Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Jetour eVT5 versi RHD ditunjuk khas kepada media global di Shanghai – SUV EV ini bakal dijual di M’sia?

    Jetour eVT5 versi RHD ditunjuk khas kepada media global di Shanghai – SUV EV ini bakal dijual di M’sia?

    Dalam lawatan ke Auto Shanghai 2025 minggu lalu, Jetour turut mengambil kesempatan menunjukkan beberapa barisan modelnya di Hilton Shanghai yang menjadi hotel penginapan media global yang diundangnya. Selain SUV off-road T1 dan T2, Jetour turut mempamerkan SUV elektriknya eVT5 (nama yang diberikan untuk Malaysia, berbeza dengan nama bagi pasaran global disebabkan hakcipta, jadi nama asalnya seperti mana yang tertera di plat lesennya menerusi foto ini tidak terpakai di negara kita).

    Apa yang menariknya, eVT5 yang dipamerkan ini adalah versi pemanduan sebelah kanan (RHD) dan dijangkakan SUV elektrik ini juga dalam senarai model Jetour yang akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia. Setakat ini, SUV VT9 yang turut dipamerkan di lokasi sama dan juga T2 sudah sah akan dilancarkan di pasaran kita tidak lama lagi.

    Menurut Jetour, untuk pasaran globalnya, setakat ini hanya tiga negara yang memerlukan versi RHD iaitu Malaysia, Indonesia dan Afrika Selatan. Untuk pasaran Malaysia, sebelum ini Jetour sudah mengumumkan bahawa semua modelnya akan dipasang secara tempatan (CKD) seperti mana SUV Dashing yang telah dilancarkan di sini pada 9 April lalu.

    Untuk pasaran global, selain versi elektrik, ia juga ditawarkan dengan unit enjin pembakaran dalaman (ICE) dengan pilihan enjin 1.5 liter berkuasa 116 hp dan 1.5 liter turbo bersama hamburan kuasa 156 hp dan tork 230 Nm. Kedua-dua pilihan enjin ICE itu dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan.

    SUV crossover segmen-B versi ICE yang diperkenalkan pada tahun 2024 di China ini mempunyai dimensi bersaiz 4,397 mm panjang, 1,841 mm lebar, 1,654 mm tinggi dengan jarak roda 2,601 mm. Berbeza dengan versi EV, ia berukuran 4,100 mm panjang, 1,831 mm lebar, 1,653 mm tinggi, lebih kurang sama dengan saiz BYD Dolphin.

    Bagi versi elektrik tulen, ia dilengkapi dengan elektrik yang dipasang di hadapan dengan kuasa 164 hp dan tork 280 Nm, dan dijana oleh bateri lithium-ion berkapasiti 53.6kWh. Buat masa ini, tiada perincian mengenai mekanikalnya namun didakwa bateri tersebut mampu memberikannya jarak gerak hingga 410 km.

    Jetour eVT5 versi RHD ditunjuk khas kepada media global di Shanghai – SUV EV ini bakal dijual di M’sia?

    Melihat di hadapan mata, eVT5 yang dipamerkan ini menampilkan lampu hadapan dan lampu belakang dari unit LED sepenuhnya, roda dua-tona bersaiz 17-inci, bumbung suria saiz standard, tempat duduk balutan kulit larasan elektronik, skrin paparan 10.25-inci, panel pengecasan tanpa wayar, corong pendingin hawa untuk tempat duduk belakang dan kamera panorama 360-darjah.

    Buat masa ini, Jetour belum bersedia mendedahkan perincian penuh bagi setiap versi SUV ini sama ada bagi unit ICE mahupun elektrik tulen. Kena nantikan Jetour bersedia mendedahkan sepenuhnya spesifikasi penuh bagi model SUV crossover ini.

     
     
  • Toyota GR Supra Track Edition tiba di Malaysia – brek, suspensi dinaik taraf, 6MT atau 8AT, harga RM698k

    Toyota GR Supra Track Edition tiba di Malaysia – brek, suspensi dinaik taraf, 6MT atau 8AT, harga RM698k

    UMW Toyota Motor mengumumkan, GR Supra Track Edition kini sudah tiba di Malaysia, dengan dijual pada harga RM698,000 tidak termasuk insurans. Ia ditawarkan dengan pilihan transmisi manual enam kelajuan atau automatik lapan kelajuan.

    Melalui versi Track Edition, kereta sports ini menerima penambah baikan di bahagian casis, perisian dan juga kit badan, tetapi enjinnya masih lagi sama seperti Supra A90 biasa, iaitu unit petrol enam silinder 3.0 liter turbo berkuasa 388 PS dari 5,800 ke 6,500 rpm dan tork 500 Nm dari 1,800 ke 5,000 rpm. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 4.1 saat untuk model manual dan 4.3 saat untuk automatik.

    Bahagian suspensi ditambah baik dengan penggunaan unit adaptif AVS, demi memberikan lebih cengkaman, manakala sistem stereng kuasa elektrik dan limited slip differential ditala semula untuk memberikan maklum balas yang lebih tepat serta stabiliti lebih baik apabila melalui selekoh dalam kelajuan tinggi.

    Membantu ciri aerodinamik model Track Edition ini adalah penambahan beberapa panel termasuk berhampiran roda hadapan dan bampar, sementara di bahagian belakang ia mendapat spoiler rendah yang diperbuat daripada gentian karbon.

