Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Toyota bZ5 dipamer di Shanghai – SUV EV dengan penggerak daripada BYD, 272 PS, jarak gerak 630 km

    Toyota bZ5 dipamer di Shanghai – SUV EV dengan penggerak daripada BYD, 272 PS, jarak gerak 630 km

    Tahun lepas sudah menunjukkan model konsep bZ3C di Beijing, sekarang Toyota mendedahkan pula versi produksi bagi model tersebut, iaitu bZ5, yang dibawa ke Shanghai Motor Show 2025. Ia sebenarnya adalah satu produk keluaran syarikat kerjasama FAW-Toyota.

    Sama seperti barisan model Beyond Zero (bZ) yang pernah diperkenalkan sebelum ini (kecuali bZ4X), bZ5 ini juga menggunakan penggerak daripada BYD, yang terdiri daripada motor elektrik 272 PS/330 Nm dan bateri LFP Blade, mampu memberikan jarak gerak sehingga 630 km.

    Menurut Toyota, bateri ini boleh dicas dari tahap 30 ke 80% dalam masa 27 minit, dan bZ5 ini juga datang dengan sistem ADAS Level 2, sembilan beg udara serta rim 21 inci yang dibalut tayar 225/45. Saiz badannya adalah 1,866 mm panjang, 1,510 mm lebar dan 2,880 mm tinggi, manakala jarak roda adalah 4,780 mm.

    Model yang dipamerkan ini bukan setakat menggunakan warna merah di luar, tetapi dalamnya juga mempunyai konsep warna sama. Di bahagian tengah papan pemuka terdapat skrin sesentuh 15.6 inci, dan ia disertai panel instrumen digital bertentangan dengan pemandu, bumbung panoramik serta pemilih gear jenis tombol di konsol tengah.

    Laporan di China mengatakan bZ5 kini dalam fasa jualan awal, dengan harga antara RMB130,000 (RM77k) dan RMB160,000 (RM95k). Selain bZ5 ini, Toyota juga ada membawa bZ7 sedan ke pameran yang sama.

     
     
  • Honda e:N1 bakal dilancar – HR-V EV hanya boleh didapati menerusi 8 pengedar terpilih seluruh Malaysia

    Honda e:N1 bakal dilancar – HR-V EV hanya boleh didapati menerusi 8 pengedar terpilih seluruh Malaysia

    Honda e:N1 dijangka akan dilancarkan di Malaysia sebelum hujung suku kedua (Q2) tahun ini, dan menjelang ketibaannya di pasaran tempatan, tempahannya mula dibuka bulan ini. Walau bagaimana pun, difahamkan SUV elektrik-penuh ini tidak akan ditawarkan di kesemua wakil pengedaran Honda di Malaysia, sebaliknya hanya memilih lapan wakil pengedar untuk menjualnya. Perkara ini didedahkan sendiri oleh Honda Malaysia (HM) menerusi paparan grafik yang dikongsikan di Facebook rasminya.

    Wakil pengedar terpilih untuk memasarkan e:N1 ialah Vivahill Auto di Pulau Pinang dan Ban Hoe Seng Auto di Perak yang mewakili bahagian utara. Manakala untuk bahagian sentral pula, HM memilih Accord Auto, HZN Cars dan Tiong Nam Motor di Selangor dan Peringgit Sri Motor di Kuala Lumpur. Sementara Ban Lee Heng Motor di Negeri Sembilan dan Kah Motor Co di Tebrau, Johor mewakili bahagian selatan tanahair.

    SUV EV segmen-B ini diperkenalkan di peringkat serantau di Thailand pada tahun lalu, dan kemudiannya ditawarkan melalui program pajakan. Kemudian, barulah ia dijual di negara berkenaan bermula bulan lalu.

    Honda e:N1 bakal dilancar – HR-V EV hanya boleh didapati menerusi 8 pengedar terpilih seluruh Malaysia

    Walau pun merupakan versi EV untuk HR-V, namun menurut Honda, e:N1 ini diasaskan dari platformnya tersendiri dikenali sebagai e:N Architecture F bagi menempatkan satu modul unit rangkaian kuasa terdiri dari motor elektrik, unit pemacu kuasa dan transmisi pada gandar hadapan yang memacu roda hadapan.

    Motor berkenaan menghasilkan kuasa 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan tork maksima 310 Nm dari 0-4,621 rpm. Ia boleh dipecut dari 0-100 km/j dalam 7.7 saat dan mencapai kelajuan maksima hingga 160 km/j.

    Honda Malaysia turut mengesahkan bahawa kuasa elektrik akan dibekalkan dari bateri litium-ion (nickel manganese cobalt atau NMC) 68.8 kWj yang memberikan jarak gerak sejauh 500 km dalam kitaran ujian NEDC. Spesifikasi model pasaran Thailand menyebut bateri tersebut membolehkan e:N1 ini bergerak sejauh 412 km untuk satu cas penuh mengikut kitaran ujian WLTP.

    Bateri ini boleh dicas menggunakan pengecas DC CCS2 berkapasiti sehingga 78 kW, yang mengambil masa sekitar 45 minit untuk membolehkannya mencapai status pengecasan 10% hingga 80%. Jika menggunakan pengecas AC berkapasiti 11 kW pula, ia mengambil masa lebih kurang enam jam untuk baterinya dicas penuh.

