Kawasan tanah rata di Bonneville sememangnya menjadi tumpuan bagi penggemar kelajuan dan apabila tiba musimnya, ramai yang akan datang untuk mencuba jentera masing-masing dan cuba mendapatkan kelajuan maksimum.

Honda mempunyai rekodnya yang tersendiri dan kali ini dengan menggunakan S-Dream yang dipacu oleh enjin 660cc dari roadster S660, mereka berjaya mencatat 421.59 km/j dalam jarak satu kilometer dan 421.45 km/j untuk satu batu (1.6km). Melalui catatan ini, Honda mendapat gelaran rekod dunia FIA dalam kelasnya – Kategori A, Kumpulan 1, Kelas 4. Ia juga menjadi kenderaan terpantas Honda.

Walaupun asalnya enjin 660cc yang digunakan hanya berkemampuan 64hp, jurutera Honda telah mengubahsuainya sehingga berjaya mendapat kuasa sebanyak 200hp. Ini termasuk perubahan pada bahagian bawah blok enjin, piston, crankshaft dan injap.

honda-s-dream-e1474596853574-850x381bm

Sebelum tiba di Bonneville, S-Dream cemerlang sepanjang sesi ujian di Jepun. Walaubagaimanapun, apabila pemandunya, Hikaru Miyagi melakukan ujian pemanduan di Bonneville, beliau mendapati terdapat isu penglihatan – kanopi terlalu sempit dan sukar untuk melihat keadaan luar.

Kereta ini kemudiannya dihantar ke fasiliti Honda di Santa Clarita, California dan keseluruhan bahagian atas pemandu diperbaiki. Ini berlaku cuma 10 hari sebelum acara rasmi dan Honda terlepas untuk membuat rekod di Bonneville Speed Week. Walaubagaimanapun, mereka diberi peluang untuk membuat catatan selepas itu. Masa yang dicatat oleh S-Dream mengatasi kenderaan Honda terpantas sebelum ini iaitu kereta BAR Honda F1 pada tahun 2006.