PANDU UJI: Mazda CX-5 2.2L SkyActiv-D – paradigma baharu teknologi diesel untuk kenderaan penumpang

Mazda_CX-5_Diesel_Ext-3

Mazda merupakan satu jenama dengan pasaran yang agak niche di Malaysia. Jualan jenama ini mungkin tidak sebanyak jenama Jepun lain, tetapi dengan ciri unik yang ada padanya, contohnya rekaan berkonsepkan ‘KODO Soul of Motion‘, enjin petrol SkyActiv-G dengan nisbah mampatan tinggi, serta kotak gear automatik SkyActiv-Drive dengan respon yang baik, membuatkan Mazda sentiasa mengekalkan pengikutnya tersendiri walaupun model-model mereka dijual pada harga yang lebih tinggi berbanding pengeluar senegaranya.

Dengan bertambahnya stesen minyak yang menjual diesel berkualiti tinggi bergred Euro 5 dalam negara, Bermaz Motor mengambil inisiatif untuk mengembangkan lagi teknologi unik dari Mazda untuk rakyat Malaysia iaitu menawarkan barisan enjin diesel SkyActiv-D untuk model-model mereka iaitu Mazda 6 diesel, Mazda CX-5 diesel, Mazda CX-3 diesel serta Mazda 2 diesel.

Pengenalan model-model ini dimulakan dengan pelancaran dua model buat permulaan iaitu Mazda 6 2.2L SkyActiv-D serta Mazda CX-5 2.2L SkyActiv-D. Serentak dengan hari pelancaran kedua-dua model ini, Bermaz turut mengadakan sesi pandu uji model baharu ini dari bilik pameran mereka di Glenmerie, Shah Alam ke Melaka. Dalam sesi berkenaan, saya diberi peluang untuk menguji kemampuan SUV segmen-C Mazda CX-5 2.2L SkyActiv-D.

Model untuk pasaran Malaysia ini merupakan versi CKD yang dipasang di Kulim, Kedah. Oleh itu, ia dijual dengan harga atas jalan tanpa insuran yang agak kompetitif iaitu RM161,529 dan didatangkan bersama waranti tiga tahun atau 100,000km serta servis percuma selama tiga tahun atau 60,000km. Empat pilihan warna ditawarkan iaitu Aluminium Metallic, Arctic White, Blue Reflex dan Meteor Grey.

Mazda_CX-5_Diesel_Ext-23

CX-5 diukur dengan dimensi 4,555 mm panjang, lebar 1,840 mm, tinggi 1,670 mm dan jarak roda pula 2,700 mm. Dari segi saiz, CX-5 bukanlah yang paling besar dan bukan juga yang paling kecil dalam kelasnya. Ia 35 mm lebih pendek, 20 mm lebih lebar dan 15 mm lebih rendah serta jarak roda 80 mm lebih panjang dari Honda CR-V. Jika dibandingkan dengan SUV paling kecil dalam segmen ini iaitu Hyundai Tucson, CX-5 adalah 80 mm lebih panjang, 15 mm lebih tinggi dan jarak roda 30 mm lebih panjang. Walau bagaimanapun, Tucson mempunyai kelebaran 10 mm lebih berbanding CX-5.

Penampilan luaran CX-5 diesel ini adalah seiras dengan model petrol facelift 2.5L. Ia dipadankan dengan sepasang lampu hadapan LED, lampu nyalaan siang dan lampu kabus hadapan. Manakala lampu belakangnya adalah kombinasi mentol dan LED. Ia turut hadir dengan bilah pengilap cermin hadapan dengan pengesan hujan, cermin sisi berkuasa dengan indikator membelok serta rim aloi 19-inci yang dibaluti tayar 225/55/R19. Satu-satunya perbezaan pada bahagian luaran adalah emblem ‘SkyActiv-D’ yang ditempatkan pada pintu tailgate belakang.

