Nissan kini telah mula menjual model Note e-Power Nismo, sebuah kenderaan elektrik yang kini tampil dengan imej yang lebih ranggi, sebagai tambahan kepada dua lagi versi terdahulu – Note Nismo dan Note Nismo S. Penawaran terbaharu ini dijual pada harga 2,458,080 yen (RM92,900).

Versi Nismo dibezakan dari model-model e-Power yang lain melalui penampilan bampar depan yang agresif dengan lampu nyalaan siang LED, kit badan sisi serta diffuser dibahagian belakang – semuanya disertakan dengan perincian rona merah, seperti juga cermin sisi. Turut menguatkan lagi penampilannya ialah gril unik dengan logo Nismo (kemasan biru untuk membezakannya dengan model Nismo yang lain), dan penggunaan rim aloi 16 inci dwi-tona dengan tayar Yokohama DNA S.drive.

Untuk bahagian dalam, versi ini menggunakan stereng tiga-jejari balutan kulit Alcantara, tempat duduk sport serta padel pintu dengan material suede serta pedal aluminium. Panel meter kluster juga khas Nismo, dengan lambang dan perinciannya yang tersendiri.

Ia menggunakan enjin 1.2 liter HR12DE tiga-silinder 79 PS/103 Nm yang digandingkan dengan motor elektrik dengan janaan kuasa 109 PS/254 Nm yang sama seperti model terdahulu. Namun, versi Nismo kali ini dilengkapi Vehicle Control Module (VCM) bagi mendapatkan maklum balas pendikit dan regenarative braking yang lebih baik.

Sistem suspensi juga menerima pembaharuan, termasuk palang kestabilan di depan, pengukuhan badan pada bahagian-bahagian tertentu dan stereng elektrik yang ditala semula untuk pemanduan yang lebih “keras”. Paip ekzosnya pula bersaiz 85 mm yang melengkapkan imej agresif dan sporty model ini.