Search in Bahasa Malaysia:

Honda HR-V Facelift 2025 - Apa yang baru selepas tiga tahun?



Artikel Terkini

  • Perodua Bezza 2025 dalam imej bayangan sekali lagi

    Perodua Bezza 2025 dalam imej bayangan sekali lagi

    Perodua Bezza kini sudah berusia sembilan tahun sejak pertama kali diperkenalkan dalam pasaran. Ini satu tempoh yang sangat panjang dan sudah sampai tempoh matang untuk pengenalan model generasi berikutnya.

    Dan model terbaru sebagai ganti Bezza ini juga sudah mula diberi petunjuk oleh syarikat pengeluarnya: Februari lalu, Perodua mengumumkan bakal melancarkan sebuah model baru sepenuhnya (FMC) bagi satu daripada model sedia ada, yang akan menyertai pengenalan model EV-nya untuk tahun ini. Kami percaya model yang dirujuk itu adalah Bezza, memandang model kompak sedan itu yang paling memerlukan pembaharuan daripada barisan model Perodua sedia ada.

    Untuk itu, pereka Theophilus Chin sekali lagi menghasilkan rekaan bayangan untuk sedan terbaru ini, dengan menggunakan Axia sebagai asas dan digabungkan dengan bahagian belakang daripada Fiat Cronos. Perubahan lain termasuklah lampu utama lebih nipis, gril hexagonal dan garis bahu lebih mendatar.

    Perodua Bezza 2025 dalam imej bayangan sekali lagi

    Perodua sebelum ini ada menyatakan yang Bezza terbaru nanti akan mengambil ilham daripada pemenang Asian Sedan Design Challenge 2023. Jika benar, Bezza generasi akan datang mungkin akan lebih sporty, untuk bergandingan dengan model EV “QV-E” yang juga akan dilancarkan tahun ini.

    Untuk enjin, Bezza mungkin akan meneruskan penggunaan unit 1KR-VE 1.0 liter tiga-silinder dan 1NR-VE 1.3 liter empat-silinder, yang digandingkan dengan Dual-Mode CVT (D-CVT) terbaru. Transmisi ini akan menjadi yang pertama kali digunakan untuk Bezza, yang ketika ini hanya digandingkan dengan transmisi empat-kelajuan automatik.

    Ada juga kemungkinan versi hibrid akan ditawarkan sebagai pilihan, sesuatu yang sudah sekian lama di dengari ura-uranya. Sebelum ini, Perodua pernah menawarkan Ativa Hybrid (rebadge dari Rocky e-Smart Hybrid) melalui program langganan pada 2022.

     
     
  • MAA mahu lebih insentif cukai untuk kenderaan hibrid

    MAA mahu lebih insentif cukai untuk kenderaan hibrid

    Ketika banyak negara lain kini giat menggalakkan penggunaan kenderaan hibrid sebagai salah satu cara mengurangkan pelepasan karbon — lebih-lebih lagi dengan harga bahan api yang semakin meningkat dan permintaan terhadap kenderaan elektrik (EV) yang kian menurun — Malaysia dilihat masih kekal di takuk lama. Sudah hampir sedekad sejak kerajaan memberikan insentif cukai secara langsung kepada kenderaan hibrid dan sebaliknya memilih untuk membuat perjanjian khas dengan pengeluar yang memasang kenderaan tersebut secara tempatan (CKD).

    Situasi ini tidak menyenangkan hati Persatuan Automotif Malaysia (MAA). Presidennya, Mohd Shamsor Mohd Zain, berkata sudah tiba masanya kerajaan menamatkan pendekatan “insentif khas” itu dan menggantikannya dengan sistem percukaian yang lebih adil dan telus. Pada masa sama, beliau juga menggesa kerajaan supaya memperkenalkan lebih banyak insentif untuk kenderaan hibrid, agar harganya menjadi lebih mampu milik dan tidak terlalu jauh bezanya berbanding model petrol atau diesel biasa.

    Menurut Shamsor, walaupun ada pengeluar yang mendapat insentif untuk kenderaan hibrid CKD, bilangan model hibrid yang ditawarkan di pasaran Malaysia masih terlalu sedikit. Beliau merujuk kepada negara lain yang menawarkan antara 50% hingga 70% insentif yang sama seperti EV kepada kenderaan hibrid. Katanya, model sedemikian harus diberi galakan kerana ia membuka lebih banyak pilihan kepada pengguna dan memberi pengeluar keyakinan untuk membawa masuk lebih banyak model. Tambahnya lagi, cadangan yang kini sedang dipertimbangkan kerajaan hanya tertumpu kepada model hibrid CKD sahaja.

    Menjawab soalan media mengenai harapan industri terhadap Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang bakal diumumkan, Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia (HMSB), Sarly Adle Sarkum, menyokong pandangan Shamsor. Beliau menegaskan bahawa konsistensi dalam dasar kerajaan amat penting jika Malaysia mahu menarik pelaburan jangka panjang daripada pengeluar automotif global.

    “Konsistensi sangat penting untuk mana-mana pengeluar (OEM) merancang strategi jangka panjang bagi sesuatu model. Proses perancangan biasanya mengambil masa antara lima ke sepuluh tahun, dan jika dasar berubah secara tiba-tiba, ia akan mengganggu keseluruhan perancangan industri,” katanya.

    Shamsor sebelum ini turut menegur langkah kerajaan yang sering memperkenalkan insentif cukai bersifat jangka pendek. Antara contohnya termasuk pengecualian cukai tiga tahun untuk model hibrid CBU pada tahun 2011, lanjutan dua tahun untuk model CKD, serta pengecualian tiga tahun yang kini dinikmati oleh model EV CBU. Menurut beliau, pendekatan sebegini tidak cukup untuk memberi pulangan pelaburan yang memadai kepada pengeluar.

    “Jika kita mahu industri automotif negara terus berkembang, sokongan kerajaan perlu bersifat lebih panjang. Dengan momentum yang lebih panjang, pasaran akan menjadi lebih stabil dan pelabur akan lebih yakin untuk melabur dalam fasiliti pengeluaran atau memperluaskan operasi mereka. Tetapi jika hanya ada lonjakan jualan dalam masa singkat, ia sukar untuk dijadikan asas kepada sebarang pelan pelaburan jangka panjang,” katanya dalam kenyataan pada Januari lalu.

