Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - facelift ke all-new?



Artikel Terkini

  • KLIMS bakal kembali pada 12-21 Jun 2026 di MITEC

    KLIMS bakal kembali pada 12-21 Jun 2026 di MITEC

    Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) yang berlangsung pada Disember tahun lalu kini sudah mengumumkan edisi berikutnya bagi pameran tersebut yang akan berlangsung tahun depan. Penganjurnya, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) memaklumkan, acara pameran permotoran itu akan diadakan pada 12 hingga 21 Jun 2025, beralih dari kalendar penganjuran hujung tahun pada 2024 lalu.

    Lokasi akan dikekalkan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC). Ia akan diadakan dua kali setahun kerana dianjurkan secara berselang tahunan dengan acara Malaysia Auto Show (MAS), yang baru saja diadakan tahun ini pada April lalu — membolehkan Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya satu pameran automotif setiap tahun.

    KLIMS akan terus bertindak selaku pameran dengan pendekatan tradisional, dengan mempamerkan model-model baru serta kereta konsep yang akan menjadi tumpuan utama, jelas Presiden MAA, Mohd Shamsor Mohd Zain. Ini berbeza dengan pameran berasaskan jualan yang dianjurkan untuk MAS, yang mana pengedar akan mengambil tempahan untuk kenderaan baru dan pelanggan boleh memandu uji kenderaan.

    KLIMS bakal kembali pada 12-21 Jun 2026 di MITEC

    MAA sedang merancang penambahbaikan yang akan menerapkan beberapa elemen daripada MAS untuk KLIMS, seperti sesi pandu uji, walaupun semua itu bergantung kepada jenama masing-masing yang terlibat. “Kami sudah mempunyai petunjuk bahawa bahkan jenama yang tidak ikut serta tahun lalu juga sudah merancang untuk menyertai pameran ini,” jelas Mohd Shamsor. “Kami berharap akan dapat membawakan pameran yang lebih meriah tahun depan.”

    Perubahan lain juga akan dilakukan untuk memperbaiki kekurangan dalam edisi yang lalu, seperti kekurangan kemudahan untuk petugas media. Itu terjadi kerana waktu singkat yang terpaksa dilalui oleh penganjuran tahn lalu, selepas keluar dari pandemik Covid-19 sebelumnya. Begitu juga senggang yang terlalu lama kerana MAA berehat daripada penganjuran sebelum itu — melibatkan tempoh enam tahun tanpa pameran tersebut.

    “Kali ini, kerana ada banyak masa untuk merancang, kami akan menyediakan lebih banyak aktiviti dan kemudahan untuk semua,” jelasnya.

     
     
  • MoT lantik empat pusat pemeriksaan MV15 (tukar hakmilik B5) untuk kurangkan sesak di Puspakom

    MoT lantik empat pusat pemeriksaan MV15 (tukar hakmilik B5) untuk kurangkan sesak di Puspakom

    Kementerian Pengangkutan (MoT) telah melantik empat Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) khas untuk melakukkan pemeriksaan tukar hak milik MV15 (sebelum ini dikenali sebagai B5) yang disasarkan untuk mengurangkan kesesakan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

    Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dalam laporan Berita Harian, empat PPKM berkenaan akan mula beroperasi dalam masa tiga bulan lagi, dan ia selaras keputusan mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Mac 2023.

    Loke menjelaskan bahawa empat PPKM yang dilantik itu hanya akan membuat pemeriksaan terhadap kenderaan persendirian saja berbanding pemeriksaan terhadap pelbagai jenis kenderaan dilaksanakan di Puspakom ketika ini, dan ia akan memudahkan dan mempercepatkan proses pemeriksaan kenderaan persendirian tanpa perlu bersesak dengan kenderaan berat ketika di Puspakom.

    “Pelantikan PPKM dengan fungsi khusus bagi pemeriksaan MV15 ini adalah antara usaha kita untuk menambah penawaran perkhidmatan pemeriksaan, pertukaran hak milik kenderaan dalam pasaran dan mengurangkan kesesakan di Puspakom sekarang,” katanya pada sidang media sebelum menyerahkan surat tawaran kepada empat syarikat berkenaan.

    MoT lantik empat pusat pemeriksaan MV15 (tukar hakmilik B5) untuk kurangkan sesak di Puspakom

    Empat syarikat yang dilantik itu adalah Carro Technology Sdn Bhd; Carsome Academy Sdn Bhd; Wawasan Bintang Sdn Bhd dan Beriman Gold Sdn Bhd.

    Loke menjelaskan, tawaran kelulusan bersyarat diberikan kepada tujuh syarikat untuk melaksanakan perkhidmatan ini, namun hanya empat yang menerimanya dan bersedia menerima syarat diletakkan. Beliau menambah kelulusan bersyarat yang diberikan bagi tempoh 12 bulan itu membolehkan syarikat membuat persediaan berdasarkan syarat ditetapkan dalam garis panduan itu, namun ada syarikat menyatakan mampu mula beroperasi seawal tiga bulan lagi.

    Walau bagaimanapun perlu diingatkan bahawa empat PPKM ini hanya akan menawarkan pemeriksaan MV15 untuk proses tukar milik selepas kenderaan dijual dan buat masa sekarang ia dikenakan bayaran RM30. Manakala untuk urusan pemeriksaan B7 untuk tujuan mendapatkan pembiayaan sewa beli kenderaan terpakai, ia masih perlu dibuat di Puspakom.

    Pemeriksaan B7 ini diperkenalkan pada 2011, dan ia menampilkan pemeriksaan yang lebih terperinci, dan buat masa sekarang ia dikenakan bayaran sebanyak RM60.

     
     
  • BYD naik taraf sistem ADAS God’s Eye dengan Park Assist Tahap 4, sanggup bayar jika kemalangan

    BYD naik taraf sistem ADAS God’s Eye dengan Park Assist Tahap 4, sanggup bayar jika kemalangan

    Awal tahun ini, BYD memperkenalkan sistem bantuan pemanduan canggih yang dikenali sebagai God’s Eye, dan ia kini dilengkapi secara standard untuk semua model jenama di bawah kumpulan BYD termasuk Denza, Fangchengbao dan Yangwang. Kini, sistem tersebut diberikan kemas kini terbaru melalui sambungan tanpa wayar (over-the-air/OTA) yang meningkatkan lagi keupayaan teknologinya.

    Menerusi satu perkongsian di laman Weibo, BYD memaklumkan bahawa penambahbaikan utama dalam kemas kini ini ialah sistem bantuan letak kenderaan yang dinaik taraf sepenuhnya. Menariknya, sistem ini sekarang dikatakan setanding dengan autonomous Tahap 4, yang bermaksud pemandu tidak perlu menggunakan tangan, mata atau memberi tumpuan langsung ketika kereta sedang melakukan parkir secara automatik. BYD turut mendakwa ini adalah sistem pertama seumpamanya di dunia.