    Honda e:N1 bakal dilancar – HR-V EV hanya boleh didapati menerusi 8 pengedar terpilih seluruh Malaysia

    Walau bagaimana pun, spesifikasi penuh untuk versi Malaysia masih belum diumumkan, namun dijangka tidak jauh berbeza dengan unit yang dijual di Thailand, yang dilengkapi roda aloi dua-tona pelbagai-jejari 18-inci, lampu utama LED automatik denggan lampu nyalaan siang (DRL) LED, lampu kabus hadapan, lampu signal LED, jaluran lampu belakang LED dan juga spoiler belakang.

    Untuk kelengkapan kabinnya pula, ia diberikan tempat duduk balutan kulit rekaan sport berwarna hitam dengan kemasan putih dan jahitan biru, Selain itu, ia juga diberikan panel skrin sesentuh Advanced Touch Display Audio 15.1-inci dengan sokongan tanpa wayar Apple CarPlay/Android Auto, dan paparan pelbagai-informasi TFT 10.25-inci, berserta tombol penukar gear yang ringkas dan suis brek parkir elektronik.

    Kelengkapan standard juga termasuk set bantuan pemandu Honda Sensing, pemantauan titik buta dan kepekaan trafik lintasan belakang yang menggantikan kamera LaneWatch, di mana dua ciri tersebut merupakan pertama kali diaplikasikan oleh Honda di Malaysia.

    Harganya juga masih belum didedahkan, namun ia berharga sekitar 1,199,000 baht (RM157,600) di Thailand, jadi untuk pasaran kita, kebarangkalian harganya juga tidak jauh beza. Kita akan mengetahui lebih terperinci mengenai model EV ini bila ia dilancarkan kelak, namun bagi yang berminat dengan e:N1, bolehlah membuat tempahan di laman web rasmi HM atau aplikasi HondaTouch ataupun terus menempahnya di lapan wakil pengedar terpilih berkenaan.

    GALERI: Honda e:N1 di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024

     
     
  • MINI JCW 3 Door petrol dan elektrik, JCW Aceman mula dijual di Malaysia – RM331k, RM225k dan RM241k

    MINI JCW 3 Door petrol dan elektrik, JCW Aceman mula dijual di Malaysia – RM331k, RM225k dan RM241k

    Selain Cooper Convertible, MINI Malaysia juga memperkenalkan tiga model John Cooper Works (JCW) baru untuk pasaran Malaysia iaitu 3 Door petrol dan elektrik, serta Aceman. Harganya masing-masing adalah RM330,988, RM225,188 dan RM241,188.

    Semua harga di atas adalah tidak termasuk insurans, dan diberikan sekali dengan pakej jaminan kenderaan empat tahun tanpa had batuan serta servis percuma empat tahun atau 60,000 km untuk model petrol dan empat tahun tanpa had batuan untuk model elektrik. Jika tidak mahu pakej ini, harga kenderaan akan dikurangkan masing-masing RM12,100, RM6,300 dan RM7,300. Jaminan bateri untuk dua model JCW ini adalah lapan tahun atau 160,000 km.

    Tidak kiralah ICE atau EV, hatchback atau SUV, semua model JCW ini nampak garang dengan kebanyakan bahagian badannya berwarna gelap dan kemudiannya warna merah memberikan kontras dengan digunakan pada bahagian bumbung, cermin sisi, atas bonet serta angkup brek.

    MINI JCW 3 Door petrol dan elektrik, JCW Aceman mula dijual di Malaysia – RM331k, RM225k dan RM241k

    Model 3 Door petrol JCW menjadi satu-satunya model yang mendapat suspensi adaptif, spoiler bumbung berbentuk M, muncung ekzos di tengah serta antena berbatang tegak (dua model lagi menggunakan unit seperti sirip). Kemudiannya, dua model hatch JCW ini diberikan rim 18 inci Lap Spoke, manakala model Aceman JCW dibesarkan menjadi 19 inci (rekaan masih sama).

    Menggerakkan model petrol hatch adalah enjin empat silinder 2.0 liter turbo serta transmisi DCT tujuh kelajuan, menghasilkan kuasa 231 PS/380 Nm, melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.1 saat dan mencapai kelajuan maksimum 250 km/j. Model EV pula menggunakan bateri 54.2 kWh untuk menggerakkan motor elektrik 258 PS/350 Nm, dan mampu mencapai kelajuan maksimum 200 km/j dan melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.9 saat (3 Door) dan 6.4 saat (Aceman). Semua model ini menggunakan pacuan roda hadapan.

    Apabila menggunakan pengecas DC 95 kW, tahap bateri dua model EV JCW ini boleh naik 10-80% dalam masa 30 minit (AC 11 kW mengambil masa 5 jam 15 minit untuk 0-100%), dan apabila baterinya penuh, boleh memberikan jarak gerak 371 km untuk hatch dan 355 km untuk SUV.

    MINI JCW 3 Door petrol dan elektrik, JCW Aceman mula dijual di Malaysia – RM331k, RM225k dan RM241k

    Konsep warna hitam dan merah digunakan secara menyeluruh di bahagian dalam, dengan tempat duduk sport khas JCW dibalut kulit sintetik hitam dengan gabungan fabrik pada bahagian bahu dan jahitan merah menaikkan serinya. Pada model EV, tempat duduknya didatangkan dengan fungsi mengurut, pelarasan elektrik dan memori, sementara di bahagian bumbung, selain dilengkapi kaca panoramik, juga mempunyai lampu suasana.