     
     
  • Jualan EV naik 91.4% pada H1 2025 tapi menyumbang hanya 3.4% daripada jualan kenderaan keseluruhan

    Jualan EV naik 91.4% pada H1 2025 tapi menyumbang hanya 3.4% daripada jualan kenderaan keseluruhan

    Pasaran kenderaan elektrifikasi (xEV) di Malaysia terus menunjukkan pertumbuhan positif pada separuh pertama tahun 2025. Menurut data terbaharu yang dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), sebanyak 30,573 unit xEV (termasuk hibrid dan elektrik penuh) berjaya dijual dalam tempoh Januari hingga Jun 2025. Jumlah ini bersamaan peningkatan sebanyak 35.6% atau 8,031 unit berbanding 22,542 unit yang dijual dalam tempoh sama tahun lalu.

    Daripada jumlah keseluruhan tersebut, jualan kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) melonjak hampir dua kali ganda, iaitu meningkat sebanyak 91.4% daripada 6,651 unit pada separuh pertama 2024 kepada 12,733 unit dalam tempoh sama tahun ini. Sementara itu, jualan hibrid juga mencatatkan pertumbuhan dengan 17,840 unit terjual, meningkat 12.3% atau 1,949 unit berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

    Perlu diambil kira bahawa data yang dikeluarkan oleh MAA ini hanya melibatkan ahli berdaftar sahaja. Ini bermaksud, angka jualan tidak termasuk model yang dijual oleh pengeluar bukan ahli seperti Tesla, Zeekr dan Xpeng. Sekiranya angka daripada ketiga-tiga jenama ini disertakan — berdasarkan data pendaftaran JPJ sebanyak 3,564 unit setakat separuh pertama 2025 (termasuk kemungkinan beberapa unit Tesla import recond) — maka jumlah jualan sebenar EV akan meningkat kepada 16,297 unit.

    Jualan EV naik 91.4% pada H1 2025 tapi menyumbang hanya 3.4% daripada jualan kenderaan keseluruhan

    Ini memberikan anggaran pegangan pasaran sekitar 4.3%, jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan industri (TIV) untuk separuh pertama 2025 sebanyak 373,636 unit, ditambah dengan data JPJ menjadikan jumlah keseluruhan 377,200 unit. Bagi kenderaan hibrid pula, pegangan pasarannya sedikit lebih tinggi pada sekitar 4.7%. Jika hanya mengambil kira angka MAA tanpa tiga jenama luar tersebut, pegangan pasaran EV ialah 3.4%, manakala hibrid mencatat hampir 4.8%.

    Melihat kepada data tahun-tahun terdahulu, jualan kenderaan elektrifikasi di Malaysia menunjukkan trend peningkatan yang konsisten. Pada tahun 2021, sebanyak 8,153 unit xEV terjual, dengan kenderaan hibrid mendominasi sebanyak 7,875 unit, manakala EV hanya mencatat 278 unit sahaja.

    Kemasukan lebih banyak model hibrid ke pasaran pada tahun 2021 dan 2022 telah melonjakkan jualan kepada 19,988 unit pada tahun 2022, meningkat sebanyak 153.8%. Dalam masa yang sama, EV turut menikmati pertumbuhan mendadak kepada 2,631 unit (+846.4%), hasil daripada insentif kerajaan yang mula berkuat kuasa pada awal tahun tersebut. Jumlah keseluruhan xEV bagi tahun 2022 ialah 22,619 unit, naik 177.4% berbanding tahun sebelumnya.

    Pertumbuhan ini berterusan ke tahun 2023 dengan jumlah jualan xEV meningkat kepada 38,214 unit (+68.9%). EV mencatat pertumbuhan lebih tinggi berbanding hibrid, dengan 10,159 unit (+286.1%) terjual, manakala hibrid masih menguasai pasaran dengan 28,055 unit (+40.4%).

    Pada tahun 2024, jualan hibrid terus meningkat kepada 30,796 unit, iaitu pertambahan sebanyak 9.8%. Walaupun insentif EV dilanjutkan oleh kerajaan, kadar pertumbuhannya sedikit perlahan berbanding tahun-tahun sebelumnya. Sebanyak 14,766 unit EV berjaya dijual, meningkat 45.3% berbanding 2023. Secara keseluruhan, jumlah jualan xEV bagi tahun 2024 ialah 45,562 unit, naik 19.2%.

     
     
  • Jualan kenderaan di M’sia untuk 1H 2025 – SUV naik 4.8%, sedan/hatchback turun 7.3%, pikap turun 18.4%

    Jualan kenderaan di M’sia untuk 1H 2025 – SUV naik 4.8%, sedan/hatchback turun 7.3%, pikap turun 18.4%

    Semalam Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mendedahkan beberapa statistik mengenai jualan kenderaan di Malaysia bagi separuh pertama tahun 2025 (1H 2025) yang dipecahkan mengikut segmen.

    Sebanyak 347,084 kenderaan penumpang telah dijual di negara ini dari Januari hingga Jun, walau bagaimana pun ia menunjukkan penurunan sebanyak 3% berbanding tahun lepas (year-on-year atau YoY). Seperti yang dijangka, jualan SUV meningkat sebanyak 4.8% YoY (99,891 berbanding 95,307 unit), walaupun pasaran kenderaan ini masih kurang daripada separuh saiz pasaran ‘kereta penumpang’ (iaitu sedan dan hatchback), yang menyusut sebanyak 7.3% YoY (212,279 berbanding 229,075 unit).

    Pasaran MPV pula adalah kira-kira satu pertiga saiz pasaran SUV, namun mencatatkan pertumbuhan sebanyak 2.6% YoY (33,834 berbanding 32,963 unit). Sementara itu, window van pula melonjak sebanyak 111.3% YoY (1,080 berbanding 511 unit), walaupun jumlah peningkatannya hanya sebanyak 569 unit.

    Jualan kenderaan di M’sia untuk 1H 2025 – SUV naik 4.8%, sedan/hatchback turun 7.3%, pikap turun 18.4%

    Namun begitu, jualan bagi kenderaan komersil lebih membimbangkan kerana menyusut sebanyak 21% YoY (26,552 berbanding 33,595 unit), yang mendorong penurunan dalam semua segmen.

