Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Harga minyak 9-15 Mei – Semuanya dikekalkan

    Harga minyak 9-15 Mei – Semuanya dikekalkan

    Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan bahawa harga runcit ketiga-tiga bahan api utama iaitu petrol RON 97, RON 95 dan diesel masih tidak berubah untuk minggu bertarikh 9 hingga 15 Mei 2024.

    Di mana petrol RON 97 masih dikekalkan pada harga runcit RM3.47 seliter, setelah mengalami kenaikan terakhir (setakat ini) sebanyak 10 sen seliter pada 20 September 2023.

    Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Pada pertengahan April lalu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menegaskan bahawa langkah kerajaan untuk mengurangkan subsidi petrol tetap akan dilaksanakan tahun ini dalam usaha untuk mengecilkan defisit fiskal negara. Menurutnya susulan jangkaan rasionalisasi bahan api itu, kerajaan akan melaksanakan pengurangan subsidi secara berperingkat dengan risiko inflasi meningkat sebelum rancangan itu dilaksanakan.

     
     
  • Pusat 3S Nissan Retail Concept dibuka di Cyberjaya

    Bagi memperluaskan lagi rangkaian jenamanya, kini pusat 3S Nissan telah pun dibuka di Cyberjaya. Dikendalikan oleh Evo Mobility, fasiliti dengan kos pelaburan sebanyak RM1.5 juta ini telah beroperasi sejak Januari lalu, untuk memberikan perkhidmatan yang diperlukan oleh para pelanggannya yang berada di sekitar Cyberjaya, Sepang dan Putrajaya.

    Edaran Tan Chong Motor (ETCM) berkata Evo Mobility mempunyai pengalaman selama lebih dua dekad dalam memperkukuhkan perniagaan yang berasaskan pengedaran bahan api di rantau selatan dan kini menceburi bidang automotif pula.

    Bertempat di Jalan Autoville 2, Autoville Cyberjaya (hab bagi perniagaan baikpulih dan jualan automotif di bandar berkenaan) dengan fasiliti seluas 7,300 kaki persegi, pusat 3S ini mampu menempatkan lima kenderaan di ruang pameran, menyediakan ruang penyerahan kenderaan baharu, ruang lounge untuk pelanggan dan juga dua petak selenggara yang boleh menyelenggara sehingga 200 kenderaan sebulan.

    Cawangan Nissan terbaharu ini juga mengetengahkan Nissan Retail Concept (NRC) terkini, yang mengikut jejak langkah pusat 3S jenama ini di Petaling Jaya dan tiga lokasi lain.

    “NRC adalah untuk menginovasikan pengedar Nissan dan menyampaikan standard perkhidmatan bertaraf global kepada pelanggan Nissan di seluruh dunia. Fokusnya adalah mempamerkan nilai jenama Nissan merentasi keseluruhan perjalanan pelanggan di pusat pengedaran, sama ada untuk memandu uji model terbaharu atau menghantar kereta untuk diselenggara,” kata ETCM dengan menambah lebih banyak bilik pameran akan menjalani transformasi NRC.

    Pusat 3S Nissan di Cyberjaya ini dibuka setiap hari dari jam 9 pagi hingga 7 malam untuk bahagian ruang pameran (03-76142215/019-2917100). Manakala pusat servis (03-76142215) pula beroperasi dari jam 8 pagi hingga 5 petang setiap Isnin-Jumaat, dan 8 pagi hingga 1 tengahari pada hari Sabtu.

     
     
  • Malaysia laksana ujian rintis kod QR pelepasan imigresen di sempadan Johor-Singapura mulai Jun

    Malaysia laksana ujian rintis kod QR pelepasan imigresen di sempadan Johor-Singapura mulai Jun

    Pada Mac lalu, Singapura mengumumkan semua warga asing yang tiba dan keluar dari negara berkenaan dengan menaiki kereta sama menerusi pusat pemeriksaan Tuas atau pun Woodlands boleh menggunakan kod QR berbanding passport, untuk pelepasan imigresen yang lebih mudah dan pantas.