Kabin CX-5 juga kelihatan seiras dengan model petrol menampilkan tempat duduk pemandu larasan elektronik lapan-hala dan manual bagi penumpang hadapan. Malah tempat duduk belakang juga boleh dilipat secara nisbah 20:40:40 dan kesemua tempat duduknya menerima balutan kulit.

Selain itu, ia turut ditampilkan dengan butang penghidup enjin, brek parkir elektronik, roda stereng teleskopik boleh laras, kawalan kelajuan, penghawa dingin dua-zon, cermin pandang belakang anti-silau, sistem kunci pintar, kamera undur serta roda stereng dan tombol gear balutan kulit. Cuma skala pada takometer yang berbeza di mana bacaan maksimum untuk model diesel hanyalah pada 6,000 rpm (redline pada 5,200 rpm) manakala untuk model petrol pula bacaan maksimum pada 8,000 rpm (redline pada takat 6,500 rpm).

Untuk sistem infotainmen, ia dilengkapi dengan paparan skrin sesentuh tujuh-inci dengan MZD Connect bersama pemain CD dan MP3, enam-speaker, sambungan Bluetooth termasuk kit bebas tangan bagi telefon bimbit, Multi-Function Commander Control, sistem navigasi, butang kawalan audio dan sambungan telefon bimbit pada roda stereng, dan dua port USB.

Untuk keselamatan, CX-5 diesel didatangkan dengan pakej bantuan pemanduan i-Activsense yang terdiri daripada sistem pencahayaan lampu hadapan, ABS, EBD, Kawalan Kestabilan Dinamik dan Sistem Kawalan Cengkaman. Bonus untuk model SkyActiv-D, ia turut dilengkapi dengan Sokongan Brek Bandar Pintar (SCBS) dan Pemantauan Titik Buta (BSM) – dua ciri ini tidak dilengkapi pada mana-mana varian petrol. Selain itu, ia turut dilengkapi dengan enam beg-udara SRS, cagak Isofix serta pengesan parkir hadapan dan belakang.

Enjin – ini yang membezakan CX-5 SkyActiv-D berbanding varian lain. Ia menggunakan enjin diesel 2.2 liter SkyActiv-D empat silinder dengan dua pengecas turbo berkuasa 173 hp pada takat 4,500 rpm dan tork maksima 420 Nm pada takat 2,000 rpm. Berbanding varian 2.5 liter petrol, enjin diesel ini kurang 12 hp tetapi mempunyai bekalan tork 170 Nm lebih besar dan mencapai tahap maksima 1,250 rpm lebih awal!

Apa keistimewaan enjin diesel Mazda ini berbanding enjin diesel untuk kereta penumpang biasa pengeluar lain? Mazda berusaha untuk melenyapkan banyak kelemahan pada enjin diesel dengan bermain bersama satu faktor utama iaitu nisbah mampatan. Pada enjin diesel suntikan bahan api terus biasa, nisbah mampatan boleh mencapai maksimum sehingga 23:1 (iaitu 23 bahagian udara dan 1 bahagian bahan api). Nisbah mampatan yang tinggi ini akan menyebabkan satu masalah utama iaitu tingginya suhu pada enjin tersebut dan menyebabkan banyak lagi kelemahan lain yang berkaitan dengan kecekapan enjin.

Mazda_CX-5_Diesel_Ext-34

Enjin SkyActiv-D terbaharu Mazda menghasilkan nisbah mampatan hanya pada tahap 14.0:1 – nisbah mampatan paling rendah dicatatkan pada sebuah enjin diesel di dunia, berbanding enjin SkyActiv-D sebelum ini yang menghasilkan nisbah mampatan 16.3:1.

Nisbah mampatan yang rendah ini dapat dicapai dengan mempercepatkan suntikan bahan api di dalam kebuk pembakaran. Berbanding enjin diesel konvensional yang memancitkan bahan api dan seterusnya memulakan lejang kuasa apabila omboh mencapai kedudukan Top-Dead Center (TDC), enjin SkyActiv-D menyuntik bahan api lebih awal daripada itu iaitu ketika omboh menghampiri TDC, semasa lejang mampatan.