    Mengikut turutan penurunan peratusan tertinggi, segmen yang paling terjejas ialah prime mover (-62.5% YoY, 372 berbanding 993 unit), bas (-24.6% YoY, 89 berbanding 118 unit), lori (-23.6% YoY, 5,262 berbanding 6,883 unit), van panel (-21.6% YoY, 1,456 berbanding 1,857 unit) dan trak pikap (-18.4% YoY, 19,373 berbanding 23,744 unit).

    Ambil maklum bahawa trak pikap kekal sebagai pasaran terbesar dalam kategori kenderaan komersil, memandangkan ramai pengguna turut memilihnya sebagai kenderaan persendirian. Walaupun penurunan peratusannya adalah yang paling kecil dalam segmen komersil, namun ia melibatkan penyusutan angka yang agak besar iaitu sekitar 4,371 unit.

    Jualan kenderaan di M’sia untuk 1H 2025 – SUV naik 4.8%, sedan/hatchback turun 7.3%, pikap turun 18.4%

     
     
  • Tesla Model Y L muncul dalam teaser di China – jarak roda lebih panjang, tiga baris tempat duduk?

    Tesla Model Y L muncul dalam teaser di China – jarak roda lebih panjang, tiga baris tempat duduk?

    Tesla menyiarkan satu teaser model baru yang dinamakan sebagai Tesla Model Y L menerusi akaun rasmi Tesla China di platform Weibo. Imej teaser tersebut menunjukkan profil sisi Model Y dengan lencana “Y” di belakang yang direka sedikit berbeza — kelihatan seolah-olah ada bayang tiga kali yang mungkin merujuk kepada tiga baris tempat duduk.

    Nama rasmi “Model Y L” turut disahkan melalui keterangan yang digunakan, dan ia mengikuti cara penamaan kenderaan versi jarak roda panjang (long wheelbase) yang biasa dilihat dalam pasaran automotif China.

    Teaser ini dipercayai dikeluarkan selepas reka bentuk sebenar Model Y L turut didedahkan oleh Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China (MIIT), yang merupakan sebahagian daripada keperluan untuk proses pendaftaran dan kelulusan kenderaan baru di China.

    Berdasarkan data MIIT, Tesla Model Y L mempunyai ukuran panjang 4,976 mm, tinggi 1,668 mm dan jarak roda 3,040 mm. Sebagai perbandingan, Model Y versi “Juniper” sedia ada berukuran 4,790 mm panjang, 1,624 mm tinggi dan jarak roda 2,891 mm. Ini bermakna, Model Y L mempunyai tambahan 149 mm pada jarak roda, memberikan lebih ruang dalaman.

    Menariknya, Tesla sebelum ini pernah menawarkan Model Y versi tiga baris tempat duduk (7 tempat duduk) untuk model asal, tetapi pilihan ini tidak lagi tersedia pada versi Juniper. Kini, dengan kehadiran Model Y L, konfigurasi tiga baris kembali semula — namun kali ini sebagai varian enam tempat duduk, berkemungkinan dengan tempat duduk individu pada baris kedua, berbanding bangku panjang (bench) sebelum ini.

    Setakat ini, Tesla China masih belum membuka tempahan rasmi untuk Model Y L di laman web mereka. Belum dapat dipastikan sama ada model ini akan dijual secara eksklusif di China atau turut dieksport ke pasaran lain seperti Malaysia.

     
     
  • Honda HR-V facelfit 2025 dilancar – bermula RM116k, masih 4 varian, enjin 1.5L NA, Turbo dan hibrid e:HEV

    Honda HR-V <em>facelfit</em> 2025 dilancar – bermula RM116k, masih 4 varian, enjin 1.5L NA, Turbo dan hibrid e:HEV

    Selepas tempahannya dibuka pada awal bulan ini, hari ini secara rasmi Honda Malaysia melancarkan SUV segmen-B Honda HR-V facelfit 2025, bagi menggantikan model yang telah tiga tahun berada dalam pasaran. Model kemaskini ini masih kekal ditawarkan di Malaysia dengan tiga unit rangkaian kuasa berbeza, dibahgikan dalam empat varian.

    Ia bermula dengan varian paling asas S menggunakan enjin 1.5L NA dan dijual pada harga RM115,900, diikuti dengan varian yang dijana enjin 1.5L VTEC Turbo iaitu Turbo E berharga RM120,900 dan Turbo V berharga RM137,900, manakala varian paling tinggi masih RS e:HEV yang menerima enjin 1.5L dan sistem hibrid dijual pada harga RM143,900.

    Semua angka yang dinyatakan adalah harga atas jalan tidak termasuk insurans. Jadi ini bermakna varian S dan E menampilkan harga yang sama seperti sebelum ini, manakala varian V dan RS pula naik sebanyak RM2k. Semua varian menerima waranti lima-tahun tanpa had perbatuan, serta diberikan lima kali servis percuma kos buruh (100,000 km atau lima tahun). Manakala bagi bateri hibrid varian RS e:HEV, ia menerima waranti selama lapan-tahun tanpa had perbatuan.

    Sekali tengok model facelift ini mungkin nampak masih sama seperti model sebelum ini. Namun jika anda lihat dengan lebih terperinci, barulah nampak kedua-dua lampu hadapan HR-V facelift ini telah dihubungkan antara satu sama lain menerusi satu kemasan bar lebih tebal pada bahagian atas gril.

    Honda HR-V <em>facelfit</em> 2025 dilancar – bermula RM116k, masih 4 varian, enjin 1.5L NA, Turbo dan hibrid e:HEV

    Bagi varian RS e:HEV ,lampu hadapan versi facelift ini juga telah dipertingkat dengan LED projektor Matrix yang menampilkan sistem Adaptive Driving Beam. Sistem ini membolehkan beberapa bahagian lampu tingginya dipadamkan bagi mengelakkan pemandu lain silau, dan juga memberikan fungsi lampu membelok aktif.

    Gril juga nampak macam masih sama, tapi sebenarnya rekaan bahagian bawah gril pada model facelift ini adalah lebih lebar. Varian S masih lagi menggunakan gril bar melintang nipis, varian E dan V diberikan gril pin hitam berkilat, sementara varian tertinggi e:HEV pula diberikan gril pin krom.