    Sistem parkir pintar ini boleh berhadapan dengan pelbagai jenis ruang parkir – selari, serong dan tegak – termasuk parkir secara mengundur atau masuk ke depan. Ia juga mampu mengesan halangan seperti bumbung rendah atau kenderaan lain yang diletakkan tidak kemas, lalu menyesuaikan posisi parkir agar penumpang masih boleh keluar dan masuk dengan selesa.

    BYD naik taraf sistem ADAS God’s Eye dengan Park Assist Tahap 4, sanggup bayar jika kemalangan

    Satu lagi ciri baru adalah keupayaan untuk mengesan ruang parkir sempit, di mana cermin sisi akan dilipat secara automatik bagi mengelakkan sebarang geseran. Pemandu turut diberi pilihan untuk memilih antara tiga kelajuan parkir, termasuk mod “kelajuan ekstrem”. Lebih menarik, pengguna juga boleh berada di luar kenderaan dan membiarkan kereta parkir secara sendiri.

    Menunjukkan keyakinan penuh terhadap keupayaan sistem ini, BYD turut mengumumkan bahawa mereka akan bertanggungjawab sepenuhnya sekiranya berlaku sebarang kemalangan akibat penggunaan sistem bantuan parkir baru ini. Mereka akan menanggung kos kerosakan, termasuk kerugian harta benda pihak ketiga serta kecederaan, walaupun kenderaan sudah tamat tempoh waranti atau dibeli oleh pemilik kedua. Pendekatan ini mengingatkan kita kepada komitmen awal Volvo ketika membangunkan teknologi pemanduan autonomous.

    Selain sistem parkir, kemas kini ini turut mempertingkatkan ciri pemanduan separa automatik Tahap 2 dalam sistem God’s Eye, termasuk keupayaan untuk mempercepat atau memperlahankan kenderaan secara automatik ketika menukar lorong, bergantung kepada aliran trafik. Kenderaan juga akan mengelipkan lampu hadapan dan membunyikan hon jika mengesan kenderaan lain menukar lorong secara berbahaya – satu ciri yang sangat sesuai untuk keadaan trafik di Malaysia.

    BYD naik taraf sistem ADAS God’s Eye dengan Park Assist Tahap 4, sanggup bayar jika kemalangan

    Turut disertakan ialah penambahbaikan kepada fungsi asas sistem ini, seperti pelarasan automatik ketinggian lampu hadapan ketika berada dalam mod pemanduan bantuan bagi meningkatkan keupayaan pengesanan halangan. Selain itu, lampu isyarat membelok akan dimatikan secara automatik selepas sistem selesai menukar lorong. Bagi model dengan versi asas sistem God’s Eye C (juga dikenali sebagai DiPilot 100 tanpa pengesan lidar), panduan operasi kini dipertingkatkan dan julat kelajuan sistem juga dioptimumkan agar lebih mematuhi tetapan kelajuan yang ditetapkan pengguna.

    Kemas kini ini akan mula ditawarkan kepada model “Dynasty” yang menggunakan sistem God’s Eye C terlebih dahulu, termasuk Qin Plus, Qin L, Song L, Song Pro, Yuan Plus (juga dikenali sebagai Atto 3), Yuan Up (Atto 2), dan MPV Xia. Model-model lain akan menyusul tidak lama lagi. Pengumuman ini hadir seiring dengan kejayaan BYD yang kini mempunyai lebih sejuta unit kenderaan dilengkapi sistem God’s Eye yang telah berada di atas jalan raya di China.

     
     
  • Perodua ‘QV-E’ akan dapat fungsi AVAS? Bunyi amaran kelajuan rendah diwajibkan bagi EV pada 2026

    Perodua ‘QV-E’ akan dapat fungsi AVAS? Bunyi amaran kelajuan rendah diwajibkan bagi EV pada 2026

    Kenderaan elektrik (EV) Perodua yang akan dilancarkan tidak lama lagi sekali lagi ditemui, dan kali ini di Bukit Sentosa, Rawang oleh Chip Pkb yang memuatnaik gambar serta videonya dalam kumpulan Facebook paultan.org Automotive/Car Discussion.

    Melalui hantaran yang dibuat, kita boleh melihat kereta yang mungkin akan dipanggil sebagai ‘QV-E’ ini mempunyai semua lampu jenis LED termasuk lampu undur, penunjuk arah sequential serta DRL LED yang terletak di bawah unit lampu utama.

    Kemudiannya jika anda dengar secara teliti, terdapat bunyi seperti dikeluarkan oleh kereta tersebut. Berkemungkinan ia adalah sistem amaran kenderaan akustik (AVAS), yang akan diwajibkan kepada semua EV di Malaysia memasuki tahun 2026. Ya, ini adalah satu sistem seperti yang mengeluarkan bunyi ‘lori aiskrim’ pada Proton eMas 7.

    Tidak dapat dipastikan sama ada bunyi ‘boop’ di awal video datang pada kereta itu, tetapi apabila ia semakin hampir dengan kamera, kita dapat mendengar bunyi ‘buih’ yang agak futuristik. Apa pendapat anda dengan ‘QV-E’ ini? Adakah ia boleh menarik ramai pengguna?

     
     
  • Nissan akan hentikan produksi di kilang bersejarah Oppama pada Mac 2028 selari langkah Re:Nissan

    Nissan akan hentikan produksi di kilang bersejarah Oppama pada Mac 2028 selari langkah Re:Nissan

    Nissan telah mengumumkan bahawa ia akan menghentikan operasi kilang Oppama miliknya di Jepun yang penuh sejarah pada akhir tahun kewangan 2027, iaitu pada Mac 2028. Ini adalah salah satu langkah dalam rancangan penstrukturan semula syarikat itu yang digelar sebagai Re:Nissan untuk keluar dari krisis kewangan yang sedang dihadapi sekarang.

    Oleh itu semua model-model sedia ada yang sedang diproduksi dan model-model baharu yang dirancang akan diproduksi di kilang Oppama berkenaan akan dipindahkan ke kilang Nissan Motor Kyushu yang terletak di wilayah selatan Fukuoka.

    Kilang Oppama tersebut telah memulakan produksinya pada 1961, dan merupakan salah satu kilang automotif berskala besar di Jepun ketika itu. Ia juga menjadi kilang pertama yang memasang model EV pertama Nissan iaitu Leaf pada 2010, dan kemudian disambung dengan produksi Nissan Note yang menerima unit rangkaian kuasa hibrid e-Power.

    Nissan akan hentikan produksi di kilang bersejarah Oppama pada Mac 2028 selari langkah Re:Nissan

    Selain itu, kilang Oppama yang sering dirujuk sebagai ‘ibu kilang’ Nissan di Jepun ini juga pernah menghasil model-model seperti Bluebird, Cube dan Juke. Buat masa sekarang kilang ini beroperasi dengan sekitar 2,400 pekerja, ke semuanya akan kekal bekerja sehingga tamat tahun kewangan 2027.

