Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • MBPJ sasar pasang 1,000 pengecas EV di tempat letak kereta awam, kawasan strategik menjelang 2030

    MBPJ sasar pasang 1,000 pengecas EV di tempat letak kereta awam, kawasan strategik menjelang 2030

    Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) meletakkan sasaran memasang 1,000 unit pengecas kenderaan elektrik (EV) secara berfasa di lokasi strategik dan ruang letak kereta awam di sekitar Petaling Jaya, dengan perjanjian persefahaman dimeterai antara MBPJ bersama dua rakan strategik, EV Connection (EVC) dan Carput Zap Network pada 26 Jun lalu.

    Dalam laporan Sinar Harian, MBPJ menyatakan fasa pertama pelaksanaan akan menyaksikan pemasangan 500 unit pengecas EV yang akan dikendalikan oleh EVC dan Carput Zap Network. Selain itu, kedua-dua syarikat tersebut turut diberi mandat untuk membangunkan sekurang-kurangnya 100 lokasi pengecasan menjelang tahun 2030 dengan antara lokasi berpotensi yang dikenal pasti adalah seperti bangunan kerajaan, kompleks sukan, tempat letak kereta awam serta kawasan-kawasan lain di sekitar Petaling Jaya.

    “Dua rakan strategik ini komited menyokong misi MBPJ untuk menjadikan Petaling Jaya sebuah bandar raya yang lestari dan berdaya tahan. Teknologi pengecas yang akan digunakan adalah moden, selamat, mesra pengguna dan cekap – selaras dengan pertambahan jumlah pemilik EV di Lembah Klang,” kata datuk bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon.

    Menurut beliau, projek ini adalah sebahagian daripada usaha MBPJ menyokong aspirasi negara dalam memperluas penggunaan mobiliti rendah karbon serta mempercepatkan transformasi hijau. “Kami berharap inisiatif ini akan mengukuhkan lagi kedudukan Petaling Jaya sebagai peneraju mobiliti hijau, sama ada di peringkat tempatan mahupun kebangsaan,” tambah Zahri.

    Terdahulu, pada April lalu, Petaling Jaya menyaksikan pelancaran pengecas EV awam di Plaza 33 oleh Schneider Electric Malaysia. Ia menawarkan satu pengecas pantas DC 180 kW dan dua pengecas AC 22 kW, dengan kadar caj RM1.60 per kWh bagi DC dan RM1.00 per kWh untuk AC.

    MBPJ dijangka terus memperluas rangkaian kemudahan ini sebagai sebahagian daripada pelan jangka panjang ke arah bandar pintar dan rendah karbon.

     
     
  • Polis beri 50% diskaun saman pada 2-6 Julai sempena Terengganu Bike Week di Dataran Shah Bandar, KT

    Polis beri 50% diskaun saman pada 2-6 Julai sempena Terengganu Bike Week di Dataran Shah Bandar, KT

    Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu bakal menawarkan pengurangan bayaran saman trafik sebanyak 50% bagi kesalahan terpilih pada 2 hingga 6 Julai ini. Ia adalah sempena dengan penganjuran Terengganu International Bike Week (TIBW) 2025.

    Di mana orang ramai boleh mendapatkan diskaun saman trafik terpilih itu di kaunter yang dibuka di lokasi acara iaitu di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu dari jam 9 pagi hingga 4 petang.

    Walau bagaimana pun, anda dinasihatkan agar membuat semakan awal melalui portal https://mybayar.rmp.gov.my dan aplikasi MyBayar PDRM bagi melancarkan proses pembayaran saman nanti.

    Seperti amalan sebelum ini, pemberian diskaun tersebut tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya, saman memotong di garisan kembar, saman kemalangan, saman tidak boleh kompaun (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan kenderaan berat, saman ubahsuai ekzos dan saman berstatus Op Selamat tahun semasa.

    Jadi, jika anda berada di Kuala Terengganu atau daerah berhampiran, jangan lupa ambil peluang ini untuk mendapatkan kadar diskaun bagi saman trafik terpilih. Sila lunaskan tunggakan saman yang ada bagi mengelakkan nama disenarai hitam atau disekat untuk pembaharuan cukai jalan atau lesen memandu.

     
     
  • Denza Malaysia ubah tempoh jadual selenggara D9 — servis pertama kini pada 20,000 km/12-bulan

    Denza Malaysia ubah tempoh jadual selenggara D9 — servis pertama kini pada 20,000 km/12-bulan

    Denza Malaysia telah umumkan perubahan bagi selang tempoh penyelenggaraan berjadual bagi model MPV D9 yang dijual jenama itu di sini.

    Perubahan berkenaan melibatkan penyelenggaraan berjadual yang pertama, yang mana sebelum ini dilakukan pada 5,000 km atau tiga bulan (yang mana dahulu). Bermula 1 Julai 2025, selang tempoh bagi servis pertama berkenaan telah dinaikkan kepada 20,000 km atau 12 bulan/setahun.

    “Perubahan ini mencerminkan keyakinan tinggi Denza terhadap ketahanan dan keupayaan kenderaan keluarannya, hasil daripada kejuruteraan serta pengeluaran termaju yang digunakan,” jelas syarikat itu dalam satu kenyataan.

    “Lanjutan tempoh bagi servis berjadual pertama ini adalah bukti kepada kualiti dan ketahanan yang dibawakan oleh setiap kenderaan Denza,” ujar Pengarah Urusan BYD Malaysia, Eagle Zhao.

    “Kami sangat berbangga dengan kecemerlangan kejuruteraan kami, yang membolehkan kami menawarkan ini dengan yakin kepada semua pelanggan. Langkah ini juga tidak hanya menegaskan lagi kesungguhan kami untuk membawakan pengalaman pemilikan premium, tetapi juga mencerminkan kepercayaan kami terhadap ketahanan jangka panjang produk-produk kami,” tambah beliau.

     
     
  • Lebih 42k kenderaan Singapura belum aktifkan VEP

    Lebih 42k kenderaan Singapura belum aktifkan VEP

    Penguatkuasaan sepenuhnya untuk Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) bagi kenderaan warga Singapura yang memasuki Malaysia adalah bermula hari ini. Namun difahamkan sebanyak 42,416 kenderaan persendirian individu (17% daripada 248,504 tag VEP yang telah dikeluarkan) masih belum mengaktifkan tag RFID VEP setakat 29 Jun, laporan Bernama.

    “Sebanyak 206,088 atau 83% tag bagi kenderaan persendirian individu telah diaktifkan, manakala semua (3,765) tag bagi kenderaan persendirian syarikat telah diaktifkan sepenuhnya. Jumlah keseluruhan permohonan (pra-pendaftaran) bagi kenderaan persendirian syarikat setakat 29 Jun adalah sebanyak 19,690,” kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli.

    Kenderaan dari Singapura yang tidak mengaktifkan VEP akan dikenakan kompaun serta-merta sebanyak RM300 selaras dengan Seksyen 66H (7) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan tidak akan dibenarkan keluar dari Malaysia sehingga kompaun dibayar dan VEP diaktifkan.

    Lebih 42k kenderaan Singapura belum aktifkan VEP

    “Seramai 55 anggota JPJ telah ditugaskan dalam operasi tersebut (untuk hari pertama pelaksanaannya), dengan penguatkuasaan tertumpu kepada kenderaan asing yang masih belum berdaftar dengan VEP. Buat masa ini, saman-saman lain seperti saman JPJ atau polis yang tertunggak masih dikecualikan. JPJ juga telah menyediakan unit bergerak di lokasi penguatkuasaan bagi memudahkan pemilik kenderaan menyelesaikan kompaun serta mengaktifkan tag mereka dengan segera.

