Skandal Dieselgate masih lagi berlum berakhir di Korea Selatan, di mana pihak berkuasa di sana akan mengemukakan aduan jenayah terhadap lima bekas dan eksekutif semasa Volkswagen di sana, serta saman berjumlah 37.3 bilion won (RM142.5 juta) kepada syarikat itu untuk iklan emisi yang tidak betul. Ini adalah berdasarkan daripada laporan Reuters.
Saman oleh Suruhanjaya Keadilan Perdagangan (FTC) ini adalah rekod untuk iklan yang salah di Korea Selatan, dan susulan kepada pemberhentian semua jualan Volkswagen di negara itu sejak bulan Ogos. FTC memberitahu mereka akan meminta pendakwa untuk menyiasat eksekutif termasuk timbalan presiden jualan Audi di Amerika, André Konsbruck.
Menurut FTC, Volkswagen membuat “kenyataan yang salah, ditokok tambah dan mengelirukan” dalam iklan mereka, dengan terma hukuman daripada penjara hingga dua tahun atau denda sehingga 150 juta won. Volkswagen mengiklankan kereta mereka sebagai kenderaan mesra alam yang mematuhi standard pencemaran udara, tetapi sebenarnya mempunyai alat yang dapat mengaburi ujian yang dilakukan kerajaan, kata FTC.
Audi Volkswagen Korea (AWK) menyatakan setakat ini belum diberitahu secara rasmi oleh suruhanjaya tersebut berkenaan saman itu. “AVK komited untuk membina semula keyakinan pada pihak berkuasa, pelanggan dan pemegang saham di Korea,” kata wakilnya dalam satu kenyataan yang dibuat.
Ini bukan kali pertama Korea Selatan mengambil tindakan terhadap Volkswagen berkenaan Dieselgate. Negara itu sebelum ini pernah mengeluarkan sama kepada pengeluar kenderaan Jerman itu sebanyak 17.8 bilion (RM67.9 juta) untuk penipuan emisi, dan menangkap seorang eksekutif Volkswagen tempatan atas tuduhan termasuk penyelewengan dokumen dan pencabulan undang-undang kualiti udara.
Penggantungan jualan kenderaan Volkswagen di Korea Selatan sejak bulan Ogos telah menyekat perkembangan jenama itu dalam pasaran yang dikuasai oleh Hyundai-Kia. Ia adalah pasaran yang kecil bagi Volkswagen tetapi terdapat permintaan tinggi jenama import seperti Audi dan Bentley oleh warga Korea yang berpendapatan tinggi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.