    Kini, Malaysia juga menyasarkan langkah yang sama, dan bakal melaksanakan ujian rintis kod QR bagi pelepasan imigresen di pintu masuk sempadan negara di Johor, laporan The Star. Projek rintis ini akan bermula Jun ini di kedua-dua fasiliti kuarantin, imigresen dan kastam di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).

    “Perancangan awaluntuk projek perintis dijalankan bermula Jun. Bagaimanapun, ada kemungkinan perkara ini dilaksanakan pada tarikh yang lain. Ia bergantung kepada sama ada infrastruktur dan sistem yang dibangunkan untuk pelepasan kod QR sudah siap pada masa tersebut,” kata pengarah imigresen negeri Baharuddin Tahir kepada penerbitan akhbar terbabit.

    Katanya, pelepasan kod QR hanya akan digunakan untuk bas kilang yang melalui BSI dan KSAB dalam tempoh percubaan dijalankan. “Kami hanya akan menjalankan projek perintis ini melibatkan bas kilang. Jika semuanya berjalan lancar, ia kemudiannya akan diperluaskan merangkumi mod pengangkutan lain,” katanya.

     
     
  • Yamaha MT-15 terima warna baru – harga RM12,500

    Yamaha MT-15 terima warna baru – harga RM12,500

    Kali terakhir disegarkan pada tahun 2022, Yamaha MT-15 pasaran Malaysia kini diperkenalkan dengan warna baru Midnight Cyan, sebagai menggantikan warna Cyan Storm sebelum ini. Warna Icon Blue kini sudah tiada manakala Midnight Black masih disediakan sebagai pilihan.

    Harga yang dikeluarkan oleh Hong Leong Yamaha Motor untuk model naked ini adalah RM12,498 tidak termasuk insurans, dan ini melihatkan peningkatan berbanding harga RM12,298 sebelum ini. Jaminan yang diberi adalah selama dua tahun atau 20,000 km.

    Bagi kedua-dua warna yang ditawarkan sekarang, ia masih mendapat fork hadapan USD yang berwarna emas, sementara rim 17 inci yang masing-masing dibalut tayar 110/70 di hadapan dan 140/70 di belakang dicat menggunakan warna sama seperti warna utama badan iaitu hitam untuk Midnight Black dan cyan untuk Cyan Storm.

    Yamaha MT-15 terima warna baru – harga RM12,500

    Bahagian lain motosikal masih tidak berubah, bermula dengan enjin satu silinder suntikan bahan api 155 cc SOHC dengan teknologi VVA dan penyejukan cecair, dan ia dipadankan bersama transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 19 hp pada 10,000 rpm dan 14.7 Nm tork pada 8,500 rpm.

    Penukaran gear dijadikan lancar dan berkesan dengan penggunaan klac jenis assist & slipper sementara lampu hadapan pula menggunakan unit LED. Pada bahagian kokpit terdapat panel meter digital LCD.

    Kedua-dua brek hadapan dan belakang adalah jenis cakera, sementara perincian lain adalah termasuk tangki 10.4 liter, pemula enjin elektrik, meter digital, berat 133 kg, lampu depan dan belakang LED, tinggi tempat duduk 810 mm serta jarak dari tanah 155 mm.

     
     
  • Pro-Net kembangkan rangkaian pengecas EV – 36 ruang mengecas di pusat pengedar Proton Edar, smart

    Pro-Net kembangkan rangkaian pengecas EV – 36 ruang mengecas di pusat pengedar Proton Edar, smart

    Pengedar kenderaan smart di Malaysia, Pro-Net, mengumumkan bahawa mereka telah mengembangkan lagi rangkaian pengecas kenderaan elektrik (EV) dengan meliputi pusat pengedar Proton Edar di seluruh negara. Pada masa sekarang, mereka mempunyai 36 ruang mengecas, merangkumi sembilan negeri dalam Malaysia.

    Sejak pengenalan pengecas DC di ibu pejabat Proton pada Oktober 2023, Pro-Net telah mengambil langkah memasang lebih banyak pengecas di pusat pengedar Proton Edar. Bersama dengan Gentari, syarikat itu telah berjaya memasang enam pengecas DC (12 ruang mengecas) yang terdiri daripada pengecas 50 kW, 100 kW dan 120 kW, serta tiga pengecas 60 kW.