    “Keputusan ini hanya untuk kilang Oppama yang terletak di daerah Oppama. Fasiliti-fasiliti dan fungsi-fungsi lain di daerah tersebut – seperti Nissan Research Centre, Litar Ujian Grandrive Proving Ground, fasiliti ujian pelanggaran dan Oppama Wharf (pusat penyimpanan dan pengangkutan kenderaan) – akan kekal tidak terjejas dan terus beroperasi seperti biasa,” kata Nissan dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    “Hari ini, Nissan membuat keputusan yang sukar tetapi perlu. Ia tidak mudah – untuk saya atau untuk syarikat – tetapi saya percaya ia adalah langkah penting ke arah mengatasi cabaran semasa kami dan membina masa depan yang mampan. Kilang Oppama adalah bahagian yang membanggakan dalam sejarah kami, dan warisannya akan kekal,” kata CEO Nissan, Ivan Espinosa.

    Nissan akan hentikan produksi di kilang bersejarah Oppama pada Mac 2028 selari langkah Re:Nissan

    Nissan Leaf tanpa pemandu yang bertugas untuk menunda stok-stok baharu kereta yang dihasilkan di kilang Oppama

    “Saya ingin mengucapkan terima kasih yang tulus kepada pekerja kami, masyarakat setempat dan rakan kongsi kami yang telah menyokong kilang ini dengan dedikasi dan hati. Kami akan terus beroperasi di kawasan Oppama dengan sokongan padu untuk masyarakat setempat, sambil kami meneruskan semangat kilang Oppama dan berusaha memulihkan nilai sebenar Nissan,” tambahnya.

    Penghentian operasi pengeluaran di kilang Oppama ini adalah selaras dengan rancangan penstrukturan semula syarikat bagi mengurangkan kapasiti pengeluaran globalnya daripada 3.5 juta unit (tidak termasuk China) kepada 2.5 juta unit sambil mengekalkan kadar penggunaan kilang sekitar 100%. Ini akan menyaksikan beberapa operasi pengeluaran akan disatukan, bagi membolehkan jumlah 17 kilang dikecilkan hanya kepada 10 kilang, dan kilang Oppama ini antara yang menjadi “korban”.

    Nissan turut mengumumkan bahawa produksi van NV200 yang kini dibuat di kilang Nissan Shatai Shonan yang terletak di wilayah Kanagawa akan berakhir pada tahun kewangan 2026 (Mac 2027). Ia akan digantikan dengan model kenderaan komersil ringan (LCV) baharu yang akan diperkenalkan pada tahun kewangan 2027.

     
     
  • Set pertama bagi perkhidmatan ECRL dijangka tiba hujung tahun ini; dua set tren EMU, dua unit E-Loco

    Set pertama bagi perkhidmatan ECRL dijangka tiba hujung tahun ini; dua set tren EMU, dua unit E-Loco

    Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bakal menerima dua set pertama tren pelbagai gerabak (EMU) dan dua unit lokomotif elektrik (E-Loco) yang dijangka tiba hujung tahun ini, laporan Bernama

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak, ia bertujuan bagi ujian pentauliahan kereta api penumpang dan kargo yang akan dilaksanakan pada Jun 2026.

    “Untuk fasa seterusnya, sembilan lagi set EMU dan 18 lokomotif akan diterima secara berperingkat antara April hingga Mei tahun depan. Secara keseluruhan kita ada 11 EMU untuk pengangkutan penumpang dan 20 lokomotif bagi perkhidmatan kargo,” katanya.

    Dalam hal lain, beliau berkata, MRL akan menghantar 109 penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) seperti politeknik dan MARA menjalani Program Latihan Kemahiran Industri ECRL (PLKI-ECRL) ke Liuzhou, China secara berperingkat pada Ogos hingga Oktober tahun ini. Semua pelatih yang dipilih dijamin mendapat peluang pekerjaan di ECRL selepas tamat tempoh latihan dengan tawaran gaji permulaan sebanyak RM3,000.

    ECRL melibatkan laluan sepanjang 665 km yang menghubungkan Kota Bharu dan Pelabuhan Klang yang akan mempunyai 59 terowong, dijangka akan memendekkan masa perjalanan kepada empat jam berbanding tujuh jam yang diperlukan untuk jalan raya biasa, atau lebih 12 jam pada musim perayaan.

     
     
  • Rapid Penang sediakan bas percuma untuk Minggu Perpaduan 2025 di Batu Kawan pada 17-20 Julai

    Acara Minggu Perpaduan 2025 Peringkat Kebangsaan bakal berlangsung di Pulau Pinang dari 17 hingga 20 Julai, iaitu Khamis hingga Ahad ini bertempat di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan.

    Seperti kelaziman bagi acara kerajaan berskala besar, pastinya pengangkutan awam percuma akan disediakan untuk ke lokasi acara. Rapid Penang akan menyediakan perkhidmatan bas percuma untuk membawa orang ramai ke/dari stadium berkenaan dari/ke bahagian pulau. Sebanyak tujuh buah bas akan disediakan dengan 26 perjalanan sehari.

    Terdapat dua laluan yang disediakan iaitu dari Sungai Nibong di bahagian pulau dan satu lagi dari Seberang Jaya. Perkhidmatan bas dari Terminal Sungai Nibong (Tapak Pesta Pulau Pinang) bermula jam 9 pagi hingga 10.30 malam kecuali Ahad yang beroperasi dari 9 pagi hingga 6.30 petang. Manakala laluan dari Blanket Hotel Seberang Jaya juga dengan waktu operasi yang sama, tetapi berakhir 15 minit lebih lambat (10.45 malam dan 6.45 petang). Kekerapan ketibaan bas adalah setiap satu jam.

    Untuk jadual bas dan laluannya, anda boleh semak grafik di atas. Bagi yang mempunyai tunggakan saman trafik, PDRM juga bakal menawarkan diskaun sebanyak 50% bagi saman terpilih menerusi acara yang sama.

     
     
  • Plaza B Tol Ebor Selatan di Lebuhraya ELITE ditutup 15-17 Julai untuk kerja penebangan pokok, 10 mlm-5pg

    Plaza B Tol Ebor Selatan di Lebuhraya ELITE ditutup 15-17 Julai untuk kerja penebangan pokok, 10 mlm-5pg

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengumumkan laluan keluar di Plaza B, Plaza Tol Ebor Selatan di Lebuhraya ELITE akan ditutup sementara mulai malam ini hingga 17 Julai 2025, dari jam 10 malam hingga 5 pagi. Ia adalah bagi kelancaran kerja-kerja penebangan pokok di lokasi terbabit.

    “Sepanjang tempoh kerja ini dijalankan, semua kenderaan diminta untuk melalui Plaza A di plaza tol ini untuk keluar daripada lebuhraya.