    Tiada perubahan besar di lihat pada bahagian sisi kecuali rekaan baharu diberikan pada set rim di mana semua varian kini diberikan set 18-inci. Sementara di belakang, kluster lampu masih lagi sama tetapi diberikan rekaan grafik dalam yang berbeza.

    Perubahan kecil turut dibuat pada sebelah dalam, juga jika kita tidak akan perasan sekiranya melihatnya sekali imbas. Perubahan tersebut adalah pada bahagian konsol tengah di mana ia kini tidak menampilkan rekaan yang fokus kepada pemandu. Skrin sesentuh lapan-inci untuk sistem infotainmen msih lagi kekal tetapi ia kini dipertingkat dengan diberikan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

    Honda HR-V <em>facelfit</em> 2025 dilancar – bermula RM116k, masih 4 varian, enjin 1.5L NA, Turbo dan hibrid e:HEV

    Tiada perubahan unit rangkaian kuasa diberikan. Varian paling asas S masih menerima enjin 1.5L petrol NA DOHC i-VTEC empat-silinder yang menghasilkan 121 PS dan 145 Nm tork pada 4,300 rpm. Manakala varian 1.5 Turbo E dan 1.5 Tubro V pula menggunakan enjin 1.5L VTEC Turbo dengan berkuasa 181 PS dan tork maksima 240 Nm bermula 1,700 hingga 4,500 rpm. Kedua-dua varian NA dan Turbo ini digandingkan dengan transmisi CVT bagi memacu roda hadapan.

    Varian RS e:HEV pasaran Malaysia ini turut masih diberikan unit rangkaian kuasa hibrid e:HEV, yang merangkumi enjin 1.5L NA kitaran Atkinson berkuasa 107 PS dan 131 Nm yang bertindak secara primari sebagai generator untuk mengecas bateri, bersama motor elektrik yang memacu roda hadapan (pada situasi tertentu kedua-duanya akan memacu roda) menghasilkan kuasa keseluruhan 131 PS/253 Nm.\

    Lima warna badan ditawarkan untuk HR-V facelift 2025 pasaran Malaysia ini iaitu Platinum White Pearl, Stellar Diamond Pearl, Meteroid Grey Metallic, Crystal Black Pearl dan Pheonix Orange Pearl. Tiada lagi warna merah Ignite Red Metallic pada versi facelift kali ini.

    Brosur rasmi Honda HR-V facelift 2025, klik untuk besarkan

    Honda HR-V 1.5 S 2025
    Ciri standard:

    Mekanikal

    • Enjin 1.5 litre DOHC i-VTEC
    • 1,498 cc NA empat-silinder petrol
    • 121 PS pada 6,600 rpm, 145 Nm pada 4,300 rpm
    • Continuously variable transmission (CVT)
    • Pacuan roda depan
    • Mod pemanduan Econ dan Normal
    • Brek parkir elektronik dengan Auto Brake Hold
    • Suspensi MacPherson strut (depan), torsion beam (belakang)
    • Cakera brek berliang (depan), cakera tertutup (belakang)

    Luaran

    • Lampu LED Automatik
    • Lampu belakang kombinasi LED
    • Kemasan bawah hitam berkilat
    • Rim 18-inci
    • Cermin sisi lipatan berkuasa
    • Sistem tanpa kunci dengan ciri kunci automatik ketika jauh
    • Antena Sirip Yu
    • Pemegang pintu dengan warna badan

    Dalaman

    • Butang Push Start
    • Papan pemuka material sentuhan lembut
    • Stereng multifungsi Urethane
    • Larasan stereng tinggi/rendah dan rapat/jauh
    • Kluster instrumen analogue dengan paparan multi-info
    • Tingkap kuasa untuk pemandu dengan Auto naik/turun
    • Tombol gear Urethane
    • Kerusi balutan fabrik hitam
    • Kerusi depan larasan manual
    • Kerusi belakang Ultra Seat dengan nisbah lipatan 60:40
    • Kawalan pendingin zon tunggal dengan corong belakang
    • Head unit 2-DIN lapan-inci skrin sentuh dengan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar
    • Empat pembesar suara
    • Dua slot USB di depan
    • Empat sensor parkir
    • Kamera undur pelbagai sudut
    • Penutup ruang barangan boleh lipat
    • Tayar ganti saiz penuh

    Keselamatan

    • Empat beg udara (depan dan sisi)
    • ISOFIX belakang dengan cagak atas
    • Empat penderia parkir belakang
    • Kawalan menurun bukit
    • Isyarat berhenti kecemasan
    • Bantuan pemandu Honda Sensing
    • AEB
    • Kawalan melayar adaptif dengan Stop/Go
    • Bantuan ke tengah lorong
    • Bantuan mengekalkan lorong
    • Lampu tinggi automatik
    • ABS dengan EBD dan bantuan brek
    • Kawalan kestabilan
    • Agile Handling Assist (AHA)
    • Bantuan mula mendaki
    • Kawalan menuruni bukit
    • Lampu isyarat berhenti kecemasan
    • Peringatan tali keledar untuk semua kerusi
    • Peringatan kerusi belakang

    Honda HR-V 1.5 Turbo E 2025
    Tambahan:

    Mekanikal

    • Enjin 1.5 liter DOHC VTEC Turbo
    • 1,498 cc turbocas empat-silinder petrol
    • 181 PS pada 6,600 rpm, 240 Nm dari 1,700 dan 4,500 rpm
    • Pedal penukar gear di stereng
    • Mod pemanduan Econ, Normal dan Sport

    Luaran

    • Lampu kabus depan LED
    • Rim aloi 18-inci
    • Muncung ekzos berkembar
    • Penghidup enjin jarak jauh

    Dalaman

    • Kemasan papan pemuka warna perak
    • Kluster instrumen separa digital dengan paparan tujuh-inci
    • Perehat lengan belakang
    • Dua slot USB di belakang

    Keselamatan

    • Enam beg udara

    Honda HR-V 1.5 Turbo V 2025
    Tambahan:

    Mekanikal

    • Stereng nisbah boleh ubah

    Luaran

    • Lampu isyarat membelok depan LED sequential
    • Rim 18-inci

    Dalaman

    • Cermin sisi lipatan automatik
    • Stereng balutan kulit
    • Tombol gear balutan kulit
    • Kerusi balutan kulit hitam
    • Kerusi pemandu larasan kuasa lapan-arah
    • Dua cermin solek dengan lampu
    • Lapan pembesar suara

    Keselamatan

    • Kamera titik buta LaneWatch

    Honda HR-V 1.5 RS 2025
    Tambahan:

    Mekanikal

    • Motor elektrik di depan
    • 131 PS, 253 Nm
    • Enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC
    • 1,498 cc NA kitaran Atkinson empat-silinder petrol
    • 105 PS dari 6,000 hingga 6,400 rpm, 127 Nm dari 4,500 hingga 5,000 rpm
    • Transmisi kelajuan tunggal dengan klac pengunci

    Luaran

    • Lampu hadapan projektor LED Matrix dengan lampu tinggi adaptif
    • Lampu membelok aktif
    • Lampu belakang LED penuh dengan jalur LED
    • Muncung ekzos tunggal terselindung

    Interior

    • Pengilap automatik
    • Tempat duduk balutan kulit dengan logo RS
    • Pedal sport
    • Pengecas telefon pintar tanpa wayar
    • Kawalan pendingin automatik dua zon
    • Kit baik pulih tayar

    GALERI: Honda HR-V facelift 2025 dengan aksesori Modulo

    GALERI:Slaid pelancarab Honda HR-V facelift 2025

     
     
  • Laluan arah utara antara Kompleks Sultan Abu Bakar-ICA S’pura di Lebuhraya Linkedua tutup pada 23 Julai

    Laluan arah utara antara Kompleks Sultan Abu Bakar-ICA S’pura di Lebuhraya Linkedua tutup pada 23 Julai

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memaklumkan bahawa pihaknya bakal melaksanakan penutupan penuh laluan (arah utara) dan pengaktifan laluan kontra (arah selatan) di antara Kompleks Sultan Abu Bakar, Malaysia dan Immigration Checkpoints Authority (ICA) Singapura di KM0.6 hingga KM1.70 di Lebuhraya Linkedua pada 23 Julai 2025.

    Ia bertujuan untuk kelancaran latihan simulasi kecemasan tumpahan kimia yang akan diadakan secara berperingkat pada hari berkenaan bermula jam 4 pagi hingga 2 petang.

    Justeru, para pengguna laluan terbabit dinasihatkan supaya memandu berhati-hati, mematuhi arahan papan tanda dan juga petugas trafik sepanjang tempoh latihan tersebut serta merancang perjalanan anda.

     
     
  • GWM Wey 80 PHEV bakal dipamer di PACE 2025

    GWM Wey 80 PHEV bakal dipamer di PACE 2025

    GWM Wey 80 disahkan bakal dipamerkan menerusi acara Premium Auto Car Expo (PACE) 2025 yang dibawakan khas oleh paultan.org yang bakal berlangsung hujung minggu ini, 19 hingga 20 Julai, di Setia City Convention Centre (SCCC). Malah MPV plug-in hybrid (PHEV) yang bakal dipamerkan ini adalah unit pemanduan sebelah-kanan (RHD), yang pertama kali ditunjukkan untuk tatapan khalayak umum, malah ia juga merupakan versi sebenar yang bakal dilancarkan pada tahun ini.

    Dalam penganjuran Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) pada Disember lalu, Wey 80 ini ada dipamerkan tetapi merupakan versi pemanduan sebelah-kiri (LHD) dan juga model pra-peningkatan. Apa pun, unit yang bakal dipamerkan menerusi PACE 2025 dijangka merupakan versi terkini bagi MPV PHEV ini, yang diperkenalkan pada April lalu di Auto Shanghai 2025.

    Di China, Wey 80 baharu dikuasakan oleh sistem Hi4 (Hybrid intelligent 4WD) yang dipertingkatkan, yang terdiri daripada enjin 1.5 liter turbo empat-silinder 170 PS/245 Nm, motor elektrik 109 PS/170 Nm dan transmisi hibrid khas (DHT) empat-kelajuan, bersama satu lagi motor 184 PS/232 Nm untuk memacu roda belakang. Kuasa keseluruhan yang dihasilkan adalah 458 PS dan 644 Nm, dengan bateri yang digunakan adalah unit nickel manganese cobalt (NMC) 51.55 kWh, mampu memberikan jarak gerak elektrik (WLTP) 201 km dan jarak gerak keseluruhan 963 km.

    Wey 80 ini juga dijangka mampu memberikan persaingan sengit buat MPV elektrik Denza D9, Zeekr 009 dan Xpeng X9 serta Toyota Alphard dan Vellfire. GMW juga telah mengesahkan bahawa Wey 80 akan dikeluarkan secara pemasangan tempatan (CKD) di Melaka, dan mungkin ditawarkan dengan harga yang lebih kompetitif. Kalau nak tengok Wey 80 di hadapan mata, jom kunjungi PACE 2025 dan masuk adalah percuma.

    GALERI: GWM Wey 80 Gaoshan 9 di Auto Shanghai 2025

     
     
  • Perang harga kenderaan di Malaysia tidak bagus untuk industri, pemilik dalam jangka masa panjang- MAA

    Perang harga kenderaan di Malaysia tidak bagus untuk industri, pemilik dalam jangka masa panjang- MAA

    Promosi besar-besaran dan potongan harga yang ditawarkan oleh pengeluar kereta di Malaysia ketika ini mungkin menguntungkan pembeli dalam jangka pendek, tetapi menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA), ia memberi kesan negatif terhadap industri dan pembeli dalam jangka panjang.

    Presiden MAA, Mohd Shamsor Mohd Zain berkata, tindakan menurunkan harga secara berlebihan boleh menyebabkan nilai jualan semula kereta jatuh dengan cepat, terutama bagi pembeli awal.

    “Diskaun memang nampak baik untuk jangka pendek, tetapi untuk jangka panjang ia sebenarnya merugikan, khususnya kepada pelanggan. Nilai kereta akan susut dengan lebih cepat dan pembeli awal akan terasa kesannya. Ini juga menjadikan strategi jualan tidak berkesan kerana ia hanya bersifat sementara,” katanya.