    Pro-Net kembangkan rangkaian pengecas EV – 36 ruang mengecas di pusat pengedar Proton Edar, smart

    Ini adalah tambahan daripada jumlah pengecas yang sedia ada di pusat pengedar smart, di mana sekarang terdapat lima pengecas DC dan 13 pengecas AC di seluruh negara – 22 ruang mengecas. Banyak lagi pengecas akan dipasang, memandangkan smart telah mengumumkan pembukaan pengedar di Petaling Jaya dan Kota Kinabalu, Sabah.

    Pada masa ini, lebih 70% tempat mengecas awam boleh diakses melalui aplikasi Hello smart, hasil kerjasama dengan pengendali pengecas (CPO) seperti chargEV, JomCharge dan Gentari. Aplikasi ini dapat memberikan kemas kini langsung berkenaan pengecasan serta status ketersediaan pengecas.

     
     
  • PLUS umum Hentian Sebelah Serdang (utara), Sungai Buloh (selatan) ditutup mulai 10 Mei untuk naiktaraf

    Pengendali Lebuhraya Utara-Selatan, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan bahawa pihaknya akan menutup dua hentian sebelah bermula 10 Mei ini hingga tarikh yang akan diberitahu kelak. Dua hentian terbabit ialah Hentian Sebelah Serdang (arah utara) dan Hentian Sebelah Sungai Buloh (arah selatan). Penutupan kedua-dua hentian sebelah itu adalah bagi kelancaran kerja-kerja pembinaan dan penambahbaikan.

    Bagi penutupan Hentian Sebelah Sungai Besi di KM306.2, pengguna digalakkan untuk menggunakan kemudahan surau dan tandas di Plaza Tol Sungai Besi atau di hentian seterusnya, ujar PLUS.

    Berkenaan dengan penutupan Hentian Sebelah Sungai Buluh di KM454 pula, kemudahan di stesen minyak Petronas, parkir kenderaan berat dan tandas sementara masih beroperasi seperti biasa. “Pengguna digalakkan untuk menggunakan kemudahan surau dan tandas di kawasan berhampiran seperti Restoran Jejantas Sungai Buloh,” kata PLUS lagi.

     
     
  • Empat stesen Monorel tutup, bas perantara disediakan

    Empat stesen Monorel tutup, bas perantara disediakan

    Susulan insiden pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail berhampiran Hotel Concorde yang turut menghempap landasan Monorel petang semalam, Rapid KL telah bertindak segera dengan menggantung perkhidmatan Monorel antara KL Sentral dan Medan Tuanku, serta menyediakan beberapa bas perantara untuk stesen yang terbabit.

    Menurut Rapid KL, mulai hari ini (8 Mac), empat stesen Monorel ditutup sehingga tempoh yang akan diumumkan. Stesen yang terbabit ialah Bukit Nanas, Raja Chulan, Bukit Bintang dan Imbi.

    Ini bermakna tren dari KL Sentral akan tiba di stesen Hang Tuah sebelum kembali ke Platform 2, dengan kekerapan 24 minit. Manakala tren dari Titiwangsa akan kembali ke Medan Tuanku, dengan kekerapan sekitar 15 minit.

    Selain itu, Rapid KL juga menyediakan 10 bas perantara yang akan beroperasi di laluan yang terlibat dengan penutupan stesen. Bas perantara tersebut tidak mengenakan sebarang kadar tambang dan akan bergerak dalam kekerapan sekitar 30 minit, bergantung pada keadaan trafik. Rapid KL juga menyarankan agar penggunanya menggunakan perkhidmatan awam lain termasuk LRT dan MRT.

    Tambah Rapid KL, buat masa ini kerja-kerja pembersihan dan pemulihan sedang dilakukan dengan bantuan DBKL. Pasukan operasi dan jurutera struktur juga sedang membuat semakan terperinci untuk memastikan operasi penuh dapat disambung semula mengikut piawaian keselamatan yang ditetapkan.