    Untuk bahagian brek, cakera hadapan dijadikan 26 mm lebih besar, secara penuh berdiameter 374 mm dan dipadankan bersama angkup Brembo empat piston berwarna merah dengan logo GR. Menjadikan casis lebih tegap adalah stabiliser bar serta getah yang lebih keras, manakala control arm (juga diperkuat) disediakan dengan pelarasan camber negatif yang lebih.

    Rim masih menggunakan unit 19 inci sama seperti Supra 3.0 liter biasa, dan dibalut dengan tayar Michelin Pilot Super Sport bersaiz 255/35R19 di hadapan dan 275/35R19 di belakang.

    Toyota GR Supra Track Edition tiba di Malaysia – brek, suspensi dinaik taraf, 6MT atau 8AT, harga RM698k

    Pada bahagian dalam, Supra Track Edition mendapat tempat duduk yang dibalut padanan kulit dan Alcantara, bersama kontras warna merah pada bahagian seperti tali pinggang keledar, jahitan serta bahagian atas tombol gear unit manual.

    Supra Track Edition ini dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu yang termasuk Pre-collision Warning, Lane Departure Warning dengan bantuan stereng, Adaptive Cruise Control (cruise control manual pada 6MT), Blind Spot Monitoring, pemerhati tekanan angin tayar, pengesan jarak dan Autonomous Emergency Braking dengan Rear Cross Traffic Alert

    Untuk warna, enam pilihan disediakan bagi Toyota GR Supra Track Edition 2025 ini, dan setiap pembelian didatangkan dengan jaminan lima tahun tanpa had batuan.

     
     
  • Mazda EZ-60 tampil sulung di Shanghai — SUV dari Changan janaan EV dan PHEV, eksport sebagai CX-6e

    Mazda EZ-60 tampil sulung di Shanghai — SUV dari Changan janaan EV dan PHEV, eksport sebagai CX-6e

    Pertama kali muncul di Auto China Beijing 2024 sebagai rekaan konsep Arata, Mazda EZ-60 kini hadir dalam bentuk yang mula diproduksi sejak awal bulan ini, dan telah membuat penampilan di Auto Shanghai 2025.

    Mempunyai ukuran 4,850 mm panjang, 1,935 mm lebar dan 1,620 mm tinggi dengan jarak roda 2,902 mm, EZ-60 (atau untuk pasaran eksport akan dikenali sebagai CX-6e) adalah sama kategori saiz seperti Deepal S07, Tesla Model Y dan Xpeng G6. Akan ada versi elektrik dengan jarak perjalanan 600 km (CLTC), dan juga versi plug-in hybrid (PHEV) dengan lebih 1,000 km jarak (CLTC).

    Model ini antara lain menampilkan rim aloi 21-inci dengan tayar 255/40, cermin sisi kamera, pacuan roda belakang, agihan berat 50:50 (untuk PHEV; EV dengan 47:53), suspensi MacPherson strut di depan dan multi-link di belakang, serta penyerap hentak kawalan elektronik.

    Di dalam, sebuah skrin paparan gergasi bersaiz 26.45-inci 5k bersepadu tersedia. Menurut Mazda, ada juga head-up display 3D, ciri pengecaman suara dan pergerakan pintar, parkir pintar kawalan suara dari luar serta 23-pembesar suara termasuk di bahagian perehat kepala.

    EZ-60 sebelum ini dilaporkan akan mempunyai kerusi rebahan rata dengan satu sentuhan di depan, but berkapasiti 350 liter (dengan kerusi dilipat, 2,036 liter), frunk 126 liter, sembilan beg udara dan ADAS Tahap 2 yang disokong oleh lima kamera, lima radar milimeter-gelombang dan 12 sensor ultrasonic.

    Model ini dijangka dilancarkan di China pada Ogos nanti, dengan pengumuman spesifikasi yang lebih lengkap. Akan tiba ke Malaysia juga?

     
     
  • Nissan Frontier Pro diperkenal di Shanghai – trak pikap PHEV dengan enjin 1.5T, kuasa 408 PS, 800 Nm

    Nissan Frontier Pro diperkenal di Shanghai – trak pikap PHEV dengan enjin 1.5T, kuasa 408 PS, 800 Nm

    Apa yang anda lihat dalam gambar ini adalah Nissan Frontier Pro, satu produk hasil kerjasama Zhengzhou-Nissan yang akan dijual hujung tahun ini di China, diikuti pasaran lain yang akan diberitahu kemudian. Ia bukan sahaja plug-in hybrid (PHEV) Nissan, tetapi juga adalah trak pikap hibrid pertama jenama Jepun itu.

    Nissan memanggil penggayaan trak ini sebagai “Rugged Tech”, dengan pereka dari Shanghai yang membangunkannya dikatakan mendapat inspirasi daripada trak Nissan D21 Hardbody tahun 80-an yang mempunyai tiga lubang angin di di hadapan bonetnya, dan digambarkan semula pada trak baru ini dengan lampu DRL.

    Perincian lain yang boleh dilihat adalah seperti logo Nissan yang menyala, jalur lampu melintang di belakang yang menyambungkan lampu kiri dan kanan, rim 18 inci dibalut tayar 265/65, suspensi belakang jenis five-link serta sistem AWD pintar.

    Penggerak PHEV pada trak ini terdiri daripada enjin empat silinder 1.5 liter turbo bersama motor elektrik yang disambungkan kepada transmisi. Secara keseluruhannya ia mampu menghasilkan kuasa lebih 408 PS dan tork 800 Nm, sementara jarak gerak elektrik pula disasarkan sekitar 135 km mengikut standard NEDC. Turut disediakan adalah pengunci differential belakang elektromekanikal serta empat mod pemanduan.

