah ada bayang tiga kali yang mungkin merujuk kepada tiga baris tempat duduk.
Nama rasmi “Model Y L” turut disahkan melalui keterangan yang digunakan, dan ia mengikuti cara penamaan kenderaan versi jarak roda panjang (long wheelbase) yang biasa dilihat dalam pasaran automotif China.
Teaser ini dipercayai dikeluarkan selepas reka bentuk sebenar Model Y L turut didedahkan oleh Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China (MIIT), yang merupakan sebahagian daripada keperluan untuk proses pendaftaran dan kelulusan kenderaan baru di China.
Berdasarkan data MIIT, Tesla Model Y L mempunyai ukuran panjang 4,976 mm, tinggi 1,668 mm dan jarak roda 3,040 mm. Sebagai perbandingan, Model Y versi “Juniper” sedia ada berukuran 4,790 mm panjang, 1,624 mm tinggi dan jarak roda 2,891 mm. Ini bermakna, Model Y L mempunyai tambahan 149 mm pada jarak roda, memberikan lebih ruang dalaman.
Menariknya, Tesla sebelum ini pernah menawarkan Model Y versi tiga baris tempat duduk (7 tempat duduk) untuk model asal, tetapi pilihan ini tidak lagi tersedia pada versi Juniper. Kini, dengan kehadiran Model Y L, konfigurasi tiga baris kembali semula — namun kali ini sebagai varian enam tempat duduk, berkemungkinan dengan tempat duduk individu pada baris kedua, berbanding bangku panjang (bench) sebelum ini.
Setakat ini, Tesla China masih belum membuka tempahan rasmi untuk Model Y L di laman web mereka. Belum dapat dipastikan sama ada model ini akan dijual secara eksklusif di China atau turut dieksport ke pasaran lain seperti Malaysia.
Ia bermula dengan varian paling asas S menggunakan enjin 1.5L NA dan dijual pada harga RM115,900, diikuti dengan varian yang dijana enjin 1.5L VTEC Turbo iaitu Turbo E berharga RM120,900 dan Turbo V berharga RM137,900, manakala varian paling tinggi masih RS e:HEV yang menerima enjin 1.5L dan sistem hibrid dijual pada harga RM143,900.
Semua angka yang dinyatakan adalah harga atas jalan tidak termasuk insurans. Jadi ini bermakna varian S dan E menampilkan harga yang sama seperti sebelum ini, manakala varian V dan RS pula naik sebanyak RM2k. Semua varian menerima waranti lima-tahun tanpa had perbatuan, serta diberikan lima kali servis percuma kos buruh (100,000 km atau lima tahun). Manakala bagi bateri hibrid varian RS e:HEV, ia menerima waranti selama lapan-tahun tanpa had perbatuan.
Sekali tengok model facelift ini mungkin nampak masih sama seperti model sebelum ini. Namun jika anda lihat dengan lebih terperinci, barulah nampak kedua-dua lampu hadapan HR-V facelift ini telah dihubungkan antara satu sama lain menerusi satu kemasan bar lebih tebal pada bahagian atas gril.
Bagi varian RS e:HEV ,lampu hadapan versi facelift ini juga telah dipertingkat dengan LED projektor Matrix yang menampilkan sistem Adaptive Driving Beam. Sistem ini membolehkan beberapa bahagian lampu tingginya dipadamkan bagi mengelakkan pemandu lain silau, dan juga memberikan fungsi lampu membelok aktif.
Gril juga nampak macam masih sama, tapi sebenarnya rekaan bahagian bawah gril pada model facelift ini adalah lebih lebar. Varian S masih lagi menggunakan gril bar melintang nipis, varian E dan V diberikan gril pin hitam berkilat, sementara varian tertinggi e:HEV pula diberikan gril pin krom.
Tiada perubahan besar di lihat pada bahagian sisi kecuali rekaan baharu diberikan pada set rim di mana semua varian kini diberikan set 18-inci. Sementara di belakang, kluster lampu masih lagi sama tetapi diberikan rekaan grafik dalam yang berbeza.
Perubahan kecil turut dibuat pada sebelah dalam, juga jika kita tidak akan perasan sekiranya melihatnya sekali imbas. Perubahan tersebut adalah pada bahagian konsol tengah di mana ia kini tidak menampilkan rekaan yang fokus kepada pemandu. Skrin sesentuh lapan-inci untuk sistem infotainmen msih lagi kekal tetapi ia kini dipertingkat dengan diberikan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.