     
     
  • Shell tegaskan Malaysia adalah pasaran penting, komited dengan perniagaan mobilitinya di sini

    Shell tegaskan Malaysia adalah pasaran penting, komited dengan perniagaan mobilitinya di sini

    Susulan berita yang tersebar tentang Shell mungkin menjual seluruh rangkaian stesen minyaknya di Malaysia kepada Saudi Aramco tempoh hari, Shell telahpun mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menjawab persoalan tersebut.

    Apa yang menarik, kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat itu sangat ringkas dan padat hanya dalam dua ayat yang menyatakan “Malaysia sangat penting buat Shell. Kami masih terus komited kepada perniagaan mobiliti dalam negara.”

    Berita tentang ura-ura Shell mahu menjual perniagaan peruncitannya di Malaysia kepada Saudi Aramco dilaporkan oleh Reuters awal minggu ini, dengan menyatakan perbincangan tentang urusniaga itu telah bermula pada lewat 2023 dan ia mungkin akan dimuktamadkan dalam beberapa bulan akan datang. Sumber yang rapat dengan perkara tersebut juga menyatakan perjanjian tersebut mungkin bernilai sekitar empat hingga lima bilion ringgit.

    Shell tegaskan Malaysia adalah pasaran penting, komited dengan perniagaan mobilitinya di sini

    Buat masa sekarang Shell mempunyai sekitar 950 stesen minyak di Malaysia bagi membolehkan ia menjadi rangkaian perniagaan bahan api kedua terbesar dalam negara selepas Petronas. Ia juga mempunyai rangkaian pengecasan kenderaan elektrik (EV) Shell Recharge DC dan AC serta ParkEasy di sini.

    Salah satu sumber memberitahu Reuters bahawa usaha syarikat itu untuk menjual rangkaian stesen minyaknya di Malaysia adalah konsisten dengan langkahnya untuk menjual kilang penapisannya di Pulau Bukom di Singapura, yang membekalkan bahan api kepada rangkaian itu.

     
     
  • Sime Darby Auto Hyundai buka cawangan di Balakong

    Sime Darby Auto Hyundai buka cawangan di Balakong

    Sime Darby Auto Hyundai (SDAH) telah memperluaskan rangkaiannya di Lembah Klang dengan membuka bilik pameran baharu yang terletak di Balakong, disasarkan untuk pelanggan yang tinggal di kawasan berhampiran termasuk Cheras.

    Dengan bangunan 2.5 tingkat berkeluasan 7,200 kaki persegi, SDAH Balakong menampilkan bilik pameran, ruang lounge dan bilik konsultasi di tingkat bawah, sementara pejabat pula di bahagian atas. Cawangan jualan ini juga menyediakan pengecas AC 11-kW untuk kegunaan pemilik kenderaan elektrik (EV).

    “Kami sangat gembira mengalu-alukan cawangan Balakong baharu ke dalam keluarga Sime Darby Auto Hyundai, yang memenuhi peranan penting dalam mengukuhkan rangkaian kami di Lembah Klang,” kata Joey Lin selaku Pengarah Urusan Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM).

    Tambah beliau, pihaknya komited dalam memenuhi permintaan pelanggan dan akan mempamerkan barisan model Hyundai yang terbaik dan bertaraf dunia untuk pasaran tempatan.

    SDAH Balakong terletak di 47 Jalan Tengah, Cheras Selatan 118, Cheras, 43200, Selangor dan dibuka dari jam 8.30 pagi hingga 6 petang dari Isnin hingga Sabtu, manakala waktu operasi untuk Ahad dan cuti umum pula dari 10 pagi hingga 6 petang.

     
     
  • Jualan kereta segmen M40 mungkin terjejas selepas subsidi bahan api dipotong – RHB Investment

    Jualan kereta segmen M40 mungkin terjejas selepas subsidi bahan api dipotong – RHB Investment

    RHB Invesment Bank (RHB Investment) menjangkakan pemotongan subsidi bahan api yang bakal dibuat tidak lama lagi mungkin akan memberikan kesan kepada sektor automotif, khususnya jualan untuk model-model segmen pasaran pertengahan.

    Dalam satu nota penyelidikan dari firma tersebut yang dilaporkan oleh DagangNews menyatakan bahawa, hal ini kerana kumpulan berpendapatan rendah masih dijangka menerima subsidi manakala golongan berpendapatan tinggi mungkin tidak begitu terkesan oleh penarikan subsidi.