    “Kerjasama para pengguna lebuh raya untuk mematuhi arahan papantanda di lokasi sepanjang proses kerja-kerja pembaikan dijalankan amat kami hargai. Terima kasih,” kata PLUS menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • Honda siar teaser N-One e: – muka sama dengan Super EV Concept didedah di GFOS, ini model global?

    Honda siar teaser N-One e: – muka sama dengan Super EV Concept didedah di GFOS, ini model global?

    Honda baru sahaja menyiarkan teaser model baharu untuk kei-Car Honda N-One, dan ia dikenali sebagai N-One e: kerana menerima unit rangkaian kuasa elektrik sepenuhnya (EV). Apa yang menarik, N-One e: ini nampaknya adalah model produksi bagi versi konsep Honda Super EV Concept yang didedahkan di Goodwood Festival of Speed (GFOS) 2025 di United Kingdom minggu lalu.

    Masih belum ada sebarang perincian berkenaan Honda N-One e: ini didedahkan. Namun boleh dijangka ia mungkin akan menggunakan unit rangkaian kuasa yang sama seperti N-Van e: iaitu motor elektrik tunggal berkuasa 64 PS atau 47 kW (kuasa maksima dibenarkan untuk model-model kei-Car di Jepun, walaupun EV) dan tork maksima 162 Nm untuk memacu roda hadapan.

    N-Van e: juga menerima bateri dengan kapasiti 29.6 kWj bagi membolehkan ia bergerak sejauh 245 km dalam kitaran ujian WLTP. Model ini kelak pasti akan menjadi saingan utama kembar Nissan Sakura EV dan Mitsubishi eK X EV, di mana kedua-duanya dilengkapi dengan bateri yang membolehkan ia bergerak hanya sejauh 180 km.

    N-One e: ini menampilkan muka yang sama sepenuhnya seperti Super EV Concept. Namun apa yang berbeza, walaupun ia dibalut dengan pelekat penyamaran, masih dapat dilihat bahawa ia menerima fender hadapan dan belakang yang lebih lebar, membuatkan ia nampak seperti Honda City Turbo II era 80’an dahulu.

    Honda menyifatkan model konsep berkenaan sebagai kereta yang “seronok-dipandu” serta memberikan “pengalaman memandu yang menggembirakan dan mendebarkan.”

    Dengan fender yang lebih lebar, sudah tentu Super EV Concept ini sudah tidak boleh dijual sebagai kei-Car di Jepun kerana telah melebihi had lebar yang dibenarkan untuk sebuah kei-Car. Jadi tidak mustahil ia adalah versi yang lebih berkuasa, dipadankan dengan motor elektrik dengan kuasa yang lebih besar dari 64 PS.

    Malah dengan didedahkan terlebih dahulu di GFOS, model tersebut mungkin akan dijual di Eropah dan juga pasaran lain di seluruh dunia sebagai model global, berbeza dengan N-One e: standard yang merupakan model khas pasaran domestik Jepun (JDM).

     
     
  • Lamborghini Temerario di M’sia – 4.0L turbo berkembar V8, 10,000 rpm, PHEV 920 PS; dari RM1.35j

    Lamborghini Temerario di M’sia – 4.0L turbo berkembar V8, 10,000 rpm, PHEV 920 PS; dari RM1.35j

    Lamborghini Kuala Lumpur telah pun membawa masuk HPEV (High Performance Electrified Vehicle) Supercar keduanya selepas Revuelta ke pasaran tempatan iaitu Temerario. HPEV Supercar baharu ini merupakan pengganti kepada Huracan yang telah berada di pasaran global selama 11 tahun.

    Untuk Temerario, ia diberikan enjin baharu L411 4.0 liter pengecas turbo berkembar V8 dengan ledakan kuasa yang lebih padu dan mengujakan. Menurut Lamborghini, putaran maksimum bagi enjin Temerario mampu mencecah 10,000 rpm, di mana ia lebih tinggi daripada enjin naturally-aspirated pada Ferrari mahu pun Porsche.

    Dengan pengecas turbo yang berputar pada tekanan 2.5 bar, enjin V8 ini sendiri mampu menghasilkan 800 PS dari 9,000 hingga 9,750 rpm dan tork 730 Nm antara 4,000 hingga 7,000 rpm. Lamborghini menyatakan bahawa enjin baharu ini mengekalkan kelancaran dan keutuhan kuasa linear seperti enjin V10 Huracán dan dalam masa yang sama memberikan angka kuasa dan tork tinggi seperti enjin turbo.

    Tetapi enjin turbo berprestasi tinggi juga biasanya mengalami masalah turbo lag yang ketara, jadi apa yang berlaku di bawah 4,000 rpm? Di sinilah motor elektrik belakang memainkan peranannya. Terletak di antara enjin dan transmisi klac berkembar lapan-kelajuan yang baharu (yang secara kebetulan lebih ringan daripada unit tujuh-kelajuan Huracán), motor ini mengisi jurang tork pada putaran rendah dengan kuasa tork sendiri sebanyak 300 Nm.

    Lamborghini Temerario di M’sia – 4.0L turbo berkembar V8, 10,000 rpm, PHEV 920 PS; dari RM1.35j

    Menambah lagi output adalah motor-motor di hadapan yang menyediakan fungsi torque vectoring merentasi gandar depan dan secara gabungan menghasilkan puncak kuasa sebanyak 299 PS (82 PS secara berterusan) dan tork luar biasa sebanyak 2,150 Nm. Semua ini menghasilkan jumlah kuasa sistem sebanyak 920 PS, membolehkan Temerario memecut dari sifar ke 100 km/j dalam masa 2.7 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 343 km/j.

    Dengan tiga unit motor yang diberikan itu, ia dijanakan oleh bateri 3.8 kWh yang diletakkan di bahagian tengah casis. Ini membolehkan motor hadapan memacu supercar ini menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya dengan output maksimum sebanyak 190 PS, sekaligus menjadikan Temerario sebuah EV pacuan roda hadapan. Julat pemanduan menggunakan elektrik sepenuhnya masih belum didedahkan, tetapi bateri ini menyokong pengecasan AC sehingga 7 kW, yang membolehkan cas penuh dilakukan dalam masa hanya 30 minit.

    Untuk pengendaliannya, pemandu boleh mengawal bagaimana untuk mengoperasikan penjana kuasa iaitu menerusi tatapan Recharge (ia mengecas bateri menggunakan V8), Hybrid dan Performance. Kombinasi ini diberikan dengan lima mod pemanduan iaitu – Città (untuk bandar), Strada (jalanan), Sport, Corsa (perlumbaan) dan Corsa Plus (bantuan pemandu dimatikan) – untuk menentukan bagaimana enjin dan motor digunakan. Hanya dengan mod Città, Temerario boleh dipacu dengan kuasa elektrik sepenuhnya dalam tatapan Hybrid. Walau bagaimana pun, kesemua tatapan akan disepadukan dengan V8 sepanjang masa. Selain itu, launch control dan Drift Mode juga diberikan dengan empat tahap.