    Kabinnya nampak ringkas, dengan terdapat panel instrumen digital 10 inci di belakang stereng, skrin sesentuh 14.6 inci di tengah serta butang kawalan di stereng. Tombol gear dan pemilih mod berada di bahagian bawah konsol tengah, sementara kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk bumbung panoramik, penutup bahagian barangan elektrik serta tempat duduk hadapan dengan fungsi pemanas, liang udara dan mengurut.

    GALERI: Nissan Frontier Pro di Shanghai Motor Show 2025

    GALERI: Gambar rasmi Nissan Frontier Pro

     
     
  • Rapid KL On-Demand beroperasi di 7 zon bagi stesen KTM Komuter, KLIA Transit terpilih mulai 30 April 2025

    Rapid KL On-Demand beroperasi di 7 zon bagi stesen KTM Komuter, KLIA Transit terpilih mulai 30 April 2025

    Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) selaku pengendali perkhidmatan bas Rapid KL, bas perantara MRT/LRT dan Rapid KL On-Demand telah mengumumkan akan menyokong kesalinghubungan dengan perkhidmatan KTM Komuter dan KLIA Transit bermula 30 April 2025.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, terdapat tujuh zon yang akan bermula operasi pada tarikh berkenaan iaitu KTM Kajang-Jalan Reko, KTM UKM-UKM, Bandar Tasik Kesuma-Bandar Rinching, KTM Bangi-Bandar Bukit Mahkota, yang masing-masing menyediakan tiga buah van dan pengguna boleh menempah tempat duduk menerusi aplikasi Mobi.

    Zon lain yang turut terlibat ialah MRT 16 Sierra-Taman D’Alpinia dan LRT Putra Heights-Rimbayu/Bandar Saujana Putra, yang masing-masing menyediakan dua buah van, serta empat buah van untuk Stesen Salak Tinggi KLIA Transit-Kota Warisan. Untuk zon ini, para penumpang boleh menempah tempat duduk menerusi aplikasi Kummute.

    Rapid Bus berkata, zon baharu ini merupakan kesalinghubungan pertama yang memberikan manfaat kepada para pengguna KTM Komuter dan KLIA Transit khususnya dari sekitar Kajang, Bangi dan Salak Tinggi untuk menyambung perjalanan mereka ke destinasi seterusnya.

    Rapid KL On-Demand beroperasi di 7 zon bagi stesen KTM Komuter, KLIA Transit terpilih mulai 30 April 2025

    “Kali ini sambungan perjalanan bagi perkhidmatan Rapid KL ON-Demand yang bakal dilancarkan Rabu ini (30 April) akan memberikan kemudahan kepada para pengguna yang menggunakan perkhidmatan awam selain dari rangkaian perkhidmatan bas dan tren dari Rapid KL. Ini adalah satu inisiatif bagi memberikan pengalaman penumpang dari segi perancangan perjalanan serta capaian batuan pertama dan akhir yang lebih efisien,” kata Pemangku CEO Rapid Bus, Ku Jamil Zakaria.

    Sehingga bulan Mac 2025, perkhidmatan ini telah beroperasi di 37 buah zon sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang untuk memberikan capaian perkhidmatan kepada para pengguna dan dan memberi manfaat kepada penduduk di kawasan sekitar, terutama sekali di perumahan yang tiada capaian perkhidmatan bas. Sehingga 17 April 2025, purata jumlah penumpang harian tertinggi telah mencecah 7,442 orang

    Menawarkan jaminan tempat duduk yang boleh ditempah setiap hari dari jam 6 pagi sehingga 11.30 malam, dengan tambang promosi RM1.00 untuk setiap perjalanan. Pengguna boleh membuat pembayaran menggunakan Kad Touch ‘n Go, kad debit atau kredit, kad Konsesi MyRapid, pas Perjalanan OKU Smile dan pas Perjalanan Tanpa Had (My50, MyCity & Pas Famili).

     
     
  • Zeekr 009 Collector’s Edition di Shanghai — MPV EV mewah empat-tempat duduk dengan saduran emas

    Zeekr 009 Collector’s Edition di Shanghai — MPV EV mewah empat-tempat duduk dengan saduran emas

    Antara model yang turut membuat penampilan sulung di Auto Shanghai 2025 ialah Zeekr 009 Collector’s Edition, yang merupakan versi lebih mewah bagi MPV bateri-elektrik yang turut ada dijual di Malaysia ini.

    Menggunakan model asas Zeekr 009 Grand dan menampilkan empat-tempat duduk (penumpang belakang boleh menikmati ruang luas yang tersedia), paling membezakan versi 009 Grand Collector’s Edition ini adalah penggunaan kemasan dan perincian saduran emas 24-karat — di bahagian seperti lencana jenamanya, dengan keseluruhannya melibatkan penggunaan tiga gram emas. Ini kemudiannya diserikan dengan kemasan yang dicat watna sama — bahagian garis bahu, bampar depan dan belakang, skirting sisi, tiang C dan kemasan rim.

    Zeekr 009 Collector’s Edition di Shanghai — MPV EV mewah empat-tempat duduk dengan saduran emas

    Bahagian dalam juga menerima kemasan warna emas yang sama menggantikan bahagian krom yang ada pada 009 Grand: tali keledar, monogram Zeekr di kedua-dua sisi TV 43-inci yang ada, serta karpet pula diperbuat daripada bahan wool dari alpaka Andean.