    “Sentimen keseluruhan terhadap sektor automotif masih hambar ketika ini disebabkan oleh ketidaktentuan yang timbul daripada langkah pemotongan subsidi bahan api,” kata badan penyelidikan tersebut.

    Walaupun belum disebutkan dengan jelas bila subsidi bahan api ini akan ditarik, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli sebelum ini menegaskan bahawa langkah kerajaan untuk mengurangkan subsidi petrol tetap akan dilaksanakan tahun ini dalam usaha untuk mengecilkan defisit fiskal negara.

    Jualan kereta segmen M40 mungkin terjejas selepas subsidi bahan api dipotong – RHB Investment

    Walau bagaimanapun, RHB Invesment positif terhadap semakan gaji untuk penjawat awam, kerana kenaikan melebihi 13% yang diberi cukup untuk menarik para pengguna untuk membuat perbelanjaan besar.

    “Biarpun begitu, tiada pindaan dibuat pada andaian perolehan kami buat masa ini, kerana sentimen keseluruhan terhadap sektor ini masih hambar disebabkan oleh ketidaktentuan yang timbul daripada langkah pewajaran subsidi,” tambah nota berkenaan.

    Dalam perkembangan sama, RHB Investment menyatakan bahawa kadar kelulusan pinjaman untuk pembelian kenderaan YTD-2024 pula mencecah 58% berbanding 62-63% pada 2022-2023, sedangkan sedangkan pinjaman kasar buat pembelian kereta hanya menokok 2.7%, walaupun jualan kenderaan (TIV) menaik 5%.

    Firma itu menjelaskan bahawa hal ini mungkin menunjukkan syarat kelayakan untuk pemberian pinjaman sudah diperketat, di samping pengguna mula beralih kepada kenderaan yang lebih berpatutan harganya.

    Jualan kereta segmen M40 mungkin terjejas selepas subsidi bahan api dipotong – RHB Investment

    “Diburukkan lagi oleh tekanan inflasi yang terus meninggi, jualan kereta dipercayai akan terus merudum pada suku-suku mendatang apabila jumlah jualan kereta kembali ke paras biasa selepas tempoh pecah rekod tahun lalu.

    “Untuk 2Q24, kami selalunya meramalkan TIV semakin melemah QoQ susulan cuti perayaan Aidil Fitri dan penutupan sementara operasi kilang oleh syarikat pengeluar utama untuk tujuan penyenggaraan,” jelas RHB Investment dalam nota itu lagi dan menambah pihaknya yakin paras TIV sekarang tidak mampu dikekalkan berikutan kurangnya faktor pendorong untuk mencapai paras jualan baharu selepas memecah rekod jualan selama dua tahun.

    “Maka, ramalan TIV dan wajaran sektor NEUTRAL kami dikekalkan untuk masa sekarang. Kami lebih menyukai saham saham automotif yang bernilai murah selain yang turut memaparkan pertumbuhan perolehan kukuh yang jelas.

    “Bermaz AUTO dipilih sebagai Syarikat Utama kami kali ini,” kata badan itu lagi.

     
     
  • Yamaha MT-25 terima warna baru – harga naik RM1k

    Yamaha MT-25 terima warna baru – harga naik RM1k

    Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) sekali lagi memperkenalkan warna baru untuk model naked MT-25, yang kini ditawarkan dalam warna Midnight Black dan Midnight Cyan. Bersama dengan warna baru ini, harga untuk model ini juga naik RM1k berbanding harga akhir pada tahun 2022, menjadi RM23,998 tidak termasuk insurans.

    Bagi warna baru Midnight Black ini, seperti yang dapat dijangka dari namanya, menggunakan hampir keseluruhan panel berwarna hitam manakala warna Midnight Cyan jadi lebih menyerlah dengan rim serta pelekat tepi berwarna terang.

    Bahagian lain motosikal ini masih tidak berubah, dengan enjin masih menggunakan unit dua silinder selari suntikan bahan api 249 cc DOHC penyejukan cecair serta kotak gear enam kelajuan, menghasilkan 35.5 hp pada 12,000 rpm dan tork 22.6 Nm pada 10,000 rpm.