    Penjana kuasa ini juga dipasang dalam spaceframe aluminium serba baharu yang bukan sahaja menyediakan lebih ruang untuk memuatkan penumpang lebih tinggi (sehingga 200 cm, walaupun dengan topi keledar), tetapi juga mengurangkan kerumitan dan mengoptimumkan berat – dengan kelebihan tambahan peningkatan 20% dalam kestabilan tork berbanding Huracán. Namun begitu, penambahan semua komponen elektrik menyebabkan berat Temerario meningkat sebanyak 268 kg berbanding Huracán Evo iaitu mencecah 1,690 kg.

    Menambahkan lagi padunya enjin V8 yang memiliki putaran tinggi ialah sistem ekzos talaan khas dengan ekzos aktif, sambungan antara bank enjin, dan sebuah sound symposer yang menghantar bunyi enjin terus ke dalam kabin. Lamborghini juga memilih untuk menyalurkan sebahagian getaran enjin flat-plane crank pada putaran tinggi melalui penggunaan engine mount khas dan bahagian badan yang ringan.

    Bagi memastikan Temerario mempunyai cengkaman mencukupi untuk mengendalikan kuasa luar biasa ini, Lamborghini bekerjasama dengan rakan lama mereka, Bridgestone, untuk menawarkan rangkaian penuh tayar khas. Ini termasuk Potenza Sport serba boleh (dengan pilihan run-flat), Potenza Race untuk pemanduan trek, dan juga tayar musim sejuk Blizzak LM005. Semua tayar ini ditawarkan dalam pelbagai saiz dan dipasang pada rim aloi bersaiz 20-inci di hadapan dan 21-inci di belakang, yang turut menyorokkan brek karbon seramik standard dengan kaliper sepuluh omboh di hadapan dan cakera 410 mm.

    Selain itu, Lamborghini memang terkenal dengan penggunaan bentuk heksagon dalam reka bentuknya, tetapi dengan Temerario, ia direka dengan sisi yang agak lain daripada lain. Bentuk enam sisi ini boleh dilihat di mana-mana termasuk lampu nyalaan siang (DRL) dalam saluran udara hadapan, cermin sisi, bentuk tingkap sisi, pelbagai saluran udara, paip ekzos tengah yang besar, lampu belakang, dan juga penutup tangki minyak serta port pengecas di kedua-dua belah sisi.

    Temerario menampilkan rekaan rendah dan lebar dengan bahagian kabin kaca (glasshouse) yang langsing dan melengkung, yang mengecil ke arah belakang. Garisan bahu yang tidak terputus, bermula dari fender hadapan hingga ke lampu belakang, mengingatkan kepada rekaan Gallardo, manakala spoiler belakang tetap menonjolkan kelebaran kereta ini dengan lebih ketara.

    Di bahagian hadapan, anda akan dapati lampu utama yang nipis dan sedikit ke dalam, memberikan pandangan tajam dan fokus. Lamborghini kali ini memberi perhatian khusus kepada aspek aerodinamik – lampu nyalana siang (DRL) yang disebut sebelum ini direka berongga dan mengalirkan udara melalui bahagian hadapan jentera, dikelilingi oleh saluran masuk udara yang menyejukkan brek bersaiz besar. Pelbagai sirip tersembunyi dalam saluran udara dan juga cermin sisi membantu mengalirkan udara ke arah saluran udara sisi yang besar.

    Sementara itu, saluran tengah pada bumbung dan bentuk kabin kaca yang tirus membantu menyalurkan aliran udara bersih ke spoiler belakang. Di antara bahagian sokongan belakang (buttresses), terletaknya enjin V8 yang dilindungi oleh penutup enjin berjalur, menyerupai fairing motosikal berprestasi tinggi. Malah, Lamborghini banyak mengambil inspirasi daripada dunia motosikal, yang jelas kelihatan pada bahagian tengah teknikal di belakang dan juga pada bahagian tayar belakang yang sebahagiannya terdedah.

    Di bahagian bawah, diffuser belakang yang lebih besar berbanding Huracán Evo memaksimumkan pengekstrakan aliran udara dari belakang jentera, bersama-sama dengan pelbagai sirip dan deflektor. Secara keseluruhan, Temerario menghasilkan peningkatan 103% untuk downforce belakang berbanding model sebelumnya.

    Untuk downforce yang lebih tinggi lagi, anda boleh memilih pakej Alleggerita (lebih ringan), yang menambah splitter hadapan gentian karbon bersirip bersama panel bawah badan, skirt sisi, penutup enjin belakang dan juga rim yang semuanya diperbuat daripada gentian karbon. Tingkap belakang kaca ringan serta tingkap tiga-suku depan dan belakang jenis polikarbonat turut dipasang.

    Lamborghini Temerario di M’sia – 4.0L turbo berkembar V8, 10,000 rpm, PHEV 920 PS; dari RM1.35j

    Selain itu, anda akan mendapat spoiler belakang yang lebih agresif (juga diperbuat daripada gentian karbon), kad pintu karbon dan pelapik kaki penumpang yang diperbuat daripada bahan ringan. Semua ini bukan sahaja meningkatkan downforce belakang kepada 158% berbanding Huracán Evo, tetapi juga mengurangkan berat lebih daripada 25 kg – termasuk 12.65 kg hanya daripada panel badan.

    Bahagian dalaman Temerario sangat mirip dengan Revuelto, menampilkan konsol tengah berbentuk-Y, corong pendingin hawa berkentuk heksagon di penjuru, serta tiga skrin utama. Antara skrin tersebut ialah paparan digital instrumen 12.3-inci yang boleh disesuaikan dengan mod paparan Dynamic, Navi dan Essential, skrin sentuh infotainmen potret 8.4-inci, dan paparan penumpang 9.1-inci.

    Pada skrin tengah, pengguna boleh menyesuaikan susun atur antara muka berbentuk heksagon dan meleretkan kandungan ke skrin pemandu dan penumpang. Ia juga mendapat sokongan Apple CarPlay dan Android Auto secara tanpa wayar, serta sistem bunyi daripada Sonus faber.

    Temerario turut memperkenalkan Lamborghini Vision Unit yang merupakan satu set tiga kamera yang merakam pandangan ke hadapan, bahagian kabin hadapan dan penumpang (pada asasnya seperti kamera swafoto). Ia bukan sahaja berfungsi sebagai dash cam mewah, tetapi turut diintegrasikan dalam sistem Lamborghini Telemetry 2.0, yang menyokong lebih 150 litar perlumbaan di seluruh dunia. Anda juga boleh merakam sehingga dua minit rakaman pemanduan menggunakan fungsi Memories Recorder.