    Beliau menambah bahawa promosi memang penting, tetapi perlu dilakukan secara berhemah dan tidak keterlaluan. Ketika ini, pelbagai tawaran menarik sedang berlangsung. Antara yang paling ketara termasuk Honda – diskaun sehingga RM10,000, Toyota – sehingga RM10,500, Proton – sehingga RM15,000, Chery – sehingga RM16,000, Mitsubishi – sehingga RM18,000, Nissan – sehingga RM22,000 dan Peugeot – sehingga RM30,000.

    Ini belum termasuk kenderaan elektrik (EV), yang menyaksikan penurunan harga lebih drastik. Sebagai contoh, Proton sebelum ini menyatakan mereka tidak akan menyertai perang harga demi melindungi nilai jualan semula kereta mereka. Namun, syarikat itu juga pernah memulakan langkah awal dengan menurunkan harga model mereka bagi menyaingi BYD Atto 3 – termasuk menjadikan diskaun RM4,000 untuk pembeli awal sebagai harga tetap.

    Sebagai tindak balas, BYD menurunkan harga model Atto 3 Ultra sebanyak RM26,000 kepada RM124,000 (atau RM119,000 selepas rebat). Model ini pada asalnya dilancarkan pada hujung 2022 dengan harga RM168,000 – penurunan hampir RM50,000.

    Perang harga kenderaan di Malaysia tidak bagus untuk industri, pemilik dalam jangka masa panjang- MAA

    Kemudian, Chery Omoda E5 menyertai persaingan dengan menawarkan potongan RM27,000 menjadikan harganya RM119,818 bagi unit 2024. Menjelang Mei, harga ini turun lagi kepada RM98,818 untuk jualan penghabisan stok. Padahal, model EV ini dilancarkan pada Mac 2024 dengan harga asal RM146,800.

    Kini, jenama lebih kecil seperti GAC Aion Y Plus dan Leapmotor C10 juga terpaksa menurunkan harga bagi kekal bersaing. Leapmotor C10 – yang hadir dengan spesifikasi dipertingkat dan badan terbesar dalam kelasnya – kini dijual pada harga RM125,000, berbanding harga asal RM159,000 (atau RM149,000 dengan diskaun pembeli awal). Malah, ada unit 2024 yang kini ditawarkan pada harga serendah RM110,000.

     
     
  • Rali nasional di Malaysia kembali – Kejohanan Rali Malaysia MAM 2025 pusingan 1 di Jempol 2-3 Ogos ini!

    Rali nasional di Malaysia kembali – Kejohanan Rali Malaysia MAM 2025 pusingan 1 di Jempol 2-3 Ogos ini!

    Selepas berjaya dilangsungkan dengan dua pusingan tahun lalu, Malaysia Iconic Rally Championship (MIRC) kembali untuk dilangsungkan tahun ini – ia lebih besar dan mendapat sokongan dari badan pentadbir utama sukan permotoran tempatan iaitu Persatuan Permotoran Malaysia (MAM), dan kini dikenali sebagai Kejohanan Rali Malaysia-MAM (MAM-MRC) 2025!

    Dengan nama dan status baharu ini MAM-MRC boleh dilihat sebagai penerus bagi kejohanan rali peringkat nasional sebelum ini iaitu Kejohanan Rali Malaysia AAM yang dihentikan sebaik sahaja musim 2018 berakhir.

    Pusingan pertama MAM-MRC musim ini akan berlangsung pada 2 hingga 3 Ogos ini iaitu di Rally of Jempol 2025, di mana kereta-kereta rali akan memecah keheningan ladang-ladang sawit dengan Super Stage (SS) yang akan dibuat di sekitar Felda Raja Alias, Negeri Sembilan.

    Orang ramai yang datang ke Jempol untuk menyaksikan rali ini turut akan dimeriahkan dengan Karnival Rally of Jempol yang akan diadakan di Dataran Seri Jempol bermula 1 hingga 4 Ogos 2025. Senarai pelumba masih belum dikeluarkan oleh pihak MAM-MRC, namun dijangka kali ini ia turut akan menarik penyertaan pelumba dari luar negara.

    Sebanyak empat pusingan dirancang untuk diadakan untuk MAM-MRC 2025, di mana tiga daripadanya dianjurkan oleh Millennium Motorsport Adventure Club (MMAC) yang merupakan penganjur MIRC tahun lalu, manakala satu pusingan lagi dianjurkan oleh MAM sempena Malaysia Festival of Speed (MFOS).

     
     
  • Tarif Trump mungkin jadi sebab harga kenderaan naik di Malaysia melalui alat ganti import, eksport – MAA

    Tarif Trump mungkin jadi sebab harga kenderaan naik di Malaysia melalui alat ganti import, eksport – MAA

    Tarif yang dikenakan oleh pentadbiran presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkemungkinan menyebabkan kenaikan harga kenderaan di Malaysia, secara tidak langsung melalui kesan kepada alat ganti automotif import dan eksport, kata Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

    “Berkenaan eksport (CBU), pada 2024 cuma sekitar US$142k (RM603k), jadi ia sangat kecil. Kebimbangan kami berkenaan tarif adalah lebih kepada alat ganti kenderaan, aksesori, di mana ia bernilai hampir US$100 juta (RM425 juta) – ini adalah sekitar 80% daripada jumlah keseluruhan kenderaan kita, selain kereta api, eksport ke AS,” kata presiden MAA, Mohd Shamsor Mohd Zain.

    “Jadi, kekhuatiran adalah lebih kepada alat ganti CKD import, yang boleh dikenakan tarif AS apabila datang dari pelbagai negara, jadi kesannya akan kembali kepada kita kerana alat ganti itu mungkin menerima sedikit impak kos. Sekarang kita belum rasa kesannya, ia hanya akan terasa selepas enam bulan,” tambah beliau.

    Tarif Trump mungkin jadi sebab harga kenderaan naik di Malaysia melalui alat ganti import, eksport – MAA

    Ini bermakna ia adalah kesan dua arah. Alat ganti CKD yang diimport ke Malaysia daripada negara yang dikenakan tarif tinggi mungkin memakan kos tinggi, dan pembekal alat ganti Malaysia (selain semikonduktor yang dikecualikan daripada tarif) mungkin menerima tempahan yang sedikit, sekaligus akan menaikkan kos yang kemudiannya akan beralih pula kepada alat ganti yang dibekalkan ke Malaysia.