    Yamaha MT-25 terima warna baru – harga naik RM1k

    Memegang rim 17 inci pada MT-25 adalah suspensi yang terdiri daripada fork USD di hadapan dan monoshock di belakang, manakala brek yang terdiri daripada unit cakera hadapan dan belakang dilengkapi secara standard dengan ABS.

    Kelengkapan lain MT-25 adalah termasuk tangki bahan api 14 liter, meter LCD, semua lampu jenis LED, berat 167 kg dan tinggi tempat duduk 780 mm. Setiap pembelian diberikan jaminan dua tahun atau 20,000 km serta kunci cakera brek yang bernilai RM100.

     
     
  • Beijing 2024: SUV Jetour 7-tempat duduk facelift, model off-road ringan T2 versi PHEV, SUV L6 dipamer

    Beijing 2024: SUV Jetour 7-tempat duduk <em>facelift</em>, model <em>off-road</em> ringan T2 versi PHEV, SUV L6 dipamer

    Ketika di pameran Auto China 2024, ruang pamer jenama Jetour — sebuah lagi jenama China yang akan masuk ke pasaran Malaysia — menampilkan beberapa model terkini syarikat itu. Merupakan sub-jenama kepada Chery, Jetour akan memperkenalkan model Dashing dan SUV Jetour 7-tempat duduk di Malaysia pada separuh kedua 2024.

    SUV Jetour 7-tempat duduk

    Di China, SUV Jetour 7-tempat duduk telah menerima facelift yang ketara dengan wajah depan yang berbeza: gril besar dengan garis lintang. Lampu depannya juga kini dalam bentuk jalur yang terletak di bawah garisan bonet. Di belakang pula tidak terlalu besar pembaharuannya, menampilkan lampu dengan grafik baru, sementara bamparnya kini dengan elemen di bahagian sudut — kemasan krom di ekzos juga nampak jelas.

    Di dalam, SUV Jetour 7-tempat duduk yang dikemaskini ini mempunyai dua paparan yang lebih besar dengan papan pemuka yang corong pendinginnya luas. Skrin ketiga untuk sistem pendingin pula kekal sama, tetapi konsol tengah menerima tuil gear kaca yang menarik.

    Untuk kuasa, ia menggunakan enjin 1.5 liter turbocas empats-silinder sebaris yang menjana sebanyak 156 PS (154 hp atau 115 kW) dan 230 Nm untuk pasaran China. Ini digandingkan sama ada dengan transmisi manual enam-kelajuan atau DCT pacuan roda depan. Ada juga enjin 1.6 liter dengan janaan 197 PS (194 hp atau 145 kW) dan 290 Nm yang digandingkan dengan DCT tujuh-kelajuan, juga dengan pacuan roda depan.

    Beijing 2024: SUV Jetour 7-tempat duduk <em>facelift</em>, model <em>off-road</em> ringan T2 versi PHEV, SUV L6 dipamer

    Jetour L6

    Tambahan model terbaru jenama ini ialah L6, yang menjadi sebahagian daripada siri tenaga diperbaharui (NEV) Shanhai untuk pasaran di sana. Dipertontonkan sebagai model konsep X-2 di Auto Shanghai tahun lalu, L6 akan ditawarkan sebagai model plug-in hybrid dan elektrik penuh, menurut laporan media China.

    Versi pertama dikatakan menggunakan sistem C-DM Chery dengan enjin 1.5 liter turbocas dan motor elektrik untuk memberikan jarak hibrid sejauh 1,400 km — versi EV pula belum ada maklumat lanjut. L6 bakal menjadi varian NEV terbaru bagi Dashing, dan mempunyai ukuran dimensi yang sama — 4,590 mm panjang, 1,900 mm lebar, 1,685 mm tinggi dengan jarak roda 2,720 mm.

    Kabinnya juga mirip Dashing, dengan sebuah skrin sentuh besar mendominasi di tengah. Stereng juga nampak sama, sementara kluster instrumen digital kecil disepadukan di depan pemandu. Satu perbezaannya ialah di konsol tengah, yang bersambung dengan corong pendingin untuk L6, dan terpisah untuk Dashing.