Tiada perubahan unit rangkaian kuasa diberikan. Varian paling asas S masih menerima enjin 1.5L petrol NA DOHC i-VTEC empat-silinder yang menghasilkan 121 PS dan 145 Nm tork pada 4,300 rpm. Manakala varian 1.5 Turbo E dan 1.5 Tubro V pula menggunakan enjin 1.5L VTEC Turbo dengan berkuasa 181 PS dan tork maksima 240 Nm bermula 1,700 hingga 4,500 rpm. Kedua-dua varian NA dan Turbo ini digandingkan dengan transmisi CVT bagi memacu roda hadapan.
Varian RS e:HEV pasaran Malaysia ini turut masih diberikan unit rangkaian kuasa hibrid e:HEV, yang merangkumi enjin 1.5L NA kitaran Atkinson berkuasa 107 PS dan 131 Nm yang bertindak secara primari sebagai generator untuk mengecas bateri, bersama motor elektrik yang memacu roda hadapan (pada situasi tertentu kedua-duanya akan memacu roda) menghasilkan kuasa keseluruhan 131 PS/253 Nm.\
Lima warna badan ditawarkan untuk HR-V facelift 2025 pasaran Malaysia ini iaitu Platinum White Pearl, Stellar Diamond Pearl, Meteroid Grey Metallic, Crystal Black Pearl dan Pheonix Orange Pearl. Tiada lagi warna merah Ignite Red Metallic pada versi facelift kali ini.
Brosur rasmi Honda HR-V facelift 2025, klik untuk besarkan
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memaklumkan bahawa pihaknya bakal melaksanakan penutupan penuh laluan (arah utara) dan pengaktifan laluan kontra (arah selatan) di antara Kompleks Sultan Abu Bakar, Malaysia dan Immigration Checkpoints Authority (ICA) Singapura di KM0.6 hingga KM1.70 di Lebuhraya Linkedua pada 23 Julai 2025.
Ia bertujuan untuk kelancaran latihan simulasi kecemasan tumpahan kimia yang akan diadakan secara berperingkat pada hari berkenaan bermula jam 4 pagi hingga 2 petang.
Justeru, para pengguna laluan terbabit dinasihatkan supaya memandu berhati-hati, mematuhi arahan papan tanda dan juga petugas trafik sepanjang tempoh latihan tersebut serta merancang perjalanan anda.
GWM Wey 80 disahkan bakal dipamerkan menerusi acara Premium Auto Car Expo (PACE) 2025 yang dibawakan khas oleh paultan.org yang bakal berlangsung hujung minggu ini, 19 hingga 20 Julai, di Setia City Convention Centre (SCCC). Malah MPV plug-in hybrid (PHEV) yang bakal dipamerkan ini adalah unit pemanduan sebelah-kanan (RHD), yang pertama kali ditunjukkan untuk tatapan khalayak umum, malah ia juga merupakan versi sebenar yang bakal dilancarkan pada tahun ini.
Dalam penganjuran Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) pada Disember lalu, Wey 80 ini ada dipamerkan tetapi merupakan versi pemanduan sebelah-kiri (LHD) dan juga model pra-peningkatan. Apa pun, unit yang bakal dipamerkan menerusi PACE 2025 dijangka merupakan versi terkini bagi MPV PHEV ini, yang diperkenalkan pada April lalu di Auto Shanghai 2025.
Di China, Wey 80 baharu dikuasakan oleh sistem Hi4 (Hybrid intelligent 4WD) yang dipertingkatkan, yang terdiri daripada enjin 1.5 liter turbo empat-silinder 170 PS/245 Nm, motor elektrik 109 PS/170 Nm dan transmisi hibrid khas (DHT) empat-kelajuan, bersama satu lagi motor 184 PS/232 Nm untuk memacu roda belakang. Kuasa keseluruhan yang dihasilkan adalah 458 PS dan 644 Nm, dengan bateri yang digunakan adalah unit nickel manganese cobalt (NMC) 51.55 kWh, mampu memberikan jarak gerak elektrik (WLTP) 201 km dan jarak gerak keseluruhan 963 km.
