Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • MINI EV generasi seterusnya mungkin pacuan roda belakang dengan platform 800V dari BMW Neue Klasse

    MINI EV generasi seterusnya mungkin pacuan roda belakang dengan platform 800V dari BMW Neue Klasse

    BMW Group mengumumkan bahawa platform kenderaan elektrik (EV) generasi ke-enam (Gen6) yang sedang dibangunkan bakal dijadikan asas untuk semua segmen keluarannya. Jadi ini bermaksud platform dengan senibina elektrik 800-volt berkenaan bukan hanya digunakan pada model-model BMW, malah ia turut akan digunakan pada model-model dengan jenama MINI.

    Menurut BMW, teknologi Gen6 eDrive ini akan membolehkan pengecasan bateri menjadi 30% lebih laju dan jarak gerak 30% lebih jauh, malah bagi model-model tertentu penggunaan platform ini dapat memberikan tingkat taraf lebih besar. Teknologi eDrive Gen6 ini akan digunakan buat pertama kali pada model Neue Klasse yang akan muncul pada tahun ini.

    Buat masa sekarang model-model EV MINI iaitu Cooper SE dan Aceman SE diasaskan dari platform yang dibina bersama Great Wall Motor (GWM), di mana kedua-duanya menerima satu motor elektrik yang memacu roda hadapan.

    Manakala untuk platform yang menjadi asas kepada Neue Klasse kelak, motor elektrik utama yang dikenali sebagai electrically excited synchronous motor (EESM) akan berada pada bahagian belakang bersama transmisi dan juga unit kawalan elektronik, bagi memacu roda belakang.

    Manakala bagi varian-varian dua motor pacuan semua roda unit rangkaian kuasa Gen6 berkenaan, satu lagi motor elektrik lebih kecil (ASM) tanpa kotak gear diletakkan pada bahagian hadapan, bagi memacu roda hadapan.

    Menurut laporan Autocar, pasukan jurutera BMW Group tidak akan menghasilkan platform baharu berkenaan dalam varian di mana ESSM diletakkan pada bahagian hadapan dan ASM di bahagian belakang, kerana konfigurasi pacuan belakang adalah “lebih baik untuk dinamik”.

    Jadi adakah ini bermaksud model-model EV MINI generasi baharu kelak turut akan menampilkan konfigurasi pacuan roda belakang, berbanding DNA asal MINI sejak dari model klasik yang sememangnya memacu roda hadapan? “Kita akan lihat nanti pada masa depan,” kata ahli lembaga BMW untuk pembelian dan pembekalan, Joachim Post.

    Beliau menjelaskan model-model MINI pada masa akan datang akan “sentiasa mempunyai ciri-ciri MINI”. “Apa yang terbaik, optimum untuk pakej? Kami mahu buat satu perkara boleh dilaksanakan: keseronokan memandu semata-mata,” jelasnya lagi

     
     
  • Projek pembinaan Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK) capai 80% kemajuan, dijangka siap pada 2027

    Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Lingg mengesahkan projek pembinaan Lebuhraya Kota Bharu ke Kuala Krai (KBKK) sudah mencapai tahap kemajuan kira-kira 80% dan dijangka siap sepenuhnya pada 2027, laporan Bernama.

    Menurut beliau, Kementerian Kerja Raya (KKR) optimis KBKK dapat disiapkan mengikut tempoh ditetapkan kerana baki sekitar 20% lagi projek itu sedang diusahakan oleh kontraktor yang dilantik baru-baru ini.

    “Setakat ini, kira-kira 80% (projek KBKK) siap dibina, jadi tinggal sekitar 20% lagi, baru-baru ini kontraktor baharu sudah dilantik dan kerja-kerja akan bermula. Kita difahamkan ia akan mengambil masa juga (kerana beberapa prosedur).

    “Projek KBKK ini dijangka siap 2027, kita mengambil kira (beberapa faktor), sebab Kelantan ini selalu dilanda monsun dan sebagainya,” katanya.

    Lebuhraya sepanjang 66.88 kilometer dengan kos RM2.33 bilion itu dipecahkan kepada tujuh pakej menghubungkan bandar Kota Bharu ke Kuala Krai sebelum bersambung dengan projek Lingkaran Tengah Utama (LTU). Ia melibatkan laluan bagi Pasir Hor-Kadok, Kadok-Ketereh, Ketereh-Kok Lanas, Kok Lanas-Bukit Tiu, Bukit Tiu-Berangan Mek Nab, Berangan Mek Nab-Keroh, dan Keroh-Kuala Krai.