Dengan nisbah mampatan yang rendah, secara langsungnya suhu pada enjin ini juga menjadi lebih rendah. Oleh itu, hasil pembakaran enjin ini juga menjadi jauh lebih bersih kerana penghasilan nitrogen oksida (NoX) turun secara mendadak membolehkan enjin ini mencapai tahap emisi Euro 6 tanpa menggunakan sistem pancitan bahan api tambahan yang ‘menembak’ pada sistem ekzos untuk membakar lebihan NoX tersebut (sistem inilah yang menyebabkan model diesel jenama lain yang dapat kita lihat akan ‘menembak’ keluar sejumlah asap hitam dari tip ekzos ketika mereka memecut secara tiba-tiba).

Dengan suhu yang rendah juga membolehkan kadar oksigen dalam udara yang disedut masuk ke kebuk pembakaran menjadi lebih banyak. Seperti yang diketahui, oksigen merupakan salah satu agen yang diperlukan untuk menghasilkan pembakaran. Jadi, lebih oksigen bermaksud pembakaran akan menjadi lebih kuat dan kecekapan enjin ini menjadi lebih tinggi.

20160720_0511

Satu lagi kelebihan mempunyai nisbah mampatan yang rendah adalah ia turut menanggung beban atau stress lebih ringan dari enjin diesel biasa. Oleh itu,ia komponen-komponen pada enjin tidak perlu menggunakan bahan asas yang lebih berat dan kuat. Enjin SkyActiv-D menampilkan komponen yang lebih ringan dan lebih kurang geseran seperti blok aluminium, dinding silinder lebih nipis serta omboh dan aci seseondol lebih ringan. Ini bukan sahaja memberikan kecekapan bahan api yang lebih bagus, ia juga turut memberikan respon enjin yang lebih baik dan lebih stabil.

Dengan nisbah mampatan yang rendah, enjin diesel mungkin agak sukar dihidupkan terutamanya pada waktu sejuk. Oleh itu jurutera Mazda memadankan penyuntik bahan api piezo dengan lubang suntikan pelbagai titik. Tiga bentuk suntikan mampu ditangani oleh penyuntik ini iaitu pra-suntikan, suntikan utama, dan suntikan selepas. Dengan semua mod suntikan ini, enjin SkyActiv-D ini mampu beroperasi secara optimum dalam apa jua situasi.

Injap ekzos enjin ini juga dilengkapi dengan sistem bukaan injap bervariasi (VVL). Melalui sistem ini, enjin akan lebih cepat mencapai suhu bekerja yang optimium dengan bukaan sedikit pada injap ekzos semasa proses lejang kemasukan, membolehkan haba dari ekzos dialirkan kembali ke kebuk pembakaran.

Selain itu, enjin ini juga menggunakan dua buah pengecas turbo yang berfungsi secara dua peringkat. Dalam kelajuan rpm rendah, hanya pengecas turbo yang kecil berfungsi bagi memberikan respon yang lebih cepat dan mengelakkan berlakunya turbo-lag. Apabila rpm semakin tinggi dan lebih udara diperlukan, barulah pengecas turbo kedua yang lebih besar berfungsi. Selain memberikan respon yang lebih baik, sistem turbo dua peringkat ini juga turut menyumbang dalam mengurang emisi NoX kerana udara yang dibekalkan sentiasa pada tahap optimal.

20160720_0532

Sistem diesel Mazda ini turut dilengkapi oleh penapis zarah diesel (diesel particulated filter). Penapis ini adalah untuk memastikan asap ekzos sentiasa bersih, tanpa asap berwara hitam keluar dari tip ekzos. Oleh itu, pemilik adalah disarankan untuk menggunakan diesel berkualiti tinggi iaitu diesel Euro 5 yang rendah sulfur bagi memastikan penapis ini tahan lebih lama tanpa tersumbat.