    Boleh dikatakan seluruh kabin direka untuk membuatkan pemandu berasa seperti seorang juruterbang. Ibarat berada di atas tempat duduk larasan kuasa 18-inci yang cukup selesa, lengkap dengan fungsi pemanas dan pengudaraan (tempat duduk sport gentian karbon ditawarkan sebagai pilihan), dan menghadap stereng rata di bawah yang dilengkapi kawalan ala Ferrari untuk lampu, lampu isyarat dan pengelap cermin, serta dail berputar untuk mengawal mod pemanduan, mod rangkaian kuasa, dan tahap Mod Drift.

    Pada bahagian konsol tengah, terdapat butang penghidup enjin di bawah penutup boleh lipat, serta pemilih gear jenis butang tekan dengan suis khas untuk undur. Pembeli boleh memilih upholsteri sama ada daripada kulit atau gentian mikro Corsatex, bersama pelbagai pilihan kemasan hiasan gentian karbon.

    Ia turut ditawarkan dengan dua warna baharu iaitu Blu Marinus dan Verde Mercurius (hijau). Walau bagaimana pun, terdapat lebih 400 pilihan warna yang tersedia menerusi program Lamborghini’s Ad Personam. Berminat? Temerario ini ditawarkan pada harga bermula RM1.35 juta sebelum duti, cukai dan personalisasi, tempahannya juga telah dibuka menerusi Lamborghini Kuala Lumpur.

     
     
  • PACE 2025: GAC Emkoo akan di previu — CKD, enjin 1.5 TGDi, DCT 7-kelajuan; unit pandu uji disediakan!

    PACE 2025: GAC Emkoo akan di previu — CKD, enjin 1.5 TGDi, DCT 7-kelajuan; unit pandu uji disediakan!

    Hujung minggu ini, Premium Auto Car Expo (PACE) 2025 anjuran paultan.org dengan penaja bersama Carro dan RHB Bank akan berlangsung, dari 19-20 Julai 2025 di Pusat Persidangan Setia City (SCCC). Ia akan dibuka dari pukul 9 pagi hingga 7 malam, membawakan pelbagai tawaran menarik dan istimewa di bawah satu bumbung.

    Pertama kali tampil di acara ini ialah GAC, yang antara lain akan menunjukkan previu bagi model terbarunya, GAC Emkoo. SUV dalam segmen C yang bakal dilancarkan nanti ini bakal melengkapi penawaran lain jenama itu, GS3 Emzoom CKD yang lebih kecil, untuk pasaran tempatan.

    Tempahan untuk GAC Emkoo ini dijangka akan mula dibuka ketika acara PACE 2025, bagi dua varian yang ditawarkan — Premium dan Premium Pro. Kuasanya dijana oleh enjin 1.5 liter turbocas suntikan terus (TGDI), menghasilkan 177 PS/270 Nm dan dipadankan dengan tranmisi klac berkembar tujuh-kelajuan.

    Rekaannya juga unik dan futuristik sifatnya. Banyak sudut yang bersegi, corong udara bulat, dilengkapi dengan dengan paparan panel instrumen digital 10.25-inci dan skrin sentuh intotainmen 10.1-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto.

    PACE 2025: GAC Emkoo akan di previu — CKD, enjin 1.5 TGDi, DCT 7-kelajuan; unit pandu uji disediakan!

    Ia juga praktikal dengan adanya ruang but seluas 638 liter dan boleh dilanjutkan menjadi 1,586 liter jika kerusi belakang direbahkan. Turut ada ialah sistem ADAS dan Full Autonomous Parking Assist (FAPA) untuk kemudahan parkir. Model ini juga akan disediakan untuk sesi pandu uji di PACE nanti.

    Selain GAC, antara jenama yang akan ikut serta dalam PACE 2025 ini termasuklah BMW dan MINI (kedua-duanya diwakili oleh Auto Bavaria), Mercedes-Benz (diwakili oleh Hap Seng Star), Audi, BYD, Denza, Xpeng, Kia, Hyundai, Mazda, GWM dan Zeekr. Akan turut dipameran ialah motosikal premium daripada BMW Motorrad, dan turut disertai oleh Kineta dan Trapo.

    Selain daripada tawaran menarik yang ditawarkan oleh setiap jenama, membeli kenderaan di PACE 2025 juga datang dengan pelbagai manfaat lain. Antaranya, 200 tempahan kenderaan baru terawal akan diberikan baucar bernilai RM3,000 untuk produk daripada rakan-rakan penyokong acara tersebut, seperti Solar Gard, Dodomat, The Carage, Kuzig Glanz, Gintell dan DK Schweizer.

    PACE 2025: GAC Emkoo akan di previu — CKD, enjin 1.5 TGDi, DCT 7-kelajuan; unit pandu uji disediakan!

    Begitu juga dengan 40 tempahan motosikal baru yang terawal, pelanggan akan menerima baucar bernilai RM3,000 daripada rakan-rakan penyokong yang dinyatakan. Dan, tidak hanya itu: tempahan kereta baru yang sudah disah akan membolehkan anda ikut serta dalam cabutan bertuah dengan tawaran hadiah lumayan, termasuk 10 telefon pintar bernilai RM3,500 setiap satu, dan hadiah utama yang melibatkan pakej percutian untuk dua orang bernilai RM25,000!

    Dengan baucar yang akan diberikan serta pelbagai ganjaran lain yang ditawarkan, tiada kesempatan lain yang lebih baik jika anda ingin membeli kereta selain di PACE. Terus ikuti perkembangan di sini dan ketahui tawaran-tawaran utama yang diberikan oleh jenama-jenama terlibat. Selebihnya, tandakan kalendar anda dan jumpa di PACE 2025 pada 19-20 Julai ini di SCCC!

     
     
  • Mercedes-Benz CLA Shooting Brake 2025 diperkenal – lebih besar, pilihan CLA250+ dan CLA350 4Matic

    Mercedes-Benz CLA Shooting Brake 2025 diperkenal – lebih besar, pilihan CLA250+ dan CLA350 4Matic

    Selepas pelancaran Mercedes-Benz CLA generasi ketiga versi sedan, kini tiba pula giliran CLA Shooting Brake diperkenalkan secara rasmi. Seperti versi sedan, model ini juga buat masa ini hadir sebagai kereta elektrik sepenuhnya (EV), dengan varian mild-hybrid 48 volt dijangka menyusul kemudian.

    Berbeza daripada versi sedan, CLA Shooting Brake menampilkan bumbung yang lebih panjang bermula dari tiang-B, dengan panel kaca panorama penuh. Panel ini diperbuat daripada kaca keselamatan berpenebat haba, lengkap dengan lapisan pantulan inframerah dan lapisan rendah pancaran haba di bahagian dalam.

    Ciri menarik lain termasuk 158 lampu ‘bintang’ bercahaya pada panel kaca, menjadikannya unik dalam kelasnya. Turut ditawarkan adalah fungsi elektrokromik, yang membolehkan pengguna menukar kaca dari lutsinar ke gelap secara elektronik.