Wey 80 ini juga dijangka mampu memberikan persaingan sengit buat MPV elektrik Denza D9, Zeekr 009 dan Xpeng X9 serta Toyota Alphard dan Vellfire. GMW juga telah mengesahkan bahawa Wey 80 akan dikeluarkan secara pemasangan tempatan (CKD) di Melaka, dan mungkin ditawarkan dengan harga yang lebih kompetitif. Kalau nak tengok Wey 80 di hadapan mata, jom kunjungi PACE 2025 dan masuk adalah percuma.
GALERI: GWM Wey 80 Gaoshan 9 di Auto Shanghai 2025
Promosi besar-besaran dan potongan harga yang ditawarkan oleh pengeluar kereta di Malaysia ketika ini mungkin menguntungkan pembeli dalam jangka pendek, tetapi menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA), ia memberi kesan negatif terhadap industri dan pembeli dalam jangka panjang.
Presiden MAA, Mohd Shamsor Mohd Zain berkata, tindakan menurunkan harga secara berlebihan boleh menyebabkan nilai jualan semula kereta jatuh dengan cepat, terutama bagi pembeli awal.
“Diskaun memang nampak baik untuk jangka pendek, tetapi untuk jangka panjang ia sebenarnya merugikan, khususnya kepada pelanggan. Nilai kereta akan susut dengan lebih cepat dan pembeli awal akan terasa kesannya. Ini juga menjadikan strategi jualan tidak berkesan kerana ia hanya bersifat sementara,” katanya.
Beliau menambah bahawa promosi memang penting, tetapi perlu dilakukan secara berhemah dan tidak keterlaluan. Ketika ini, pelbagai tawaran menarik sedang berlangsung. Antara yang paling ketara termasuk Honda – diskaun sehingga RM10,000, Toyota – sehingga RM10,500, Proton – sehingga RM15,000, Chery – sehingga RM16,000, Mitsubishi – sehingga RM18,000, Nissan – sehingga RM22,000 dan Peugeot – sehingga RM30,000.
Ini belum termasuk kenderaan elektrik (EV), yang menyaksikan penurunan harga lebih drastik. Sebagai contoh, Proton sebelum ini menyatakan mereka tidak akan menyertai perang harga demi melindungi nilai jualan semula kereta mereka. Namun, syarikat itu juga pernah memulakan langkah awal dengan menurunkan harga model mereka bagi menyaingi BYD Atto 3 – termasuk menjadikan diskaun RM4,000 untuk pembeli awal sebagai harga tetap.
Sebagai tindak balas, BYD menurunkan harga model Atto 3 Ultra sebanyak RM26,000 kepada RM124,000 (atau RM119,000 selepas rebat). Model ini pada asalnya dilancarkan pada hujung 2022 dengan harga RM168,000 – penurunan hampir RM50,000.
Kemudian, Chery Omoda E5 menyertai persaingan dengan menawarkan potongan RM27,000 menjadikan harganya RM119,818 bagi unit 2024. Menjelang Mei, harga ini turun lagi kepada RM98,818 untuk jualan penghabisan stok. Padahal, model EV ini dilancarkan pada Mac 2024 dengan harga asal RM146,800.
Kini, jenama lebih kecil seperti GAC Aion Y Plus dan Leapmotor C10 juga terpaksa menurunkan harga bagi kekal bersaing. Leapmotor C10 – yang hadir dengan spesifikasi dipertingkat dan badan terbesar dalam kelasnya – kini dijual pada harga RM125,000, berbanding harga asal RM159,000 (atau RM149,000 dengan diskaun pembeli awal). Malah, ada unit 2024 yang kini ditawarkan pada harga serendah RM110,000.
Selepas berjaya dilangsungkan dengan dua pusingan tahun lalu, Malaysia Iconic Rally Championship (MIRC) kembali untuk dilangsungkan tahun ini – ia lebih besar dan mendapat sokongan dari badan pentadbir utama sukan permotoran tempatan iaitu Persatuan Permotoran Malaysia (MAM), dan kini dikenali sebagai Kejohanan Rali Malaysia-MAM (MAM-MRC) 2025!
Dengan nama dan status baharu ini MAM-MRC boleh dilihat sebagai penerus bagi kejohanan rali peringkat nasional sebelum ini iaitu Kejohanan Rali Malaysia AAM yang dihentikan sebaik sahaja musim 2018 berakhir.
