bhpetrol-improved-infiniti-diesel-1_bm

BHPetrol boleh dikatakan sebagai syarikat perintis yang membawa diesel bergred Euro 5 dalam pasaran tempatan di mana mereka telah memperkenalkan diesel dengan kandungan sulfur rendah berkenaan di Malaysia pada November 2014. Dengan kehadiran diesel ini, pengeluar automotif dalam negara kini lebih berani untuk menawarkan lebih banyak model yang dijana oleh enjin ‘clean diesel‘ moden seperti Mazda CX-5 2.2L SkyActiv-D dan Mitsubishi Triton 2.4L MIVEC Turbodiesel, yang masing-masing menggunakan enjin diesel dengan blok aluminium.

Hari ini, Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd telah melancarkan Diesel Infiniti Euro 5 dan Euro 2M yang dipertingkatkan dengan aditif generasi baharu. Enjin clean diesel generasi baharu seperti yang digunakan pada dua model yang disebutkan tadi menggunakan sistem commonrail diesel dilengkapi nozel bahan api dengan lubang sehalus 0.090 mm (anda perlu menggunakan mikroskop untuk melihat lubang ini secara jelas) dan pam pengagih bahan api dengan tekanan sehingga 2,500 bar.

Ini membolehkan suntikan yang diberikan nozel tersebut menjadi sangat halus, seterusnya memberikan pembakaran yang sempurna untuk menghasilkan kuasa yang optimum serta lebih mesra alam. Diesel yang berada dalam pasaran sekarang, walaupun dengan gred Euro 5, diadun dengan aditif lama yang tidak dapat membersihkan deposit karbon dihasilkan semasa pembakaran dan deposit karbon yang telah pun melekat pada nozel bahan api, walaupun dengan kadar rawatan adunan aditif diletakkan pada tahap maksimum.

Aditif lama berkenaan tidak lagi berkesan kerana enjin dengan sistem suntikan bahan api terus masa kini menghasilkan tekanan dalam kebuk pembakaran yang lebih tinggi dari enjin diesel lama yang dibekalkan dengan sistem suntikan bahan api tidak terus (diesel disuntik di kebuk pra-pembakaran), justeru menghasilkan suhu yang lebih tinggi.

bhpetrol-improved-infiniti-diesel-2_bm

Dengan pencemaran karbon deposit yang berlaku pada nozel penyuntik bahan api, lubang-lubang halus pada nozel berkenaan akan menyebabkan ia tersumbat. Apabila lubang-lubang pada nozel bahan api tersumbat, corak semburan bahan api ke dalam kebuk pembakaran akan ditala semula oleh kotak komputer, seperti yang telah dilaras oleh pengeluaran peralatan OEM atau pengeluar berkenaan sendiri. Ini akan menyebabkan enjin mengalami kekurangan kuasa dan penggunaan bahan api yang tidak ekonomi serta masalah lain seperti enjin sukar dihidupkan, kelajuan melahu yang tidak betul, asap hitam berlebihan dan mungkin kerosakan pada enjin.

Aditif baharu yang diadun pada Infiniti Diesel Euro 5 dan Euro 2M bertindak dengan lebih efisien yang bukan sahaja mampu membersihkan deposit karbon yang terhasil semasa pembakaran, malah turut menyingkirkan karbon deposit yang sedia ada pada nozel berkenaan.

Spesifikasi dari pengeluar OEM menyatakan kekurangan kuasa pada enjin diesel moden perlulah kurang dari 2%. Ini dapat dicapai dengan hanya mengadun aditif generasi baharu ini kepada Infiniti Diesel Euro 5 pada kadar rawatan minima yang disarankan oleh pengeluar dari Jerman. Walau bagaimanapun, BHP mengadun aditif baharu ini kedalam diesel keluaran mereka pada kadar rawatan maksimum, iaitu 2.5 kali lebih tinggi dari kadar rawatan minima, membolehkan diesel yang dipertingkatkan berkenaan memulihkan sepenuhnya kehilangan kuasa yang terjadi.

Keberkesanan aditif baharu ini telah dibuktikan dalam ujian standard industri yang dijalankan berdasarkan prosedur ujian diformulasikan oleh Coordinating European Council (CEC) menerusi ujian XUD 9 CEC 23-01 (untuk enjin diesel lama dengan sistem kebuk pra-pembakaran) dan ujian DW 10 CEC F 98-08 (untuk enjin diesel baharu dengan sistem suntikan bahan api terus).

Infiniti Diesel baharu ini kini boleh didapati di lebih 105 stesen servis BHP seluruh negara dan dijual pada harga pasaran yang sama seperti ditetapkan oleh kerajaan Malaysia.