Perodua_Bezza_Advance_Ext-20

Menurut Institute of Motor Industry (IMI) yang berpengkalan di UK, kenderaan cekap tenaga (EEV) kini menjadi kluster pesat membangun baharu yang ketara di Malaysia, yang membuka peluang pekerjaan baharu dengan gaji yang lebih baik dalam sektor automotif, menurut laporan Bernama.

Pengurus Kanan IMI Asia Tenggara Matthew Stuart berkata kebangkitan EEV di Malaysia dan pelbagai insentif yang ditawarkan untuk kenderaan dengan status EEV, merangsang permintaan untuk pekerja automotif dengan kemahiran EEV.

“Walaupun mereka dilatih dengan set kemahiran untuk bekerja bagi kereta konvensional, pengetahuan sedia ada tetap penting dan perlu, dan mereka perlu mengubah kecekapan mereka dalam mengendalikan EEV memandangkan bilangan kenderaan jenis itu yang semakin meningkat dalam pasaran dan di atas jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan.

Atas insentif potongan cukai yang ditawarkan serta penanda aras yang boleh digunakan pengguna dalam membeli kenderaan baharu, kini lebih banyak pengeluar automotif dalam Malaysia giat untuk mendapatkan pengiktirafan EEV ini. Pembuat-pembuat dari Eropah seperti Volvo Cars Malaysia dan BMW Group Malaysia dilihat giat menjalankan usaha ini, begitu juga dengan Toyota di mana Vios 2016 yang baharu dilancarkan semalam turut diiktiraf sebagai EEV.

Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) baru-baru ini juga melancarkan Perodua Bezza, sedan EEV pertama dihasilkan di kilang pengeluaran EEV yang disahkan di Rawang.

Tambah Stuart lagi, jika pertumbuhan dalam industri ini meningkat, begitu juga dengan pewujudan pekerjaan dalam bidang yang berkaitan.