Pusingan pertama MAM-MRC musim ini akan berlangsung pada 2 hingga 3 Ogos ini iaitu di Rally of Jempol 2025, di mana kereta-kereta rali akan memecah keheningan ladang-ladang sawit dengan Super Stage (SS) yang akan dibuat di sekitar Felda Raja Alias, Negeri Sembilan.
Orang ramai yang datang ke Jempol untuk menyaksikan rali ini turut akan dimeriahkan dengan Karnival Rally of Jempol yang akan diadakan di Dataran Seri Jempol bermula 1 hingga 4 Ogos 2025. Senarai pelumba masih belum dikeluarkan oleh pihak MAM-MRC, namun dijangka kali ini ia turut akan menarik penyertaan pelumba dari luar negara.
Sebanyak empat pusingan dirancang untuk diadakan untuk MAM-MRC 2025, di mana tiga daripadanya dianjurkan oleh Millennium Motorsport Adventure Club (MMAC) yang merupakan penganjur MIRC tahun lalu, manakala satu pusingan lagi dianjurkan oleh MAM sempena Malaysia Festival of Speed (MFOS).
Tarif yang dikenakan oleh pentadbiran presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkemungkinan menyebabkan kenaikan harga kenderaan di Malaysia, secara tidak langsung melalui kesan kepada alat ganti automotif import dan eksport, kata Persatuan Automotif Malaysia (MAA).
“Berkenaan eksport (CBU), pada 2024 cuma sekitar US$142k (RM603k), jadi ia sangat kecil. Kebimbangan kami berkenaan tarif adalah lebih kepada alat ganti kenderaan, aksesori, di mana ia bernilai hampir US$100 juta (RM425 juta) – ini adalah sekitar 80% daripada jumlah keseluruhan kenderaan kita, selain kereta api, eksport ke AS,” kata presiden MAA, Mohd Shamsor Mohd Zain.
“Jadi, kekhuatiran adalah lebih kepada alat ganti CKD import, yang boleh dikenakan tarif AS apabila datang dari pelbagai negara, jadi kesannya akan kembali kepada kita kerana alat ganti itu mungkin menerima sedikit impak kos. Sekarang kita belum rasa kesannya, ia hanya akan terasa selepas enam bulan,” tambah beliau.
Ini bermakna ia adalah kesan dua arah. Alat ganti CKD yang diimport ke Malaysia daripada negara yang dikenakan tarif tinggi mungkin memakan kos tinggi, dan pembekal alat ganti Malaysia (selain semikonduktor yang dikecualikan daripada tarif) mungkin menerima tempahan yang sedikit, sekaligus akan menaikkan kos yang kemudiannya akan beralih pula kepada alat ganti yang dibekalkan ke Malaysia.
Baru-baru ini Trump kembali mengenakan tarif 25% kepada barangan buatan Malaysia. Meskipun Malaysia secara umumnya tidak mengeksport kenderaan ke AS, kita masih merupakan pemain global komponen automotif, terutamanya semikonduktor. Jadi, kalau harga kereta betul-betul naik tahun depan, antara penyebabnya adalah tarif Trump, selain semakan semula duti eksais OMV/402 yang akan dikenakan tidak lama lagi.
Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan bahawa bagi minggu bertarikh 17 hingga 22 Julai 2025, harga runcit petrol RON 97 dinaikkan tiga sen seliter, kini pada paras RM3.21 seliter. Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling, masih dikekalkan pada RM2.05 seliter.
Untuk harga runcit bagi diesel yang dijual di Semenanjung Malaysia, ia juga dinaikkan sebanyak tiga sen seliter iaitu menjadi RM2.91 seliter. Manakala harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.
Berkaitan dengan pelaksanaan pelaksanaan subsidi bersasar RON95 pula, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan ia akan diteruskan seperti yang dirancangkan. Dalam masa yang sama, beliau turut mengulangi bahawa pelaksanaan subsidi bersasar RON95 tidak akan menjejaskan sebahagian besar rakyat
Di mana mekanisme pelaksanaan subsidi ini akan menggunakan sistem pengenalan diri MyKad dan dua kadar harga. Katanya, pembangunan mekanisme pelaksanaan langkah yang disasarkan dapat mengukuhkan kewangan negara sedang diperhalusi dengan kerajaan tidak mahu mengumumkan sesuatu pelaksanaan dasar secara terburu-buru.
Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) yang berlangsung pada Disember tahun lalu kini sudah mengumumkan edisi berikutnya bagi pameran tersebut yang akan berlangsung tahun depan. Penganjurnya, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) memaklumkan, acara pameran permotoran itu akan diadakan pada 12 hingga 21 Jun 2025, beralih dari kalendar penganjuran hujung tahun pada 2024 lalu.
Lokasi akan dikekalkan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC). Ia akan diadakan dua kali setahun kerana dianjurkan secara berselang tahunan dengan acara Malaysia Auto Show (MAS), yang baru saja diadakan tahun ini pada April lalu — membolehkan Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya satu pameran automotif setiap tahun.
KLIMS akan terus bertindak selaku pameran dengan pendekatan tradisional, dengan mempamerkan model-model baru serta kereta konsep yang akan menjadi tumpuan utama, jelas Presiden MAA, Mohd Shamsor Mohd Zain. Ini berbeza dengan pameran berasaskan jualan yang dianjurkan untuk MAS, yang mana pengedar akan mengambil tempahan untuk kenderaan baru dan pelanggan boleh memandu uji kenderaan.
MAA sedang merancang penambahbaikan yang akan menerapkan beberapa elemen daripada MAS untuk KLIMS, seperti sesi pandu uji, walaupun semua itu bergantung kepada jenama masing-masing yang terlibat. “Kami sudah mempunyai petunjuk bahawa bahkan jenama yang tidak ikut serta tahun lalu juga sudah merancang untuk menyertai pameran ini,” jelas Mohd Shamsor. “Kami berharap akan dapat membawakan pameran yang lebih meriah tahun depan.”
Perubahan lain juga akan dilakukan untuk memperbaiki kekurangan dalam edisi yang lalu, seperti kekurangan kemudahan untuk petugas media. Itu terjadi kerana waktu singkat yang terpaksa dilalui oleh penganjuran tahn lalu, selepas keluar dari pandemik Covid-19 sebelumnya. Begitu juga senggang yang terlalu lama kerana MAA berehat daripada penganjuran sebelum itu — melibatkan tempoh enam tahun tanpa pameran tersebut.
“Kali ini, kerana ada banyak masa untuk merancang, kami akan menyediakan lebih banyak aktiviti dan kemudahan untuk semua,” jelasnya.
Kementerian Pengangkutan (MoT) telah melantik empat Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) khas untuk melakukkan pemeriksaan tukar hak milik MV15 (sebelum ini dikenali sebagai B5) yang disasarkan untuk mengurangkan kesesakan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dalam laporan Berita Harian, empat PPKM berkenaan akan mula beroperasi dalam masa tiga bulan lagi, dan ia selaras keputusan mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Mac 2023.
Loke menjelaskan bahawa empat PPKM yang dilantik itu hanya akan membuat pemeriksaan terhadap kenderaan persendirian saja berbanding pemeriksaan terhadap pelbagai jenis kenderaan dilaksanakan di Puspakom ketika ini, dan ia akan memudahkan dan mempercepatkan proses pemeriksaan kenderaan persendirian tanpa perlu bersesak dengan kenderaan berat ketika di Puspakom.
“Pelantikan PPKM dengan fungsi khusus bagi pemeriksaan MV15 ini adalah antara usaha kita untuk menambah penawaran perkhidmatan pemeriksaan, pertukaran hak milik kenderaan dalam pasaran dan mengurangkan kesesakan di Puspakom sekarang,” katanya pada sidang media sebelum menyerahkan surat tawaran kepada empat syarikat berkenaan.
Empat syarikat yang dilantik itu adalah Carro Technology Sdn Bhd; Carsome Academy Sdn Bhd; Wawasan Bintang Sdn Bhd dan Beriman Gold Sdn Bhd.
Loke menjelaskan, tawaran kelulusan bersyarat diberikan kepada tujuh syarikat untuk melaksanakan perkhidmatan ini, namun hanya empat yang menerimanya dan bersedia menerima syarat diletakkan. Beliau menambah kelulusan bersyarat yang diberikan bagi tempoh 12 bulan itu membolehkan syarikat membuat persediaan berdasarkan syarat ditetapkan dalam garis panduan itu, namun ada syarikat menyatakan mampu mula beroperasi seawal tiga bulan lagi.
