Persona 2016 booking BM

Proton telah mengesahkan model Persona 2016 bakal dilancarkan pada 23 Ogos ini dan turut mendedahkan harga indikatifnya iaitu bermula RM47,000 hingga RM61,000 bagi Semenanjung Malaysia, manakala untuk Sabah/Sarawak pula dari RM49,000 hingga RM63,000.

Proton Persona 2016 kini boleh mula ditempah dengan bayaran tempahan sebanyak RM300 (bayaran akan dikembalikan dalam sebarang keadaan). Malah Proton turut menawarkan pakej servis percuma selama tiga tahun bagi alat ganti dan tenaga buruh. Walau bagaimanapun, ia hanya sah bagi tempahan yang dibuat sebelum 30 September ini.

Proton Persona 2016 akan dilengkapi dengan enjin 1.6 liter VVT petrol yang digandingkan dengan sistem transmisi CVT dan manual. Ia turut didatangkan dengan empat varian iaitu varian Standard dengan pilihan transmisi manual atau CVT. Sebagai varian paling asas, tidak mempunyai lampu kabus, disediakan cermin sisi hitam dan rim 15-inci.

Manakala varian kedua pula ialah Executive, yang antara lain turut dilengkapi dengan radio biasa, b-pillar dengan warna badan kenderaan serta rim 15-inci rona kelabu. Namun begitu, pilihan transmisi yang ditawarkan hanyalah dari jenis CVT sahaja.

Bagi varian Premium pula, ia juga dilengkapi dengan sistem transmisi CVT. Tambahan lain padanya ialah dari aspek keselamatan; ia dilengkapi dengan enam beg udara. Selebihnya, penggunaan material kulit bagi tempat duduk dan stereng, paparan skrin sentuh, kemasukan tanpa kunci (keyless entry), bodykit dan rim 15-inci warna perak.

Varian tertinggi pula ialah Premium SE yang menerima aksesori bodykit penuh bagi keseluruhan kereta, termasuk spoiler pada but belakang.

Kami juga telah memandu uji Persona 2016 ini secara ringkas di litar ujian Pusat Kecemerlangan Proton pada Jumaat lalu. Anda boleh membaca ulasan kami untuk mendapatkan gambaran awal mengenainya. Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut mengenai spesifikasinya, boleh baca di sini.

Ia akan didatangkan dengan enam pilihan warna iaitu Cotton White, Fire Red, Sterling Silver, Graphite Grey, Quartz Black dan warna terbaharu, Carnelian Brown. Kami akan memaparkan perkembangannya dari semasa ke semasa.