    Roda stereng juga adalah unit khas JCW, dengan jahitan merah, pedal penukar serta cabang tengah di bahagian bawah yang diperbuat daripada fabrik, manakala skrin MINI Interaction Unit di bahagian tengah mempunyai mod khas JCW yang boleh menunjukkan data prestasi seperti laju, tork, penghasilan semula kuasa dalam kW dan tarikan G.

    Konsol tengah khas JCW menggunakan gabungan fabrik warna hitam, tali pendakap warna merah serta kemasan warna perak. Turut diberikan secara standard adalah MINI Navigation AR, pengecas tanpa wayar dan sistem bunyi Harman Kardon.

    MINI JCW 3 Door petrol dan elektrik, JCW Aceman mula dijual di Malaysia – RM331k, RM225k dan RM241k

    Bagi aspek keselamatan, semua model JCW ini dilengkapi AEB, ACC dengan stop and go, Steering and Lane Control Assistant, Lane Change Warning dengan Active Lane Return, Lane Departure Warning dengan Active Steering Intervention, Evasion Assistant, Rear-Cross Traffic Warning dengan fungsi membrek, Rear-end Collision Prevention dan amaran keluar.

    Turut disediakan adalah bantuan parkir tepi dan menegak, kamera undur dengan pandangan panoramik, bantuan mengundur sehingga 50 meter, pemerhati parkir, pandangan 3D, perakam video pemanduan serta perakam video anti kecurian.

    GALERI: MINI JCW 3 Door petrol

    GALERI: MINI JCW 3 Door elektrik

    GALERI: MINI JCW Aceman

     
     
  • KTMB umum kes gangguan terhadap penumpang wanita menurun – koc wanita sambut ulangtahun ke-15

    KTMB umum kes gangguan terhadap penumpang wanita menurun – koc wanita sambut ulangtahun ke-15

    Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengesahkan laporan berkaitan kes gangguan terhadap penumpang wanita menunjukkan penurunan hasil daripada pemantauan yang dilakukan. Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd Zain Mat Taha berkata, hanya tiga kes sahaja yang dilaporkan pda tahun lalu berbanding lapan kes pada tahun sebelumnya.

    Walau bagaimana pun, katanya, KTMB akan tetap terus memperkukuhkan komitmennya berkaitan keselamatan dan kesejahteraan penumpang wanita dalam pengangkutan awam, laporan Berita Harian.

    “Sepanjang 2023, sebanyak lapan kes gangguan seksual terhadap penumpang wanita manakala hanya tiga kes sahaja dilaporkan pada tahun 2024, sekali gus menyaksikan kesedaran dalam kalangan wanita semakin meningkat. Kita percaya bahawa walaupun hanya satu kes berlaku, ia tetap serius dan perlu ditangani dengan tegas kerana keselamatan wanita adalah tanggungjawab bersama dan usaha itu akan terus diperkukuhkan bagi memastikan tren dan premis kami sentiasa menjadi ruang yang selamat,” katanya ketika Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-15 Koc Wanita.

    Mula diperkenalkan sejak tahun 2010 untuk laluan Sentul-Pelabuhan Klang-Sentul, koc khas untuk wanita diwujudkan memastikan keselesaan dan keselamatan penumpang wanita sebagai langkah pencegahan gangguan seksual di dalam perkhidmatan awam itu.

    KTMB umum kes gangguan terhadap penumpang wanita menurun – koc wanita sambut ulangtahun ke-15

    KTMB turut menegaskan bahawa keselamatan wanita bukan hanya di dalam tren, akan tetapi merangkumi seluruh kawasan stesen, platform, laluan pejalan kaki dan kawasan tempat letak kenderaan. Ini termasuklah pelbagai langkah proaktif dilaksanakan bagi meningkatkan tahap keselamatan seperti pemantauan anggota polis bantuan secara berkala, melalui kamera litar tertutup (CCTV) dan pengumuman keselamatan di dalam tren.

    Pengurus Besar Perkhidmatan Komuter, Suhaila Saad pula berkata, pelaksanaan koc wanita itu bermula dengan satu koc khas untuk tren tiga gerabak, kemudian bertambah kepada dua koc khas untuk enam gerabak yang mula diperkenalkan pada 2012. Di mana koc wanita yang ditanda dengan warna merah jambu yang sinonim dengan wanita itu diletakkan di tengah-tengah tren adalah satu inisiatif yang diperkenalkan supaya lebih mudah dikawal dan dipantau.

    “Kami sedang bekerjasama dengan pihak Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) yang diketuai oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dalam usaha untuk mewujudkan satu akta dalam koc wanita. Akta ini akan mewartakan sebagai satu kesalahan bagi lelaki yang menduduki koc wanita sebagai usaha untuk menangani masalah gangguan seksual ini,” katanya.

     
     
  • Hanway Heritage 400 dilancarkan di Malaysia – enjin dua silinder 401 cc, enam kelajuan, harga RM22,800

    Hanway Heritage 400 dilancarkan di Malaysia – enjin dua silinder 401 cc, enam kelajuan, harga RM22,800

    Jenama motosikal dari China, Hanway membuat kemunculan pertama di Malaysia dengan pelancaran sebuah model bobber yang dipanggil sebagai Heritage 400. Ia dijual pada harga RM22,800 tidak termasuk insurans dan didatangkan dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km.

    Menggerakkan motosikal ini adalah enjin dua silinder 401 cc suntikan bahan api, DOHC, dengan sistem penyejukan cecair, dipadankan bersama transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 42 hp pada 9,500 rpm dan tork 34 Nm pada 8,000 rpm.