    Turut tersedia ialah tablet lapan-inci di belakang, meja boleh lipat kemasan kulit, suis kristal, peti sejuk 18-liter, cermin pandang belakang dan sisi elektrokromic, 31-pembesar suara, sistem audio Yamaha 3,000 watt dan mod privasi dengan sekali sentuh untuk gelapkan kaca belakang dan menaikkan pembahagi antara ruang penumpang depan dan belakang.

    Zeekr 009 Collector’s Edition di Shanghai — MPV EV mewah empat-tempat duduk dengan saduran emas

    Dari segi janaan kuasa, 009 Grand Collector’s Edition menggunakan sistem yang sama dengan 009 Grand: pacuan semua roda dengan dua motor dengan janaan 789 PS dan 810 Nm, memecut 0-100 km/j dalam masa 3.9 saat dan mencapai laju maksimum 230 km/j.

    MPV mewah ini menggunakan bateri 108 kWh yang menyediakan jarak 702 km (CLTC, atau sekitar 500 km WLTP). Model dengan bateri 116 kWh bagi 009 Grand di Malaysia memberikan 582 km WLTP.

    Untuk pengecasan, 009 Grand menyokong pengecasan 5C (untuk pelbagai kapasiti bateri). Ini bermakna, kapasiti pengecasan pantas DC-nya melebihi 500 kW. Di China, Zeekr 009 Grand Collector’s Edition ini dijual dengan harga 899,000 yuan (RM539,459).

     
     
  • Mitsubishi Motors buka cawangan pusat 3S ke-19 di Lembah Klang – Kajang sebagai lokasi terbaharu

    Mitsubishi Motors buka cawangan pusat 3S ke-19 di Lembah Klang – Kajang sebagai lokasi terbaharu

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah melancarkan pusat 3S baharunya yang berlokasi di Kajang, Selangor. Merupakan pusat 3S ke-19 di Lembah Klang, dan ia dikendalikan oleh wakil pengedar sahnya, Millennium Autohaus Sdn Bhd. Ini merupakan cawangan kedua yang dikendalikan oleh Millennium Autohaus selepas pelancaran pusat 3S kendaliannya di Kota Damansara pada September 2021.

    “Kami berbesar hati untuk mengukuhkan perkongsian kami dengan Millennium Autohaus melalui pembukaan cawangan baharu Mitsubishi Motors ini di Kajang. Pelancaran bilik pameran ini mencerminkan komitmen bersama kami untuk menyediakan perkhidmatan pelanggan yang luar biasa dan mengembangkan perkhidmatan Mitsubishi merentasi Lembah Klang,” kata Shinya Ikeda, CEO Mitsubishi Motors Malaysia.

    Terletak di Lot 1872A, Jalan Semenyih, Kajang, pusat 3S ini memiliki fasiliti berkeluasan 9,600 kaki persegi yang menyediakan perkhidmatan jualan termasuk mempamerkan barisan model semasa Mitsubishi iaitu trak pikap Triton dan Xpander serta turut memberikan perkhidmatan selepas jualan bagi meningkatkan pengalaman pemilikan para pelanggan.

     
     
  • Tren ETS generasi ketiga bakal beroperasi Ogos ini

    Tren ETS generasi ketiga bakal beroperasi Ogos ini

    Dua set pertama bagi generasi ketiga Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS3) telah pun tiba di Malaysia dan sudah selesai proses pemasangan, menurut laporan Bernama.

    Tren ETS3 baharu jenis Electric Multiple Unit (EMU) ini dijangka akan digunakan bagi laluan selatan iaitu ke Johor Baharu Sentral, kini sedang menjalani ujian teknikal, dan sekiranya semuanya berjalan lancar, ia akan mula beroperasi pada Ogos ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

    “Selain dua set pertama ini, ada baki lapan set tren yang sedang dipasang secara berperingkat di kilang pemasangan China Railway Rolling Stock Corporation (CRRC) di Batu Gajah, Perak.

    “Kesemua 10 set ini dijangka akan siap dan beroperasi sepenuhnya menjelang awal tahun hadapan,” katanya sambil menambah lebih 85% daripada tenaga kerja di kilang pemasangan CRRC itu adalah warga Malaysia, sekaligus mencerminkan potensi besar dalam pemindahan pengetahuan dan kepakaran kepada bakat tempatan.

    “Komposisi tenaga kerja yang tinggi ini bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan industri rel negara, tetapi juga meletakkan Malaysia di landasan kukuh untuk menjadi hab kejuruteraan rel serantau pada masa hadapan,” katanya.

    Buat masa ini, ETS menggunakan set kereta api Kelas 91 (gen pertama, Hyundai Rotem-Mitsubishi Electric) dan Kelas 93 (gen kedua, CRRC Zhuzhou). Dan menurut Railway Gazette International, kereta api generasi ketiga akan diberi digelar Kelas 94.

     
     
  • Jetour VT9 bakal dilancarkan di M’sia tidak lama lagi – SUV 7-tempat duduk, 1.5T, DCT 6-kelajuan, 2 varian?

    Jetour VT9 bakal dilancarkan di M’sia tidak lama lagi – SUV 7-tempat duduk, 1.5T, DCT 6-kelajuan, 2 varian?

    Jetour Malaysia telah mengesahkan bakal melancarkan satu lagi modelnya untuk pasaran tempatan, iaitu Jetour VT9 tidak lama lagi. SUV tujuh-tempat duduk segmen-D ini dijangka mampu memberikan pesaingan sengit buat Proton X90 dan Chery Tiggo 8 Pro di pasaran tempatan.