    “Buat masa ini, penguatkuasaan dijalankan secara berkala di lokasi-lokasi strategik yang menjadi tumpuan kenderaan asing di Johor, namun akan diperluaskan ke negeri-negeri lain pada masa akan datang. Kita mengalu-alukan kehadiran rakyat Singapura ke negara ini. Secara amnya, mereka mematuhi peraturan, namun masih ada segelintir yang belum mendaftar dan mengaktifkan VEP,” kata Aedy.

    Beliau turut berkata, pusat VEP di Danga Bay dibuka 24 jam bagi kemudahan pemandu dari Singapura.

     
     
  • TANGGAPAN AWAL: Chery Tiggo Cross 2025 di Malaysia – hibrid & turbo; bakal ‘kacau’ Ativa, WR-V?

    TANGGAPAN AWAL: Chery Tiggo Cross 2025 di Malaysia – hibrid & turbo; bakal ‘kacau’ Ativa, WR-V?

    Model paling kecil dalam barisan model Chery Tiggo di Malaysia iaitu Tiggo Cross telah pun didedahkan ketika berlangsungnya Malaysia Autoshow 2025 pada Mei lalu. Dan sebelum ia dilancarkan secara rasmi tidak lama lagi, Chery Malaysia sekali lagi menunjukkan SUV ini kepada media – kali ini di luar dewan dan turut disertakan sekali dengan sesi pandu uji ringkas.

    Model ini disahkan bakal ditawarkan pada pasaran tempatan dalam dua varian, di mana kedua-duanya diberikan unit rangkaian kuasa berbeza – varian asas digerakkan dengan enjin petrol penuh berkuasa turbo, manakala varia tertinggi menerima unit rangkaian kuasa terbaharu Chery Super Hybrid (CSH).

    Bagi versi petrol penuh, Tiggo Cross menerima enjin 1.5 liter turbo 147 PS dan tork maksima 210 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik enam kelajuan. Gandingan ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.9 saat serta memberikan pengunaan bahan api 6.3 liter untuk setiap 100 km.

    TANGGAPAN AWAL: Chery Tiggo Cross 2025 di Malaysia – hibrid & turbo; bakal ‘kacau’ Ativa, WR-V?

    Manakala untuk Tiggo Cross HEV, unit rangkaian kuasa CSH ini menampilkan enjin G4G15B 1.5 liter empat silinder NA beroperasi dengan kitaran Atkinson. Enjin ini memang dibuat khas untuk dipadankan dengan sistem hibrid, dengan memberikan keberkesanan haba yang tinggi mencecah 40%, dan menghasilkan kuasa 102 PS dan tork makisma 125 Nm.

    Bukan itu sahaja, enjin berkenaan digandingkan bersama kotak gear khas hibrid DHT150 yang menampilkan tukaran gear dengan mekanisma CVT serta dua buah motor elektrik yang membekalkan kuasa 204 PS dan tork maksima 310 Nm. Ini membolehkan Tiggo Cross HEV berkenaan mencapai pecutan 0-100 km/j lebih pantas dari varian turbo iaitu 9.6 saat serta penggunaan bahan api serendah 5.4 liter setiap 100 km.

    SUV ini dihasilkan dengan panjang keseluruhan 4,318 mm, lebar 1,830 mm, tinggi 1,670 dan jarak roda sejauh 2,610 mm. Kalau ikut hierarki model-model Chery di Malaysia, Tiggo Cross ini merupakan ‘ayam tambatan’ untuk kelas segmen-A bagi berhadapan terus dengan model seperti Perodua Ativa dan Honda WR-V kerana Chery Omoda 5 berada dalam kelas segmen-B.

    Namun kalau di lihat semula, saiz Tiggo Cross ini sebenar lebih besar dari SUV segmen-A biasa dengan ukuran 253 mm lebih panjang dari Perodua Ativa, dan ia hampir kepada saiz segmen-B dengan jarak roda yang sama seperti Honda HR-V serta lebih jauh dari Proton X50. Malah Tiggo Cross ini juga lebih lebar dari kedua-dua SUV segmen-b tersebut di mana HR-V direka dengan lebar 1,790 mm dan Proton X50 pula adalah 1,800 mm.

    Ini semestinya memberikan kelebihan dari segi saiz kabin – duduk di dalam SUV ini anda memang akan dapat rasa saiznya yang besar. Jika anda duduk di bahagian pemandu, boleh lihat Tiggo Cross ini diberikan konsol tengah yang cukup lebar dan besar, membolehkan ia memberikan ruang storan pada perehat tangan yang juga besar.

    Tak cukup dengan itu bahagian bawah konsol tersebut juga ditambah lagi dengan satu lagi ruang storan besar, manakala di atasnya diberikan panel kawalan sistem pendingin hawa digital juga bersaiz besar. Juga tidak dilupakan, konsol ini juga menempatkan corong udara pendingin hawa untuk penumpang belakang, di mana perincian ini memang tidak terdapat pada SUV-SUV segmen-A yang lain.

    Di belakang pula, ruang kabin yang besar ini memberikan keselesaan bukan sahaja pada lutut, malah pada ruang yang lebar pada tempat duduk itu sendiri. Anda boleh lihat tempat duduk belakang Tiggo Cross ini begitu lebar dan membolehkan satu perehat tangan bersama dua pemegang cawan diletakkan di tengah seperti kereta yang bertanding dalam kelas lebih besar.

    Bukan ruang sahaja besar, kabin Tiggo Cross ini juga menampilkan perincian-perincian yang lebih baik dari pesaingnya yang lain. Papan pemukannya diberikan banyak material sentuhan lembut, konsol tengah menerima perapi piano black yang besar, dan panel-panel kemasan yang bukan sahaja nampak seperti aloi digilap, malah jika sentuh ia turut mempunyai tekstur pada garis-garis tersebut.

    Ia juga diberikan upholsteri kulit sintetik pada tempat duduk. Perehat tangan tengah dan juga pemegang pintu turut dibalut dengan material sama, tetapi ia tidak terasa lembut. Kedua-dua varian menerima tempat duduk pemandu dengan larasan elektrik enam-hala, namun hanya varian 1.5 Turbo diberikan larasan lumbar elektrik.

    Papan pemuka Chery Tiggo Cross 1.5 Turbo (kiri) dan 1.5 HEV (kanan)

    Selain itu kedua-dua varian ini berkongsi perincian yang sama termasuk skrin berkembar masing-masing bersaiz 10.25-inci untuk paparan instrumen dan sistem infotainmen, kamera panaromik 540 darjah, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, enam pembesar suara, roda stering pelbagai fungsi, lampu suasana kabin, pengecas telefon pintar tanpa wayar 15W, pengidup enjin jarak jauh, sistem start-stop 12V dan pengelap cermin automatik.

    Pada bahagian dalaman perbezaan antara dua varian ini jelas boleh dilihat pada konsol gear dia mana bagi model hibrid ia tidak diberikan brek parkir elektrik seperti versi 1.5 Turbo. Tiggo Cross ini juga menampilkan ruang but yang agak besar berbanding pesaingnya, namun Chery belum memgumumkan kapasiti sebenar ruang berkenaan.

