Triton_Mivec_Blue_Ext-2

Setelah diperkenalkan di Thailand pada Mac lalu, kini Mitsubishi Triton versi dipertingkat secara rasminya dilancarkan untuk pasaran Malaysia. Trak pikap ini yang dibawa secara CBU dari Thailand oleh Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) ini hadir dalam enam varian dan kini dikuasakan dengan enjin baharu 2.4 liter MIVEC Turbodiesel untuk varian-varian VGT.

Enam varian berkenaan adalah Triton VGT Adventure X 4×4 AT (RM125,005), VGT Adventure 4×4 AT (RM118,198), VGT 4×4 AT (RM109,446), 4×4 VGT MT (RM102,619), 4×4 MT (RM88,997) dan varian paling rendah Quest 4×2 MT (RM73,438). Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran, termasuk GST. Setiap pembelian trak pikap ini disertakan sekali dengan waranti pengeluar selama tiga-tahun atau 100,000 km (yang mana sampai dahulu) serta servis penyelenggaraan percuma selama dua tahun.

Seperti yang dinyatakan tadi, perubahan terbesar pada model versi dipertingkat ini adalah enjin 2.4 liter MIVEC Turbodiesel yang dipadankan, menggantikan enjin 2.5 liter Turbodiesel sebelum ini. Walaupun dengan kapasiti kurang 100cc enjin baharu ini menghasilkan kuasa 3 ps dan tork 30 Nm lebih tinggi, dengan jumlah kuasa keseluruhan 181 ps pada takat 3,500 rpm dan tork maksima 430 Nm pada takat 2,500 rpm.

Seperti yag diuji dan disahkah oleh paultan.org, enjin baharu ini juga 15% lebih cekap berbanding enjin sebelum ini. Walau bagaimanapun, varian bukan VGT iaitu 4×4 MT masih dijana enjin 2.5 liter diesel turbo intercooler (136 PS/323 Nm) dan Quest 4×2 dikuasakan oleh enjin 2.5 liter diesel turbo tanpa intercooler (110 PS/200 Nm).

Triton_Mivec_Silver-6

Enjin MIVEC ini sebenarnya telah ditawarkan pada Triton pasaran Thailand sejak tahun lalu, tetapi hanya dilengkapi pada model pasaran Malaysia tahun ini. Menurut Mitsubishi, enjin “Clean Diesel” yang memenuhi spesifikasi Euro-5 ini hanya hadir di Malaysia setelah diesel dengan kandungan sulfur yang rendah bergred Euro-5 mula dipasarkan secara meluas di stesen-stesen minyak tempatan, berbanding sebelum ini hanya ditawarkan dengan diesel bergred Euro 2M.

Dengan sistem pemasaan injap bervarisi MIVEC yang dipadankan pada enjin Turbodiesel ini, pembakaran pada tekanan lebih rendah dapat dihasilkan pada kebuk pembakaran. Oleh itu, blok enjin diesel MIVEC ini dapat dibina menggunakan bahan aluminium yang 30 kg lebih ringan berbanding blok enjin besi tuang.

Dengan pembakaran yang berlaku pada tekanan lebih rendah, sistem suntikan diesel common rail juga dipertingkatkan yang bukan sahaja memberikan operasi yang lebih senyap dan kadar emisi lebih rendah, malah membolehkan enjin ini beroperasi pada prestasi yang optimum dan mudah dihidupkan walaupun pada cuaca sejuk. Aci sesondol pada enjin ini juga digerakkan dengan sistem rantai pemasa (timing chain) untuk ketahanan dan memudahkan proses penyelenggaraan.

Varian VGT 4×4 dengan transmisi manual juga menerima kotak gear manual enam-kelajuan baharu, menggantikan kotak gear lima kelajuan sebelum ini. Kesemua varian AT masih menggunakan transmisi lima-kelajuan automatik dengan mod sport dan varian 4×4 biasa serta Quest 4×2 masih mengekalkan kotak gear lima-kelajuan manual.