Kesemua kuasa dari enjin SkyActiv-D ini akan dialirkan ke kotak gear automatik enam kelajuan SkyActiv-Drive. Untuk pasaran Malaysia, CX-5 diesel hanya ditawarkan dengan pilihan pacuan roda hadapan.

Jadi bagaimana pula prestasi dan persembahan CX-5 diesel ini dalam dunia sebenar? Jika anda berdiri di bahagian hadapan SUV ini, anda masih lagi boleh mengesan ia dijana oleh enjin diesel berikutan bunyi ‘ketukan’ diesel masih jelas kedengaran pada sudut ini. Dengan pelbagai inovasi pada enjin, sebaliknya pula berlaku jika anda berdiri pada bahagian belakang kerana langsung tiada asap hitam keluar dari muncung tip ekzos, walaupun anda menekan pedal pendikit enjin.

Begitu juga apabila anda masuk ke dalam kabin, perkara sebaliknya juga berlaku berbanding anda berada diluar. Bunyi enjin masuk dengan kadar minimal kedalam kabin serta bunyi ketukan diesel langsung tidak kedengaran, membuatkan mereka yang tidak diberitahu tidak akan menyedari CX-5 ini dijana oleh enjin diesel.

Seperti yang dinyatakan tadi, enjin ini mempunyai bekalan kuasa tork yang besar iaitu 420 Nm. Walaupun masih lagi mempunyai karekter enjin diesel iaitu redline kelajuan enjin ini ditetapkan hanya pada 5,200 rpm, jurutera Mazda bijak ‘bermain’ dengan nisbah gear yang lebih kecil bersama tork yang sangat besar. Nisbah kecil pada kotak gear SkyActiv-Drive berkenaan menjadikan setiap gear terasa panjang dan tork yang besar pada enjin tidak mempunyai masalah untuk membawa nisbah gear berkenaan. Ini membuat saya merasakan seperti memandu sebuah enjin petrol dengan rpm lebih tinggi ketika ‘menarik’ setiap gear, sangat berbeza dengan karekter enjin SUV diesel berasaskan trak pikap seperti Toyota Fortuner atau Isuzu MU-X.

Talaan ini juga menjadikan ia lebih selesa dipandu daripada enjin petrol dalam situasi tertentu, contohnya ketika ‘cruising‘. Pada kelajuan malar had laju lebuhraya Malaysia (110 km/j) enjin ini dengan tenang hanya berputar pada kelajuan sekitar 2,100 rpm. Apabila ‘diperah’ pedal pendikit, dengan enjin yang tidak mengaum kuat, saya tidak sedar yang jarum meter kelajuan telah pun mencapai angka 190 km/j dengan mudah. Nisbah gear ini juga memberikan pecutan yang linear walaupun menerima tork yang agak besar.

Untuk penggunaan bahan api pula, paparan pada skrin pelbagai info menunjukkan bacaan purata berada paras sekitar 5.8 liter untuk setiap 100 kilometer dalam perjalanan dari Glenmerie ke Melaka.

Pengendalian pada CX-5 diesel ini masih mengekalkan kecemerlangan seperti varian petrolnya. Dibina dari platform kerangka SkyActiv, SUV ini menampilkan suspensi jenis topang McPherson pada bahagian hadapan dan gantungan bebas jenis multilink di bahagian belakang. Walaupun mempunyai kelegaan tanah yang tinggi, tahap olengan badannya masih berada pada tahap hampir sama dengan sebuah sedan begitu juga pada dinamik pemanduannya.

Mazda CX-5 SkyActiv-D mungkin lebih mahal dari varian-varian 2WD petrol (varian tertinggi 2WD petrol dijual pada harga atas jalan RM159,815.90) yang lain. Tetapi, model diesel ini adalah varian yang unik, di mana tiada lagi model seumpamanya (SUV unibody segmen-C berkuasa diesel) dijual dalam pasaran Malaysia. Selain dari penjimatan bahan api yang lebih bagus, enjin diesel revolusioner dari Mazda ini turut memberikan kuasa di luar jangkaan anda.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required