Walau bagaimanapun perlu diingatkan bahawa empat PPKM ini hanya akan menawarkan pemeriksaan MV15 untuk proses tukar milik selepas kenderaan dijual dan buat masa sekarang ia dikenakan bayaran RM30. Manakala untuk urusan pemeriksaan B7 untuk tujuan mendapatkan pembiayaan sewa beli kenderaan terpakai, ia masih perlu dibuat di Puspakom.
Pemeriksaan B7 ini diperkenalkan pada 2011, dan ia menampilkan pemeriksaan yang lebih terperinci, dan buat masa sekarang ia dikenakan bayaran sebanyak RM60.
Awal tahun ini, BYD memperkenalkan sistem bantuan pemanduan canggih yang dikenali sebagai God’s Eye, dan ia kini dilengkapi secara standard untuk semua model jenama di bawah kumpulan BYD termasuk Denza, Fangchengbao dan Yangwang. Kini, sistem tersebut diberikan kemas kini terbaru melalui sambungan tanpa wayar (over-the-air/OTA) yang meningkatkan lagi keupayaan teknologinya.
Menerusi satu perkongsian di laman Weibo, BYD memaklumkan bahawa penambahbaikan utama dalam kemas kini ini ialah sistem bantuan letak kenderaan yang dinaik taraf sepenuhnya. Menariknya, sistem ini sekarang dikatakan setanding dengan autonomous Tahap 4, yang bermaksud pemandu tidak perlu menggunakan tangan, mata atau memberi tumpuan langsung ketika kereta sedang melakukan parkir secara automatik. BYD turut mendakwa ini adalah sistem pertama seumpamanya di dunia.
Sistem parkir pintar ini boleh berhadapan dengan pelbagai jenis ruang parkir – selari, serong dan tegak – termasuk parkir secara mengundur atau masuk ke depan. Ia juga mampu mengesan halangan seperti bumbung rendah atau kenderaan lain yang diletakkan tidak kemas, lalu menyesuaikan posisi parkir agar penumpang masih boleh keluar dan masuk dengan selesa.
Satu lagi ciri baru adalah keupayaan untuk mengesan ruang parkir sempit, di mana cermin sisi akan dilipat secara automatik bagi mengelakkan sebarang geseran. Pemandu turut diberi pilihan untuk memilih antara tiga kelajuan parkir, termasuk mod “kelajuan ekstrem”. Lebih menarik, pengguna juga boleh berada di luar kenderaan dan membiarkan kereta parkir secara sendiri.
Menunjukkan keyakinan penuh terhadap keupayaan sistem ini, BYD turut mengumumkan bahawa mereka akan bertanggungjawab sepenuhnya sekiranya berlaku sebarang kemalangan akibat penggunaan sistem bantuan parkir baru ini. Mereka akan menanggung kos kerosakan, termasuk kerugian harta benda pihak ketiga serta kecederaan, walaupun kenderaan sudah tamat tempoh waranti atau dibeli oleh pemilik kedua. Pendekatan ini mengingatkan kita kepada komitmen awal Volvo ketika membangunkan teknologi pemanduan autonomous.
Selain sistem parkir, kemas kini ini turut mempertingkatkan ciri pemanduan separa automatik Tahap 2 dalam sistem God’s Eye, termasuk keupayaan untuk mempercepat atau memperlahankan kenderaan secara automatik ketika menukar lorong, bergantung kepada aliran trafik. Kenderaan juga akan mengelipkan lampu hadapan dan membunyikan hon jika mengesan kenderaan lain menukar lorong secara berbahaya – satu ciri yang sangat sesuai untuk keadaan trafik di Malaysia.
Turut disertakan ialah penambahbaikan kepada fungsi asas sistem ini, seperti pelarasan automatik ketinggian lampu hadapan ketika berada dalam mod pemanduan bantuan bagi meningkatkan keupayaan pengesanan halangan. Selain itu, lampu isyarat membelok akan dimatikan secara automatik selepas sistem selesai menukar lorong. Bagi model dengan versi asas sistem God’s Eye C (juga dikenali sebagai DiPilot 100 tanpa pengesan lidar), panduan operasi kini dipertingkatkan dan julat kelajuan sistem juga dioptimumkan agar lebih mematuhi tetapan kelajuan yang ditetapkan pengguna.
