Nissan dilapor akan memiliki Mitsubishi dengan pembelian sekitar satu pertiga pegangan saham

Nissan Mitsubishi

Nissan telah disahkan sedang dalam perbincangan untuk membeli sekitar satu pertiga pegangan saham dalam Mitsubishi yang kini sedang bergelut dengan skandal penipuan tahap ekonomi bahan api,menurut laporan Reuters.

“Nissan dan Mitsubishi sedang berbincang pelbagai perkara termasuk modal kerjasama, tetapi belum ada apa-apa keputusan dibuat,” seperti disebut dalam kenyataan yang disiarkan oleh kedua-dua jenama dari Jepun itu. Sebarang perkembangan akan diumumkan oleh ahli lembaga kedua-dua belah pihak setelah perjumpaan berasingan diadakan hari ini untuk membincangkan isu tersebut.

Reuters juga mengatakan dua orang yang sering dikaitkan dengan kedua-dua buah syarikat menyatakan mereka kini dalam “perbincangan lanjut” untuk perjanjian yang bakal menyaksikan Nissan akan membelanjakan sekitar 200 bilion yen (RM7.4 bilion) untuk pengambilalihan saham tersebut.

Jika perjanjian itu berlaku, pengeluar automotif kedua terbesar di Jepun itu akan menjadi pemegang saham tunggal terbesar dalam Mitsubishi, dan akan memberikan mereka saham yang lebih besar dari 15% yang dimiliki dalam rakan pakatan mereka – Renault. Dengan kontras, Renault juga merupakan pemegang saham berjumlah 43.4% dalam Nissan.

Berita pengesahan perbincangan antara kedua-dua pengeluar automotif tersebut tersebar hanya selepas sehari Mitsubishi mengatakan mereka mempunyai rizab modal yang cukup menangani kejatuhan akibat skandal tersebut, walaupun mereka diberi amaran bahawa mereka mungkin juga perlu memperbaiki angka ekonomi penggunaan bahan api bukan sahaja terhad pada keluaran kereta kei mereka sahaja.

Bulan lalu, Mitsubishi mengakui mereka menggunakan kaedah yang tidak mematuhi standard Jepun dalam ujian penggunaan bahan api mereka sejak 2002. Kereta yang diketengahkan dalam isu tersebut ialah Mitsubishi eK Wagon dan eK Space serta Nissan Dayz dan Dayz Roox, di mana Mitsubishi telah memproduksi dan membekalkan kereta kei kepada Nissan (punca pendedahan penipuan penggunaan bahan api tersebut semasa pembinaan generasi seterusnya kereta kei berkenaan) sejak 2013.

Mitsubishi dianggarkan perlu menyediakan sejumlah US$ 1 bilion (RM4 bilion) untuk membayar ganti rugi kepada pembeli untuk menampung bayaran cukai “kereta eko” dan kos bahan api tambahan, serta bayaran ganti rugi kepada Nissan atas percanggahan berkenaan. Produksi untuk kesemua empat model tersebut telah dihentikan sejak bulan lalu.

Syarikat terbabit telah kehilangan sekitar 42% atau US$3 bilion (RM13 bilion) dalam nilai pasarannya sejak pendedahan skandal tersebut pada 20 April, atas kegusaran kos ganti rugi yang dijangka akan menelan belanja yang besar. Jualan kereta kei mereka juga menjunam sehingga separuh pada April lalu.

Membina kereta kei untuk Nissan membantu jualan Mitsubishi di Jepun, kerana model dengan jenama mereka sendiri telah kehilangan banyak bahagian pasaran. Mitsubishi menjual kira-kira satu pertiga dari kereta keluarannya seluruh dunia di Jepun, manakala jualannya di seluruh Asia kini sedang mencatatkan pertumbuhan.

Ini bukan kali pertama MMC berdepan dengan skandal. Kira-kira sedekad yang lalu, jenama tersebut juga hampir lumpuh berikutan skandal kecacatan pada kenderaan keluaran mereka, di mana ia mampu ditangani secara sistematik selama hampir sedekad. Skandal terbaharu ini nampaknya bakal menekan syarikat berkenan dengan lebih teruk, kerana faktor penggunaan bahan api merupakan antara faktor utama dalam penjualan kenderaan mereka.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required