     
     
  • Proton serah S70 kepada Miss Asia (SE Asia) 2024

    Proton serah S70 kepada Miss Asia (SE Asia) 2024

    Proton telah menyerahkan sebuah S70 baru kepada pemenang Miss Asia (Southeast Asia) 2024, Janice Chian Yan Tong, 24 dari Ipoh, di ibupejabatnya Pusat Kecemerlangan Proton.

    Pemenang bagi rancangan yang dianjurkan oleh Asia Television Limited di Hong Kong itu telah bersaing dengan peserta lain dari Vietnam, Cambodia, Indonesia, Filipina, Thailand dan Myanmar. Menurut Proton, Janice kagum dengan rekaan S70 serta teknologi maju dan prestasinya yang meyakinkan.

    Dilancarkan pada November 2023, Proton S70 ditawarkan dalam varian Executive (RM74k), Premium (RM80k), Flagship (RM90k) dan Flagship X (RM95). Ia dijana oleh enjin 1.5 liter turbo tiga-silinder dengan kuasa 150 PS/226 Nm dan transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan.

     
     
  • JPJ guna kamera badan untuk pegawai penguatkuasa — 100 unit dahulu bagi fasa pertama tahun ini

    JPJ guna kamera badan untuk pegawai penguatkuasa — 100 unit dahulu bagi fasa pertama tahun ini

    Seperti dimaklumkan Januari lalu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mula melengkapi pegawai penguatkuasanya dengan kamera badan. Pelaksanaan awal ini melibatkan 100 unit terlebih dahulu, dan akan bermula tahun ini.

    Katanya, selain memperlengkap penguatkuasaan undang-undang jalan raya menerusi bukti visual bagi kesalahan trafik, penggunaan kamera ini juga akan mempertingkat integriti pegawai lapangan kerana ia akan turut merakam interaksi mereka dengan pengguna jalan raya yang lain, lapor The Star.

    “Penggunaan kamera badan ini memainkan peranan yang penting untuk memperkukuhkan integriti dan kebertanggungjawaban pegawa penguatkuasa semasa menjalankan tugas,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan yang diajukan oleh Sabri Azit (PN-Jerai). Jelasnya, kamera akan melindungi pegawai daripada ancaman, salah faham dan tuduhan luar kerana adanya rakaman untuk dirujuk.

    Anthony memaklumkan yang jabtan itu telah menjalankan siri percubaan untuk menilai penggunaan dan fungsi kamera badan tersebut dari sudut teknikal, sistem dan dan operasi. Beliau menambah, fasa kedua pula akan memperluas penggunaan kamera berkenaan akan diperkenalkan tahun depan, bergantung kepada peruntukan kewangan daripada Kementerian Kewangan.

    Langkah untuk JPJ menggunakan kamera badan ini adalah susulan daripada langkah sama yang diambil oleh PDRM. Pihak polis dijangkakan akan menerima 7,648 kamera badan untuk kegunaan di seluruh negara pada Mac tahun ini.

     
     
  • CFMoto 700MT masuk Malaysia bulan ini, RM34k?

    CFMoto 700MT masuk Malaysia bulan ini, RM34k?

    Selain model adventure/touring versi 800 (800 MT Sport, 800 MT Explore dan 800 MT-X), CFMoto juga mempunyai versi 700 yang lebih mampu milik dan datang dengan enjin lebih kecil. Melalui maklumat yang kami terima, ia bakal tiba di pasaran Malaysia bulan ini dengan harga sekitar RM34k.

    Sebenarnya, 700 MT ini adalah model yang dipertingkat daripada model 650 MT dan baru sahaja diperkenalkan kepada dunia tahun ini. Daripada 649 cc, kapasiti enjin dua silindernya dipertingkat menjadi 693 cc dan sekarang mampu menghasilkan 74 hp pada 8,500 rpm dan tork 68 Nm pada 6,500 rpm.

    Penyampaian kuasa dikawal melalui transmisi enam kelajuan dengan klac jenis slip & assist, dan tiada mod tunggangan yang disediakan. Paparan informasi dibuat melalui skrin TFT lima inci baru yang mempunyai dua soket USB pada bahagian tepinya, sementara penghadang angin hadapan boleh dilaras secara secara manual.

    CFMoto 700MT masuk Malaysia bulan ini, RM34k?