    Pernah dipertontonkan di Malaysia Autoshow 2024, VT9 ini bersaiz 4,724 mm panjang, 1,900 mm lebar dan 1,720 mm tinggi, dengan jarak roda 2,720 mm dan jarak ground clearance cecah 144 mm. Ia diberikan enjin yang sama dengan Chery Omoda 5 iaitu 1.5 liter pengecas turbo empat-silinder dengan kuasa 156 PS dan tork 230 Nm dan digandingkan bersama transmisi automatik klac berkembar enam-kelajuan.

    Jetour VT9 yang dipertontonkan di persidangan Jetour Together For Future di Hilton Shanghai baru-baru ini

    Versi pemanduan sebelah kanan VT9 ini juga dipamerkan secara eksklusif dalam persidangan global Jetour Together For Future di Hilton Shanghai baru-baru ini, ditampilkan dengan kemasan krom sepenuhnya pada bahagian keliling tingkap, lampu belakang lebar sepenuhnya, dua pasang paip ekzos berkembar (palsu), sedikit kemadan merah pada bahagian luaran, rel bumbung, dan aloi dua-tona 19-inci. Untuk dalamnya, ia diberikan panel widescreen berkembar 10.25-inci, tempat duduk pemandu larasan kuasa enam-cara, Apple CarPlay/Android Auto, pengecas tanpa wayar 50-wat, empat pembesar suara, kamera 360-darjah dan juga tailgate elektronik.

    Buat masa sekarang ini, belum dipastikan perincian yang bakal diberikan untuk model pasaran Malaysia. Adakah kita juga bakal menerima dua varian iaitu Prime dan Signature, dengan model spesifikasi penuh menerima ciri tambahan termasuk bumbung suria panorami, tempat duduk pemandu dengan fungsi memori, enam beg udara, pemantauan titik buta, bantuan kekal lorong, kepekaan trafik lintasan belakang dan amaran membuka pintu, sementara Prime menerima empat beg udara dan AEB.

    Harga yang bakal ditawarkan untuk pasaran Malaysia juga masih tersimpul rahsia, kena nantikan pelancarannya tidak lama lagi, kebarangkalian berlangsung di Malaysia Autoshow 2025 yang akan dianjurkan pada awal bulan hadapan. Seperti SUV Jetour Dashing yang dilancarkan di sini pada 9 April lalu, Jetour telah mengesahkan kesemua modelnya yang ditawarkan di Malaysia akan diproduksi secara tempatan (CKD), ini termasuk juga dengan SUV off-road Jetour T2 yang juga akan dilancarkan di pasaran kita tidak lama lagi.

     
     
  • Chery perbanyak sub-jenama, tumpu PHEV, perkuat pasaran RHD, sasar jualan tahunan 1 juta unit

    Chery perbanyak sub-jenama, tumpu PHEV, perkuat pasaran RHD, sasar jualan tahunan 1 juta unit

    Tahun lalu pembuat automotif dari China, Chery telahpun mencapai jualan tahunan global mencecah 640,000 unit kenderaan. Sudah tentu angka berkenaan masih tidak mencukupi untuk Chery, di mana ketika berlangsungnya Auto Shanghai 2025 minggu ini, jenama itu telah mengumumkan beberapa strategi bagi mencapai jualan tahunan global mencecah 1 juta unit dalam masa dua tahun lagi.

    Antara yang digariskan dalam strategi berkenaan adalah memperbanyakkan sub-jenama bagi membolehkan kenderaan yang dikeluarkan menepati lebih banyak citarasa pelanggan. Dalam minggu ini sahaja beberapa lagi jenama Chery telah diperkenalkan pada peringkat global antaranya jenama trap pikap Himla, jenama Lepas dengan gaya tersendiri, dan juga iCar/iCaur yang menghasilkan kenderaan-kenderaan gaya hidup.

    Selain itu, Chery turut memperkenalkan teknologi hibrid yang mempunyai capaian jualan yang lebih luas dari teknologi kenderaan elektrik (EV). Teknologi baharu yang diletakkan di bawah nama Chery Super Hybrid (CSH) ini menawarkan unit rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV) dan hibrid (HEV), menampilkan barisan enjin baharu serta kotak gear khas hibrid (DHT) yang mengintegrasikan dua unit motor elektrik berkuasa tinggi.

    Beberapa model dengan sistem CSH berkenaan telah didedahkan di Auto Shanghai 2025, antaranya Chery Tiggo 7 CSH, Tiggo 8 CSH dan Tiggo 9 CSH. Malah sebelum berlangsungnya Auto Shanghai 2025, Chery turut telah mengendalikan sesi pemanduan sejauh 1,400 km dari Shanxia ke Shanghai yang disertai beberapa media antarabangsa termasuk Malaysia, di mana unit rangkaian kuasa CSH yang diletakkan pada Tiggo 9 dan sedan Arizzo 8 tersebut boleh menghabiskan jarak berkenaan dengan hanya satu tangki petrol.

    Chery turut mengumumkan bahawa jualannya kini sedang bertumbuh secara signifikant bukan sahaja di Eropah, malah untuk pasaran-pasaran pemandua sebelah kanan. Pencapaian ini dipacu oleh operasi pemasangan tempatan pada pasaran-pasaran tersebut termasuk Eropah.

    Malah Chery kini turut telah mempunyai lapan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) global, dan dengan falsafah “Pada satu tempat, Untuk satu tempat”, Chery kini dapat menyajikan kenderaan dengan spesifikasi yang diinginkan pada satu-satu pasaran bagi memperkasakan strategi globalisasinya.

