PLUS tawar rebat 20% bagi ETC sempena Deepavali – saran pengguna lebuhraya ikut TTA yang dikeluarkan

toll plaza plus

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan rebat 20% bagi pembayaran menggunakan sistem transaksi secara elektronik (ETC) bagi semua pengguna rangkaian lebuh raya PLUS iaitu Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dan Jambatan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) sempena cuti perayaan Deepavali yang bakal berlangsung esok.

Menurut Pengarah Urusan PLUS, Dato’ Noorizah Hj Abd Hamid, “Pengguna Kenderaan Kelas 1 (kenderaan ringan dengan 2 gandar dan 3 atau 4 roda kecuali teksi) yang membayar tol menggunakan sistem elektronik iaitu menerusi kad PLUSMiles, kad Touch ‘n Go dan SmartTAG berpeluang menikmati rebat tol sebanyak 20% pada 29 Oktober (Sabtu) bersempena dengan Hari Deepavali. Ia boleh dinikmati oleh pengguna yang menggunakan lebuh raya untuk perjalanan jarak jauh iaitu melebihi 100 kilometer pada hari tersebut.”

Menurut Noorizah, pada tarikh tersebut, pengguna sistem elektronik masih perlu membuat bayaran tol seperti biasa, tetapi rebat tol 20% tersebut akan dimasukkan ke dalam kad Touch ‘n Go atau kad PLUSMiles masing-masing (dalam bentuk tambah nilai) apabila mereka menambah nilai kad mereka dalam tempoh 3 bulan iaitu di antara 15 November 2016 sehingga 14 Februari 2017 akan datang di semua pusat khidmat pelanggan di lebuh raya PLUS.

Pemberian rebat tol oleh PLUS ini merupakan salah satu daripada langkah PLUS meraikan sambutan Hari Deepavali yang akan datang. Selain itu, ia adalah di antara strategi PLUS menggalakkan orang ramai beralih kepada sistem pembayaran secara elektronik yang lebih mudah dan lebih pantas.

“Rebat tol ini boleh dinikmati sepanjang hari dan tidak terhad pada tempoh masa tertentu sahaja,” jelas Noorizah.

Walau bagaimanapun, rebat tersebut tidak diberikan untuk pengguna yang membayar tol di Plaza Tol Tanjung Kupang, Bukit Kayu Hitam, Bangunan Sultan Iskandar dan Jambatan Pulau Pinang.

tta_deepavali_2016_bm

Dalam masa yang sama, PLUS turut mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang bertujuan untuk mengagihkan trafik dan mengelakkan kenderaan yang menuju destinasi berlainan ‘bertembung’ di satu-satu lokasi di lebuh raya dan seterusnya menyebabkan kesesakan.

Berdasarkan TTA yang dikeluarkan oleh PLUS sempena perayaan Deepavali, orang ramai dari Lembah Klang yang menuju ke Perlis dan Kedah disarankan supaya memasuki Lebuhraya Utara-Selatan lebih awal iaitu di antara jam 6 pagi hingga 10 pagi. Manakala, orang ramai yang menuju ke Pulau Pinang dan Perak (Utara dan Tengah) dinasihatkan memasuki lebuh raya di antara jam 10 pagi hingga 6 petang.

“Apabila saranan ini dipatuhi, kumpulan kenderaan yang bergerak ke Pulau Pinang dan Perak (Utara dan Tengah) tidak akan bertembung dengan kumpulan yang bergerak ke Perlis dan Kedah di lebuh raya. Sebaliknya, mereka akan berada di pelbagai lokasi berlainan sepanjang lebuh raya. Ini seterusnya boleh menjadikan perjalanan pulang ke utara lebih lancar. Begitu juga untuk perjalanan ke pelbagai destinasi di selatan,” jelas Noorizah.

PLUS turut menjangkakan jumlah trafik di Lebuhraya Utara-Selatan akan meningkat sebanyak tujuh (7) peratus kepada 1.5 juta kenderaan setiap hari di antara 27 Oktober hingga 1 November 2016 bersempena perayaan Deepavali berbanding 1.4 juta kenderaan sehari pada hari-hari biasa.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required