    Model ini datang dengan padanan rim spoked aluminium 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, dibalut masing-masing tayar 110/80 dan 150/70, dan kemudiannya dipegang oleh fork USD 43 mm boleh laras dan monoshock dengan pelarasan pra beban dan lantunan.

    Tugas membrek dijalankan unit cakera berkembar di hadapan, cakera tunggal di belakang serta sistem ABS. Turut disediakan adalah sistem kawalan cengkaman yang boleh ditutup. Dalam keadaan standard, 700 MT ini datang dengan tempat duduk berketinggian 800 mm, sementara tempat duduk yang lebih tinggi disediakan sebagai aksesori.

    Kelengkapan lainnya adalah termasuk tangki bahan api 20 liter, semua lampu jenis LED, penghadang tangan, penghadang bawah enjin, pemerhati tekanan angin tayar dan besi pelindung radiator. Melalui harga RM34k itu kami menjangkakan ia hanya akan datang dengan aksesori ringkas sahaja.

     
     
  • Stesen LRT bakal dipasang Smart CCTV dan pintu skrin platform demi keselamatan golongan OKU

    Stesen LRT bakal dipasang Smart CCTV dan pintu skrin platform demi keselamatan golongan OKU

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengesahkan penyedia perkhidmatan rel, Prasarana, dalam perancangan untuk memasang pintu skrin platform (PSD di kesemua stesen Transit Aliran Ringan (LRT) sebagai usaha memperkukuhkan keselamatan penumpang khususnya golongan Orang Kurang Berupaya (OKU).

    Kenyataan itu dikeluarkan bagi memberi maklumbalas terhadap tragedi yang meragut nyawa seorang penumpang OKU penglihatan yang maut digilis tren LRT setelah terjatuh di landasan stesen LRT Titiwangsa pada pagi Sabtu lalu.

    “Kementerian Pengangkutan kini bekerjasama rapat dengan semua pihak berkaitan, terutamanya Prasarana, untuk menjalankan siasatan terperinci. Saya telah mengarahkan supaya aspek keselamatan di semua stesen tren, khususnya kemudahan bagi golongan OKU dikaji semula dan dipertingkatkan.

    “Prasarana akan mengambil beberapa langkah penting bagi mengelakkan kejadian sebegini daripada berulang. Smart CCTV yang berupaya mengesan perilaku berisiko akan dipasang di stesen. Bagi jangka masa panjang pula, Prasarana dalam perancangan untuk memasang PSD di kesemua laluan LRT sebagai usaha memperkukuh keselamatan penumpang,” katanya.

    Stesen LRT bakal dipasang Smart CCTV dan pintu skrin platform demi keselamatan golongan OKU

    Dalam masa yang sama, Loke turut menasihati penumpang yang memerlukan bantuan tambahan, termasuk golongan OKU, agar menghubungi kakitangan Prasarana atau Polis Bantuan di stesen bagi memastikan keperluan mereka diberi perhatian sewajarnya.

    “Keselamatan dan kebajikan penumpang sentiasa menjadi keutamaan kami. Kerajaan komited untuk memastikan sistem pengangkutan awam yang lebih selamat, inklusif, dan mesra pengguna, demi kebaikan semua rakyat Malaysia,” tambahnya,

    Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) juga menyambut baik langkah yang bakal diambil ini kerana pemasangan PSD di stesen dan LRT lebih menjamin keselamatan golongan OKU.

    Menurut Presiden SBM, Mohd Mustaza Mohd Zain, langkah penyediaan pintu skrin terbabit wajar dilaksanakan bagi mengelak kemalangan seperti insiden yang berlaku kelmarin.

    Stesen LRT bakal dipasang Smart CCTV dan pintu skrin platform demi keselamatan golongan OKU

    Mohd Mustaza berkata, kemalangan seumpama itu bukan baharu, malah sehingga kini sekurang-kurangnya 20 kemalangan membabitkan OKU penglihatan jatuh ke landasan rel, sama ada di stesen monorel, LRT mahupun Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

    “Menyediakan pintu skrin platform di stesen rel adalah penting untuk mengelakkan kejadian sedemikian. Kemudahan mitigasi sebegini seharusnya menjadi antara ciri yang wujud dalam reka bentuk setiap stesen perkhidmatan rel di seluruh Malaysia. Tambahan pula, bilangan pintu skrin platform juga harus sejajar dengan bilangan pintu koc penumpang untuk melindungi keselamatan pengguna cacat penglihatan.