    Dalam keadaan asal, Heritage 400 ini datang tetapan satu tempat duduk, tetapi pembeli juga akan diberikan satu lagi tempat duduk belakang yang boleh dipasang dengan mudah. Tangki bahan apinya berkapasiti 12 liter.

    Rim Heritage 400 mempunyai saiz sama di bahagian hadapan dan belakang, iaitu 16 inci, dibalut masing-masing tayar 130/90 dan 150/80. Ia kemudiannya dipegang fork teleskopik di bahagian hadapan dan dua penyerap hentak dengan pelarasan pra beban di belakang.

    Pada bahagian brek, Heritage 400 dilengkapi dengan unit cakera berkembar di hadapan, sementara di belakang menggunakan cakera tunggal – ABS dual-channel diberikan secara standard. Meter menggunakan unit gabungan analog untuk tahap rpm dan LCD digital untuk informasi tambahan, sementara berat keseluruhan motosikal pula adalah 198 kg.

     
     
  • Xpeng G6 facelift di Shanghai — pengecas 5C, jarak CLTC 625-725 km, motor tunggal 296 PS/450 NM

    Xpeng G6 <em>facelift</em> di Shanghai — pengecas 5C, jarak CLTC 625-725 km, motor tunggal 296 PS/450 NM

    Selepas pengenalan globalnya bulan lalu, Xpeng G6 facelift muncul pula di Auto Shanghai 2025. Pasaran China menerima tiga varian dengan harga masing-masing RMB176,800 (RM105k), RMB186,800 (RM111k) dan RMB198,800 (RM118k) — dua yang pertama itu dengan jarak CLTC sejauh 625 km, manakala yang terakhir 725 km.

    Varian dengan jarak 625 km menggunakan bateri berkapasiti 68.5 kWh, sementara varian 725 km dengan bateri 80.8 kWh. Ketiga-tiga varian mempunyai motor tunggal yang menjana 296 PS/450 Nm yang menggerakkan roda belakang, dan 0-100 km/j dalam masa 6.3 saat. Sebagai perbezaan, kapasiti bateri model sebelum ini memberikan jarak CLTC 580 km (66 kWh) dan 755 km (87.5 kWh).

    Pembaharuan paling utama ialah EV dengan senibina 800V ini mempunyai gandaan pengecasan yang dipertingkat daripada 3C kepada 5C — secara teorinya, satu cas penuh hanya memerlukan masa 12 minit. Xpeng menyatakan, 10%-80% SoC akan memerlukan masa 12 minit tersebut.

    Xpeng G6 <em>facelift</em> di Shanghai — pengecas 5C, jarak CLTC 625-725 km, motor tunggal 296 PS/450 NM

    Tidak dinyatakan sama ada Xpeng G6 facelift ini akan ada versi dual-motor atau sebaliknya. model sebelum ini ada versi AWD berkenaan (yang belum dipasarkan di Malaysia), dengan membekalkan 358 kW (487 PS), 660 Nm tork dan 0-100 km/j dalam masa 3.9 saat.

    Antara pembaharuan yang dibuat untuk model facelift ini ialah logo Xpeng di depan dinaikkan kedudukannya, tambahan spoiler aloi serta kemasan warna hitam seperti untuk bodykit dan angkup brek.

    Ukuran dimensi SUV ini masih sama: 1,920 mm lebar, 1,650 mm tinggi dan jarak roda 2,890 mm. Hanya panjangnya ada pertambahan 5 mm menjadi 4,758 mm. Di dalam, skrin sentuh kini bersaiz 15.6-inci (14.9-inci sebelumnya). Panel instrumen digital 10.25-inci masih sama. Sterengnya kini dilengkapi ciri kawalan sentuhan kapasitif, corong udara diberi bentuk baru serta kerusi depan ada fungsi urut.

    Xpeng G6 <em>facelift</em> di Shanghai — pengecas 5C, jarak CLTC 625-725 km, motor tunggal 296 PS/450 NM

    Penyandar kerusi belakang juga mempunyai 12 larasan daripada 27-38.4 darjah, manakala lampu ambient kini ada ritma dan pantulan. Material untuk pelapik bumbung juga kini menggunakan suede, panel pintu kulit, papan pemuka dengan kemasan kayu serta permukaan lembut di kawasan pengecas tanpa wayar.

    Seperti X9 facelift, G6 facelift ini juga dilengkapi sistem pemanduan pintar yang dikuasakan oleh cip Turing AI oleh Xpeng sendiri. Perantinya terdiri daripada cip Nvidia Drive Orin dengan kemampuan perkomputeran keseluruhan 508 TOPS.

     
     
  • Isuzu Malaysia lantik Tomoyuki Yamaguchi sebagai CEO baharu bagi menggantikan Shunsuke Okazoe

    Isuzu Malaysia lantik Tomoyuki Yamaguchi sebagai CEO baharu bagi  menggantikan Shunsuke Okazoe

    Isuzu Malaysia telah mengumumkan pelantikan Tomoyuki Yamaguchi sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) baharu syarikat berkenaan berkuatkuasa sejak 24 April 2025. Yamaguchi menggantikan CEO sebelum ini, Shunsuke Okazoe, yang kembali ke Jepun selepas dilantik sebagai timbalan presiden bagi jabatan jualan di Isuzu Motors Limited.

