2017-bmw-motorrad-k1600-b-10-e1476146826277-850x586bm

Sesetengah pasaran mempunyai kemahuan yang unik dan jika permintaannya cukup tinggi, pengeluar akan menghasilkan model yang bersesuaian. Di Amerika Syarikat model bagger cukup terkenal dan BMW tidak mahu ketinggalan, seterusnya memperkenalkan model khas K1600B.

Asas motosikal ini adalah dari model K1600 GT, menggunakan enjin enam silinder berkemampuan 160 hp dan 175 Nm tork. Cuma, ia dijadikan sebuah bagger untuk pasaran Amerika Syarikat dengan kedudukan yang rendah, kedudukan menunggang santai dan beg sisi yang mengikut bentuk belakang motosikal tersebut.

Beg sisi ini, mempunyai penutup yang lebih nipis bagi mendapatkan ruang dalam yang luas dan ia dilengkapi dengan lampu LED supaya mudah dilihat oleh pengguna jalan raya lain di belakangnya. Sementara itu, penghadang lumpur yang menyembunyikan tayar pula boleh dilipat ke atas bagi memudahkan tayar dibawa keluar apabila perlu.

BMW turut melengkapkan motosikal ini dengan suspensi semi aktif Dynamic ESA oleh BMW Motorrad sendiri, yang datang dengan penyerapan automatik. Penunggang boleh memilih antara mod ‘Road’ atau ‘Cruise’ bagi menyesuaikan hentakan suspensi dengan jenis tunggangan yang dimahukan.

Berat keseluruhan motosikal ini masih belum disiarkan oleh BMW tetapi ia kelihatan seperti tidak jauh beza dengan K1600 GT yang mencatat 319 kg. Jadi, keputusan untuk meletakkan gear undur pada motosikal ini sememangnya berguna.

BMW K1600 B turut didatangkan dengan pelbagai aksesori dan antaranya termasuk penghadang udara hadapan yang boleh dikawal secara elektronik dan quickshifter, yang dipanggil oleh BMW sebagai Shift Assist Pro. Barangan lain adalah seperti tempat letak kaki berserta tuil pengawal yang lebih ke hadapan dan tempat letak kaki yang lebih selesa bagi penumpang.

Masih belum ada harga untuk K1600 B tetapi jika di Malaysia, K1600 GT dijual pada harga RM159,900, sementara GTL dan GTL Exclusive pula masing-masing RM167,900 dan RM185,900 termasuk GST.