MazdaCX-5_SkyactiveD_Ext-3

Mazda CX-5 2.2L 2WD SkyActiv-D turut diumumkan memasuki pasaran Malaysia sebagai menambahkan variasi kenderaan penumpang bagi varian enjin diesel. Ia juga merupakan model pemasangan tempatan (CKD) yang dipasang di kilang pemasangan Bermaz di Kulim, Kedah.

Ditawarkan pada harga atas jalan RM161,529 (tanpa insurans), model ini juga didatangkan bersama waranti tiga tahun atau 100,000km dan servis percuma selama tiga tahun atau 60,000km.

Sama seperti Mazda 6 2.2L SkyActiv-D, CX-5 varian diesel ini turut dijanakan oleh enjin 2.2 liter empat-silinder turbo dua peringkat SkyActiv-D. Unit enjin ini berupaya menjana kuasa sehingga 173 hp pada takat 4,500 rpm dan tork maksima 450 Nm pada 2,000 rpm. Ia turut dipadankan dengan kotak gear automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuan bersama mod manual.

MazdaCX-5_SkyactiveD_Ext-24

Bagi menambahkan kecemerlangan pengendaliannya, ia turut dilengkapi dengan cakera brek berliang untuk hadapan dan solid di belakang. Manakala sistem suspensi pula menggandingkan topang MacPherson di hadapan dan multi-link di belakang.

Tiada perbezaan dengan CX-5 unit petrol, melainkan ditampilkan dengan emblem SkyActiv-D pada bahagian belakang. Selain itu, elemennya masih dikekalkan termasuk dengan teknologi LED bagi lampu utama, lampu nyalaan siang dan lampu kabus hadapan. Manakala lampu belakangnya adalah kombinasi mentol dan LED. Ia turut hadir dengan bilah pengilap cermin hadapan dengan pengesan hujan, cermin sisi berkuasa dengan indikator membelok dan rim aloi 19-inci yang dibaluti tayar 225/55/R19.

CX-5 diesel ini berukuran 4,555 mm bagi panjang, berketinggian 1,840 mm, selebar 1,670 mm dan jarak roda pula 2,700 mm.

Menjengah bahagian kabinnya, ia turut menampilkan tempat duduk pemandu larasan elektronik lapan-cara dan manual bagi penumpang hadapan. Malah tempat duduk belakang juga boleh dilipat secara nisbah 20:40:40 dan material kulit turut dipilih bagi membaluti tempat duduknya.

Selain itu, ia turut ditampilkan dengan butang start/stop enjin, brek parkir elektronik, roda stereng teleskopik boleh laras, kawalan kelajuan, penghawa dingin dua-zon, cermin pandang belakang anti-silau, kawalan kemasukan tanpa kunci, kamera undur serta balutan kulit bagi roda stereng dan tombol gear.

Bagi sistem hiburan, ia dilengkapi dengan paparan skrin sentuh tujuh-inci dengan MZD Connect bagi sistem hiburan bersama pemain CD dan MP3, enam-speaker, sambungan Bluetooth termasuk kit bebas tangan bagi telefon bimbit, Multi-Function Commander Control, sistem navigasi, butang kawalan audio dan sambungan telefon bimbit pada roda stereng, dan dua port bagi USB.

Bagi aspek keselamatannya, ia didatangkan dengan i-Activsense yang terdiri daripada sistem pencahayaan lampu hadapan, sokongan brek bandar pintar dan pemantauan titik buta, selain ABS, EBD, kawalan kestabilan dinamik dan sistem kawalan cengkaman. Malah turut dilengkapi dengan enam beg-udara SRS, cagak Isofix serta pengesan parkir hadapan dan belakang.

Dengan harga atas jalan RM161,529 (tanpa insurans), CX-5 2.2L 2WD SkyActiv-D ditawarkan dengan empat pilihan warna iaitu Aluminium Metallic, Arctic White, Blue Reflex dan Meteor Grey.

Menurut Mazda, penggunaan diesel Euro 5 adalah disarankan. Namun jika pemiliknya mahu menggunakan biodiesel B10, warantinya masih kekal standard iaitu jarak servis setiap 10,000 km. Namun pemiliknya digalakkan untuk mempercepatkan jarak servis lebih awal daripada yang ditetapkan. Walau bagaimana pun, Mazda sebenarnya tidak menggalakkan penggunaan biodiesel B10 kerana jika ia didapati mendatangkan masalah pada enjin, waranti (jika masih ada) akan terbatal serta-merta.