    Yamaguchi menyertai Isuzu Motors pada tahun 1997, memulakan tugas di jabatan operasi antarabangsa untuk pasaran termasuk Rusia dan Ukraine, serta pelbagai pasaran Asia Barat Daya sebelum ditugaskan ke Isuzu Motors Afrika Selatan untuk mengembangkan perniagaan kenderaan komersial jenama itu di pasaran negara tersebut.

    “Isuzu Malaysia kekal sebagai model kecemerlangan dalam perspektif global. Operasi di sini telah mewujudkan pangkalan pelanggan setia yang mengiktiraf kekuatan dan keupayaan kenderaan Isuzu. Ini petanda baik untuk penubuhan pelanggan sepanjang hayat jenama Isuzu.

    “Kami perlu terus berusaha untuk menjadikan setiap pelanggan mendapat pengalaman yang positif. Saya berharap dapat bekerjasama dengan pasukan dan pengedar kami untuk membawa kepuasan pelanggan ke peringkat seterusnya,” kata Yamaguchi.

    Beliau turut menyasar untuk meluaskan skop perkhidmatan dalaman yang disediakan oleh pengedar Isuzu untuk memastikan perkhidmatan berkualiti bagi pelanggan jenama itu, serta mempercepatkan ketersediaan alat ganti melalui proses pergudangan yang dipertingkatkan.

     
     
  • Toyota GR Yaris 8AT 2025 kini tiba di Malaysia — 1.6L turbo, 300 PS/400 Nm AWD; harga jual RM325,600

    Toyota GR Yaris 8AT 2025 kini tiba di Malaysia — 1.6L turbo, 300 PS/400 Nm AWD; harga jual RM325,600

    UMW Toyota Motor (UMWT) telah mengumumkan ketibaan model Toyota GR Yaris 2025 di Malaysia, bersekali dengan ketibaan kereta sport dua-tempat duduk GR Supra Track Edition.

    Dijual dengan harga RM325,600, GR Yaris dengan Gazoo Racing Direct Automatic Transmission (DAT) lapan-kelajuan ini dijual bersekali dengan versi manual enam-kelajuan yang ditawarkan dengan harga RM315,000 — model automatik berkenaan RM10,000 lebih mahal berbanding versi manual.

    Dilengkapi dengan enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga-silinder sebaris turbocas petrol, ia menjana kuasa yang sama bagi kedua-dua versi dengan 300 PS dan 400 Nm. Kuasa disalurkan ke semua roda melalui sistem pacuan semua roda GR-Four yang hadir bersama beberapa mod pemanduan, termasuk Gravel (nisbah agihan tork depan dan belakang 53:47) dan Track (pembolehubah berterusan antara 60:40 dan 30:70).

    GR Yaris 8AT tersebut mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 5.2 saat, dengan laju maksimum 230 km/j. Berat kering antara model automatik dan manual melibatkan perbezaan 20 kg (versi 8AT lebih berat berbanding 6MT). Selebihnya semua sama antara keduanya.

    Perisian bagi GR Yaris automatik telah dioptimumkan untuk “pemanduan mengujakan”, jelas Toyota. Perisian transmisi akan meninjau input pemandu ke atas pendikit dan brek, dan akan menjangkakan titik penukaran gear optimal seperti yang dilakukan oleh pemandu profesional. Khusus untuk versi 8AT adalah cecair penyejuk transmisi automatik.

    Sebagai model facelift, pembaharuan yang dilakukan antara keduanya juga sama. Kini ada tiga bolt yang mengikat setiap penyerap hentak ke badan kereta (sebelum ini hanya satu bolt) bagi mengurangkan jajaran tersasar ketika membelok. Titik kimpalan juga ditambah sebanyak 13% dan penggunaan pelekat struktural juga ditingkatkan sebanyak 24% untuk memperkukuhkan badan kenderaan, dan menyumbang kepada kendalian dan keselesaan yang lebih baik.

    Toyota GR Yaris 8AT 2025 kini tiba di Malaysia — 1.6L turbo, 300 PS/400 Nm AWD; harga jual RM325,600

    Dari segi penampilan, model facelift GR Yaris ini diberikan rekaan bagi bagi bampar depannya. Di belakang, kamera undur dan lampu kabus telah disekalikan ke dalam kawasan lampu belakang, dialih dari bahagian bawah bampar untuk mengurangkan kerosakan. Lampu brek ketiga juga dialih dari spoiler belakang ke bahagian lebih rendah agark lebih mudah dilihat, serta spoiler dengan rekaan baru.

    Bahagian kabin antara kedua-dua bersi juga sama. Kerusi pemandu kini direndahkan sebanyak 25 mm, begitu juga dengan kedudukan stereng. Orientasi penukaran gear manual juga diubah (tarik untuk naikkan kedudukan gear), dan ada juga paddle shift di stereng.

    Untuk memberi tumpuan kepada pemandu, bucu atas panel instrumen 50 mm lebih rendah, cermin pandang belakang yang dialih ke kedudukan baru serta panel kawalan disudutkan 15 darjah ke arah pemandu. Ciri bantuan pemandu pula lengkap dengan Toyota Safety Sense (TSS3), yang antaranya terdiri daripada Pre-Collision Brake Assist untuk motosikal dan Pre-Collision Brake untuk kenderaan dari arah depan.

    Toyota GR Yaris 8AT 2025 kini tiba di Malaysia — 1.6L turbo, 300 PS/400 Nm AWD; harga jual RM325,600

    Kawalan melayar radar dinamik (DRCC) kini dihubungkan ke lampu isyarat, dan berfungsi bersama dengan Deceleration Assist untuk menyokong daripada memotong dalam sitausi berbahaya, sementara pengurangan kelajuan di selekoh akan berfungsi ketika DRCC aktif.