    “Langkah-langkah pengurangan risiko keselamatan di stesen perkhidmatan rel tidak boleh bergantung semata-mata pada elemen teknologi. Prasarana dan KTMB juga perlu memastikan pegawai kawalan berada di platform untuk memantau dan membantu pengguna khususnya pengguna cacat penglihatan. Kekurangan pegawai di lokasi strategik seperti di platform antara faktor terus menyebabkan kemalangan membabitkan OKU di stesen perkhidmatan rel,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Dalam masa yang sama, SBM juga menyarankan kepada Kementerian Pengangkutan untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi melatih petugas perkhidmatan rel supaya mereka lebih cakna dan proaktif dalam berkomunikasi serta membantu pengguna kurang upaya.

     
     
  • Kawasaki Z650RS dilancar di Malaysia – RM37,200

    Kawasaki Z650RS dilancar di Malaysia – RM37,200

    Semasa pelancaran pusat pameran 4S baru di Puncak Alam hujung minggu lalu, Modenas membuat kejutan dengan memperkenalkan model Z650RS untuk pasaran Malaysia. Ia disediakan dalam satu warna sahaja, yang menggunakan gabungan warna hitam dan emas, dijual pada harga RM37,200 tidak termasuk insurans.

    Z650RS pertama kali diperkenalkan pada tahun 2021, dengan membawa gaya klasik moden seperti abangnya, Z900RS, tetapi datang dengan enjin yang lebih kecil, iaitu unit dua silinder 649 cc DOHC yang berkuasa kuasa 68 PS pada 8,000 rpm dan 64 Nm tork pada 6,700 rpm.

    Ini adalah enjin yang sama seperti Ninja 650 dan Z650, dan kemudiannya dipadankan bersama transmisi enam kelajuan dengan klac jenis slip & assist. Di bahagian kokpit, terdapat panel meter gabungan analog untuk kelajuan dan tahap rpm, serta LCD untuk informasi lain.

    Kawasaki Z650RS dilancar di Malaysia – RM37,200

    Motosikal ini datang dengan kelengkapan yang asas, dan tidak mempunyai mod tunggangan ataupun kawalan cengkaman. Walaubagaimanapun, sistem brek yang terdiri daripada set cakera berkembar 300 mm dengan angkup Nissin di hadapan dan cakera 220 mm di belakang datang dengan sistem ABS.

    Suspensi menggunakan fork teleskopik (tanpa sebarang pelarasan) di hadapan, dan monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang. Rim adalah unit 17 inci yang mempunyai rekaan sama sepeti Z900RS, dibalut dengan tayar 120/70 di hadapan dan 160/60 di belakang. Perincian lain Z650RS adalah termasuk tangki bahan api 12 liter, berat keseluruhan 187 kg dan tinggi tempat duduk 820 mm.

     
     
  • Chery Smart Auto Industrial Park dibina di Hulu Selangor; siap pada 2026, sasar 100k kereta setahun

    Chery Smart Auto Industrial Park dibina di Hulu Selangor; siap pada 2026, sasar 100k kereta setahun

    Chery Corporate Malaysia (Chery Malaysia) telah mengadakan majlis pecah tanah untuk pembinaan Chery Smart Auto Industrial Park, yang terletak di Beringin High-Tech Auto Valley di Hulu Selangor.

    Projek itu dilaksanakan menerusi perjanjian antara Chery Corporate Malaysia Sdn Bhd (Chery Malaysia) dan Legenda Beringin Holding Sdn Bhd (Legenda Beringin) bagi membangunkan secara berperingkat kawasan seluas 800 ekar di Lembah Beringin. Majlis pemeteraian kerjasama ini ditandatangani antara Presiden Chery International, Zhang Gui Bin dan juga Pengerusi Legenda Beringin Chia Song Kooi, yang disaksikan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

    Menurut Zhang, Chery Smart Auto Industrial Park menjadi projek utama dalam fasa pertama pembangunan ini, meliputi kawasan seluas 200 ekar dan bakal membawa teknologi automotif canggih serta menarik pelaburan dan tenaga kerja mahir ke Hulu Selangor. Selain itu, Chery Smart Auto Industrial Park juga disasar untuk mengeluarkan sebanyak 100,000 kenderaan setahun.

    Chery Smart Auto Industrial Park dibina di Hulu Selangor; siap pada 2026, sasar 100k kereta setahun

    Chery Smart Auto Industrial Park akan dibangunkan dengan kos RM2.2 bilion dalam tempoh lima tahun, dan baki kawasan tanah akan digunakan untuk pembangunan lain dalam rantaian bekalan, latihan vokasional, inovasi automotif dan kemajuan teknologi, kata pengeluar itu.