     
     
  • Chery Tiggo Cross HEV bakal tampil di Malaysia bulan depan; guna sistem hibrid penuh CSH baharu; 310 Nm!

    Chery Tiggo Cross HEV bakal tampil di Malaysia bulan depan; guna sistem hibrid penuh CSH baharu; 310 Nm!

    Tahun lalu Chery Malaysia telah mengesahkan bahawa SUV segmen-A Tiggo 4 bakal sampai ke pasaran tempatan pada separa pertama tahun ini. Dan ketika kunjungan kami ke Chery Super Hybrid Exploration Tour di Ibu Pejabat Chery di Bandar Wuhu, China hari ini mendedahkan bahawa kita bakal menerima Tiggo 4 dengan unit rangkaian kuasa hibrid HEV baharu dari siri teknologi Chery Super Hybrid (CSH) yang baru sahaja dilancarkan pada peringkat global.

    Perkara ini kami sedari pada satu bahagian pameran yang menunjukkan rancangan pelancaran model baharu Chery dengan sistem CSH tersebut di peringkat antarabangsa, di mana Chery Tiggo 4 HEV ditunjuk akan dilancarkan di Malaysia pada bulan Mei 2025. Namun semakan kami terhadap wakil Chery Malaysia menyatakan bahawa Tiggo 4 HEV itu hanya akan diprebiu pada bulan hadapan dan belum lagi akan dilancarkan, dan bakal dikenali sebagai Tiggo Cross pada pasaran Malaysia.

    Chery turut ada mempamerkan Tiggo 4 HEV tersebut pada acara hari ini, di mana luaran dan dalaman SUV dengan saiz hampir seperti Perodua Ativa dan Honda WR-V tersebut sama dengan versi facelift terkini yang telah ditunjukkan pada tahun lalu. Di pasaran-pasaran tertentu, model facelift terkini ini turut dikenali sebagai Chery Tiggo Cross.

    Tiggo 4 HEV ini menerima enjin dengan kod G4G15B, di mana ia adalah enjin 1.5 liter empat silinder NA beroperasi dengan kitaran Atkinson.Enjin ini memang dibuat khas untuk dipadankan dengan sistem hibrid, dengan memberikan keberkesanan haba yang tinggi mencecah 40%, dan menghasilkan kuasa 97 hp dan tork makisma 118 Nm.

    Tidak seperti versi sebelum ini Tiggo 4 hanya datang dalam varian hibrid ringkas untuk versi lebih mesra alam pada pasaran-pasaran tertentu, unit rangkaian kuasa CSH pada Tiggo 4 HEV ini merupakan sistem hibrid penuh. Jadi enjin tadi digandingkan dengan kotak gear khas untuk sistem hibrid (DHT) dengan kod DHT150 yang menggunakan sistem CVT, atau digelar sebagai ECVT.

    Kotak gear berkenaan turut mengintegrasikan sekali dua motor elektrik dengan bekalan 201 hp dan tork maksima 310 Nm. Motor tersebut menerima kuasa dari bateri hibrid dengan kapasiti 1.83 kWj. Gandingan ini membolehkan Tiggo Cross HEV ini mencapai penggunaan bahan api serendah 5.4 L/100 km, dan mampu untuk bergerak sejauh 1,000 km untuk satu tangki petrol.

    Kami jangkakan pendedahan tersebut akan dibuat di Malaysia Autoshow 2025 bermula 9 Mei nanti.

    GALERI: Chery Tiggo Cross HEV di Chery Super Hybrid Exploration Tour, Wuhu, China

     
     
  • BYD Tai 3 di Shanghai — EV pertama Fangchengbao, 421 PS, jarak 501 km CLTC; dijual bawah Denza?

    BYD Tai 3 di Shanghai — EV pertama Fangchengbao, 421 PS, jarak 501 km CLTC; dijual bawah Denza?

    Fangchengbao Tai 3 yang baru saja dilancarkan di China turut membuat penampilan sulungnya di Auto Shanghai 2025. Ia merupakan model elektrik penuh yang pertama daripada jenama kenderaan off-road BYD, kini menyertai model 4×4 plug-in hybrid Bao.

    “Tai” adalah istilah dalam bahasa Cina yang bermaksud titanium — ini juga menjadi ilham bagi penampilannya yang nampak seperti kenderaan perisai. Aspek paling menonjol model ini ialah di bahagian fender yang terkeluar dan berlekuk dalam.

    Di depan, tersedia DRL LED jalur berkembar dengan jalur lampu imej sama di bahagian sisi, serta gril menegak yang membawa kepada bampar trapezoidal dengan perincian warna badan. Hal sama juga boleh dilihat di belakang, yang menampilkan lampu tirus, pintu belakang bukaan sisi serta kotak simpanan tersorok.

    BYD Tai 3 di Shanghai — EV pertama Fangchengbao, 421 PS, jarak 501 km CLTC; dijual bawah Denza?

    Bahagian dalam Tai 3 bagaimanapun agak konvensional, dengan elemen yang dipinjam daripada siri kenderaan Bao seperti stereng yang gemuk, tombol pemilih gear yang sasa serta tuil kristal. Konsol tengah ala jambatan pula agak unik, menempatkan lampu suluh di sebelah pemandu dan mikrofon karaoke di sebelah penumpang.

    Kelengkapan lain yang ada termasuklah skrin sentuh infotainmen 15.6-inci, penyerap hentak adaptif DiSus-C, bantuan pemanduan lebuh raya God’s Eye C serta pakej dron DJI. Turut tersedia ialah but depan dengan kapasiti 151 liter, yang boleh dibuka melalui butang di gril.