    Baru-baru ini Trump kembali mengenakan tarif 25% kepada barangan buatan Malaysia. Meskipun Malaysia secara umumnya tidak mengeksport kenderaan ke AS, kita masih merupakan pemain global komponen automotif, terutamanya semikonduktor. Jadi, kalau harga kereta betul-betul naik tahun depan, antara penyebabnya adalah tarif Trump, selain semakan semula duti eksais OMV/402 yang akan dikenakan tidak lama lagi.

     
     
  • Harga minyak 17-23 Julai – diesel untuk semenanjung dan RON97 dinaikkan masing-masing 3 sen seliter

    Harga minyak 17-23 Julai – diesel untuk semenanjung dan RON97 dinaikkan masing-masing 3 sen seliter

    Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan bahawa bagi minggu bertarikh 17 hingga 22 Julai 2025, harga runcit petrol RON 97 dinaikkan tiga sen seliter, kini pada paras RM3.21 seliter. Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling, masih dikekalkan pada RM2.05 seliter.

    Untuk harga runcit bagi diesel yang dijual di Semenanjung Malaysia, ia juga dinaikkan sebanyak tiga sen seliter iaitu menjadi RM2.91 seliter. Manakala harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.

    Berkaitan dengan pelaksanaan pelaksanaan subsidi bersasar RON95 pula, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan ia akan diteruskan seperti yang dirancangkan. Dalam masa yang sama, beliau turut mengulangi bahawa pelaksanaan subsidi bersasar RON95 tidak akan menjejaskan sebahagian besar rakyat

    Di mana mekanisme pelaksanaan subsidi ini akan menggunakan sistem pengenalan diri MyKad dan dua kadar harga. Katanya, pembangunan mekanisme pelaksanaan langkah yang disasarkan dapat mengukuhkan kewangan negara sedang diperhalusi dengan kerajaan tidak mahu mengumumkan sesuatu pelaksanaan dasar secara terburu-buru.

     
     
  • KLIMS bakal kembali pada 12-21 Jun 2026 di MITEC

    KLIMS bakal kembali pada 12-21 Jun 2026 di MITEC

    Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) yang berlangsung pada Disember tahun lalu kini sudah mengumumkan edisi berikutnya bagi pameran tersebut yang akan berlangsung tahun depan. Penganjurnya, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) memaklumkan, acara pameran permotoran itu akan diadakan pada 12 hingga 21 Jun 2025, beralih dari kalendar penganjuran hujung tahun pada 2024 lalu.

    Lokasi akan dikekalkan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC). Ia akan diadakan dua kali setahun kerana dianjurkan secara berselang tahunan dengan acara Malaysia Auto Show (MAS), yang baru saja diadakan tahun ini pada April lalu — membolehkan Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya satu pameran automotif setiap tahun.

    KLIMS akan terus bertindak selaku pameran dengan pendekatan tradisional, dengan mempamerkan model-model baru serta kereta konsep yang akan menjadi tumpuan utama, jelas Presiden MAA, Mohd Shamsor Mohd Zain. Ini berbeza dengan pameran berasaskan jualan yang dianjurkan untuk MAS, yang mana pengedar akan mengambil tempahan untuk kenderaan baru dan pelanggan boleh memandu uji kenderaan.

    KLIMS bakal kembali pada 12-21 Jun 2026 di MITEC

    MAA sedang merancang penambahbaikan yang akan menerapkan beberapa elemen daripada MAS untuk KLIMS, seperti sesi pandu uji, walaupun semua itu bergantung kepada jenama masing-masing yang terlibat. “Kami sudah mempunyai petunjuk bahawa bahkan jenama yang tidak ikut serta tahun lalu juga sudah merancang untuk menyertai pameran ini,” jelas Mohd Shamsor. “Kami berharap akan dapat membawakan pameran yang lebih meriah tahun depan.”

    Perubahan lain juga akan dilakukan untuk memperbaiki kekurangan dalam edisi yang lalu, seperti kekurangan kemudahan untuk petugas media. Itu terjadi kerana waktu singkat yang terpaksa dilalui oleh penganjuran tahn lalu, selepas keluar dari pandemik Covid-19 sebelumnya. Begitu juga senggang yang terlalu lama kerana MAA berehat daripada penganjuran sebelum itu — melibatkan tempoh enam tahun tanpa pameran tersebut.

    “Kali ini, kerana ada banyak masa untuk merancang, kami akan menyediakan lebih banyak aktiviti dan kemudahan untuk semua,” jelasnya.

     
     
  • MoT lantik empat pusat pemeriksaan MV15 (tukar hakmilik B5) untuk kurangkan sesak di Puspakom

    MoT lantik empat pusat pemeriksaan MV15 (tukar hakmilik B5) untuk kurangkan sesak di Puspakom

    Kementerian Pengangkutan (MoT) telah melantik empat Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) khas untuk melakukkan pemeriksaan tukar hak milik MV15 (sebelum ini dikenali sebagai B5) yang disasarkan untuk mengurangkan kesesakan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

    Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dalam laporan Berita Harian, empat PPKM berkenaan akan mula beroperasi dalam masa tiga bulan lagi, dan ia selaras keputusan mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Mac 2023.

    Loke menjelaskan bahawa empat PPKM yang dilantik itu hanya akan membuat pemeriksaan terhadap kenderaan persendirian saja berbanding pemeriksaan terhadap pelbagai jenis kenderaan dilaksanakan di Puspakom ketika ini, dan ia akan memudahkan dan mempercepatkan proses pemeriksaan kenderaan persendirian tanpa perlu bersesak dengan kenderaan berat ketika di Puspakom.

    “Pelantikan PPKM dengan fungsi khusus bagi pemeriksaan MV15 ini adalah antara usaha kita untuk menambah penawaran perkhidmatan pemeriksaan, pertukaran hak milik kenderaan dalam pasaran dan mengurangkan kesesakan di Puspakom sekarang,” katanya pada sidang media sebelum menyerahkan surat tawaran kepada empat syarikat berkenaan.