    Beijing 2024: SUV Jetour 7-tempat duduk <em>facelift</em>, model <em>off-road</em> ringan T2 versi PHEV, SUV L6 dipamer

    Jetour T2

    T2, atau turut dikenali sebagai Traveller bukanlah model baru dalam barisan kenderaan Jetour, namun unit yang dilihat ini ialah versi plug-in hybrid. Dilancarkan ketika pameran tersebut dengan harga antara 179,900 dan 209,900 yuan (sekitar RM118k dan RM138k), versi PHEV ini juga sebahagian daripada model siri Shanhai.

    T2 dilengkapi enjin 1.5 liter turbocas empat-silinder sebaris yang menghasilkan 156 PS (154 hp atau 115 kW) dan 220 Nm dan digandingkan bersama Dedicated Hybrid Transmission (DHT) tiga-kelajuan dan motor elektrik, yang menjana 224 PS (221 hp atau 165 kW) dan 390 Nm untuk memberikan output keseluruhan 381 PS (375 hp atau 280 kW) dan 610 Nm.

    Dua kapasiti bateri lithium iron phosphate (LFP) ditawarkan sebagai pilihan: unit 26.7-kWh yang memberikan 100 km jarak elektrik sepenuhnya mengikut kitaran WLTC, serta laju maksimum 197 km/j; dan pilihan kedua, unit 43.24-kWh yang memberikan jarak elektrik 161 km (WLTC), dengan laju maksimum 210 km/j. Dalam mod hibrid, jarak maksimum yang boleh dicapai ialah 1,300 km.

    Perincian pengecasan tidak dinyatakan, tetapi T2 menyokong pengecasan AC dan DC, serta ada fungsi V2L sehingga 6.6 kW, dengan satu lagi soket luaran di bahagian barangan tersedia dengan output 2.2 kW.

    SUV Jetour 7-tempat duduk

    Jetour L6

    Jetour T2

     
     
  • KL Monorel antara Stesen Hang Tuah-Medan Tunku dihenti sementara ekoran insiden pokok tumbang

    KL Monorel antara Stesen Hang Tuah-Medan Tunku dihenti sementara ekoran insiden pokok tumbang

    Rapid KL telah memaklumkan semua stesen Monorel di antara Stesen Hang Tuah dan Medan Tunku tidak dapat beroperasi buat sementara waktu susulan insiden pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail berhampiran Hotel Concorde sebentar tadi.

    Menurut Rapid KL, walau bagaimana pun pengguna masih boleh menggunakan perkhidmatan alternatif termasuk menggunakan perkhidmatan LRT dari/ke stesen KL Sentral, Hang Tuah, Dang Wangi dan Titiwangsa. Atau pun menaiki tren MRT dari/ke stesen Muzium Negara, Bukit Bintang dan juga Titiwangsa.

    “Penumpang juga boleh menaiki bas perantara percuma di antara stesen KL Sentral ke stesen Medan Tuanku bernombor WVH 9625, WUW 4146 dan PJH 4872. Kekerapan bas adalah setiap 10 hingga 15 minit bergantung kepada keadaan trafik semasa. Sila dapatkan bantuan pegawai stesen atau polis bantuan jika perlu,” kata Rapid KL menerusi kenyataan yang disiarkan di dalam Facebook rasminya.

    Kira-kira jam 2.30 petang tadi, pokok tumbang terbabit telah menghempap beberapa buah kenderaan di Jalan Sultan Ismail. Kejadian berkenaan dipercayai berlaku ketika hujan lebat sedang melanda sekitar ibu kota. Ekoran insiden tersebut, laluan kedua-dua hala di lokasi kejadian ditutup sementara. Buat masa ini, belum ada perincian penuh dari pihak berkuasa termasuk jumlah mangsa yang terlibat.

     
     
  • Pokok tumbang hempap beberapa buah kenderaan di Jalan Sultan Ismail berhampiran Hotel Concorde

    Pokok tumbang hempap beberapa buah kenderaan di Jalan Sultan Ismail berhampiran Hotel Concorde

    Jabatan Penerangan WPKL melaporkan terdapat insiden pokok tumbang dan telah menghempap beberapa buah kenderaan di Jalan Sultan Ismail, berhampiran Hotel Concorde KL. Kejadian berkenaan dipercayai berlaku kira-kira jam 2.15 petang ketika hujan lebat melanda sekitar ibu kota.