    Akhir sekali, GR Yaris 2025 automatik datang dengan jaminan lima-tahun, tanpa had perbatuan. Dijual dengan harga RM325,600, model ini ditawarkan dalam empat pilihan warna — Platinum White Mica, Emotional Red II, Precious Metal dan Precious Black.

     
     
  • Polis beri 50% diskaun saman trafik sempena Karnival Hari Pekerja; 1 Mei 2025 di Axiata Arena Bukit Jalil

    Polis beri 50% diskaun saman trafik sempena Karnival Hari Pekerja; 1 Mei 2025 di Axiata Arena Bukit Jalil

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) bakal memberikan pengurangan bayaran saman trafik sebanyak 50% bagi kesalahan terpilih yang ditawarkan pada 1 Mei 2025 (Khamis ini). Ia adalah sempena dengan Karnival Hari Pekerja 2025 anjuran Kementerian Sumber Manusia.

    Di mana orang ramai boleh mendapatkan diskaun saman trafik terpilih itu di kaunter PDRM yang dibuka di lokasi acara iaitu di Axiata Arena, Bukit Jalil dari jam 8 pagi hingga 4 petang.

    Walau bagaimana pun, anda dinasihatkan agar membuat semakan awal melalui portal https://mybayar.rmp.gov.my dan aplikasi MyBayar PDRM bagi melancarkan proses pembayaran saman nanti.

    Seperti amalan sebelum ini, pemberian diskaun saman tersebut tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya, saman memotong di garisan kembar, saman kemalangan, saman Non Compund (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan kenderaan berat, saman ubahsuai ekzos dan saman berstatus Op Selamat tahun semasa.

    Jadi, jika anda berada lokasi yang berhampiran, jangan lupa ambil peluang ini untuk mendapatkan kadar diskaun bagi saman trafik terpilih. Sila lunaskan tunggakan saman yang ada bagi mengelakkan nama disenarai hitam atau disekat untuk pembaharuan cukai jalan atau lesen memandu.

     
     
  • JPJ eBid: Siri NEG dan DFK bakal dibuka bidaan

    Jika anda sedang mencari nombor pendaftaran bagi kenderaan, ini ada siri terkini dari Negeri Sembilan dan Kelantan yang dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Negeri Sembilan, NEG dibuka bidaan mulai 2 Mei 2025. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 6 Mei. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 7 Mei 2025. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Kelantan, DFK, akan dibuka bidaan bermula 4 Mei 2025. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 8 Mei, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 9 Mei 2025.

    Disebabkan sekarang ini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran kenderaan yang diingini.

     
     
  • Ariic 318 GT dilancarkan di Malaysia – skuter 330 cc dengan brek berkembar hadapan, TFT, harga RM23k

    Ariic 318 GT dilancarkan di Malaysia – skuter 330 cc dengan brek berkembar hadapan, TFT, harga RM23k

    Pasaran Malaysia menerima satu lagi skuter hari ini apabila Ariic 318 GT dilancarkan dengan harga RM22,888 tidak termasuk insurans. Ini adalah model pertama Ariic di pasaran Malaysia dan ia kemudiannya akan disusuli beberapa lagi model berkemungkinan pada tahun hadapan. Jaminan yang diberi adalah selama dua tahun tanpa had batuan.

    Ariic 318 GT adalah sebuah skuter yang digerakkan oleh enjin satu silinder suntikan bahan api 330 cc dengan sistem penyejukan cecair, dipadankan bersama transmisi automatik CVT, mampu menghasilkan 28 hp pada 7,000 rpm dan tork 30.8 Nm pada 5,500 rpm.

    Walaupun dengan harga sebegitu, Ariic 318 GT datang dengan pelbagai kelengkapan termasuk penghadang angin boleh laras secara elektronik, meter TFT, sistem pemerhati tekanan angin tayar, semua lampu jenis LED, suis kawalan berlampu, sistem tanpa kunci serta soket pengecas USB-C dan USB-A.

    Tidak cukup dengan itu, pesaing terbaru dalam segmen skuter maxi ini juga dilengkapi kamera perakam video hadapan, brek berkembar di hadapan (260 mm), tunggal di belakang (240 mm) dan sistem ABS dual-channel. Tuil brek juga adalah jenis yang boleh dilaras. Rim datang dengan saiz 14 inci di hadapan dan 13 inci di belakang, dibalut oleh tayar CST masing-masing bersaiz 120/70 dan 150/70.

    Memegang roda ini adalah fork teleskopik di hadapan dan dua penyerap hentak dengan pelarasan pra beban di belakang. Di bawah tempat duduk 318 GT terdapat ruang yang dikatakan boleh menempatkan dua buah helmet, dan kemudiannya terdapat dua lagi poket barangan di bahagian bawah pemegang.

    Secara keseluruhannya, 318 GT mencatat berat 208 kg dan ia datang dengan tangki bahan api berkapasiti 16 liter. Tiga pilihan warna disediakan iaitu Matt Grey, Dark Grey dan Matt Black.