    MoT lantik empat pusat pemeriksaan MV15 (tukar hakmilik B5) untuk kurangkan sesak di Puspakom

    Empat syarikat yang dilantik itu adalah Carro Technology Sdn Bhd; Carsome Academy Sdn Bhd; Wawasan Bintang Sdn Bhd dan Beriman Gold Sdn Bhd.

    Loke menjelaskan, tawaran kelulusan bersyarat diberikan kepada tujuh syarikat untuk melaksanakan perkhidmatan ini, namun hanya empat yang menerimanya dan bersedia menerima syarat diletakkan. Beliau menambah kelulusan bersyarat yang diberikan bagi tempoh 12 bulan itu membolehkan syarikat membuat persediaan berdasarkan syarat ditetapkan dalam garis panduan itu, namun ada syarikat menyatakan mampu mula beroperasi seawal tiga bulan lagi.

    Walau bagaimanapun perlu diingatkan bahawa empat PPKM ini hanya akan menawarkan pemeriksaan MV15 untuk proses tukar milik selepas kenderaan dijual dan buat masa sekarang ia dikenakan bayaran RM30. Manakala untuk urusan pemeriksaan B7 untuk tujuan mendapatkan pembiayaan sewa beli kenderaan terpakai, ia masih perlu dibuat di Puspakom.

    Pemeriksaan B7 ini diperkenalkan pada 2011, dan ia menampilkan pemeriksaan yang lebih terperinci, dan buat masa sekarang ia dikenakan bayaran sebanyak RM60.

     
     
  • BYD naik taraf sistem ADAS God’s Eye dengan Park Assist Tahap 4, sanggup bayar jika kemalangan

    BYD naik taraf sistem ADAS God’s Eye dengan Park Assist Tahap 4, sanggup bayar jika kemalangan

    Awal tahun ini, BYD memperkenalkan sistem bantuan pemanduan canggih yang dikenali sebagai God’s Eye, dan ia kini dilengkapi secara standard untuk semua model jenama di bawah kumpulan BYD termasuk Denza, Fangchengbao dan Yangwang. Kini, sistem tersebut diberikan kemas kini terbaru melalui sambungan tanpa wayar (over-the-air/OTA) yang meningkatkan lagi keupayaan teknologinya.

    Menerusi satu perkongsian di laman Weibo, BYD memaklumkan bahawa penambahbaikan utama dalam kemas kini ini ialah sistem bantuan letak kenderaan yang dinaik taraf sepenuhnya. Menariknya, sistem ini sekarang dikatakan setanding dengan autonomous Tahap 4, yang bermaksud pemandu tidak perlu menggunakan tangan, mata atau memberi tumpuan langsung ketika kereta sedang melakukan parkir secara automatik. BYD turut mendakwa ini adalah sistem pertama seumpamanya di dunia.

    Sistem parkir pintar ini boleh berhadapan dengan pelbagai jenis ruang parkir – selari, serong dan tegak – termasuk parkir secara mengundur atau masuk ke depan. Ia juga mampu mengesan halangan seperti bumbung rendah atau kenderaan lain yang diletakkan tidak kemas, lalu menyesuaikan posisi parkir agar penumpang masih boleh keluar dan masuk dengan selesa.

    BYD naik taraf sistem ADAS God’s Eye dengan Park Assist Tahap 4, sanggup bayar jika kemalangan

    Satu lagi ciri baru adalah keupayaan untuk mengesan ruang parkir sempit, di mana cermin sisi akan dilipat secara automatik bagi mengelakkan sebarang geseran. Pemandu turut diberi pilihan untuk memilih antara tiga kelajuan parkir, termasuk mod “kelajuan ekstrem”. Lebih menarik, pengguna juga boleh berada di luar kenderaan dan membiarkan kereta parkir secara sendiri.

    Menunjukkan keyakinan penuh terhadap keupayaan sistem ini, BYD turut mengumumkan bahawa mereka akan bertanggungjawab sepenuhnya sekiranya berlaku sebarang kemalangan akibat penggunaan sistem bantuan parkir baru ini. Mereka akan menanggung kos kerosakan, termasuk kerugian harta benda pihak ketiga serta kecederaan, walaupun kenderaan sudah tamat tempoh waranti atau dibeli oleh pemilik kedua. Pendekatan ini mengingatkan kita kepada komitmen awal Volvo ketika membangunkan teknologi pemanduan autonomous.

    Selain sistem parkir, kemas kini ini turut mempertingkatkan ciri pemanduan separa automatik Tahap 2 dalam sistem God’s Eye, termasuk keupayaan untuk mempercepat atau memperlahankan kenderaan secara automatik ketika menukar lorong, bergantung kepada aliran trafik. Kenderaan juga akan mengelipkan lampu hadapan dan membunyikan hon jika mengesan kenderaan lain menukar lorong secara berbahaya – satu ciri yang sangat sesuai untuk keadaan trafik di Malaysia.

    BYD naik taraf sistem ADAS God’s Eye dengan Park Assist Tahap 4, sanggup bayar jika kemalangan

    Turut disertakan ialah penambahbaikan kepada fungsi asas sistem ini, seperti pelarasan automatik ketinggian lampu hadapan ketika berada dalam mod pemanduan bantuan bagi meningkatkan keupayaan pengesanan halangan. Selain itu, lampu isyarat membelok akan dimatikan secara automatik selepas sistem selesai menukar lorong. Bagi model dengan versi asas sistem God’s Eye C (juga dikenali sebagai DiPilot 100 tanpa pengesan lidar), panduan operasi kini dipertingkatkan dan julat kelajuan sistem juga dioptimumkan agar lebih mematuhi tetapan kelajuan yang ditetapkan pengguna.

    Kemas kini ini akan mula ditawarkan kepada model “Dynasty” yang menggunakan sistem God’s Eye C terlebih dahulu, termasuk Qin Plus, Qin L, Song L, Song Pro, Yuan Plus (juga dikenali sebagai Atto 3), Yuan Up (Atto 2), dan MPV Xia. Model-model lain akan menyusul tidak lama lagi. Pengumuman ini hadir seiring dengan kejayaan BYD yang kini mempunyai lebih sejuta unit kenderaan dilengkapi sistem God’s Eye yang telah berada di atas jalan raya di China.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.11 (+0.03)
Last Updated Jul 17, 2025