Honda Malaysia hari ini memperkenalkan versi edisi terhad bagi dua model keluaran syarikat itu; City X dan Jazz X. Kedua-duanya berhasrat untuk menawarkan sisi ‘eXclusivity’ melalui edisi terbaharu ini, yang ditawarkan hanya dalam jumlah 450 unit dan 300 unit, masing-masing.
Ia turut melibatkan beberapa peningkatan ciri-ciri sedia ada; antaranya lampu nyalaan siang (DRL), penggunaan pembalut tempat duduk separa kulit dengan logo X serta dilengkapi tray dengan logo sama pada bahagian but belakangnya untuk memudahkan meletak barangan dengan kemas.
City X dan Jazz X masing-masing dijual pada harga RM86,100 (atas jalan termasuk insurans) dan RM82,500 (atas jalan termasuk insurans). Tempoh menunggu bagi tempahan model edisi terhad ini ialah sebulan. Kedua-duanya juga didatangkan dalam warna khas; City X ditawarkan dalam warna Modern Steel Metallic dan Dark Ruby Red Pearl manakala Jazz X pula dalam pilihan warna Modern Steel Metallic dan Carnival Red.
Kedua-dua model ini dilengkapi enjin 1.5L SOHC i-VTEC yang digandingkan dengan sistem transmisi CVT, menggunakan pendekatan dan teknologi Honda Earth Dreams untuk pecutan yang lebih lancar dan cekap penggunaan minyaknya.
Jazz X turut menampilkan ciri Ultra Seats yang membolehkan tempat duduknya dilipat dalam empat mod berbeza. City X pula menyediakan ruang barangan seluas 536 liter, terbesar bagi segmennya. Selebihnya, edisi terhad ini mengekalkan semua penawaran yang ada pada versi biasa kedua-dua model berkenaan; antaranya Vehicle Stability Assist (VSA), Hill Start Assist (HSA) dan Emergency Stop Signal (ESS).
City dan Jazz merupakan dua model popular Honda untuk pasaran tempatan; kedua-duanya menyumbang 50% jumlah jualan Honda Malaysia. Sejak dilancarkan pada 2014, sebanyak 87,000 City sudah terjual, sementara Jazz mencatatkan 34,000 unit jualan setakat Julai 2016.
City X dan Jazz X ditawarkan dengan pakej jaminan lima tahun tanpa had perbatuan, tempoh servis diperpanjang kepada 10,000 km serta enam servis buruh percuma yang diselang-seli bersama servis berbayar sehingga 100,000 km. Untuk maklumat lanjut berkaitan model edisi terhad terbaharu ini, hubungi talian bebas tol Honda 1-800-88-2020.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
Motif?