     
     
  • Continental umum bakal tutup kilang tayar keluarannya di Alor Setar, Kedah hujung tahun ini

    Continental umum bakal tutup kilang tayar keluarannya di Alor Setar, Kedah hujung tahun ini

    Continental telah mengumumkan bakal menghentikan operasi kilang pengeluaran tayarnya di Alor Setar, Kedah menjelang hujung tahun ini. Fasiliti pengeluaran ini mengeluarkan tayar untuk kereta penumpang, trak ringan bagi pasaran Asia Pasifik, serta tayar motosikal sejak 20 Disember 1979 dan mulai Mei 2012, kilang ini menjadi anak syarikat milik penuh Continental. Fasiliti pembuatan ini meliputi kawasan seluas kira-kira 133,000 meter persegi.

    “Seramai 950 orang tenaga kerja di fasiliti berkenaan, walau bagaimana pun keutamaan syarikat adalah untuk menyokong para pekerjanya dengan menyediakan bantuan seperti kaunseling kerjaya serta meneroka peluang pekerjaan yang berpotensi sama ada dalam Continental mahupun di luar syarikat.

    “Keputusan untuk menutup kilang tayar Continental di Alor Setar adalah hasil daripada semakan perniagaan secara terperinci yang bertujuan untuk melindungi daya saing, serta prestasi perniagaan syarikat di rantau Asia-Pasifik (APAC). Usaha ini juga dilaksanakan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan permintaan pelanggan. Syarikat juga berhasrat untuk mengoptimumkan portfolio produk tempatan dan memantau pengeluarannya,” kata Continental menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Walau bagaimana pun, syarikat ini turut berkata, Malaysia akan kekal sebagai pasaran utama bagi Continental di rantau Asia Pasifik. Malah rantau Asia Pasifik merupakan kawasan pertumbuhan strategik bagi Continental. Kilang pembuatan tayar syarikat di rantau ini terletak di Hefei (China), Rayong (Thailand), Modipuram (India), Kalutara (Sri Lanka), dan Petaling Jaya (Malaysia).

     
     
  • Jetour eVT5 versi RHD ditunjuk khas kepada media global di Shanghai – SUV EV ini bakal dijual di M’sia?

    Jetour eVT5 versi RHD ditunjuk khas kepada media global di Shanghai – SUV EV ini bakal dijual di M’sia?

    Dalam lawatan ke Auto Shanghai 2025 minggu lalu, Jetour turut mengambil kesempatan menunjukkan beberapa barisan modelnya di Hilton Shanghai yang menjadi hotel penginapan media global yang diundangnya. Selain SUV off-road T1 dan T2, Jetour turut mempamerkan SUV elektriknya eVT5 (nama yang diberikan untuk Malaysia, berbeza dengan nama bagi pasaran global disebabkan hakcipta, jadi nama asalnya seperti mana yang tertera di plat lesennya menerusi foto ini tidak terpakai di negara kita).

    Apa yang menariknya, eVT5 yang dipamerkan ini adalah versi pemanduan sebelah kanan (RHD) dan dijangkakan SUV elektrik ini juga dalam senarai model Jetour yang akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia. Setakat ini, SUV VT9 yang turut dipamerkan di lokasi sama dan juga T2 sudah sah akan dilancarkan di pasaran kita tidak lama lagi.

    Menurut Jetour, untuk pasaran globalnya, setakat ini hanya tiga negara yang memerlukan versi RHD iaitu Malaysia, Indonesia dan Afrika Selatan. Untuk pasaran Malaysia, sebelum ini Jetour sudah mengumumkan bahawa semua modelnya akan dipasang secara tempatan (CKD) seperti mana SUV Dashing yang telah dilancarkan di sini pada 9 April lalu.

    Untuk pasaran global, selain versi elektrik, ia juga ditawarkan dengan unit enjin pembakaran dalaman (ICE) dengan pilihan enjin 1.5 liter berkuasa 116 hp dan 1.5 liter turbo bersama hamburan kuasa 156 hp dan tork 230 Nm. Kedua-dua pilihan enjin ICE itu dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan.

    SUV crossover segmen-B versi ICE yang diperkenalkan pada tahun 2024 di China ini mempunyai dimensi bersaiz 4,397 mm panjang, 1,841 mm lebar, 1,654 mm tinggi dengan jarak roda 2,601 mm. Berbeza dengan versi EV, ia berukuran 4,100 mm panjang, 1,831 mm lebar, 1,653 mm tinggi, lebih kurang sama dengan saiz BYD Dolphin.

    Bagi versi elektrik tulen, ia dilengkapi dengan elektrik yang dipasang di hadapan dengan kuasa 164 hp dan tork 280 Nm, dan dijana oleh bateri lithium-ion berkapasiti 53.6kWh. Buat masa ini, tiada perincian mengenai mekanikalnya namun didakwa bateri tersebut mampu memberikannya jarak gerak hingga 410 km.

    Jetour eVT5 versi RHD ditunjuk khas kepada media global di Shanghai – SUV EV ini bakal dijual di M’sia?

    Melihat di hadapan mata, eVT5 yang dipamerkan ini menampilkan lampu hadapan dan lampu belakang dari unit LED sepenuhnya, roda dua-tona bersaiz 17-inci, bumbung suria saiz standard, tempat duduk balutan kulit larasan elektronik, skrin paparan 10.25-inci, panel pengecasan tanpa wayar, corong pendingin hawa untuk tempat duduk belakang dan kamera panorama 360-darjah.

    Buat masa ini, Jetour belum bersedia mendedahkan perincian penuh bagi setiap versi SUV ini sama ada bagi unit ICE mahupun elektrik tulen. Kena nantikan Jetour bersedia mendedahkan sepenuhnya spesifikasi penuh bagi model SUV crossover ini.