    Dari segi dimensi, CLA Shooting Brake mempunyai ukuran 35 mm lebih panjang, 25 mm lebih lebar, 27 mm lebih tinggi dan jarak roda bertambah 61 mm. Kesan langsung daripada perubahan ini ialah ruang kepala belakang bertambah 26 mm, manakala kapasiti ruang kargo apabila kerusi belakang dilipat mencecah 1,290 liter – jauh lebih besar berbanding but 405 liter pada versi sedan. Kedua-dua versi juga mempunyai ruang storan depan (frunk) sebesar 101 liter.

    Dua varian utama ditawarkan untuk CLA Shooting Brake ini bermula dengan CLA 250+ yang menggunakan sistem pacuan roda belakang (RWD) dan motor tunggal berkuasa 272 PS/335 Nm, mampu menghasilkan pecutan 0-100 km/j dalam 6.8 saat dan jarak gerak WLTP 761 km.

    Varian seterusnya adalah CLA 350 4Matic yang menggunakan sistem pacuan semua roda (AWD) dan motor berkembar berkuasa 354 PS/515 Nm, menghasilkan pecutan 0-100 km/j dalam 5.0 saat dan jarak gerak WLTP 730 km.

    Mercedes-Benz CLA Shooting Brake 2025 diperkenal – lebih besar, pilihan CLA250+ dan CLA350 4Matic

    Kedua-dua varian dilengkapi bateri NMC 85 kWh, dengan keupayaan pengecasan pantas sehingga 320 kW DC, manakala kelajuan maksimum dihadkan kepada 210 km/j. Angka prestasi dan jarak ini hampir menyamai versi sedan, namun Shooting Brake sedikit perlahan dalam pecutan.

    CLA generasi baharu ini dibina atas platform Modular Architecture (MMA) Mercedes-Benz yang dikhususkan untuk model kompak elektrik. Setakat ini, dua model pertama (CLA sedan dan CLA Shooting Brake) sudah diperkenalkan. Seterusnya, dijangka GLA dan GLB akan menyusul di bawah platform yang sama.

     
     
  • Castrol Malaysia tunjuk beza antara minyak enjin asli dan palsu – berjimat jangan sampai enjin rosak!

    Castrol Malaysia tunjuk beza antara minyak enjin asli dan palsu – berjimat jangan sampai enjin rosak!

    Minyak pelincir merupakan antara aspek yang penting dalam sesebuah enjin. Jangan sesekali anda gunakan minyak enjin palsu untuk berjimat kerana ia akan memusnahkan komponen-komponen utama enjin seperti omboh, blok, aci engkol dan banyak lagi yang tentu melibatkan belanja yang besar untuk diperbaiki.

    Baru-baru ini Castrol Malaysia telah memuatnaik satu video di laman Instagram rasminya bagi menunjukkan perbezaan antara minyak enjin asli dan juga yang palsu di mana ia dengan mudah boleh dibeli dalam pasaran.

    Menurut Castrol Malaysia, minyak enjin palsu Castrol Magnatec 10W-40 tersebut dibeli secara dalam talian dengan harga hanya RM60 untuk pek 4 liter – jauh lebih murah berbanding produk asli. Sekali tengok, botol dan label minyak enjin palsu berkenaan nampak ‘sebijik’ seperti yang asli. Namun dapat dirasai label-label dan juga penutup nampak dibuat dengan kualiti lebih rendah berbanding yang asli.

    Selepas dibuka dan dituang dalam botol lutsinar, di sini lebih banyak perbezaan yang boleh kita kesan. Pertamanya minyak tiruan tersebut menghasilkan satu bau hangit – lazimnya minyak-minyak tiruan ini dihasilkan dari minyak terpakai dan sebab itu ia mempunyai bau hangit tersebut. Kemudian minyak palsu itu juga nampak lebih cair dan berwarna lebih keemasan.

    Sementara untuk minyak asli, ia tidak berbau hangit, lebih pekat (menepati tahap kelikatan yang dinyatakan), dan juga berwarna lebih gelap. Untuk mengelakkan dari tertipu, Castrol Malaysia menyarankan pelanggannya agar membeli minyak enjin dari kedai rasmi atas taliannya, atau mendapatkannya dari mana-mana bengkel Castrol yang bertauliah.

    Kerajaan juga kini mempunyai inisiatif bagi mengekang penjualan minyak enjin palsu ini dengan mewajibkan produk-produk minyak enjin di Malaysia perlu mendapat kelulusan dari SIRIM. Namun penguatkuasaan yang sepatutnya bermula April lalu tersebut telah pun ditunda sehingga Oktober 2025.

    Di bawah undang-undang baharu ini, semua minyak enjin perlu melalui proses pengesahan menerusi SIRIM QAS International, yang bertanggungjawab untuk memberikan pentauliahan dan mengeluarkan label pematuhan pada produk. Menurut Garis Panduan Pensijilan dan Penandaan Minyak Enjin untuk Kenderaan Bermotor yang disiarkan di laman web rasmi SIRIM QAS, produk-produk berkenaan perlu melalui beberapa ujian sebelum menerima pentauliahan.

    Setelah memenuhi pematuhan ini, pemohon akan diberikan pensijilan lesen produk tulen atau laporan pengesahan kelompok, yang kemudiannya boleh digunakan sebagai asas untuk menandakan produk dengan pensijilan produk tulen SIRIM. Label pematuhan, yang mesti dilekatkan di bahagian atas penutup bekas minyak enjin, akan memberikan keselamatan tambahan. Ujian berkala akan dijalankan untuk memastikan pematuhan, manakala pesalah akan menerima denda atau penjara apabila sabit kesalahan.

     
     
  • PACE 2025: Dekati Hyundai Tucson facelift — kini ada varian hibrid, kemaskini rekaan dan kelengkapan

    PACE 2025: Dekati Hyundai Tucson facelift — kini ada varian hibrid, kemaskini rekaan dan kelengkapan

    Premium Auto Car Expo (PACE) 2025 anjuran paultan.org dengan penaja bersama Carro dan RHB Bank akan berlangsung hujung minggu ini, 19-20 Julai 2025 di Pusat Persidangan Setia City (SCCC). Ia akan dibuka dari pukul 9 pagi hingga 7 malam, membawakan pelbagai tawaran menarik dan istimewa di bawah satu bumbung.

    Hyundai akan membawakan SUV Hyundai Tucson yang baru dilancarkan untuk pasaran Malaysia ke SCCC untuk memudahkan pengunjung PACE 2025 mendekatinya.

    SUV berkenaan kini menerima sentuhan baru yang lebih segar: penampilan dan rekaan lebih tajam dan ranggi, menampilkan DRL Parametric Jewel serta bampar depan dan belakang dengan rekaan baru. Ruang dalaman pula menerima rekaan serba baru, menjadikannya terasa lebih luas dan lengkap dengan paparan melengkung dengan skrin 12.3-inci berkembar, untuk panel instrumen dan infotainmen.