    Ekoran insiden tersebut, laluan kedua-dua hala di lokasi kejadian ditutup sementara. Setakat ini pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur sudah menggerakkan beberapa jentera dan anggotanya ke lokasi kejadian.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JBPM KL, setibanya di lokasi berkenaan, pihaknya mendapati 17 buah kenderaan telah dihempap oleh pokok terbabit dan landasan monorel di sebelah atas juga terhalang dek dahan-dahan pokok itu.

    “Insiden tersebut turut merosakkan fasiliti awam iaitu perhentian bas di tepi jalan. Terdapat dua orang mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh anggota penyelamat. Mangsa pertama seorang lelaki Melayu berusia 47 tahun disahkan meninggal dunia, manakala mangsa kedua lelaki Melayu berusia 26 tahun mengalami kecederaan.

    “Operasi Kerja-kerja menyelamat dan pemotongan serta pembersihan sedang giat dilakukan oleh anggota Bomba dalam mengenal pasti mangsa yang masih terperangkap,” kata Komander Operasi, PBK II Muhammad Amirudin bin Mohd Hassan.

    Dalam situasi sebegini, sudah pasti insurans kerosakan akibat banjir atau bencana alam (special perils) untuk kenderaan adalah sangat penting. Dengannya, kita boleh merasa sedikit tenang jika dalam keadaan tidak disangka, kereta tenggelam akibat banjir atau mengalami kerosakan teruk akibat pokok tumbang atau sebagainya.

     
     
  • Pemenang cabutan bertuah EON & Sahabat Autofest 2024 bawa pulang sebuah Proton S70 Flagship

    Pemenang cabutan bertuah EON & Sahabat Autofest 2024 bawa pulang sebuah Proton S70 Flagship

    EON mengadakan rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di ibupejabatnya di Glenmarie, hari ini. Kesempatan itu turut digunakan untuk mengumumkan pemenang bagi cabutan bertuah EON & Sahabat Autofest 2024.

    Pemenang hadiah utama ialah Siti Khairunadia Mohd Sharifuddin Paloh, yang berusia 21 tahun dari Johor Bahru dan membeli Proton Saga 1.3 Standard ketika acara EON & Sahabat Autofest 2024 yang diadakan pada 1-3 Mac lalu. Beliau membiayai pembelian kereta tersebut melalui platform pembiayaan digital baru EON. Hadiahnya? Sebuah Proton S70 Flagship.

    “Saya tidak pernah membayangkan akan terpilih sebagai pemenang hadiah utama ini ketika membuat tempahan Saga tempohari. Saya sangat gembira dengan ganjaran yang diterima ini,” ujar Siti Khairunadia.

    CEO EON, Akkbar Danial menyerahkan Proton S70 Passion Red yang dimenangi Siti Khairunadia dan empat lagi hadiah cabutan bertuah kepada pemenang lain, dengan barangan seperti pembersih hampagas Dyson dan iPad. Jumlah keseluruhan hadiah yang ditawarkan ialah RM100,000.

    Pemenang cabutan bertuah EON & Sahabat Autofest 2024 bawa pulang sebuah Proton S70 Flagship

    “Kami berbesar hati dengan kejayaan EON & Sahabat Autofest 2024. Kami mencatatkan rekod jualan sebanyak 650 unit, yang mana angka tersebut 30% melebihi sasaran. Kami mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir, dan berharap pelanggan akan terus memberikan sokongan kepada kami sebagai pengedar kenderaan pelbagai jenama terbesar di negara ini,” ujar Akkbar.

    EON merupakan sebuah anak syarikat DRB-Hicom mungkin sinonim dengan jenama Proton. Tetapi syarikat itu juga turut mengedarkan kenderaan lain seperti Mitsubishi Motors, Audi, Volkswagen, smart, Isuzu, Daihatsu, Honda, Modenas dan Kawasaki.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025