    Tai 3 adalah model paling kecil dalam barisan kenderaan Fangchengbao. Dengan ukuran 4,605 mm panjang, 1,900 mm lebar dan 1,720 mm tinggi, ia 285 mm lebih pendek, 70 mm kurang lebar dan 200 mm lebih rendah berbanding Baa 5, dengan jarak roda 2,745 mm yang 55 mm lebih pendek. Ia juga yang pertama menggunakan casis monocoque, dengan suspensi jenis MacPherson strut di depan dan five-link di belakang.

    BYD Tai 3 di Shanghai — EV pertama Fangchengbao, 421 PS, jarak 501 km CLTC; dijual bawah Denza?

    Tai 3 ini merupakan model pertama Fangchengbao yang ditawarkan dengan pacuan roda belakang, dengan motor tunggal menghasilkan 218 PS (160 kW) dan 310 Nm tork, membolehkannya memecut 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat dan mencapai laju maksimum 201 km/j.

    Model pacuan semua roda pula menerima tambahan satu lagi motor di depan dengan janaan 150 PS (110 kW) dan 200 Nm tork, memberikan output keseluruhan sistem 421 PS (310 kW) dan 510 Nm dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat. Bateri lithium iron phosphate (LFP) Blade dengan kapasiti 65.28 kWh untuk versi RWD dan 72.96 kWh untuk AWD memberikan jarak 501 km mengikut kitaran CLTC, dengan input maksimum pengecasan pantas DC 195 kW (RWD) atau 215 kW (AWD) — 30%-80% SoC dalam masa 18 minit.

    Harga bermula dari 133,800 yuan (RM80,200) bagi model RWD, hingga 153,800 yuan (RM92,200) untuk AWD. Pakej dron pula menjadikan harga mencecah 193,800 yuan (RM116,200). Seperti juga model-model Bao, Tai 3 ini mungkin akan dijual di bawah jenama Denza.

     
     
  • Nissan Elgrand generasi keempat muncul dalam teaser

    Nissan Elgrand generasi keempat muncul dalam teaser

    Gambar bayangan MPV dalam gelap yang anda boleh lihat ini sebenarnya adalah Nissan Elgrand generasi keempat, yang akan didedahkan secara penuh pada hujung tahun ini, sebelum dilancarkan untuk pasaran Jepun pada tahun hadapan.

    Anda mungkin sudah pernah melihat model konsep Hyper Tourer kan? Boleh dikatakan, Elgrand baru ini nanti adalah versi MPV tersebut, tetapi disesuaikan untuk model produksi, dengan rekaan yang masih lagi futuristik. Corak kotak-kotak pada Hyper Tourer juga dilihat ada pada gril serta lampu Elgrand ini sementara bahagian belakangnya menampakkan spoiler yang bersambung dengan bentuk bumbung.

    Untuk penggerak, kita boleh menjangkakan penggunaan sistem hibrid e-Power generasi ketiga, yang terdiri daripada enjin tiga silinder turbo 1.5 liter untuk menghasilkan kuasa elektrik, seterusnya menggerakkan kenderaan tersebut.

    Nissan Elgrand generasi keempat muncul dalam teaser

    Nissan mendakwa, sistem baru ini lebih ringan, lebih senyap sehingga 5.6 dB dan lebih cekap. Penggunaan penggerak lain seperti elektrik bateri (EV) masih tidak diketahui. Selain daripada itu, kita juga boleh menjangka Elgrand ini dilengkapi ADAS ProPilot versi terkini dari jenama itu.

    Kali terakhir Malaysia menerima Elgrand secara rasmi adalah pada tahun 2014, dengan model facelift generasi ketiga yang menggunakan enjin V6 3.5 liter NA dan transmisi Xtronic CVT dijual pada harga RM388k. Mungkinkah Elgrand baru ini juga akan tiba? Sebelum ini juga Hyper Tourer Concept pernah dibawa oleh Edaran Tan Chong Motor ke KLIMS tahun lepas.

     
     
  • Volkswagen Malaysia akan CKD EV, import ke ASEAN

    Volkswagen Malaysia akan CKD EV, import ke ASEAN

    Semasa majlis pemulaan pemasangan tempatan (CKD) Audi Q7 di kilang DRB-Hicom di Pekan, Pahang semalam, pengarah urusan Volkswagen Group Malaysia Dr Susanne Lehmann mendedahkan bahawa syarikat mempunyai perancangan untuk pemasangan model hibrid dan elektrik (EV) di sini, serta mengeksportnya ke negara lain dalam ASEAN.

    “Kami sedang bekerja keras dengan sekutu dalam agensi kerajaan dan rakan kerja di ibu pejabat, dan telah bersama-sama menyiapkan portfolio produk yang termasuk eksport dan pengeluaran EV untuk tahun depan dan seterusnya. Ini (Audi Q7) adalah langkah pertama dengan MHEV (hibrid ringkas) untuk membawa lebih banyak PHEV dan kemudiannya EV pada tahun berikutnya,” kata beliau.

    Susanne tidak memberitahu secara spesifik model apa yang dimaksudkan dan negara mana yang akan menerima model ini, tetapi dalam slaid pembentangan ternampak EV ID.4 yang pernah dipertontonkan di Malaysia serta bendera Indonesia, Thailand dan Vietnam.