    Pada sebelah luar kedua-dua varian pasaran Malaysia ini menampilkan facelift terbaharu Tiggo Cross seperti yang telah dilancarkan di Thailand Mac lalu. Ia diberikan perincian yang hampir sama untuk kedua-dua varian iaitu diberikan lampu hadapan LED automatik, lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, lampu kabus belakang, spoiler bumbung dan angkup brek yang diberikan kemasan merah.

    Kedua-dua varian juga menerima rel bumbung, yang menurut Chery ia bukan perhiasan semata-mata kerana rel tersebut memang boleh menampung beban. Selain dari emblem, untuk mudah membezakan kedua-dua varian ini adalah set roda di mana varian petrol penuh menerima rim aloi 18-inci sementara varian HEV pula diberikan set rim 17-inci.

    Untuk keselamatan, varian HEV mempunyai kelebihan dengan diberikan tujuh-beg udara berbanding hanya enam untuk varian petrol. Perincian asas keselamatan lain adalah sama termasuk bantuan mula mendaki, sistem pemantau angin tayar dan pengingat had laju.

    Bagi sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS), kedua-dua varian diberikan fungsi brek kecemasan automatik bersama amaran pelanggaran hadapan, cruise control adaptif, amaran dan pengelak keluar lorong, amaran lintasan trafik belakang dan pemantau titik buta.

    Namun untuk varian HEV ia menerima beberapa tambahan fungsi ADAS termasuk amaran buka pintu, amaran pelanggaran belakang, brek lintasan trafik belakang, bantuan tukar lorong, cruise control bersepadu bersama kelajuan pintar kenderaan.

    Memang kami diberikan peluang untuk memandu uji Chery Tiggo Cross ini ketika sesi yang dibuat tempoh hari. Namun malangnya peluang diberikan pada jarak perjalanan yang sangat singkat dan sibuk dengan trafik. Jadi tiada yang boleh kami ceritakan berkenaan pemanduan SUV ini.

    Namun apa yang penulis perasan, kuasa tujahan yang diberikan pada model 1.5 Turbo boleh dikatakan antara yang terbaik dalam kelasnya. Manakala bagi varian HEV, kuasa tujahannya jauh lebih baik dan hampir terasa seperti memandu sebuah EV sebenar, dan ia juga menampilkan aspek NVH yang juga lebih baik dalam pemanduan bandar.

    Ketika didedahkan Mei lalu, Chery Malaysia sebenarnya sudahpun membuka tempahan bagi model ini.Menurut naib presiden jualan dan pemasaran Chery Malaysia Micheal Chew ketika itu, buat permulaan sebanyak 500 unit akan disediakan untuk pasaran Malaysia, dan pelanggan yang membuat tempahan dengan yuran RM500 akan dijamin menerima Tiggo Cross masing-masing pada bulan Ogos 2025.

    Model ini akan terus dihasilkan secara pemasangan tempatan (CKD) yang akan bermula awal bulan ini, manakala pelancarannya dijangka akan berlangsung pada pertengahan bulan ini. Harga sebenar Tiggo Cross ini belum diumumkan, tahun lalu Chew ada membayangkan bahawa model ini mungkin akan menjadi model paling mampu milik dalam barisan model Chery Malaysia, dengan harga jualan mungkin bermula di bawah RM100,000.

    Sekiranya benar harga jangkaan tersebut, ini bermakna Chery Tiggo Cross ini akan dijual pada yang lebih murah dari Honda WR-V, tetapi menampilkan saiz lebih besar dan juga perincian yang lebih baik.

    GALERI: Chery Tiggo Cross 1.5 Turbo pasaran Malaysia

    GALERI: Chery Tiggo Cross 1.5 HEV pasaran Malaysia

     
     
  • Honda Malaysia tawar promosi Julai 2025 – diskaun CR-V hingga RM10k, City RM8k, Civic FL RM5k

    Seperti amalan kebiasaannya, Honda Malaysia (HM) menawarkan promosi bulanan dan untuk Julai 2025, ia hadir dengan kempen jualan ‘Upgrade’. Sesuai untuk anda yang ingin ‘upgrade’ kereta anda apabila sudah memasuki separuh kedua tahun ini.

    Bagi bulan ini, pelanggan berpeluang menikmati diskaun sehingga RM10,000 dengan membeli model Honda keluaran tahun 2025 yang merupakan pemasangan tempatan (CKD). Bagi hampir kesemua varian Civic facelift yang dilancarkan awal tahun ini, ia ditawarkan dengan rebat sebanyak RM5,000, namun hanya RM4,000 untuk varian 1.5T RS.

    Bagi yang berminat untuk mendapatkan City sedan, diskaun sebanyak RM4,000 untuk hampir kesemua variannya kecuali 1.5L e:HEV RS hybrid yang hanya diberikan rebat sebanyak RM2,500. Manakala untuk City versi hatchback, diskaun bermula RM2,000 untuk varian asas S, meningkat hingga RM4,000 untuk hibrid, dan RM8,000 bagi varian E,V dan RS petrol.

    Untuk barisan SUV Honda pula, diskaun sebanyak RM6,000 diberikan untuk kesemua varian WR-V termasuk varian tertinggi RS. Manakala untuk ‘abang besar’ CR-V, diberikan diskaun paling gempak iaitu RM10,000 untuk semua variannya. SUV segmen-C ini diberikan pilihan penjana kuasa pengecas turbo dan hibrid.

    Anda boleh meneliti diskaun bagi kesemua model Honda menerusi senarai di bawah ini. Diskaun yang ditawarkan hanya untuk kenderaan yang didaftarkan sekarang hingga 31 Julai 2025.

    Honda Malaysia tawar promosi Julai 2025 – diskaun CR-V hingga RM10k, City RM8k, Civic FL RM5k

     
     
  • Proton X50 facelift 2025 — kemaskini penting, rekaan baru, enjin i-GT 1.5T 4-silinder jana 181 PS/290 Nm

    Proton X50 <em>facelift</em> 2025 — kemaskini penting, rekaan baru, enjin i-GT 1.5T 4-silinder jana 181 PS/290 Nm

    Lima tahun selepas pertama kali diperkenalkan untuk pasaran tempatan, SUV segmen B Proton X50 akhirnya diberikan sentuhan facelift yang lebih segar — Proton menggelarnya model serba baru — dengan melibatkan banyak kemaskini dan pembaharuan.

    Berdasarkan imej rasmi yang didedahkan, Proton X50 2025 diberikan pembaharuan rekaan di luar dan dalaman. Lebih penting, enjin serba baru juga ditawarkan kali ini. Enjin yang dimaksudkan ialah unit i-GT 1.5 litre TD (turbo direct injection, bukan turbo diesel). Proton belum menyatakan dengan jelas perincian enjin yang digunakan tersebut, tetapi telah memaklumkan janaan outputnya — 181 PS dan 290 Nm tork. Ini melibatkan peningkatan sebanyak 4 PS dan 35 Nm tork berbanding enjin lama.

    Lebih menarik, angka berkenaan sama dengan janaan enjin Geely Binyue L yang dijual di China. Jika betul, ini bermakna X50 kini menggunakan enjin empat-silinder yang sama, dan bermaksud enjin tiga-silinder terdahulu akan digugurkan. Ia bagaimanapun masih diganding dengan transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan dengan pacuan roda depan.

    Proton X50 <em>facelift</em> 2025 — kemaskini penting, rekaan baru, enjin i-GT 1.5T 4-silinder jana 181 PS/290 Nm

    Enjin baru ini membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.6 saat. Proton mendakwa penggunaan bahan apinya 4.7% lebih jimat. Setakat ini, tidak dinyatakan versi janaan lebih rendah untuk menggantikan unit port-injected PFI tiga-silinder, yang digunakan untuk varian lebih rendah sebelum ini — jika ada.

