Perodua Bezza telah pun dilancarkan secara rasmi dalam satu majlis gilang-gemilang di One World Hotel, Petaling Jaya malam tadi. Namun sejak dibuka tempahannya seminggu yang lalu, sedan pertama dari Perodua ini telah menerima sebanyak 4,028 tempahan!

Nampak gayanya, ia bakal mengulangi kejayaan yang pernah dicatatkan oleh abang-abangnya iaitu Perodua Kancil dan Myvi yang menerima sambutan luar biasa apabila diperkenalkan. Mengapa? Ini kerana Bezza telah ditampilkan dengan x-factor yang tersendiri, dan Perodua ternyata telah melakukan usaha terbaik…hanya untuk memberikan yang terbaik buat rakyat Malaysia.

Lihat video yang diulas oleh editor kami, Hazril Hafiz. Lapan perkara atau dalam bahasa mudahnya, keistimewaan yang ditonjolkan oleh Bezza, diulas menerusi video itu. Cukup mudah dan ringkas, tetapi inilah yang perlu anda tahu tentang Bezza.

Perkara paling utama yang perlu anda tahu, sedan EEV pertama Perodua ini bukan model Rebadge. Di mana ia adalah sebuah model serba baharu walau pun menggunakan platform Axia. Ia adalah buatan Malaysia sepenuhnya dan khas untuk orang Malaysia.

Perodua juga mendakwa, Bezza adalah model mereka yang bersifat paling aerodinamik dengan catatan 0.286 cd. Banyak ciri luarannya menampilkan sifat aerodinamik seperti lantai yang rendah dan sirip aerodinamik bagi memberikan penjimatan bahan api yang lebih efisien, tanpa mengurangkan kemantapan dalam pengendalian dan prestasinya.

Bezza juga adalah sebuah sedan yang sangat ringan tetapi tidak berkompromi dalam soal ketegaran kerangkanya. Varian paling berat hanya 930 kg, iaitu 45 kg lebih berat berbanding Axia.

Seperti mana yang diketahui, Bezza hadir dengan dua pilihan enjin iaitu 1.0L dan 1.3L. Apa yang menarik ialah kedua-dua enjin tersebut tidak sama dengan enjin 1.0L dan 1.3L pada model-model Perodua sedia ada. Untuk ulasan lebih lanjut mengenai enjin baharu Perodua ini, baca perincian penuh di sini.

Seterusnya, apa yang lebih menarik buat Bezza, selain harga yang ditawarkan cukup kompetitif namun Bezza, khususnya varian spesifikasi tertinggi iaitu 1.3L Advance, ia dilengkapi dengan pelbagai teknologi terkini. Dengan harga RM50,800, antara elemen yang ditawarkan termasuklah sistem henti melahu (idle stop sistem), kemasukan tanpa kunci, dan juga kawalan kestabilan dinamik (VSC) yang semuanya pertama buat Perodua. Baca senarai elemen yang ada pada Bezza menerusi artikel ini.

Ya, Bezza mengikut platform Axia, namun ia memiliki keluasan kabin yang lebih berbanding model kompak tersebut. Malah turut ditampilkan dengan konfigurasi tempat duduk 8+1.

Perkara yang paling bikin teruja mengenai Bezza ini… ruang kargonya cukup besar! Siapa sangka, sedan Perodua ini memiliki ruang kargo yang lebih luas berbanding model pesaingnya termasuk Toyota Vios. Dengan kapasiti 508 liter, anda tak perlu risau untuk balik ke kampung, pergi bercuti atau membeli-belah kerana ruang yang luas itu mampu memuatkan lebih banyak barang.

Bezza juga merupakan model pertama Perodua yang menampilkan ABS untuk semua varian. Selain itu, varian Advance yang turut dilengkapi dengan VSC turut melayakkan Bezza (juga model pertama Perodua) menerima penarafan lima-bintang daripada ASEAN NCAP.

Kami telah melakukan pandu uji ringkas Perodua Bezza ini sebelum ia dilancarkan. Sila baca ulasan tersebut, dan jika anda tertarik dengan model sedan ini, sila kunjungi mana-mana bilik pameran Perodua berhampiran untuk memandu ujinya dan mungkin ia juga boleh dijadikan pilihan sebagai kereta baharu (atau kereta kedua) anda.