    “Chery berbangga menjadi sebahagian daripada pembangunan berwawasan ini, di mana kami akan mewujudkan kemudahan pembuatan tercanggih, menyepadukan teknologi pintar termaju, dan menghasilkan rangkaian kenderaan yang luas.

    “Kami yakin apabila siap, ia akan mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi, menempatkan pusat R&D termaju, mengembangkan eksport kenderaan ke negara jiran, mengukuhkan peranan Selangor melalui rantaian bekalan automotif, dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab automotif terkemuka di ASEAN,” kata Zhang..

    Pada masa ini, Chery Malaysia mengendalikan kilang pemasangannya di Shah Alam yang dibuka pada April 2024, di mana Jaecoo J7 dikeluarkan untuk pasarantempatan dan eksport. Ini adalah tambahan kepada kilang Inokom di Kulim, Kedah di mana Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro dikeluarkan.

     
     
  • Pemandu Honda CR-Z buat laporan kemalangan, namun ‘kantoi’ berlumba di Genting Highland

    Pemandu Honda CR-Z buat laporan kemalangan, namun ‘kantoi’ berlumba di Genting Highland

    Ahad lalu seorang lelaki warga tempatan berusia 27 tahun telah tampil membuat laporan di Balai Polis Goh Tong Jaya, Hulu Selangor bagi memaklumkan bahawa dia terlibat dalam kemalangan kerana kereta yang dipandu hilang kawalan, lalu terbabas di KM14.7 menghala ke Genting Highland.

    Namun selepas itu perkara lain pula terjadi kerana pihak Polis menyedari bahawa Honda CR-Z yang dipandu oleh lelaki berkenaan merupakan kereta yang sama dalam video yang tular di laman media sosial Tiktok, memaparkan ia dipandu secara melulu bersama sekumpulan kereta Honda yang lain, dan kemudian menyebabkan ia terbabas di kawasan berkenaan.

    Ini telah menyebabkan pemandu tersebut dipanggil semula ke oleh pihak polis bagi memberikan keterangan berkenaan insiden itu kerana melakukan tindakan yang merbahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.

    Pemandu Honda CR-Z buat laporan kemalangan, namun ‘kantoi’ berlumba di Genting Highland

    “Pihak polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong telah menghubungi pemandu berkenaan untuk tampil memberi keterangan. Pihak polis telah membuka kertas siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” kata Ketua Polis Bentong Superintenden Zaiham Mohd Kahar dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada awal pagi ini.

    Beliau turut meminta mana-mana pihak yang melihat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan Polis. “Polis Bentong juga akan mengambil tindakan tegas serta akan mengadakan operasi secara berterusan untuk memastikan lokasi dan laluan berkenaan tidak dijadikan seperti litar lumba oleh pengguna jalanraya yang tidak bertanggungjawab,” tegasnya.

     
     
  • Kerajaan peroleh RM45.9 juta hasil jualan siri plat nombor khas pada 2024 – bakal bantu golongan B40

    Kerajaan peroleh RM45.9 juta hasil jualan siri plat nombor khas pada 2024 – bakal bantu golongan B40

    Kementerian Pengangkutan (MOT) mendedahkan kerajaan peroleh RM45.9 juta hasil jualan siri khas bagi plat pendaftaran kenderaan pada tahun 2024, termasuk siri ‘GOLD’, ‘FFF’, ‘EV’, ‘PETRA’ dan ‘MADANI’.

    Ia adalah bagi menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Parlimen Jerantut Khairil Nizam Khirudin, yang ingin mengetahui jumlah hasil yang dijana daripada jualan nombor plat khas tahun lepas dan untuk pecahan perbelanjaan berkaitan, laporan Malay Mail.

    “Semua hasil daripada jualan ini disalurkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan di bawah kementerian Kewangan, dan seterusnya, 50% diperuntukkan kepada Kementerian Pengangkutan untuk inisiatif yang memberi manfaat kepada kumpulan yang kurang bernasib baik,” kata kenyataan yang dikeluarkan.

    Kerajaan peroleh RM45.9 juta hasil jualan siri plat nombor khas pada 2024 – bakal bantu golongan B40

    Inisiatif ini termasuk program MyLesen, yang diperkenalkan di peringkat kebangsaan pada Mei 2023 untuk membantu golongan berpendapatan B40 dan belia mendapatkan lesen motosikal (Kelas B2, kapasiti enjin di bawah 250 cc), lesen kenderaan perkhidmatan awam (PSV) untuk e-hailing dan bas, serta lesen memandu kenderaan barangan (GDL).