    Bukan hanya enjin yang dipinjam daripada Binyue L, sebaliknya keseluruhan gaya luaran juga nampak seperti mengikut jejak yang sama. Proton menerima penampilan rekaan terkini bagi model berkenaan, yang diperkenalkan di China pada November 2024.

    Wajah depannya hadir dengan rekaan baru, dengan lampu utama LED reflektor (tiada lagi jenis projektor, tetapi kali ini datang dengan DRL tiga jalur sama seperti S70), gril bahagian bawah yang besar dengan kemasan bucu bentuk L, serta bahagian fender yang baru untuk menempatkan lanjutan tiang A krom ala S70. Gril juga baru dan khusus untuk model Proton, dengan kembalinya jalur merah “busur panah”. Bonet juga turut diberikan rekaan baru, dengan bukaan udara hiasan.

    Proton X50 <em>facelift</em> 2025 — kemaskini penting, rekaan baru, enjin i-GT 1.5T 4-silinder jana 181 PS/290 Nm

    Bahagian belakang juga diberikan banyak sentuhan semula, dengan rekaan lampu belakang berkelebaran penuh serta pintu baru dengan kedudukan nombor plat yang lebih ke bawah. Bampar diberikan kemasan sudut bentuk L, dengan mengekalkan diffuser besar serta hadir dengan empat muncung ekzos.

    Yang terakhir, model varian Flagship yang didedahkan ini datang dengan spoiler belakang baru; lebih besar dan ketara terlihat. Ia juga menggunakan rim 18-inci rekaan baru dua-tona dengan permukaan berpetak, dengan tayar Continental UltraContact UC6 yang sama seperti sebelum ini.

    Perubahan lebih besar pula ada di dalam — rekaan papan pemuka yang khusus untuk Proton, dan tidak dikongsi dengan model Geely yang lain. Ia juga kekal dengan dua tona warna hitam-merah. Seluruh rekaan papan pemuka mungkin dilakukan sendiri oleh Proton, dengan bahagian konsol tengah terapung yang menempatkan pengecas tanpa wayar Qi, dua ruang untuk cawan, serta barisan butang untuk hidupkan/matikan pendingin, kawalan pendingin automatik, penyah-kabus cermin depan dan lampu kecemasan.

    Proton X50 <em>facelift</em> 2025 — kemaskini penting, rekaan baru, enjin i-GT 1.5T 4-silinder jana 181 PS/290 Nm

    Kawalan pendingin lainnya pula telah dialihkan ke dalam skrin sentuh infotainmen bersaiz 14.6-inci. Antaramukanya pula kelihatan sama dengan sistem Flyme Auto pada eMas 7, tetapi kini hadir dengan ciri Apple CarPlay dan Android Auto serta kawalan suara dalam Bahasa Melayu. Aplikasi mudah alih Proton Link 2.0 juga tersedia, dengan fungsi seperti kebiasaannya.

    Selain itu, paparan instrumen nampak lebih besar daripada model sedia ada yang menggunakan unit bersaiz tujuh-inci, sementara tuil pemilih gear dialih ke bahagian kolum stereng. Roda stereng tiga jejarinya bagaimanapun sama seperti model yang lama. Ciri baru lain termasuk sistem lampu ambient dengan 72-warna yang antaranya boleh dilihat di bahagian pemegang pintu dan jalur corak depan penumpang depan.

    Selebihnya, kabin X50 2025 terlihat sama seperti model lama, termasuklah kerusi yang dibalut kulit buatan warna hitam-merah, dengan larasan elektrik untuk pemandu. Varian Flagship juga akan dilengkapi dengan bumbung kaca panoramik.

    Proton X50 <em>facelift</em> 2025 — kemaskini penting, rekaan baru, enjin i-GT 1.5T 4-silinder jana 181 PS/290 Nm

    Sistem bantuan pemandu pula datang dengan kamera yang dipertingkat serta sensor radar di belakang. Ia bertujuan memberikan bantuan pemanduan autonomous Tahap 2, mungkin dengan peninjau titik buta. Fungsi Park Assist juga diperkemas, sementara sistem kamera 360-darjah menerima fungsi pandangan telus. Belum diketahui sama ada fungsi ADAS ini hanya akan ditawarkan untuk varian Flagship atau untuk semua.

    Proton X50 facelift 2025 akan ditawarkan dalam varian Executive, Premium dan Flagship (tiada lagi varian Standard), dan didatangkan dalam lima pilihan warna — Snow White, Passion Red, Jet Grey, Armour Silver dan warna baru Teal Bayou Blue seperti S70, menggantikan warna Ocean Blue. Pendaftaran minat kini dibuka di laman rasmi Proton.

     
     
  • Rapid KL On-Demand diperluas ke empat zon baharu – CBD KL, LRT KJ, IIUM, MRT UPM ke IOI City Mall

    Rapid KL On-Demand diperluas ke empat zon baharu – CBD KL, LRT KJ, IIUM, MRT UPM ke IOI City Mall

    Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus), pengendali perkhidmatan Rapid KL On-Demand telah melancarkan empat zon baharu mulai hari ini (30 Jun) termasuk kawasan tumpuan tinggi di ibu kota dan koridor pendidikan utama sebagai langkah strategik untuk memudahkan mobiliti bandar.

    Salah satu zon utama yang diperkenalkan adalah zon “Central Business District” (CBD) atau pusat bandar, yang merangkumi kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur iaitu Jalan Imbi, Jalan Sultan Ismail dan Jalan Raja Chulan.

    Selain pusat bandar, liputan turut diperluas ke zon koridor pendidikan, melibatkan kawasan seperti Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM), dan sekolah-sekolah di sekitarnya. Usaha ini memudahkan akses harian para pelajar, pensyarah dan kakitangan ke institusi pendidikan mereka dengan lebih selamat, terancang dan fleksibel.

    Rapid KL On-Demand diperluas ke empat zon baharu – CBD KL, LRT KJ, IIUM, MRT UPM ke IOI City Mall

    Klik untuk besarkan

    “Pengenalan zon-zon baharu ini adalah bukti komitmen kami dalam menyediakan sistem pengangkutan awam yang bukan sahaja inklusif, tetapi juga responsif terhadap keperluan sebenar pengguna. Zon pusat bandar kami dirancang untuk menyelesaikan isu “first/last-mile” yang sering dihadapi oleh pengguna di kawasan paling sibuk dalam negara, manakala zon pendidikan pula menyasarkan kemudahan harian untuk golongan pelajar dan warga akademik.

    “Pelancaran ini merupakan pelancaran kedua terakhir sebelum kesemua 300 buah van Rapid KL On-Demand beroperasi sepenuhnya menjelang awal Julai 2025, menandakan satu lagi pencapaian penting ke arah sistem pengangkutan awam yang lebih lestari dan menyeluruh,” kata Amir Hamdan, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi), Prasarana Malaysia Berhad.

    Menawarkan jaminan tempat duduk yang boleh ditempah setiap hari dari jam 6 pagi sehingga 11.30 malam, dengan tambang promosi RM1.00 untuk setiap perjalanan. Pengguna boleh membuat pembayaran menggunakan Kad Touch ‘n Go, kad debit atau kredit, kad Konsesi MyRapid, pas Perjalanan OKU Smile dan pas Perjalanan Tanpa Had (My50, MyCity & Pas Famili).

