Isuzu D-Max facelift 2016 dilancarkan di Malaysia – varian lebih luas, harga bermula RM83k – RM128k

isuzu-d-max-facelift-bm-15

Setelah tiga tahun berada dalam pasaran, Isuzu hari ini telah melancarkan trak pikap D-Max generasi kedua versi facelift. Ia kini ditawarkan dalam lapan versi berbeza yang terdiri dari model dengan enjin 2.5 liter turbodiesel atau 3.0 liter turbodiesel, pacuan 4×2 atau 4×4, dan juga sama ada dengan transmisi automatik atau manual. Versi-versi berbeza ini akan disediakan dalam tiga varian berbeza iaitu Standard, Premium dan varian tertinggi Z-Prestige.

Model paling asas 2.5L 4×2 Manual Hi-Ride Standard dijual pada harga RM82,978.84, 2.5L 4×4 Manual Standard berharga RM93,006.44, 2.5L 4×4 Automatic Standard berharga RM107,596.28 dan model paling berkuasa dalam varian Standard iaitu 3.0L 4×4 Automatic dijual pada harga RM115,690.40.

Untuk barisan varian premium pula, ia ditawarkan dengan model 2.5L 4×4 Premium dijual pada harga RM103,405.04 dan 3.0L 4×4 Premium dijual pada harga RM113,063.72. Hanya transmisi manual disediakan untuk kedua-dua model dari varian premium ini, tanpa ada pilihan transmisi automatik.

isuzu-d-max-facelift-bm-5

Varian tertinggi Z-Prestige pula dibarisi oleh model 2.5L 4×4 Automatic yang dijual pada harga RM120,064.00 dan 3.0L 4×4 Automatic dijual pada harga RM128,052.12. Berbeza dengan varian Premium, kesemua model varian Z-Prestige ini hanya hadir dengan pilihan transmisi automatik sahaja. Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan dengan insuran dan GST. Waranti untuk Isuzu D-Max kini diperbaharui, dilanjutkan daripada 3 tahun atau 100,000km kepada 5 tahun atau 150,000km.

Pada bahagian hadapan, D-Max facelift diberikan sentuhan rekaan yang disegarkan semula bermula dari lampu hadapan, gril hadapan, dan juga bampar hadapan baharu yang menampilkan perumah lampu kabus serta gril rekaan pada liang kemasukan bahagian tengah baharu. Bahagian belakang kelihatan seiras dengan model sebelum ini, dibezakan dengan kemasan hitam yang kini diberikan disekeliling lampu belakang trak pikap ini.

Kesemua model D-Max facelift dipadankan dengan lampu hadapan projektor elipsoid lengkap dengan lampu nyalaan siang, gril hadapan kemasan krom serta cermin sisi berkuasa dengan lampu isyarat membelok LED. Sports Bar pada bahagian belakang disediakan sebagai opsyen untuk semua varian. Untuk pecahan varian, kesemua model Standard diberikan antena biasa dan lampu belakang jenis mentol biasa. Varian ini menerima roda aloi bersaiz 16-inci dengan tayar 245/70R16.

isuzu-d-max-facelift-bm-21

Untuk model Premium pula, ia akan dipadankan secara standard dengan lampu kabus hadapan, antena sirip jerung, pembuka tailgate kemasan krom, serta lampu belakang LED. Varian ini juga dilengkapi roda aloi 18-inci dengan tayar 255/60/R18.

Varian Z-Prestige agak istimewa kerana varian ini dibahagikan kepada tiga tema. Tema pertama ialah eksekutif hadir dengan warna Silky White Pearl, direka untuk eksekutif yang sentiasa sibuk dengan penekanan kepada penampilan dan gaya mewah. Tema eksklusif dengan warna Velvet Red Mica pula direka khusus bagi yang rugged dan sukakan cabaran. Akhir sekali, tema provokatif dikenakan warna Stallion Black untuk melambangkan kehidupan ‘urban underground’.

Kesemua tema dalam varian Z-Prestige ini menerima pemegang pintu kemasan krom, penutup bed belakang lengkap dengan bar sport dan spoiler belakang, serta kemasan krom pada bampar belakang. Model ini juga menerima roda aloi 18-inci disalut tayar 255/60R18, tetapi untuk tema eksekutif diberikan kemasan berwarna perak, manakala tema eksklusif dan provokatif diberikan kemasan berwarna kelabu.

Untuk bahagian dalaman pula, varian Standard hanya dilengkapi dengan paparan instrumen dan informasi biasa,sistem penghawa dingin manual, skrin infotaimen bersaiz 7-inci dengan pemain DVD dan MP3 serta hubungan Bluetooth, AUX, USB, dan iPOD. Hanya model 4×2 MT Hi-Ride diberi roda stereng balutan kulit.

Varian Premium pula menerima paparan instrumen e-LUMAX, penghawa dingin automatik, skrin infotaimen bersaiz 8-inci dengan pemain DVD dan MP3 serta hubungan Bluetooth, AUX, USB, iPOD dan HDMI, pemegang cawan pada prehat tangan, pemegang cermin mata serta roda stereng balutan kulit dengan butang kawalan audio serta telefon.

Varian Z-Prestige kini menerima ‘Passive Entry and Start System’ (PESS). Pemain DVD dengan skrin sentuh lapan-inci sama seperti varian Premium tetapi ia disertakan dengan sistem bunyi surround dihubungkan kepada lapan pembesar suara. Sama seperti bahagian luaran, bahagian dalaman varian Z-Prestige juga turut mengikut temanya tersendiri. Tempat duduk dan juga perehat tangan diberikan balutan kulit premium Itali.

isuzu-d-max-facelift-bm-20

Untuk tema eksekutif, balutan kulitnya diberikan warna perang dengan elemen hitam. Untuk eksklusif pula, ia diberikan balutan kulit berwarna hitam dengan elemen merah. Manakala untuk tema provokatif pula, ia diberikan balutan kulit berwarna hitam dengan elemen perak. Kesemua model Z-Prestige menerima kemasan pada papan pemuka dan pintu dengan warna Piano Black.

Tiada perubahan disaksikan pada unit janakuasa dimana versi facelift ini masih dikuasakan dengan dua varian enjin yang sama. Enjin turbodisel 2.5 liter 4JK1-TCX VGS berkuasa 136 PS dan tork maksima 320 Nm bermula 1,800 hingga 2,800 rpm menjana varian 2.5L. Manakala varian 3.0L, ia dijana dengan enjin turbo diesel 3.0 liter 4JJ1-TCX VGS berkuasa 177 PS dengan tork maksima 380 Nm bermula 1,800 hingga 2,800 rpm. Begitu juga dengan sistem transmisi dimana kotak gear automatik lima kelajuan mahupun manual lima kelajuan dari model terdahulu dibawa pada model baharu ini, termasuk dengan sistem pacuan dua- dan empat-roda.

Untuk keselematan, kini semua varian termasuk varian paling asas didatangkan dengan dua beg udara, cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX, sistem Brek Anti Kunci (ABS), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Pengagihan Daya Brek Elektronik (EBD), Bantuan Brek (BA) dan Bantuan Mendaki (HSA).

Untuk anda yang ingin mengetahui lebih lanjut berkenaan spesifikasi dan pembelian Isuzu D-Max facelift 2016 ini, anda boleh layari laman Carbase.my.

GALERI: Gambar rasmi Isuzu D-Max facelift 2016 varian Standard dan Z-Prestige

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

 

Add a comment

required

required