     
     
  • Toyota GR Supra Track Edition tiba di Malaysia – brek, suspensi dinaik taraf, 6MT atau 8AT, harga RM698k

    Toyota GR Supra Track Edition tiba di Malaysia – brek, suspensi dinaik taraf, 6MT atau 8AT, harga RM698k

    UMW Toyota Motor mengumumkan, GR Supra Track Edition kini sudah tiba di Malaysia, dengan dijual pada harga RM698,000 tidak termasuk insurans. Ia ditawarkan dengan pilihan transmisi manual enam kelajuan atau automatik lapan kelajuan.

    Melalui versi Track Edition, kereta sports ini menerima penambah baikan di bahagian casis, perisian dan juga kit badan, tetapi enjinnya masih lagi sama seperti Supra A90 biasa, iaitu unit petrol enam silinder 3.0 liter turbo berkuasa 388 PS dari 5,800 ke 6,500 rpm dan tork 500 Nm dari 1,800 ke 5,000 rpm. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 4.1 saat untuk model manual dan 4.3 saat untuk automatik.

    Bahagian suspensi ditambah baik dengan penggunaan unit adaptif AVS, demi memberikan lebih cengkaman, manakala sistem stereng kuasa elektrik dan limited slip differential ditala semula untuk memberikan maklum balas yang lebih tepat serta stabiliti lebih baik apabila melalui selekoh dalam kelajuan tinggi.

    Membantu ciri aerodinamik model Track Edition ini adalah penambahan beberapa panel termasuk berhampiran roda hadapan dan bampar, sementara di bahagian belakang ia mendapat spoiler rendah yang diperbuat daripada gentian karbon.

    Untuk bahagian brek, cakera hadapan dijadikan 26 mm lebih besar, secara penuh berdiameter 374 mm dan dipadankan bersama angkup Brembo empat piston berwarna merah dengan logo GR. Menjadikan casis lebih tegap adalah stabiliser bar serta getah yang lebih keras, manakala control arm (juga diperkuat) disediakan dengan pelarasan camber negatif yang lebih.

    Rim masih menggunakan unit 19 inci sama seperti Supra 3.0 liter biasa, dan dibalut dengan tayar Michelin Pilot Super Sport bersaiz 255/35R19 di hadapan dan 275/35R19 di belakang.

    Toyota GR Supra Track Edition tiba di Malaysia – brek, suspensi dinaik taraf, 6MT atau 8AT, harga RM698k

    Pada bahagian dalam, Supra Track Edition mendapat tempat duduk yang dibalut padanan kulit dan Alcantara, bersama kontras warna merah pada bahagian seperti tali pinggang keledar, jahitan serta bahagian atas tombol gear unit manual.

    Supra Track Edition ini dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu yang termasuk Pre-collision Warning, Lane Departure Warning dengan bantuan stereng, Adaptive Cruise Control (cruise control manual pada 6MT), Blind Spot Monitoring, pemerhati tekanan angin tayar, pengesan jarak dan Autonomous Emergency Braking dengan Rear Cross Traffic Alert

    Untuk warna, enam pilihan disediakan bagi Toyota GR Supra Track Edition 2025 ini, dan setiap pembelian didatangkan dengan jaminan lima tahun tanpa had batuan.

     
     
  • Mazda EZ-60 tampil sulung di Shanghai — SUV dari Changan janaan EV dan PHEV, eksport sebagai CX-6e

    Mazda EZ-60 tampil sulung di Shanghai — SUV dari Changan janaan EV dan PHEV, eksport sebagai CX-6e

    Pertama kali muncul di Auto China Beijing 2024 sebagai rekaan konsep Arata, Mazda EZ-60 kini hadir dalam bentuk yang mula diproduksi sejak awal bulan ini, dan telah membuat penampilan di Auto Shanghai 2025.

    Mempunyai ukuran 4,850 mm panjang, 1,935 mm lebar dan 1,620 mm tinggi dengan jarak roda 2,902 mm, EZ-60 (atau untuk pasaran eksport akan dikenali sebagai CX-6e) adalah sama kategori saiz seperti Deepal S07, Tesla Model Y dan Xpeng G6. Akan ada versi elektrik dengan jarak perjalanan 600 km (CLTC), dan juga versi plug-in hybrid (PHEV) dengan lebih 1,000 km jarak (CLTC).

    Model ini antara lain menampilkan rim aloi 21-inci dengan tayar 255/40, cermin sisi kamera, pacuan roda belakang, agihan berat 50:50 (untuk PHEV; EV dengan 47:53), suspensi MacPherson strut di depan dan multi-link di belakang, serta penyerap hentak kawalan elektronik.

    Di dalam, sebuah skrin paparan gergasi bersaiz 26.45-inci 5k bersepadu tersedia. Menurut Mazda, ada juga head-up display 3D, ciri pengecaman suara dan pergerakan pintar, parkir pintar kawalan suara dari luar serta 23-pembesar suara termasuk di bahagian perehat kepala.

    EZ-60 sebelum ini dilaporkan akan mempunyai kerusi rebahan rata dengan satu sentuhan di depan, but berkapasiti 350 liter (dengan kerusi dilipat, 2,036 liter), frunk 126 liter, sembilan beg udara dan ADAS Tahap 2 yang disokong oleh lima kamera, lima radar milimeter-gelombang dan 12 sensor ultrasonic.

    Model ini dijangka dilancarkan di China pada Ogos nanti, dengan pengumuman spesifikasi yang lebih lengkap. Akan tiba ke Malaysia juga?

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025