     
     
  • Wakil Malaysia diumum akan dapat wildcard untuk ketegori GT500 perlumbaan Super GT tahun depan

    Wakil Malaysia diumum akan dapat wildcard untuk ketegori GT500 perlumbaan Super GT tahun depan

    Pemegang hak dan promoter untuk perlumbaan Autobacs Super GT pusingan Malaysia iaitu Haro Sports & Entertainment telah mengumumkan bahawa wakil dari Malaysia bakal menerima ‘wildcard’ bagi kategori tertinggi GT500 untuk bersaing dalam perlumbaan tersebut tahun hadapan.

    Menurut rakan pengurus Haro Sports & Entertainment Fahrizal Hasan, proses penyertaan untuk kategori GT500 berkenaan kini sedang berjalan.

    “Ia bukan penyertaan wildcard untuk Malaysia, tetapi ia adalah penyertaan Super GT Malaysia [Haro Sports]. Jadi pemandu-pemandu yang akan dipilih [mungkin atau bukan] rakyat Malaysia,” kata Fahrizal dalam sesi sidang media bersama pengerusi GT Association, Masaski Bandoh Sabtu lalu ketika berlangsungnya pusingan ke-3 Autobacs Super GT 2025 di Litar Antarabangsa Petronas Sepang.

    Jentera-jentera lumba FIA Class 1 yang pernah bertanding dalam DTM

    Menurutnya lagi walaupun ia berstatus wildcard, ia akan membabitkan pasukan rasmi pengeluar, bukan pasukan persendirian atau menerusi program perlumbaan pelanggan, manakala pengeluar yang terlibat dalam rancangan ini kelak akan mempunyai pengaruh yang besar untuk pemilihan pemandu. Fahrizal menegaskan ia tidak akan berjaya sekiranya tidak melibatkan pasukan pengeluar rasmi.

    Buat masa sekarang hanya tiga pengeluar yang bertanding dalam kategori GT500 iaitu Honda, Toyota dan Nissan, jadi kerjasama tersebut mungkin akan terjalin menerusi tiga OEM ini. Namun tidak mustahil kerjasama akan dijalinkan bersama pengeluar-pengeluar dari Eropah.

    Ini kerana jentera-jentera yang bertanding dalam kategori GT500 merupakan jentera yang dibina berdasarkan regulasi FIA Class 1, di mana ia pernah digunakan oleh kejohanan Deutsche Tourenwagen Masters (DTM) dari musim 2019 hingga 2020. Jadi jentera Class 1 yang dibangunkan pengeluar Eropah seperti Aston Martin, Audi dan BMW juga layak untuk menyertai Super GT dalam kelas GT500.

     
     
  • TGR Festival Vios Challenge pusingan 2 Musim 8 – saingan sengit dan adil tanpa sebarang dominasi!

    TGR Festival Vios Challenge pusingan 2 Musim 8 – saingan sengit dan adil tanpa sebarang dominasi!

    Perlumbaan pusingan kedua untuk siri ‘one make’ TGR Festival Vios Challenge musim ke-8 sudah pun tamat minggu lalu. Istimewa untuk perlumbaan kali ini, ia dilangsungkan sekali dengan perlumbaan Autobacs Super GT 2025 pusingan ke-3 yang kembali ke Litar Antarabangsa Sepang selepas 12-tahun tidak diadakan di sini, dan UMW Toyota bersama Toyota Gazoo Racing Malaysia bertindak sebagai penaja utama acara berkenaan.

    Sebagai perlumbaan sokongan untuk acara istimewa tersebut, Vios Challenge kali ini dilangsungkan di litar penuh SIC sepanjang 5.543 km berbanding hanya separa litar sebelah selatan pada pusingan pertama. Bukan itu sahaja, setiap kategori juga dicampurkan dalam satu perlumbaan yang berjalan serentak, dan ia dilangsungkan selama satu jam berbanding hanya 30-minit sebelum ini, memberikan cabaran kepada pelumba bagaimana untuk menguruskan penggunaan tayar.

    Jadi sebanyak 36 kereta dari tiga kategori berbeza berlepas serentak untuk satu perlumbaan, di mana ia bukan hanya disertai oleh pelumba-pelumba tempatan, malah ada yang datang dari Thailand, Singapura dan juga India. Ia dimulakan dengan sesi kelayakan yang berlangsung pada pagi Jumaat 27 Jun serta Race 1 pada hari yang sama, kemudian bersambung dengan Race 2 pada hari Sabtu. Perlumbaan yang berlangsung lebih panjang ini juga akan memberikan jumlah mata berganda untuk pelumba yang menamatkan perlumbaan ditempat 10-teratas.

    Kelas Super Sporting

    TGR Festival Vios Challenge pusingan 2 Musim 8 – saingan sengit dan adil tanpa sebarang dominasi!

    Untuk kelas Super Sporting, Ady Rahimi dari pasukan Laser Motor Racing bermula di petak hadapan selepas mencatatkan masa terpantas dalam sesi kelayakan, diikuti oleh Nabil Azlan dari pasukan Wheelcorp, William Ho dari Toyotsu Racing dan pelumba India Aman Nagdev mewakili pasukan Axle Sport.

    Namun sebaik sahaja perlumbaan bermula secara rolling start, Eddie Lew iaitu rakan sepasukan Ady dari petak keenam berjaya meluru ke hadapan untuk memimpin perlumbaan sebelum sampai di selekoh pertama. Dalam ‘kesesakan’ merebut tempat di selekoh pertama dan kedua, malangnya Ady Rahimy tercicir sehingga tempat ke-8, namun Nabil masih mampu bertahan di tempat kedua.

    Perlumbaan berlangsung sengit pada awal-awal babak di mana Nabil berjaya mengungguli perlumbaan pada lap ke-3 dan dia diikuti rapat oleh Freddie Ang dari pasukan Telagamas Toyota, manakala Eddie Lew jatuh ke tempat ke-3. Walau bagaimanapun, ‘dogfight’ yang sengit berlaku antara Nabil dan Freddie pada selekoh pertama di lap ke-6 menyaksikan pendahulu perlumbaan bertukar sekali lagi.

    TGR Festival Vios Challenge pusingan 2 Musim 8 – saingan sengit dan adil tanpa sebarang dominasi!

    Freddie Ang berjaya mengekalkan kedudukan tersebut dan memenangi perlumbaan ini, dan Nabil juga kekal di tempat kedua. Manakala Eddie Lew gagal untuk mempertahankan tempat ketiga selepas dipintas oleh William Ho dari pasukan Toyotsu Racing yang berjaya mengisi kedudukan podium terakhir untuk Race 1 ini.

    “Rancangan awal saya adalah untuk menyerang pada separuh masa kedua perlumbaan tetapi apabila keadaan tidak dijangka berlaku dalam perlumbaan, rancangan bertukar untuk menjarakkan diri lebih ke hadapan. Dalam perlumbaan sejam ia amat mencabar dan adalah penting untuk menguruskan kereta dan tayar,” kata Ang yang menamatkan perlumbaan selama sejam berkenaan dengan melengkapkan 20-lap hanya 0.7 saat di hadapan Nabil.

    “Dia (Nabil) berada di bampar belakang saya sepanjang masa dan setiap kali saya cuba menjarakkan diri dia berada di sisi saya. Saya tidak dapat berbuat apa-apa lagi dan jadi saya berpuas hati dengan bertahan dan cuba kekal di hadapan.