Kemas kini ini akan mula ditawarkan kepada model “Dynasty” yang menggunakan sistem God’s Eye C terlebih dahulu, termasuk Qin Plus, Qin L, Song L, Song Pro, Yuan Plus (juga dikenali sebagai Atto 3), Yuan Up (Atto 2), dan MPV Xia. Model-model lain akan menyusul tidak lama lagi. Pengumuman ini hadir seiring dengan kejayaan BYD yang kini mempunyai lebih sejuta unit kenderaan dilengkapi sistem God’s Eye yang telah berada di atas jalan raya di China.
Kenderaan elektrik (EV) Perodua yang akan dilancarkan tidak lama lagi sekali lagi ditemui, dan kali ini di Bukit Sentosa, Rawang oleh Chip Pkb yang memuatnaik gambar serta videonya dalam kumpulan Facebook paultan.org Automotive/Car Discussion.
Melalui hantaran yang dibuat, kita boleh melihat kereta yang mungkin akan dipanggil sebagai ‘QV-E’ ini mempunyai semua lampu jenis LED termasuk lampu undur, penunjuk arah sequential serta DRL LED yang terletak di bawah unit lampu utama.
Kemudiannya jika anda dengar secara teliti, terdapat bunyi seperti dikeluarkan oleh kereta tersebut. Berkemungkinan ia adalah sistem amaran kenderaan akustik (AVAS), yang akan diwajibkan kepada semua EV di Malaysia memasuki tahun 2026. Ya, ini adalah satu sistem seperti yang mengeluarkan bunyi ‘lori aiskrim’ pada Proton eMas 7.
Tidak dapat dipastikan sama ada bunyi ‘boop’ di awal video datang pada kereta itu, tetapi apabila ia semakin hampir dengan kamera, kita dapat mendengar bunyi ‘buih’ yang agak futuristik. Apa pendapat anda dengan ‘QV-E’ ini? Adakah ia boleh menarik ramai pengguna?
Nissan telah mengumumkan bahawa ia akan menghentikan operasi kilang Oppama miliknya di Jepun yang penuh sejarah pada akhir tahun kewangan 2027, iaitu pada Mac 2028. Ini adalah salah satu langkah dalam rancangan penstrukturan semula syarikat itu yang digelar sebagai Re:Nissan untuk keluar dari krisis kewangan yang sedang dihadapi sekarang.
Oleh itu semua model-model sedia ada yang sedang diproduksi dan model-model baharu yang dirancang akan diproduksi di kilang Oppama berkenaan akan dipindahkan ke kilang Nissan Motor Kyushu yang terletak di wilayah selatan Fukuoka.
Kilang Oppama tersebut telah memulakan produksinya pada 1961, dan merupakan salah satu kilang automotif berskala besar di Jepun ketika itu. Ia juga menjadi kilang pertama yang memasang model EV pertama Nissan iaitu Leaf pada 2010, dan kemudian disambung dengan produksi Nissan Note yang menerima unit rangkaian kuasa hibrid e-Power.
Selain itu, kilang Oppama yang sering dirujuk sebagai ‘ibu kilang’ Nissan di Jepun ini juga pernah menghasil model-model seperti Bluebird, Cube dan Juke. Buat masa sekarang kilang ini beroperasi dengan sekitar 2,400 pekerja, ke semuanya akan kekal bekerja sehingga tamat tahun kewangan 2027.
“Keputusan ini hanya untuk kilang Oppama yang terletak di daerah Oppama. Fasiliti-fasiliti dan fungsi-fungsi lain di daerah tersebut – seperti Nissan Research Centre, Litar Ujian Grandrive Proving Ground, fasiliti ujian pelanggaran dan Oppama Wharf (pusat penyimpanan dan pengangkutan kenderaan) – akan kekal tidak terjejas dan terus beroperasi seperti biasa,” kata Nissan dalam kenyataan yang dikeluarkan.
“Hari ini, Nissan membuat keputusan yang sukar tetapi perlu. Ia tidak mudah – untuk saya atau untuk syarikat – tetapi saya percaya ia adalah langkah penting ke arah mengatasi cabaran semasa kami dan membina masa depan yang mampan. Kilang Oppama adalah bahagian yang membanggakan dalam sejarah kami, dan warisannya akan kekal,” kata CEO Nissan, Ivan Espinosa.
