2017-audi-a5-cabriolet-02-850x601-bm

Ini adalah varian ketiga dan terakhir yang melengkapi keluarga Audi A5 yang dinamakan sebagai Audi A5 Cabriolet 2017. Ia datang selepas A5 Coupe dan A5 Sportback, dan memberi keistimewaan sendiri dengan bumbung yang boleh dibuka secara elektronik.

Seperti sebelum ini, Audi telah memilih bumbung jenis fabrik lembut untuk A5 Cabriolet dan operasinya mengambil masa 15 saat untuk dibuka dan 18 saat untuk ditutup, bermula apabila butang ditekan. Ini boleh dilakukan pada kelajuan sehingga 50 km/j. Hasil daripada sistem kedap bunyi yang efektif, pemandu tidak akan begitu terkesan dengan bunyi rintangan angin pada kenderaan ini.

Bagi menguatkan kenderaan ini, jika dibanding dengan versi Coupe, Audi telah menambah badan A5 Cabriolet dengan besi sokongan serta kerangka yang diperkuat. Sekiranya berlaku perlanggaran dan kenderaan terbalik, beg udara bahagian toraks kepala dan pelindung aluminium yang akan keluar secara automatik akan memberikan perlindungan tambahan kepada yang berada di dalamnya.

2017-audi-a5-cabriolet-22-850x601-bm

Pada bahagian lain, perubahannya berbanding A5 Cabriolet sebelum ini adalah sama sahaja seperti A5 Coupe yang terbaru, memandangkan ia hanyalah versi tanpa bumbung bagi kenderaan dua pintu tersebut. Bahagian hadapan melihatkan penggunaan gril 3D Singleframe yang lebih rata dan lebar berbanding sebelum ini, bersama ‘garisan bahu’ yang lebih jelas.

Rekaan unik yang terdapat pada A5 Cabriolet adalah lampu brek ketiganya disepadukan secara kemas pada bahagian atas penutup but. Ini perlu dilakukan kerana tiada cermin belakang yang tetap pada kenderaan ini.

A5 Cabriolet berukuran 4,673 mm, iaitu 47 mm lebih panjang berbanding model sebelum ini dan jarak rodanya adalah 2,765 mm (14 mm lebih panjang). Hasilnya, lebih ruang dapat dinikmati di bahagian dalam. Digabungkan dengan tempat duduk hadapan yang lebih nipis, ruang kelegaan kaki bahagian penumpang belakang yang disediakan adalah 18 mm, sementara ruang bahu hadapan juga mendapat tambahan sebanyak 26 mm dan ruang simpanan belakang menjadi 380 liter (tambahan 60 liter). Tempat duduk belakang boleh dilipat 50:50 dan semua A5 Cabriolet mempunyai penutup but automatik yang boleh dibuka dengan menghayunkan kaki di bahagian bawahnya.

Audi memberitahu, kekuatan kilasan bagi A5 Cabriolet ini meningkat sebanyak 40 peratus berbanding model sebelum ini dan pada masa sama, beratnya masih dapat dikurangkan sehingga 40 kg.

Suspensi lima sambungan yang diperbaharui digunakan pada bahagian gandar hadapan, sementara di belakang, suspensi sambungan trapezoid juga diganti dengan suspensi jenis lima sambungan ini. Penyerap adaptif boleh didapati sebagai pilihan tambahan, dan ia akan dimasukkan ke dalam sistem pilihan mod pemanduan Audi standard yang sudah sedia ada. Juga boleh didapati sebagai tambahan adalah stereng dinamik, yang boleh mengubah nisbah gear stereng bergantung kepada kelajuan dan sudut pusingan stereng.

A5 Cabriolet akan dilancarkan di Eropah dengan tiga pilihan enjin – 2.0 TFSI dengan 252 hp, 2.0 TDI dengan 190 hp dan 3.0 TDI dengan 218 hp. Ia kemudiannya akan disertai oleh 2.0 TFSI dengan 190 hp dan 3.0 TDI dengan 286 hp. Pilihan kotak gear pula terdiri daripada manual enam kelajuan, S tronic klac berkembar tujuh kelajuan dan automatik Tiptronic lapan kelajuan. Secara standard, ia datang dengan pacuan dua roda hadapan, tetapi orang ramai masih boleh memilih sistem pacuan Quattro AWD.

2017-audi-s5-cabriolet-09-e1478224296517-850x428-bm

Bagi yang inginkan lebih prestasi, anda boleh memilih S5 Cabriolet, dan versi ini dikuasakan enjin turbo 3.0 TFSI dengan 354 hp dan 500 Nm tork di antara 1,370 hingga 4,500 rpm. Ini bersamaan dengan lebih kuasa berbanding enjin enam silinder supercas sebelum ini, dan pecutan 0-100 km/j boleh dilaksanakan dalam masa 5.1 saat. Sistem pacuan AWD dan transmisi automatik adalah standard dan unsur rekaan S biasa juga boleh didapati bagi membezakan variannya.

Kelengkapan lain pada A5 Cabriolet adalah sama seperti A5 yang lain (sistem bunyi 3D 19 pembesar suara Bang & Olufsen, kokpit virtual Audi, kotak telefon Audi dengan pengecas Qi, MMI Navigation Plus serta MMI Touch), tetapi terdapat satu kelengkapan tambahan iaitu mikrofon yang terletak pada tali pinggang untuk pemandu dan penumpang hadapan, supaya suara masih boleh didengari walaupun bumbung dibuka.

Di Malaysia, Audi baru sahaja melancarkan model A4 B9 sementara A5 Coupe pula hanya dijangka akan dilancarkan pada tahun 2017.

GALERI: Audi A5 Cabriolet

GALERI: Audi S5 Cabriolet