Triton_Mivec_Blue_Int-1

Kesemua model Triton VGT 4×4 juga kini dilengkapi dengan sistem pacuan empat-roda Easy Select 4WD yang disadur terus dari sistem Super Select 4WD II Pajero Sport, sama seperti pada model pasaran Thailand. Sistem tersebut memberikan mod 4H pacuan empat roda sepanjang masa, dengan unit karbeda (differential) tengah yang mengagihkan tork antara bahagian hadapan dan belakang.

Mod 4HLc dan 4LLc akan mengunci unit karbeda, sama seperti mod 4H dan 4L seperti sistem terdahulu, manakala mod 2H pacuan dua roda dikekalkan untuk penggunaan bahan api yang lebih efisien. Untuk varian manual, sistem ini turut hadir dengan suis putar pemilih mod 4WD dan tiada lagi tuil penukar gear kedua seperti sebelum ini. Varian VGT juga dilengkapi dengan LSD hibrid pada bahagian gandar belakang.

Varian VGT 4×4 Adventure X (hanya hadir ke bilik pameran bermula 23 September) kini merupakan varian tertinggi dalam barisan model Triton, dan dilengkapi dengan aksesori seperti Shield Extender pada bampar hadapan, gril hadapan kemasan hitam matte, bar Sports pada ruang kargo belakang lengkap dengan penutup penuh serta roda aloi dua ton berdiameter 17-inci secara standard. Warna badan istimewa Impulse Blue seperti yang dipamerkan pada Bangkok Motor Show dan imej spyshot sebelum ini juga ditawarkan untuk model ini selain dari warna Titanium Grey.

Varian pertengahan VGT AT dan MT juga kini menerima ciri-ciri standard yang dipertingkat merangkumi lampu hadapan automatik B-Xenon HID lengkap dengan lampu nyalaan siang LED sama seperti varian Adventure, serta lampu kabus untuk bahagian belakang. Ciri-ciri lain yang kekal pada varian-varian VGT adalah cermin sisi berkuasa kemasan krom dengan lampu isyarat membelok

Bahagian dalaman, varian VGT Adventure X dan VGT Adventure dilengkapi dengan unit pemain audio dengan skrin sesentuh bersama kawalan suara dan kamera undur, penghawa dingin dua zon, roda stereng tiga jejari balutan kulit dengan pedal penukar gear dan butang kawalan audio bersama Bluetooth serta kawalan audio, Kawalan Kelajuan dan tempat duduk balutan kulit.

Varian VGT lain pula menerima pemain audio dengan skrin sesentuh, penghawa dingin automatik, roda stereng balutan kulit tiga jejari dengan butang kawalan audio dan tempat duduk balutan fabrik. Kesemua pemain audio varian VGT dihubungkan kepada enam-pembesar suara. Kesemua varian VGT masih lagi dibekalkan dengan sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin. Varian 4×4 manual dan Quest 4×2 pula hanya dibekalkan dengan penghawa dingin manual, pemain audio 1-DIN, serta roda stereng biasa. Sistem audio varian 4×4 MT dihubungkan kepada empat-pembesar suara manakala varian Quest hanya menerima dua-pembesar suara.

Untuk keselamatan, kesemua varian menerima sistem brek ABS lengkap dengan EBD, dua-beg udara pada bahagian hadapan dan cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX. Walau bagaimanapun hanya varian-varian VGT dilengkapi dengan penderia undur.

GALERI: Mitsubishi Triton VGT Adventure X 4×4

GALERI: Mitsubishi Triton VGT Adventure 4×4

GALERI: Mitsubishi Triton VGT MT 4×4

GALERI: Keratan rentas enjin MIVEC Turbodiesel 2.4 liter

GALERI: Gambar rasmi Mitsubishi Triton VGT Adventure X 4×4