Nissan Leaf tanpa pemandu yang bertugas untuk menunda stok-stok baharu kereta yang dihasilkan di kilang Oppama
“Saya ingin mengucapkan terima kasih yang tulus kepada pekerja kami, masyarakat setempat dan rakan kongsi kami yang telah menyokong kilang ini dengan dedikasi dan hati. Kami akan terus beroperasi di kawasan Oppama dengan sokongan padu untuk masyarakat setempat, sambil kami meneruskan semangat kilang Oppama dan berusaha memulihkan nilai sebenar Nissan,” tambahnya.
Penghentian operasi pengeluaran di kilang Oppama ini adalah selaras dengan rancangan penstrukturan semula syarikat bagi mengurangkan kapasiti pengeluaran globalnya daripada 3.5 juta unit (tidak termasuk China) kepada 2.5 juta unit sambil mengekalkan kadar penggunaan kilang sekitar 100%. Ini akan menyaksikan beberapa operasi pengeluaran akan disatukan, bagi membolehkan jumlah 17 kilang dikecilkan hanya kepada 10 kilang, dan kilang Oppama ini antara yang menjadi “korban”.
Nissan turut mengumumkan bahawa produksi van NV200 yang kini dibuat di kilang Nissan Shatai Shonan yang terletak di wilayah Kanagawa akan berakhir pada tahun kewangan 2026 (Mac 2027). Ia akan digantikan dengan model kenderaan komersil ringan (LCV) baharu yang akan diperkenalkan pada tahun kewangan 2027.
Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bakal menerima dua set pertama tren pelbagai gerabak (EMU) dan dua unit lokomotif elektrik (E-Loco) yang dijangka tiba hujung tahun ini, laporan Bernama
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak, ia bertujuan bagi ujian pentauliahan kereta api penumpang dan kargo yang akan dilaksanakan pada Jun 2026.
“Untuk fasa seterusnya, sembilan lagi set EMU dan 18 lokomotif akan diterima secara berperingkat antara April hingga Mei tahun depan. Secara keseluruhan kita ada 11 EMU untuk pengangkutan penumpang dan 20 lokomotif bagi perkhidmatan kargo,” katanya.
Dalam hal lain, beliau berkata, MRL akan menghantar 109 penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) seperti politeknik dan MARA menjalani Program Latihan Kemahiran Industri ECRL (PLKI-ECRL) ke Liuzhou, China secara berperingkat pada Ogos hingga Oktober tahun ini. Semua pelatih yang dipilih dijamin mendapat peluang pekerjaan di ECRL selepas tamat tempoh latihan dengan tawaran gaji permulaan sebanyak RM3,000.
ECRL melibatkan laluan sepanjang 665 km yang menghubungkan Kota Bharu dan Pelabuhan Klang yang akan mempunyai 59 terowong, dijangka akan memendekkan masa perjalanan kepada empat jam berbanding tujuh jam yang diperlukan untuk jalan raya biasa, atau lebih 12 jam pada musim perayaan.
Acara Minggu Perpaduan 2025 Peringkat Kebangsaan bakal berlangsung di Pulau Pinang dari 17 hingga 20 Julai, iaitu Khamis hingga Ahad ini bertempat di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan.
Seperti kelaziman bagi acara kerajaan berskala besar, pastinya pengangkutan awam percuma akan disediakan untuk ke lokasi acara. Rapid Penang akan menyediakan perkhidmatan bas percuma untuk membawa orang ramai ke/dari stadium berkenaan dari/ke bahagian pulau. Sebanyak tujuh buah bas akan disediakan dengan 26 perjalanan sehari.
Terdapat dua laluan yang disediakan iaitu dari Sungai Nibong di bahagian pulau dan satu lagi dari Seberang Jaya. Perkhidmatan bas dari Terminal Sungai Nibong (Tapak Pesta Pulau Pinang) bermula jam 9 pagi hingga 10.30 malam kecuali Ahad yang beroperasi dari 9 pagi hingga 6.30 petang. Manakala laluan dari Blanket Hotel Seberang Jaya juga dengan waktu operasi yang sama, tetapi berakhir 15 minit lebih lambat (10.45 malam dan 6.45 petang). Kekerapan ketibaan bas adalah setiap satu jam.
Untuk jadual bas dan laluannya, anda boleh semak grafik di atas. Bagi yang mempunyai tunggakan saman trafik, PDRM juga bakal menawarkan diskaun sebanyak 50% bagi saman terpilih menerusi acara yang sama.