    Dana juga diperuntukkan untuk menyediakan topi keledar percuma bagi orang dewasa dan kanak-kanak, serta inisiatif FLYsiswa yang menyediakan subsidi tiket penerbangan untuk pelajar di universiti awam, politeknik, kolej matrikulasi dan institut latihan perguruan yang berasal dari Sabah, Sarawak dan Labuan.

    Selain itu, kementerian turut menggunakan sebahagian daripada dana untuk caruman Perkeso di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri bagipemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah. Hasil daripada penjualan siri ‘GOLD’ digunakan untuk menaja baki 10% daripada caruman insurans, memastikan ia dilindungi secukupnya di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.

     
     
  • Aveta Nova 125 dan Nova 160 dilancarkan di Malaysia – skuter harga masing-masing RM5.2k dan RM8k

    Aveta Nova 125 dan Nova 160 dilancarkan di Malaysia – skuter harga masing-masing RM5.2k dan RM8k

    Baru sahaja melancarkan skuter Vanguard 250 bulan lepas, Aveta terus mengekalkan momentum mereka dengan pengenalan dua lagi skuter iaitu Nova 125 dan Nova 160. Ia masing-masing dijual pada harga RM5,188 dan RM7,988 tidak termasuk insurans.

    Ditawarkan sebagai sebuah skuter mampu milik, Nova 125 dipacu oleh enjin satu silinder SOHC sejukan udara 125 cc bersama transmisi automatik CVT, mampu menghasilkan kuasa 9 hp pada 8,000 rpm dan tork 8.6 Nm pada 6,500 rpm. Enjinnya boleh dihidupkan dengan pemula elektrik dan penendang.

    Memegang rim 14 inci pada skuter ini adalah fork teleskopik di hadapan dan satu penyerap hentak di belakang, sementara tugas membrek dilaksanakan oleh unit cakera di hadapan dan dram di belakang. Tangki minyak berkapasiti enam liter dan ia juga didatangkan dengan soket pengecas USB serta meter jenis LCD digital.

    Pergi pula kepada Nova 160, ia adalah sebuah skuter yang digerakkan oleh enjin satu silinder SOHC sejukan cecair 154.4 cc, bersama transmisi automatik CVT dan mampu menghasilkan kuasa 15.8 hp pada 8,500 rpm dan tork 14.7 Nm pada 6,500 rpm.

    Spesifikasi Nova 160 ini juga adalah lebih tinggi dengan kelengkapan seperti kunci pintar, sistem start/stop brek cakera hadapan dan belakang serta suspensi belakang yang terdiri daripada dua penyerap dengan tabung gas.

    Satu lagi perincian yang mencuri perhatian adalah tangki, di mana Nova 160 ini datang dengan unit berkapasiti 10 liter, sementara rim pula adalah unit 14 inci dengan tayar masing-masing bersaiz 100/80 di hadapan 120/70 di belakang.

    GALERI: Aveta Nova 125

    GALERI: Aveta Nova 160

     
     
  • CFMoto 800 MT-X tiba di Malaysia April ini pada harga bawah RM50k? Dua silinder 799 cc, quickshifter, TFT

    CFMoto 800 MT-X tiba di Malaysia April ini pada harga bawah RM50k? Dua silinder 799 cc, quickshifter, TFT

    Dalam barisan motosikal touring/adventure keluaran CFMoto, sudah ada dua model 800 iaitu 800 MT Sport dan 800 MT Explore. Sekarang, mereka memperkenalkan pula 800 MT-X, yang mempunyai asas sama, tetapi diubah suai untuk kegunaan lebih lasak.

    Bahagian paling penting sudah tentu adalah suspensi dan roda, di mana 800 MT-X ini dipasang dengan unit boleh laras sepenuhnya daripada Kayaba, dengan jarak gerak 230 mm di hadapan dan belakang, serta rim 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang.

    Melalui perubahan ini, tinggi tempat duduk juga sudah berubah menjadi 870 mm dalam keadaan standard, dan jika pengguna mahukannya lebih rendah, mereka boleh mendapatkan suspensi dengan jarak gerak 190 mm, menjadikan tinggi tempat duduknya 830 mm.