    TGR Festival Vios Challenge pusingan 2 Musim 8 – saingan sengit dan adil tanpa sebarang dominasi!

    “Sejujurnya ia sangat membebankan badan, terutamanya dengan cuaca panas. Kami semua sudah terbiasa dengan perlumbaan jarak pendek dan oleh itu aksi tambahan selama 30 minit hujung minggu ini benar-benar membuatkan anda berasa letih badan…ia amat panas,” tambah Ang.

    Untuk Race 2, seperti biasa grid permulaan akan disusun terbalik untuk setiap enam pelumba berdasarkan keputusan Race 1. Oleh itu Bradley Benedict dari pasukan PS Otombil yang menamatkan Race 1 di tempat ke-6 diberikan petak pertama pada Race 2, diikuti oleh Ady Rahimy, Mitchell Cheah dari pasukan Prima Pearl TD Racing, William Ho, Nabil Azlan dan Freddie Ang.

    Sebaik sahaja berlepas, Nabil Azlan berjaya menyusup ke hadapan dan kemudian disaing rapat oleh Eddie Lew di belakang. Dalam masa yang sama Mitchell Cheah juga berjaya meluru ke tempat ke-3 dan mula ‘memburu’ kedua-dua kereta yang berada dalam kelompok pertama. Namun Safety Car keluar untuk memimpin perlumbaan seawal lap ke-2 kerana terdapat insiden yang berlaku menyebabkan Vios yang dipandu pelumba kelas Sporting iaitu Adele Lew tidak bergerak di selekoh ke-6.

    TGR Festival Vios Challenge pusingan 2 Musim 8 – saingan sengit dan adil tanpa sebarang dominasi!

    Namun sebaik sahaja Safety Car masuk semula pada lap ke-3, Mitchell Cheah memulakan serangannya dengan memotong Eddie Lew dari luar pada selekoh pertama, kemudian memimpin perlumbaan selepas memintas Nabil Azlan pada selekoh ke-5 pada lap yang sama. Malang buat Nabil, dia terus diasak oleh Eddie Lew menyebabkan kedudukannya jatuh di tempat ketiga pada selekoh ke-13 pada lap ketiga itu juga, kemudian dipintas pula oleh Ady Rahimy pada lap-6.

    Ketika Mitchell semakin selesa berada di hadapan, persaingan sengit antara dua rakan sepasukan iaitu Eddie Lew dan Ady Rahimy berlangsung di kelompok kedua menyaksikan Ady akhirnya berjaya memintas Eddie pada lap ke-9. Selepas itu Ady melancarkan serangan bertubi-tubi terhadap Mitchell untuk merebut tempat pertama, sehinggalah pada lap ke-16 Ady terbabas di selekoh ke-9 ketika cuba untuk memotong Mitchell.

    Ini menyebabkan Ady jatuh ke tempat kelima, dan Nabil kembali di tempat kedua diikuti oleh Aman Nagdev dan Freddie Ang. Namun Ady tidak berputus asa sehingga ke lap ke-20 iaitu lap terakhir dia berjaya memintas ketiga-tiga pelumba di hadapannya di selekoh ke-4. Perlumbaan ini berakhir dengan Mitchell di tempat pertama, Ady Rahimy kedua dan Freddie ketiga.

    TGR Festival Vios Challenge pusingan 2 Musim 8 – saingan sengit dan adil tanpa sebarang dominasi!

    “Ia adalah satu perlumbaan yang baik secara keseluruhan. Saya memperoleh dua kedudukan pada permulaan tetapi saya juga kehilangan dua kedudukan kemudian apabila Safety Car keluar. Saya kemudiannya melawan, mendahului semula dan berjaya meningkatkan jurang sehingga dua saat dan selepas itu ia adalah tugas untuk mengekalkan konsistensi dan menguruskan kehausan tayar,” kata Cheah.

    “Menjelang peringkat akhir perlumbaan saya hanya memandang ke hadapan dan fokus untuk konsisten melintasi kibaran bendera penamat. Perlumbaan 1 jam pastinya tidak mudah dan anda tidak mampu untuk memecut dari awal seperti perlumbaan sprint,” tambahnya.

    Kelas Sporting

    TGR Festival Vios Challenge pusingan 2 Musim 8 – saingan sengit dan adil tanpa sebarang dominasi!

    Untuk Race 1, kelas untuk pemandu-pemandu amatur ini di dominasi oleh Jwan Hii dari pasukan Hong Huat x Armada KK Racing. Pelumba muda berusia 22 tahun yang juga salah seorang graduan kategori Rookie TGR Malaysia Vios Challenge itu mendominasi sepenuhnya perlumbaan ini tanpa cabaran serta mencatatkan masa lap terpantas 2 minit 52.409 saat.

    Ini membolehkan Hii menamatkan perlumbaan ini dengan selesa, berada 8 saat di hadapan Datuk Dr Ken Foo dari pasukan Kulim Top Wheels yang berada di tempat kedua. Manakala tempat ketiga pula milik pelumba dari Thailand iaitu Varunchit Wattanathanakun yang mewakili RUK Team Nexzter PMC 52.

    Manakala untuk Race 2, ia didominasi oleh pasukan BAE Racing by ES Yang di mana pemandu pasukan berkenaan dari Singapura iaitu Justin Toh berada di tempat pertama, diikuti rakan sepasukannya iaitu Elson Lew. Pelumba Thailand Varunchit Wattanathanakun sekali lagi berada di tempat ketiga untuk Race 2 ini.

    Kelas Rookie

    TGR Festival Vios Challenge pusingan 2 Musim 8 – saingan sengit dan adil tanpa sebarang dominasi!

    Untuk kelas yang mempertandingkan bakat-bakat muda dalam program pembangunan pemandu Toyota Gazoo Racing Malaysia ini, babak-babak awal diwarnai oleh persaingan antara Aydan Khaliq dan Harkiesh Geeva yang masing-masing saling potong memotong untuk merebut tempat pertama.

    Namun nasib tidak menyebelahi Harkiesh di mana Vios yang dipandunya mengalami masalah mekanikal, dan terpaksa berpuas hati berada di tempat ketiga. Perlumbaan ini dimenangi oleh Aydan dan diikuti oleh Justin Rahul Dev di tempat kedua.

    “Sejujurnya, saya sangat bernasib baik untuk menamatkan perlumbaan seperti yang saya lakukan selepas Harkiesh kehilangan gear ketiganya walaupun mendahului perlumbaan dengan agak baik. Tetapi itu adalah sebahagian daripada perlumbaan,” kata Aydan.

    TGR Festival Vios Challenge pusingan 2 Musim 8 – saingan sengit dan adil tanpa sebarang dominasi!

    “Perlumbaan di trek penuh juga agak memenatkan… Dari segi mental saya cukup cergas tetapi selepas bersaing dalam perlumbaan GR86 Cup Malaysia, saya terpaksa bergegas ke grid permulaan untuk Vios Challenge pula.

    “Namun begitu, bersaing pada minggu perlumbaan Super GT adalah pendedahan yang sangat baik bukan sahaja untuk saya sebagai orang baru tetapi keseluruhan siri Vios Challenge kerana ia menonjolkan bakat tempatan dan berlumba di peringkat antarabangsa,” tambahnya lagi.

    Ini merupakan kali pertama Aydan dan Justin naik ke podium dalam kategori Rookie ini, dan kedua-duanya sekali lagi naik ke podium pada Race 2 di mana giliran Justin pula menjuarai perlumbaan dan Aydan berada di tempat ketiga. Tempat kedua untuk Race 2 ini adalah milik pelumba wanita iaitu Genevieve Ooi, menjadi pencapaian terbaiknya setakat ini.

