mercedes-e63-amg-001_bm

Pernah dilaporkan sebelum ini, Mercedes-AMG E 63 W213 akan dipadankan dengan sistem pacuan semua roda 4Matic secara standard. Namun Pengerusi AMG Tobias Moers menyatakan, jentera baharu berkenaan masih mempunyai karekterisktik pengendalian seperti jentera pacuan roda belakang, serta dilengkapi dengan fungsi ‘drift mode‘ yang baharu dibangunkan.

“Ia pacuan empat roda dan kami akan mewujudkan drift mode,” kata beliau kepada Autocar semasa berlangsungnya Paris Motor Show 2016. Sistem dari Mercedes ini tidak sepenuhnya sama seperti pada Ford Focus RS, di mana mod drift rekaan Mercedes ini menggunakan agihan tork dari sistem kawalan stabiliti elektronik untuk menghantar kesemua 100% kuasa dari enjin ke roda belakang, membolehkan pergerakan power oversteer terhasil, walaupun dilengkapi sistem pacuan semua roda.

amg-e63-black-series-5_bm

“Ia akan berkuasa di bawah dan di atas 600 hp,” tambah Moers dan menyatakan jentera E-Class berprestasi tinggi berkenaan akan mencabar model seperti Audi RS6 dan BMW M5 terbaharu. Angka 600 hp berkenaan dijangka akan diperolehi pada varian E 63 S, mengikuti trend yang diwujudkan pada barisan model C 63.

Model baharu tersebut bakal dikuasakan oleh enjin V8 4.0 liter dengan pengecas turbo yang diolah semula oleh AMG, menggantikan enjin berkapasiti 5.5 liter sedia ada. Walaupun dengan kapasiti lebih kecil, enjin berkenaan dijangka dapat menghasilkan prestasi yang lebih baik. “Ia lebih laju di (Litar Nurburgring) Nordschleife dari sebelum ini,” kata Moers lagi dan menyimpulkan bahawa “ini merupakan langkah paling besar yang kami ambil dengan E-Class.”

GALERI: Imej spyshot Mercedes-AMG E63 W213

GALERI: Imej spyshot AMG E63 wagon Black Series