    “Kita bukan sahaja mensasarkan jumlah; kami mahu panjangkan dan kembangkan portfolio kami secara strategik, dan mencadangkan semua orang untuk beralih ke elektrik selangkah demi selangkah. Kita perlu latih orang ramai untuk teknologi baru demi bersiap sedia ke arah elektrifikasi,” tambah Susanne.

    Model ID sekarang sudah ada banyak, seperti 3, 4, 5, 7, 6 (hanya di China), Buzz dan GTX, sementara pada masa akan datang pula akan diperkenalkan pula model 1, 2 dan 8. Antara semua ini anda rasa mana yang akan dipilih untuk Malaysia?

     
     
  • Jetour G700 di Auto Shanghai 2025 – SUV off-road mewah; 2.0L AWD turbo dwi-motor, 750hp/795Nm

    Jetour G700 di Auto Shanghai 2025 – SUV off-road mewah; 2.0L AWD turbo dwi-motor, 750hp/795Nm

    Jetour Auto International mengambil kesempatan dalam penganjuran Auto Shanghai 2025 yang mula berlangsung hari ini dengan mendedahkan SUV off-road mewah keluarannya, G700. Selain model ini, Jetour turut mempamerkan model SUV off-road keluarannya yang lain iaitu T1 dan T2 dalam acara yang sama.

    Jetour G700 ini disasarkan bakal mula dijual di China tahun ini, ia menampilkan platform Gimbal Off-road Chassis (GAIA) dengan gabungan penjana kuasa 2.0 liter pengecas turbo dan dua motor elektrik, yang mampu menghasilkan output hingga 760 hp dan tork 795 Nm menerusi sistem pacuan semua roda (4WD). ia dipadankan dengan transmisi DHT hybrid dua-kelajuan yang dikatakan pertama kali diperkenalkan di dunia.

    Berkenaan kapasiti baterinya dengan binaan 800-voltan, ia juga didakwa mampu memberikan jarak gerak antara 1,400 hingga 1,500 km, dengan 150 km daripadanya menggunakan kuasa elektrik semata-mata. Status pengecasannya dari 20% hingga 80% mengambil masa sekitar 10 minit dengan unit pengecas pantas DC.

    Jetour G700 di Auto Shanghai 2025 – SUV off-road mewah; 2.0L AWD turbo dwi-motor, 750hp/795Nm

    Satu lagi penjana kuasa yang bakal ditawarkan ialah unit 2.0 liter empat-silinder yang juga berfungsi untuk mengecas empat motor elektrik. Setiap satu motor elektrik membekalkan kuasa higga 408 hp. Sama seperti versi PHEV, penjana kuasa ini juga menggunakan senibina 800-voltan yang sama.

    Dibandingkan dengan model pesaingnya, Mercedes-AMG G63 diberikan enjin 4.0 liter turbo-berkembar V8 dengan kuasa 585 hp dan tork 850 Nm.

    SUV off-road mewah ini berukuran 5.1 meter panjang dan mampu membawa muatan hingga 3,500 kg, ketinggian kendaliannya boleh dilaras hingga 150 mm, dengan maksimum jarak kelegaan tanah (ground clearance) cecah 350 mm. G700 ini juga didakwa memiliki keupayaan melenjan laluan off-road dengan lebih meyakinkan.

    Ia mampu merentasi jarak kedalaman hingga 900 mm, berbanding G63 yang hanya boleh berbuat demikian dengan kedalaman 700 mm. Menurut Jetour lagi, G700 ini juga dipadankan suspensi aktif dengan ‘sifar olengan’ (ketika merentasi selekoh) dan berhenti mendadak sewaktu dibrek.

    Bagi imej luarannya, G700 turut mengetengahkan rekaan berkotak, sama seperti kebanyakan SUV setara dengannya yang berada di kebanyakan pasaran ASEAN. Ia menjadikkan imejnya menarik perhatian dan menyerlah seperti yang ditonjolkan oleh Mercedes-Benz G-Class dan Land Rover Defender. Untuk bahagian hadapan, gril kemasan hitam pekat hingga bampar bawah cukup besar menyerlahkan lagi sifat garangnya. Lencana ‘JT’ terletak di bahagian tengah hujung hud, dan lampu utama LED dengan kemasan gelap turut menjadi pilihan. Padanan aksesori hitam dengan warna badan pada bahagian luaran memberikan kontras yang menarik untuk G700 ini.

    Di dalamnya, G700 diberikan enam tempat duduk dengan konfigurasi 2+2+2, bersama material kulit premium suede warna beige dan kontras coklat pada segenap ruang kabin. Konsol tengahnya juga besar, terletaknya butang kawalan termasuk pemilih gear yang juga besar. Selain itu, ciri kelengkapan lain yang turut ditampilkan termasuklah skrin infotainmen yang besar, alas meja, perehat kaki dan tempat duduk barisan ketiga yang boleh dibaringkan.

    Selain yang ditunjukkan dalam Auto Shanghai 2025 ini, kita masih belum mengetahui perincian penuh yang bakal ditampilkan pada Jetour G700, ini kerana ia masih di bawah fasa pre-produksi. Dengar cerita, harganya mungkin bakal menjangkau dari 400,000 yuan (lebih kurang RM240k) hingga 1.5 juta yuan (sekitar RM900k) mengikut spesifikasi yang bakal disahkan kelak.

    Memandangkan Jetour Malaysia sudah mengesahkan T2 bakal dibawa masuk ke pasaran tempatan, adakah SUV off-road mewah G700 ini juga ada harapan untuk menyertai Jetour Dashing yang telah dilancarkan pada awal bulan ini?

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025