    TGR Festival Vios Challenge pusingan 2 Musim 8 – saingan sengit dan adil tanpa sebarang dominasi!

    “Perlumbaan petang ini agak sukar dan sudah tentu ia menjadi lebih mencabar kerana cuaca panas yang melampau. Paling penting, saya mpastikan ia bersih, konsisten dan jauhi dari masalah,” kata Genevieve.

    “Saya berada dalam kedudukan yang baik semalam sehingga bersentuhan dengan rookie lain yang menyebabkan tayar saya pancit. Selepas masuk ke pit untuk dibaiki, tiada apa yang boleh saya lakukan.

    “Saya telah berusaha untuk meningkatkan kecergasan fizikal saya dan memastikan fikiran saya fokus. Ini penting dalam perlumbaan ketahanan dan saya juga telah belajar untuk tidak terlalu memikirkan sesuatu, sehingga memberi tekanan yang tidak perlu kepada diri saya sendiri,” tambahnya.

    Selepas berakhirnya pusingan kedua ini, musim ke-8 TGR Festival Vios Challenge ini masih lagi berbaki dua pusingan. Pusingan ketiga masih akan dilangsungkan di Sepang pada 8 hingga 10 Ogos nanti, manakala pusingan keempat yang juga terakhir akan dibuat di Johor pada Oktober di tempat yang akan diumumkan kemudian.

    GALERI: Race 1 TGR Festival Vios Challenge Malaysia Pusingan ke-2 Musim ke-8

    GALERI: Race 2 TGR Festival Vios Challenge Malaysia Pusingan ke-2 Musim ke-8

     
     
  • Ferrari gagal saman syarikat minuman tenaga tempatan berhubung kes cap dagangan

    Ferrari gagal saman syarikat minuman tenaga tempatan berhubung kes cap dagangan

    Ikon supercar Itali, Ferrari SpA (Ferrari), yang terkenal dengan lambang ‘Prancing Horse’, telah kalah dalam kes mahkamah berhubung kes cap dagangan menentang sebuah syarikat minuman tenaga tempatan berkaitan logo kuda berkembar.

    Mahkamah Tinggi telah menolak tindakan undang-undang Ferrari terhadap Sunrise-Mark Sdn Bhd, dengan memutuskan bahawa logo “Wee Power” milik syarikat tersebut tidak menyerupai tanda dagangan Ferrari yang terkenal di seluruh dunia dan boleh diteruskan untuk pendaftaran, laporan New Straits Times.

    Hakim Adlin Abdul Majid menjelaskan bahawa dakwaan Ferrari mengenai potensi kekeliruan adalah tidak berasas.

    Sebagai plaintif, Ferrari telah memfailkan saman pemula terhadap Sunrise-Mark untuk membatalkan keputusan Pendaftar Cap Dagangan yang sebelum ini menolak bantahan jenama supercar ini dan membenarkan permohonan cap dagangan pihak defendan tahun lalu.

    Ferrari telah berhujah bahawa cap dagangan milik Sunrise-Mark, yang memaparkan dua ekor kuda melompat saling berhadapan dengan huruf W tebal di tengah-tengah dan perkataan “Wee Power” di bawahnya, telah melanggar hak eksklusif Ferrari terhadap imej ikonik seekor kuda melompat yang digunakan pada kereta, barangan dagangan, dan penjenamaan globalnya.

    Ferrari juga cuba memperkecilkan kepentingan perkataan “Wee Power” dengan berhujah bahawa istilah “Power” telah dinyatakan sebagai pengecualian dalam pendaftaran cap dagangan, manakala perkataan “Wee” pula terlalu umum untuk dianggap sebagai sesuatu yang unik.

    Ferrari gagal saman syarikat minuman tenaga tempatan berhubung kes cap dagangan

    Bagaimanapun, mahkamah dalam keputusannya bertarikh 30 Mei tidak bersetuju dengan plaintif atas alasan bahawa satu-satunya persamaan antara kedua-dua tanda itu ialah kuda.

    “Tanda plaintif ialah tanda peranti dengan seekor kuda berdiri, manakala tanda defendan (Sunrise-Mark) mengandungi dua kuda berdiri yang saling berhadapan. Tanda defendan tidak hanya tertumpu pada kuda yang berdiri kerana ia mengandungi huruf besar W di antara kepala kedua-dua kuda dan perkataan WEE POWER di bawah kuda-kuda itu.

    “Saya menerima penjelasan defendan bahawa perkataan WEE berasal daripada nama pengasas defendan, Wee Juan Chien, dan tidak merujuk kepada takrifan biasa perkataan wee dalam bahasa Inggeris. Saya mendapati tidak mungkin defendan berniat untuk menjenamakan minuman tenaganya dengan perkataan yang bermaksud ‘kuasa yang sangat kecil’ atau ‘kuasa yang sangat awal’,” katanya.

    Adlin berkata, mahkamah mendapati tiada kemungkinan munasabah bahawa seseorang yang membeli minuman tenaga akan mengelirukannya dengan kenderaan mewah Ferrari.

    “Plaintif dan defendan terbabit dalam industri yang berbeza, dengan plaintif dalam industri automotif mewah manakala defendan berurus niaga dalam barangan boleh guna. Kedua-dua jenis produk tidak bersaing antara satu sama lain, dan pelanggan plaintif serta pelanggan defendan tidak mungkin bertindih.

    “Saya mendapati tidak mungkin pengguna biasa akan melihat tanda defendan dan membentuk tanggapan bahawa ia serupa dengan tanda plaintif,” katanya. Mahkamah juga memerintahkan Ferrari untuk membayar kos mahkamah.

     
     
  • Iklan teaser Proton eMas 7 — dikemaskini, AACP?

    Iklan <em>teaser</em> Proton eMas 7 — dikemaskini, AACP?

    Semalam, Proton eMas menaikkan satu hantaran iklan teaser di laman Facebook rasmi yang jelas menunjukkan eMas 7 yang ketika ini sedang mendahului jualan EV di Malaysia sejak Disember tahun lalu. Jadi, iklan teaser ini untuk apa sebenarnya: adakah untuk memperkenalkan unit pemasangan tempatan (CKD)? Dan adakah ia akan tiba dalam masa terdekat?

    Tetapi, macam terlalu awal untuk hal itu berlaku, kerana Proton baru Februari lalu mengumumkan pihaknya telah memulakan pembinaan kilang EV-nya di Tanjong Malim, dan eMas 7 CKD hanya akan diperkenalkan pada hujung tahun nanti.

    Satu kemungkinan lain adalah kehadiran fungsi Apple CarPlay/Android Auto, yang tidak disertakan ketika pelancarannya. Ini mungkin lebih masuk akal, memandangkan kemaskini over-the-air (OTA) untuk ini akan tiba pada Julai. Ketika ini, hanya X70 facelift yang mempunyai ciri AACP ini.

    Atau, adakah ini untuk versi edisi khas? Tapi, sama juga, masih terlalu awal untuk itu, kerana eMas 7 masih dikira baru dalam pasaran, dan masih menerima permintaan yang menggalakkan. Melainkan jika ada kemaskini spesifikasi yang ingin ditambah, mungkin sebagai respon kepada penawaran BYD Atto 3 Ultra yang ditambah kelengkapan dan diturunkan harga sebelum ini? Apa pun, kita nantikan Rabu ini untuk pendedahannya.