    Penggerak masih sama seperti dua model 800 MT yang sudah diperkenalkan lebih awal, iaitu unit dua silinder 799 cc DOHC bersama transmisi enam kelajuan, menghasilkan 94 hp pada 8,250 rpm, tetapi tork ditala menjadi lebih tinggi, iaitu 87 Nm dan pengguna disediakan dengan tiga mod tunggangan iaitu Standard, Rain dan Offroad.

    Kemudiannya, 800 MT-X ini dilengkapi dengan tangki bahan api lebih besar, berkapasiti 22.5 liter, hasil daripada tambahan ruang yang dibuat sehingga ke bahagian bawah motosikal (tepi, kiri dan kanan). Kelengkapan lain yang disediakan adalah seperti steering damper, pelindung tangan, pelindung bawah enjin, penghadang angin larasan manual, soket USB serta skrin TFT tujuh inci menegak dengan sambungan kepada telefon pintar.

    CFMoto 800 MT-X tiba di Malaysia April ini pada harga bawah RM50k? Dua silinder 799 cc, quickshifter, TFT

    Pada bahagian elektronik, 800 MT-X secara standard datang dengan ABS dual-channel (belakang boleh tutup), kawalan cengkaman (dua mod, boleh tutup), cruise control, pemerhati tekanan angin tayar serta quickshifter yang boleh digunakan untuk naik dan turun gear.

    Bagi yang berminat dengan 800 MT-X ini, kami mendapat maklumat ia boleh tiba di Malaysia seawal bulan April ini dengan harga yang disasarkan berada tidak sampai RM50k. Jika dibandingkan dengan 800 MT Explore yang datang dengan beg barangan lengkap, ia adalah sekitar RM8k lebih murah (harga jualan RM57,800), sementara 800 MT Sport pula berharga RM36,800.

     
     
  • Dongfeng Nammi 06 EV — 184 PS, lagi besar dari Box

    Dongfeng Nammi 06 EV — 184 PS, lagi besar dari Box

    Dongfeng Nammi 01 kini sudah dijual di Malaysia dengan nama Dongfeng Box dan berharga sekitar RM100k. Dan, perkenalkan ini Dongfeng yang lebih besar yang ada di pasaran China: Nammi 06. Ia kereta kedua yang dibangunkan oleh Nammi.

    Memetik Car News China, Nammi 06 mempunyai 4,306 mm panjang, 1,868 mm lebar dan 1,645 mm tinggi, dengan jarak roda 2,715 mm. Model ini 286 mm lebih panjang, 58 mm lebih lebar dan 75 mm lebih tinggi berbanding Nammi 01/Dongfeng Box, dengan jarak roda yang 65 mm lebih panjang.

    Ia menggunakan sebuah motor tunggal dengan janaan 184 PS — walaupun tidak dinyatakan kedudukannya di depan atau di belakang. Dongfeng Box menggunakan sebuah motor di depan, maka berkemungkinan tetapan yang sama ini akan digunakan. Beratnya pula ialah 1,975 kg dan laju maksimum 150 km/j, manakala perincian bateri masih belum didedahkan.

     
     
  • BYD Atto 3 facelift 2025 — gambar luaran muncul

    BYD Atto 3 <em>facelift</em> 2025 — gambar luaran muncul

    Ini gambar awal BYD Atto 3 facelift 2025 yang dikongsikan oleh Car News China. Sama seperti yang pernah muncul sebelum ini (dikenali dengan nama Yuan Plus di China), Atto 3 kini lebih menyerupai model BYD yang lebih kecil dan murah, Atto 2 (dipanggil Yuan Up di China).

    Bampar depannya menampilkan kemasan lebih tajam di sudutnya, yang turut menempatkan bukaan udara. Secara keseluruhannya, SUV ini kelihatan lebih sporty berbanding versi sedia ada.

    Bampar belakang pula menampilkan skid plate hiasan yang lebih kecil, yang disertai oleh spoiler dengan bahagian tengahnya melengkung serta dwi lampu brek. Turut ada perincian ala sulaman dalam lampu belakang berkelebaran penuh yang digunakan, sama seperti Atto 2 dan Dolphin.

    Tiada lagi kemasan di tiang C, yang digantikan dengan permukaan kemasan tingkap perak yang lebih ringkas, yang tidak bersambung dengan bahagian siripnya. Ada juga bahagian tingkap kecil baru di belakang untuk disesuaikan dengan rekaan ini. Ia nampak lebih ringkas dan kemas. Rekaan roda juga baru, dengan aerodinamik yang lebih baik.