    Paling utama ialah penawaran varian 1.6 T-GDi Hybrid yang pertama untuk model ini. Ia menggandingkan enjin 1.6 T-GDi petrol dengan sebuah motor elektrik dan kotak gear automatik enam-kelajuan yang memberikan janaan akhir sebanyak 235 PS dan 367 Nm tork, memberikannya lebih kuasa dan penjimatan bahan api. Tucson hadir sama ada dengan pacuan roda depan atau semua roda, serta lengkap dengan bantuan pemanduan Hyundai SmartSense, termasuk fungsi Forward Collision-Avoidance Assist, Smart Cruise Control dan Lane Following Assist.

    PACE 2025: Dekati Hyundai Tucson facelift — kini ada varian hibrid, kemaskini rekaan dan kelengkapan

    Selain Hyundai, antara jenama yang akan ikut serta dalam PACE 2025 ini termasuklah BMW dan MINI (kedua-duanya diwakili oleh Auto Bavaria), Mercedes-Benz (diwakili oleh Hap Seng Star), Audi, BYD, Denza, Xpeng, Kia, Mazda, GWM dan Zeekr. Akan turut dipameran ialah motosikal premium daripada BMW Motorrad, dan turut disertai oleh Kineta dan Trapo.

    Selain daripada tawaran menarik yang ditawarkan oleh setiap jenama, membeli kenderaan di PACE 2025 juga datang dengan pelbagai manfaat lain. Antaranya, 200 tempahan kenderaan baru terawal akan diberikan baucar bernilai RM3,000 untuk produk daripada rakan-rakan penyokong acara tersebut, seperti Solar Gard, Dodomat, The Carage, Kuzig Glanz, Gintell dan DK Schweizer.

    PACE 2025: Dekati Hyundai Tucson facelift — kini ada varian hibrid, kemaskini rekaan dan kelengkapan

    Begitu juga dengan 40 tempahan motosikal baru yang terawal, pelanggan akan menerima baucar bernilai RM3,000 daripada rakan-rakan penyokong yang dinyatakan. Dan, tidak hanya itu: tempahan kereta baru yang sudah disah akan membolehkan anda ikut serta dalam cabutan bertuah dengan tawaran hadiah lumayan, termasuk 10 telefon pintar bernilai RM3,500 setiap satu, dan hadiah utama yang melibatkan pakej percutian untuk dua orang bernilai RM25,000!

    Dengan baucar yang akan diberikan serta pelbagai ganjaran lain yang ditawarkan, tiada kesempatan lain yang lebih baik jika anda ingin membeli kereta selain di PACE. Terus ikuti perkembangan di sini dan ketahui tawaran-tawaran utama yang diberikan oleh jenama-jenama terlibat. Selebihnya, tandakan kalendar anda dan jumpa di PACE 2025 pada 19-20 Julai ini di SCCC!

     
     
  • PACE 2025: Volkswagen Touareg R-Line kini dari RM399,990 — enjin V6 3.0 liter, 4MOTION, Dynaudio

    PACE 2025: Volkswagen Touareg R-Line kini dari RM399,990 — enjin V6 3.0 liter, 4MOTION, Dynaudio

    Premium Auto Car Expo (PACE) 2025 anjuran paultan.org dengan penaja bersama Carro dan RHB Bank akan berlangsung hujung minggu ini, 19-20 Julai 2025 di Pusat Persidangan Setia City (SCCC). Ia akan dibuka dari pukul 9 pagi hingga 7 malam, membawakan pelbagai tawaran menarik dan istimewa di bawah satu bumbung.

    Antaranya, Volkswagen Touareg facelift generasi ketiga. SUV yang dilengkapi enjin 3.0 liter V6 TSI turbocas petrol ini menghasilkan sebanyak 340 PS dan 450 Nm, dan dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan serta sistem pacuan semua roda 4MOTION.

    Kelengkapannya juga banyak. Antara yang utama ialah adanya Advanced Night Vision (yang pertama untuk Volkswagen di Malaysia), kawalan melayar adaptif, pendingin Air Care Climatronic empat zon, sistem bunyi Dynaudio Consequence dengan 730-watt, sistem infotainmen Discover Pro Max 15-inci dengan navigasi, lampu utama IQ.LIGHT HD matrix dan sistem perlindungan proaktif untuk penumpang.

    PACE 2025: Volkswagen Touareg R-Line kini dari RM399,990 — enjin V6 3.0 liter, 4MOTION, Dynaudio

    Volkswagen Touareg CKD kini ditawarkan dengan harga yang cukup menarik RM399,990. Jika anda belum berkesempatan mendekati SUV ini, boleh berkunjung ke reruai Volkswagen di PACE 2025 nanti untuk lebih banyak tawaran menarik.

    Antara jenama yang akan ikut serta dalam PACE 2025 ini termasuklah BMW dan MINI (kedua-duanya diwakili oleh Auto Bavaria), Mercedes-Benz (diwakili oleh Hap Seng Star), Audi, BYD, Denza, Xpeng, Hyundai, Kia, Mazda, GWM dan Zeekr. Akan turut dipameran ialah motosikal premium daripada BMW Motorrad, dan turut disertai oleh Kineta dan Trapo.

    Selain daripada tawaran menarik yang ditawarkan oleh setiap jenama, membeli kenderaan di PACE 2025 juga datang dengan pelbagai manfaat lain. Antaranya, 200 tempahan kenderaan baru terawal akan diberikan baucar bernilai RM3,000 untuk produk daripada rakan-rakan penyokong acara tersebut, seperti Solar Gard, Dodomat, The Carage, Kuzig Glanz, Gintell dan DK Schweizer.

    PACE 2025: Volkswagen Touareg R-Line kini dari RM399,990 — enjin V6 3.0 liter, 4MOTION, Dynaudio

    Begitu juga dengan 40 tempahan motosikal baru yang terawal, pelanggan akan menerima baucar bernilai RM3,000 daripada rakan-rakan penyokong yang dinyatakan. Dan, tidak hanya itu: tempahan kereta baru yang sudah disah akan membolehkan anda ikut serta dalam cabutan bertuah dengan tawaran hadiah lumayan, termasuk 10 telefon pintar bernilai RM3,500 setiap satu, dan hadiah utama yang melibatkan pakej percutian untuk dua orang bernilai RM25,000!

    Dengan baucar yang akan diberikan serta pelbagai ganjaran lain yang ditawarkan, tiada kesempatan lain yang lebih baik jika anda ingin membeli kereta selain di PACE. Terus ikuti perkembangan di sini dan ketahui tawaran-tawaran utama yang diberikan oleh jenama-jenama terlibat. Selebihnya, tandakan kalendar anda dan jumpa di PACE 2025 pada 19-20 Julai ini di SCCC!

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Jul 10, 2025