     
     
  • Zeekr Intelligent Technology Malaysia ditubuhkan – prinsipal ambil alih sebagai pengedar rasmi

    Jenama kenderaan elektrik (EV) Zeekr, yang berada di bawah naungan Geely, kini secara rasmi mengambil alih operasi di Malaysia menerusi penubuhan syarikat tempatan, Zeekr Intelligent Technology (Malaysia). Ini menandakan langkah penting di mana pihak prinsipal kini mengendalikan sendiri peranan sebagai pengedar rasmi di negara ini.

    Dalam satu kenyataan bertajuk “Zeekr Malaysia: A New Chapter Begins”, syarikat itu mengumumkan penubuhan syarikat jualan nasional (NSC) yang akan menguruskan sepenuhnya operasi borong, pembangunan rangkaian pengedar, penjenamaan, pemasaran serta perkhidmatan selepas jualan.

    Zeekr Malaysia merancang untuk membuka 10 bilik pameran dan tiga pusat servis menjelang tahun 2025. Pada masa ini mereka sedang mencari rakan pengedar baru di Cheras, Kuantan, Kuching, Kota Kinabalu dan Tebrau (Johor Bahru). Menurut Pengarah Urusan Zeekr Asia Tenggara, Alex Bao, Malaysia merupakan salah satu pasaran paling penting bagi Zeekr di rantau ini.

    Zeekr Intelligent Technology Malaysia ditubuhkan – prinsipal ambil alih sebagai pengedar rasmi

    “Zeekr baru-baru ini mencapai kejayaan besar dengan pengeluaran kenderaan ke-500,000 di peringkat global. Kami kini telah berkembang ke lebih 40 negara dan rantau. Penubuhan NSC ini membolehkan kami lebih dekat dengan pelanggan — mendengar suara mereka, memahami keperluan mereka dan memberikan perkhidmatan yang lebih baik,” katanya.

    Tambah beliau, komitmen jangka panjang Zeekr di Malaysia tertumpu kepada tiga aspek utama iaitu pengembangan rangkaian pengedar, peningkatan perkhidmatan selepas jualan dan pelaburan dalam pemasaran. Setakat ini, Zeekr sudah mempunyai dua bilik pameran yang dikenali sebagai Zeekr Space — satu di Petaling Jaya dan satu lagi di IOI Mall Puchong.

    Dengan penubuhan NSC ini, Zeekr bersama rakan tempatan mereka, Sentinel Automotive, Preeminent Auto dan Carro akan mempercepatkan pertumguhan dengan membuka lapan lagi bilik pameran baharu di lokasi Bandar Sunway (Julai), Jalan Yap Kwan Seng, KL (Julai), Bangsar (Suku Ketiga), Skudai, Johor Bahru (Suku Ketiga), Pulau Pinang (Suku Ketiga), Seremban (Suku Keempat), Melaka (Suku Keempat) dan Ipoh (Suku Keempat)

    Tiga pusat servis rasmi Zeekr pula dijadualkan beroperasi tahun ini di Bandar Sunway, Pulau Pinang dan Johor Bahru. Di pasaran Malaysia, Zeekr kini menawarkan dua model EV iaitu 009, sebuah MPV mewah dan X, sebuah crossover. Model seterusnya yang bakal tiba ialah Zeekr 7X, sebuah SUV elektrik yang dijangka menjadi pencabar kepada Tesla Model Y dan BYD Sealion 7.

     
     
  • Cadangan untuk JPJ salurkan hasil cukai jalan, saman had laju bagi baikpulih jalan tiada respons – KKR

    Cadangan untuk JPJ salurkan hasil cukai jalan, saman had laju bagi baikpulih jalan tiada respons – KKR

    Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata cadangan supaya sebarang kutipan yang dibuat oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berhubung cukai jalan dan segala saman had laju diserahkan kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk digunakan bagi membaikpulih jalan rosak masih tidak mendapat maklum balas.

    “Perkara ini sudah pun disuarakan namun tidak mendapat maklum balas. Justeru, sekiranya ada cadangan daripada pihak tertentu pertimbang untuk menaikkan cukai untuk kenderaan yang membawa muatan berat, kita serahkan kepada dua kementerian iaitu Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian

    Beliau berkata demikian susulan pendapat pihak tertentu yang sebelum ini supaya kerajaan perlu mempertimbangkan kenaikan cukai jqlqn ke atas kenderaan yang membawa muatan berat seperti lori dan treler yang menjadi punca utama kerosakan jalan raya dan menggunakan hasil itu untuk membaik jalan yang rosak.

    “Memang untuk membaik pulih dan menaik taraf jalan di seluruh negara kita memerlukan RM4 bilion, namun kita tidak pernah mendapat peruntukan sebanyak itu sebaliknya kita mendapat hampir RM2 bilion saja kerana kerajaan sendiri mempunyai kekangan tertentu.

    “Namun, kita sentiasa berharap akan mendapat peruntukan yang lebih setiap tahun bagi membaik pulih jalan yang rosak kerana ada jalan sudah ‘berusia’ dan permukaannya perlu diturap. Apa yang kita kenal pasti dua faktor yang menyumbang kepada jalan rosak adalah cuaca dan kenderaan berat yang membawa lebih muatan,” katanya.

     
     
  • JPJ laksana penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar di dalam bas ekspres, persiaran mulai 1 Julai

    JPJ laksana penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar di dalam bas ekspres, persiaran mulai  1 Julai

    Bermula esok (1 Julai 2025), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar terhadap bas ekspres dan persiaran. Ia adalah sebagai langkah meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya di negara ini.

    Ketua Pengarah JPJ Dato’ Aedy Fadly bin Ramli berkata, penguatkuasaan ini akan memberi tumpuan khusus kenderaan perkhidmatan awam bas ekspres dan persiaran yang dibina pada atau selepas 1 Januari 2020. Ia juga akan dijalankan secara intensif selama satu bulan bermula 1 Julai, dengan fokus terhadap kesalahan pemakaian tali pinggang keledar oleh penumpang.

    “Pemandu dan penumpang bas yang tidak memakai tali pinggang keledar ketika kenderaan sedang bergerak akan dikenakan notis saman. Langkah ini menekankan tanggungjawab bersama antara pengusaha pengangkutan awam dan pengguna untuk memastikan pematuhan kepada piawaian keselamatan.

    JPJ laksana penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar di dalam bas ekspres, persiaran mulai  1 Julai

    “JPJ turut menyeru kepada semua pemandu dan penumpang kenderaan perkhidmatan awam yang terlibat agar memastikan kenderaan masing-masing dilengkapi sistem tali pinggang keledar yang berfungsi dengan baik, selari dengan keperluan keselamatan semasa,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Tambahnya, pelaksanaan inisiatif ini dilihat sebagai salah satu usaha proaktif JPJ dalam memperkukuh sistem keselamatan jalan raya, mengurangkan risiko kecederaan parah atau kehilangan nyawa, khususnya melibatkan pengguna pengangkutan awam dan kenderaan barangan.

    “Langkah ini bukan untuk menghukum, sebaliknya untuk mendidik dan mengubah sikap pemandu serta penumpang agar lebih cakna tentang keselamatan. Penguatkuasaan yang lebih tegas ini dijangka akan mempertingkatkan kesedaran orang awam mengenai kepentingan pemakaian tali pinggang keledar, bukan sahaja bagi pemandu, tetapi juga bagi penumpang di semua posisi tempat duduk,” jelasnya lagi.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025