    Kamera depan juga dialihkan dari bawah ke bahagian atas bampar. Adakah model ini akan dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu God’s Eye C (DiPilot 100)? Untuk tujuan tersebut, kereta ini memerlukan tiga blok kamera di bawah cermin depan, empat kamera pandangan keliling, lima kamera jarak jauh, lima radar gelombang-milimeter, 12 radar ultrasonik dan 29 sensor.

    Tiada perubahan dijangkakan untuk sistem pacuan kuasa dan baterinya. Ketika ini, satu-satunya varian Atto 3 yang dijual di Malaysia ialah Extended Range, yang mengasilkan 204 PS/310 Nm dari motor tunggal dan bateri Blade LFP 60.48 kWh, yang memberikan jarak perjalanan 420 km WLTP. Sebelum ini, ada pilihan untuk bateri 49.92 kWh yang menyediakan jarak 345 km WLTP.

     
     
  • Kementerian Pengangkutan akan guna teknologi lebih baik seperti RFID untuk sahkan keaslian tayar celup

    Kementerian Pengangkutan akan guna teknologi lebih baik seperti RFID untuk sahkan keaslian tayar celup

    Bagi menangani isu penggunaan tayar celup yang tidak mematuhi standard, Kementerian pengangkutan dengan kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) akan mengkaji kaedah lebih efektif yang boleh digunakan bagi membuat pemantauan, lapor Berita Harian.

    Menurut menteri pengangkutan Anthony Loke, ia termasuk dengan mewujudkan bukti fizikal melalui ‘stamping’ atau tampalan pada tayar, atau menggunakan penerapan teknologi melalui penandaan menggunakan kod QR atau pengenalan frekuensi radio (RFID) untuk mengesahkan kesahihan dan keaslian tayar digunakan.

    Loke menegaskan penggunaan tayar celup yang tidak mematuhi standard mandatori adalah tidak dibenarkan di kalangan pengguna jalan raya kerana ciri-ciri pembinaannya tidak ditentusahkan dan aktiviti pengujian tayar tersebut tidak dilaksanakan sewajarnya.

    “Tayar celup yang mematuhi standard adalah tayar yang telah diuji daripada aspek ketahanan dan prestasi penggunaan di mana ia terbukti selamat untuk digunakan di atas jalan raya.

    “Penentusahan terhadap ciri-ciri pembinaan dan aktiviti pengujian terhadap sesebuah tayar amat penting untuk dilaksanakan berdasarkan kepada piawaian atau standard yang dikuatkuasakan bagi mengurangkan risiko kegagalan tayar khususnya berkaitan dengan tayar kenderaan yang meletup yang boleh menggugat keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.

    Perkara ini diberitahu oleh Loke menerusi jawapan bertulis bagi menjawab pertanyaan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) di Parlimen berkenaan penggunaan tayar celup oleh lori dan kenderaan berat yang semakin berleluasa.

    Kementerian Pengangkutan akan guna teknologi lebih baik seperti RFID untuk sahkan keaslian tayar celup

    Beliau turut menjelaskan bahawa tayar celup adalah tayar terpakai yang dibaik pulih menerusi proses penambahan, penggantian dan pemulihan terhadap lapisan bunga tayar tanpa mengganggu struktur asal tayar berkenaan supaya ia dapat digunakan semula.

    Berdasarkan ketetapan di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pembinaan & Penggunaan) 1959, katanya hanya tayar celup yang mempunyai persijilan pematuhan terhadap standard mandatori sahaja dibenarkan digunakan oleh kenderaan di atas jalan raya.

    “Terdapat tiga standard mandatori melibatkan tayar celup yang dikuatkuasakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) iaitu Malaysian Standard (MS) 224 : Specification for Retreading of Pneumatic Rubber Tyres for Passenger Car and Commercial Vehicle; Peraturan United Nation (UN) R108 : Retreaded Pneumatic Tyres; dan Peraturan United Nation (UN) R109 : Retreaded Pneumatic Tyres for Commercial Vehicles.

    “JPJ akan sentiasa melaksanakan penguatkuasaan secara berterusan dari semasa ke semasa melalui penguatkuasaan di jalan raya atau melalui pemeriksaan berkala di Pusat Pemeriksaan Berkomputer (PUSPAKOM) bagi memastikan kenderaan perdagangan sentiasa menggunakan tayar yang mematuhi standard mandatori yang telah ditetapkan,” katanya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025